ANALITIC

Ahad, Jun 23, 1996

ISU M. NASIR DIGAM - ‘Tak orang tak kita, terasa juga pahitnya’

petikan Berita Harian 23 Jun 1996

Oleh Hanim Mohd Saleh

CUBIT paha kiri, paha kanan terasa sakit juga. Walaupun penggubah lagu M. Nasir yang sejak 1981 bermastautin di Malaysia dan menjadi rakyat negara itu enam tahun lalu kini terhimpit ekoran digam, rakan-rakan seperjuangannya di sini tetap rasakan juga kepahitannya.

Betapa tidak, mereka kenal dan tahu kerenah sebenar M. Nasir. Dah biasa dengan cakap-cakap pedasnya tetapi mengerti maksud sebenarnya.

Namun rakan-rakannya itu seperti raja rock Ramli Sarip, Art Fazil, Saharuddin Haji Jalil (pemain drum kumpulan Lovehunters) ketika dihubungi Berita Minggu, memilih untuk bersikap rasional bila menyentuh isu nasib seniman kelahiran Singapura itu.

Sejak Ahad lalu, semua karya Nasir dan kemunculannya telah diharamkan daripada disiarkan menerusi stesen televisyen dan radio Malaysia kerana dikatakan bersikap kurang ajar dengan pertanyaan ‘Siapa Dr Mahathir?’ kepada wartawan di malam latihan bagi Malam Puisi Utusan keempat pada 3 Mei lalu.

Kerajaan Selangor dan Kedah juga mengharamkan semua pertunjukannya.

Art, yang mengenali penggubah dan penerbit itu sejak 1988 berkata, beliau tidak tahu sama ada Nasir bersalah atau tidak, tetapi yang pasti tindakan pengharaman tersebut bukan menjejas diri Nasir seorang, bahkan puluhan pekerja dan artis yang terlibat dalam rakaman album, syarikat rakaman dan filemnya.

“Apa pun masalahnya, sama ada Nasir ada mengeluarkan kata-kata seperti itu atau tidak, saya harap soal politik tidak dicampuradukkan dengan bisnes.

“Kalau dah terbukti dia bersalah, baru jatuhkan hukuman. Marilah kita lihat kesannya dari sudut ekonomi. Nasir adalah pemikir dan orang-orang yang bekerja dengannya bukan sedikit.

“Apa akan jadi dengan syarikat rakaman, syarikatnya sendiri, artis-artis yang menggunakan lagu-lagunya dan pelakon serta duit yang telah dilaburkan untuk filem pertamanya, Merah?

“Tentu ramai yang akan kehilangan kerja. Haruskah semuanya mengalami kerugian juga?

“Sumbangan Nasir dalam membina muzik Melayu sejak tahun 80-an bukanlah kecil dan menjadi sejarah penting muzik era masakini. Insiden itu tak seharusnya melenyapkan beliau begitu saja,” kata Art.

Ramli pula mulanya begitu berat untuk memberi pandangannya kerana, katanya, beliau juga menghadapi dilema serupa — beliau tidak dapat beraksi di TV dan radio negara jiran kerana masih berambut panjang.

“Tetapi sebagai artis dan kawan, apa yang terjadi amat mengecewakan. Tak orang tak kita, terasa juga pahitnya. Saya sedih kerana Nasir merupakan antara segelintir artis yang begitu aktif, berbakat besar dan berpandangan jauh,” kata Ramli.

Menurut Ramli, Nasir yang dikenalinya sejak 1978, merupakan seorang yang pendiam dan sukar dimengerti bagi mereka yang tidak begitu rapat dengannya.

“Saya harap masalah ini tidak berpanjangan. Kalau benar Nasir bersalah, dia harus bersedia menerima risikonya dan mulakan penghidupan baru. Dunia belum kiamat dan rezeki ada di mana-mana. Mudah-mudahan semuanya dapat diselesaikan secara baik,” kata Ramli.

Saharuddin, atau lebih dikenali sebagai Sahar, berkata beliau terkejut dengan nasib yang menimpa Nasir kerana telah menganggapnya sebagai ‘seniman yang sudah boleh dijadikan bahan rujukan para siswazah’.

“Memang Nasir lain sikit orangnya. Dia selalu dengan dunianya. Tetapi saya tak fikir dia angkuh. Bagi saya, kita harus megenalinya, menyelami hati dan pemikirannya terlebih dulu sebelum tulis atau membuat sebarang tafsiran tentang sikapnya,” kata Sahar.

Setiap yang berlaku, ada ikhtibarnya.

Presiden Persatuan Karyawan Muzik Singapura (Perkamus), Yusnor Ef, berkata insiden tersebut harus dijadikan sempadan bagi semua artis setempat, baik ketika membuat persembahan mahupun yang telah bermastautin secara tetap di negeri orang.

“Sebagai seniman, semakin berisi biarlah tunduk seperti padi. Walaupun kita sudah jadi rakyat negara lain, sebagai pendatang kita harus sentiasa mengelakkan rasa kurang senang orang, baik yang rapat, mahu pun yang baru dikenali,” kata Yusnor Ef.

Bagaimanapun, katanya, sebagai presiden Perkamus beliau berharap kerajaan Malaysia akan mengkaji semula hukuman yang telah dijatuhkan ke atas Nasir. “Semua orang wajar menerima peluang kedua,” ujarnya.

"Saya harap masalah ini tidak berpanjangan. Kalau benar Nasir bersalah, dia harus bersedia menerima risikonya dan mulakan penghidupan baru. Dunia belum kiamat dan rezeki ada di mana-mana. Mudah-mudahan semuanya dapat diselesaikan secara baik.”

— Ramli Sarip.

 “Sebagai seniman, semakin berisi biarlah tunduk seperti padi. Walaupun kita sudah jadi rakyat negara lain, sebagai pendatang kita harus sentiasa mengelakkan rasa kurang senang orang, baik yang rapat, mahu pun yang baru dikenali.”

— Yusnof Ef.


 

Tiada ulasan: