ANALITIC

Selasa, Jun 18, 1996

Punca sebalik M. Nasir digam

petikan Berita Harian, 18 Jun 1996

Rencana papar penyanyi sebagai angkuh

[Keratan Sisipan: "M.Nasir mungkir janji" — Utusan Malaysia, 18 Mei]

INILAH rencana yang 'menjerat' penyanyi dan penggubah lagu M. Nasir sehingga pemerintah Malaysia mengharamkan beliau dan kesemua karyanya daripada disiarkan menerusi televisyen dan radio nasional.

Rencana berjudul 'M. Nasir mungkir janji' itu disiarkan dalam ruangan 'Soroton Sepanjang Minggu bersama Nor Asmah Zakaria' di akhbar Utusan Malaysia 18 Mei lalu.

Ia menyentuh sepintas lalu insiden yang berlaku semasa latihan majlis bagi Malam Puisi Utusan keempat di Matic, Jalan Ampang.

Antara lain, ia menyebut M. Nasir seperti tidak begitu berminat sangat dengan latihan malam puisi itu.

"Apalah majlis ni, tak ceria pun," M. Nasir dipetik sebagai berkata.

Apabila diminta membuat latihan mendeklamasikan puisi kerana tetamu terhormat, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan hadir, M. Nasir dengan nada selamba berkata, "Siapa Dr Mahathir?" Menurut penulis, nada Nasir begitu angkuh.

Berita Harian difahamkan meja hiburan akhbar harian itu mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang ulasan terhadap pertanyaan daripada media massa mengenai perkara tersebut.

Penulis artikel itu pula sedang cuti bersalin.

Ketika diminta penjelasan lanjut, seorang wartawan akhbar tersebut berkata Nasir langsung tidak menghadirkan diri dalam majlis yang dihadiri 4,000 orang penonton itu sedangkan publisiti yang menyatakan kehadirannya telah dibuat secara besar-besaran.

"Nasir tidak memberikan sebarang sebab mengapa beliau tidak datang.

"Kami hanya tahu beliau pulang ke Singapura kerana bapa mertuanya meninggal beberapa hari selepas majlis itu berakhir," kata wartawan itu.

Berita Harian juga difahamkan syarikat rakaman BMG Malaysia yang bertanggungjawab mengedarkan album-album M. Nasir telah mengadakan mesyuarat tergempar lewat petang semalam untuk menyiasat perkara tersebut dan mencari huraian baginya.

Langkah tersebut bukan saja menjejas Nasir, bahkan semua artis BMG yang menggunakan khidmat Nasir.

Malah filem pertama arahan Nasir, berjudul Merah adalah kerjasama antara syarikat itu dengan Luncai Emas Sdn Bhd, milik Nasir.

Berita Harian telah berusaha menghubungi Nasir di rumahnya tetapi mendapati talian perkhidmatan telefon di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor telah diputuskan.

Di pejabatnya, seorang pekerja memberitahu Nasir yang tidak datang ke studio telah pun menyiapkan surat penjelasan dan akan bertemu dengan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat, secepat mungkin.

Tiada ulasan: