petikan Berita Harian, 27 June 1996
Nasir lega, syukur
"Saya terduduk. Lega. Syukur kerana saya dapat meneruskan kerja seperti biasa... sebenarnya, perasaan keluarga saya, terutama ibu bapa saya di Singapura, lebih terjejas. Bapa saya menangis bila telefon saya kerana percaya apa yang beliau baca dalam suratkhabar."
— M. Nasir, ketika dihubungi Berita Harian.
KUALA LUMPUR — Larangan terhadap penyiaran semua karya penyanyi-penggubah M. Nasir yang dikenakan 10 hari lalu, berikutan dakwaan artis itu menghina Perdana Menteri Malaysia, akan ditarik balik mulai Isnin ini.
Menurut laporan agensi berita Bernama, Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat, membuat keputusan itu selepas menimbangkan setiap fakta yang diperolehi dalam siasatan lanjut yang diarahkan beliau sekembali beliau dari luar negara awal minggu ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Zawawi Mahmuddin, dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan artis-artis lain yang terbabit dengan karya Nasir.
Tindakan 'gam' terhadap Nasir diumumkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamed, pada 16 Jun berikutan laporan Utusan Malaysia bahawa Nasir telah menghina Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan ungkapan 'Siapa Mahathir?'.
Nasir telah menafikan beliau pernah mengeluarkan ungkapan itu.
Datuk Zawawi kemudian mengadakan pertemuan berasingan dengan Nasir Isnin lalu dan dengan wartawan Utusan Malaysia yang terbabit semalam.
"Nasir menafikan bahawa beliau ada mengeluarkan ungkapan tersebut, sama ada dalam satu temuramah dengan Utusan Malaysia semasa raptai Malam Puisi (anjuran Kumpulan Utusan) mahupun pada bila-bila masa sebelum itu, sama ada secara terbuka atau tertutup," katanya.
"Sebaliknya pula, wartawan akhbar Utusan Malaysia telah menegaskan bahawa sememangnya M. Nasir ada mengeluarkan ungkapan 'Siapa Mahathir?' dalam perbualan telefon antara kedua-duanya pada 2 Mei 1996."
Wartawan Utusan amat tegas dalam penjelasannya dan sanggup bersumpah.
Datuk Zawawi berkata oleh kerana tidak ada pihak ketiga yang mendengar butiran perbualan telefon itu, amatlah sukar bagi kementerian memastikan siapa yang bercakap benar.
Sementara itu, Nasir, yang sempat dihubungi Berita Harian melalui telefon semalam, memberitahu:
"Saya terduduk. Lega. Syukur kerana saya dapat meneruskan kerja seperti biasa."
Beliau kemudian menambah bahawa "sebenarnya, perasaan keluarga saya, terutama ibu bapa saya di Singapura, lebih terjejas.
"Bapa saya menangis bila telefon saya kerana percaya apa yang beliau baca dalam suratkhabar.".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan