ANALITIC

Selasa, Julai 02, 2013

Konsert M Nasir Sang Pencinta pukau penonton

petikan Sinar Harian 2 Julai 2013
NOR ATIEYAH YUSOFF

Foto: IHSAN MEPORTAL.NET

SIAPA tidak mengenali figura bernama M Nasir, 34 tahun berkecimpung dalam industri seni, beliau cukup terkenal dengan seleksi lagu yang penuh puitis dan suara yang merdu.

Kehebatannya dalam mencipta lagu sememangnya tidak lagi boleh dipertikaikan dan gelaran sifu sememangnya sesuai untuknya.

Terbaru, setelah empat tahun tidak mengadakan konsert, M Nasir kembali menghiburkan peminat setianya di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi konsertnya, M Nasir Sang Pencinta yang berlangsung dari 28 hingga 30 Jun lalu.

Ternyata, aura dan magisnya masih lagi utuh apabila konsert tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Berkesempatan menonton sendiri konsert M Nasir, penulis dapat menggambarkan ia adalah sebuah persembahan penuh dengan magis tersendiri.

Penonton bagai diulit dengan nyanyian yang penuh dengan puitis seolah-olah terbang bersama ke dalam dunia magisnya.

Menariknya, tirai persembahan dimulakan dengan puisi-drama oleh sekumpulan anak muda yang mendeklamasikan puisi Aku, karya Chairil Anwar, dengan penuh keasyikan.

Kemudian, penonton dibawa bersama menelusuri pengembaraan muzik sepanjang M Nasir bergelar anak seni dengan 22 lagu yang disampaikan dengan penuh bertenaga.

Tidak dapat dinafikan, persembahan tersebut antara yang terbaik pernah ditonton sebelum ini.

Istimewanya, gabungan pemuzik -pemuzik handalan tanah air dengan iringan String dari Orkestra Simfoni Kebangsaan dan gamelan Orkestra Tradisional Malaysia telah menghasilkan muzik yang sangat indah.

Imbau zaman kegemilangan

Hampir tiga jam konsert tersebut berlangsung, penonton bagaikan tidak puas mendengar lagu-lagu yang disampaikan.

Menyampaikan seleksi lagu-lagu hitsnya seperti Keroncong Untuk Ana, Mentera Semerah Padi, Rajawali dan Tanya Sama Itu Hud-Hud, M Nasir seolah membawa penonton mengimbau kembali zaman kegemilangannya.

Apatah lagi, penonton juga berpeluang mendengar lagu terbaru M Nasir yang bertajuk Aku Sudah Bilang buat kali pertama.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyampaikan beberapa lagu berentak rancak seperti Ada dan Sahabat Gua.

Malah, suasana panggung ketika itu gamat setelah M Nasir turun untuk menyanyi dan menari membuatkan penonton berdiri dan menari bersamanya.

Tidak ketinggalan, M Nasir turut mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Search iaitu Meniti Titian Usang dan Srikandi Cinta secara akustik, nyanyian asal kumpulan Bloodshed.

Tidak sekadar menyanyi dan menari, penonton turut disajikan dengan beberapa siaran visual sepanjang persembahannya dengan kesan grafik cukup menarik.

M Nasir terharu

Mengulas mengenai konsertnya itu, M Nasir sempat berkongsi rasa terharunya kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat dan penyokong industri muzik tempatan.

Katanya, sokongan tersebut membuktikan bahawa genre muzik yang dibawanya masih lagi diterima oleh masyarakat terutamanya golongan muda.

“Perasaan saya ketika ini sukar digambarkan kerana pelbagai perasaan bercampur baur,” katanya yang pernah menghiburkan peminatnya pada 2009 dalam Konsert Alam Muzik M Nasir di pentas Istana Budaya.

Luahnya, dalam tempoh empat tahun lalu dia bercita-cita untuk mengadakan konsert, namun sering tertangguh akibat perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Saya terharu dengan peluang diberikan Istana Budaya. Terima kasih juga di atas sokongan peminat, rakan-rakan dan media,” katanya.

Sukar pilih lagu

Menyentuh mengenai pemilihan lagunya, M Nasir berkata, dia berhadapan dengan kesukaran untuk memilih lagu untuk dinyanyikan kerana terdapat beberapa lagu yang jarang diperdengarkan kepada peminat.

Malah pemilihan lagu bagi konsert yang bertemakan seni muzikal itu melalui proses perbincangan yang agak panjang bersama penganjur.

“Mungkin peminat tidak kisah dengan lagu yang hendak disampaikan. Tetapi, saya mahu lagu yang dipilih bertepatan dengan tema konsert.

“Setiap lagu yang dinyanyikan mempunyai mesej tertentu dan sedap didengari penonton. Malah ada lagu yang jarang saya nyanyikan dipilih,” ujar M Nasir.

Tambahnya, lagu seperti Wali jarang diperdengarkan kepada umum, namun ia bertepatan dengan konsep konsert pada kali ini.

Malah lagu Bahtera Raudah turut dipilih kerana ia mengajak penonton bersama menghayati dan mengembara ke alam fantasi.

“Orang yang sudah biasa dengan lagu hits saya mungkin akan teragak-agak untuk mendengarnya.

“Tetapi, tidak salah jika kita ubah sedikit selera muzik kita dan berharap lagu tersebut sedap untuk didengari pendengar,” katanya.

Isnin, Julai 01, 2013

Sentuhan Listrik Pencinta.

Oleh Saudagar Mimpi… yang melapor dari Panggung Sari,  Istana Budaya. Kuala Lumpur.

REVIEW :
KONSERT SANG PENCINTA
Sabtu : 29 Jun 2013
Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur

Perancangan saat akhir!  Aku pada mulanya tak merancang untuk pergi konsert ini. Setelah di”racun” dengan cerita dan imej visual yang diperolehi dari FB KSMN akhirnya aku mengalah. Tambahan pula ada jualan CD Kembara di Esplanade  & Konsert MPO  tu. Mesti pergi beli! Orang lain sibuk beli tiket bola Johor lawan Kelantan, aku beli tiket konsert.

Perjalanan kali ini aku cuma naik bas . Budget ketat beb!!!. Ye la tak lama lagi puasa dan raya. Golongan marhaen macam aku ni tak boleh dapat semua benda dalam hidup. Setelah tiba di KL tercari-cari hotel bajet tapi semuanya penuh tapi akhirnya terjumpa juga sebuah hotel yang ada bilik kosong. Nasib aku tak Sesat di Kuala Lumpur!

Selepas berehat petang tu barulah aku seorang diri bergerak ke Istana Budaya.
Pada mulanya mahu minta teksi hantarkan aku ke IB. Semua teksi yang aku tahan tak mahu hantarkan..”Jem” alasan mereka. Lepas Maghrib  barulah menapak menuju ke Istana Budaya sambil urut-urut kepala yang berdenyut.

Selain konsert, tumpuan aku sudah tentu mahu mendapatkan CD Kembara Live di Esplanade 300313 dan M Nasir & MPO itu. Mungkin disebabkan CD itu adalah rakaman konsert, sebenarnya ada ramai hamba Allah yang ingat ia adalah rakaman video dalam bentuk DVD! (Kecewa agaknya bila mainkan di DVD player di rumah tapi tak keluar gambar...hahahhah!) Aku juga sempat membeli dua helai t shirt dari booth Sahabat Gua EM. Dapat la 3 poster Sang Pencinta  free....
Jam 8.15 lebih ramai penonton memenuhi ruang menunggu di bawah dan atas. Kelihatan juga kelibat wajah wajah “fan” Sifu yang aku tahu akan datang malam itu. Ada orang politik, ada personaliti TV, dan ada ramai marhaen macam aku.  Majoriti yang hadir sudah tentunya dari pelbagai bangsa dalam lingkungan umur 30 ke atas yang membesar dengan karya sifu.
Tepat jam 8.30 malam pintu dewan mula dibuka.

Untuk konsert Sang Pencinta,  SM memilih untuk duduk di bahagian tengah Grand Circle. Sebelah kanan SM kerusi kosong. Mungkin tidak hadir kerana menonton perlawanan Johor-Kelantan. Sempat juga bertegur sapa dengan penonton di sebelah yang peramah dan sudi berkongsi cerita pengalamannya terserempak dengan sifu M Nasir di sebuah lif suatu masa dahulu.

Sebagaimana protokol acara di premis kerajaan, semua penonton diminta bangun dan menyanyikan lagu Negaraku.

Setlist (Malam kedua)

1. Cermin Mimpi - (Montaj)
Puisi - AKU (Chairil Anwar)
2. Dalam
3. Bahtera Raudah
4. Apokalips
5. Keroncong Untuk Ana
6. Hidayah
7. Rajawali Terbang Tinggi
8.Perang Yang Lagi Satu
9. Mentera Semerah Padi
10. Hijab Kekasih

*Set Akustik
11. Layang Layang Putus Talinya
12. Meniti Titian Usang
13. Srikandi Cintaku
14. Aku dah Bilang
15. Tanya Sama Hud Hud.

16. Akar Kita
17. Buka Hatimu.
18. Wadi
19. Mustika
20. Sahabat Gua
21. Ada

Encore
22. Sesat di Kuala Lumpur
23. Sentuhan Listrikmu
24. Hati Emas
25. Mentera Semerah Padi (reprise)


1. Cermin Mimpi
Persembahan bermula dengan montaj Konsert Sang Pencinta yang menggunakan  lagu Cermin Mimpi. Bila tengok montaj alam mimpi itu teringat pula SM dengan video "Time" dari Pink Floyd. ( ya la..aku ni minat Pink Floyd......jadi apa aku tengok semua di”Pink Floyd”kan.)

Pentas kemudian dipenuhi barisan remaja yang berpakaian putih dan bertopeng mendeklamasi puisi  "Aku" - karya Chairil Anuar. Puisi ini bertemakan pejuang yang tidak perlu ditangisi pemergiannya,....adakah itu yang cuba disampaikan oleh M Nasir?

AKU (Chairil Anwar)
Kalau sampai waktuku
Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

Penonton mula bertepuk dan pentas terus hangat bila bayang sifu kelihatan membawakan lagu Dalam.

2. Dalam
Sebagaimana tajuknya..dalam mungkin itulah yg mahu disampaikan melalui imej visual pada latar pentas. Latar langit biru dan pokok kelihatan kesan 3D berjaya. Memang terbaik!


3. Bahtera Raudah
Lagu dari album Sang Pencinta... kisah perjalanan. Begitu lah gambaran kapal tersadai dalam latar. Apa yg SM perhatikan Bro Aznan dan Rafi memberikan persembahan bertenaga untuk lagu ini.

4. Apokalips
Hidup dan nasib- roller coaster...Jadi sudah tentu visual rollercoaster  dipaparkan di skrin!. Penonton di Grand Circle pula  nampak masih segan segan walaupun petikan  gitar Nan dan Rafi menusuk telinga meminta penonton turut serta mengikut irama dan lagu.

5. Keroncong Untuk Ana
Sebelum memulakan lagu, katanya lagu ini lagu lama.  Lagu ini tetap menarik walaupun diberi gubahan yang sedikit berbeza.

6. Hidayah
Sebuah lagu kesukaan SM dari album Saudagar Mimpi. Tak sangka dapat dengar lagu ini live!

7. Rajawali Terbang Tinggi
Saya mahu bawa anda semua terbang tinggi..kata sifu sebelum mulakan lagu. Gitar solo lagu ni tak payah cakap la ”best” ke tidak!

8.Perang Yang Lagi Satu
Lagu yang tidak rancak tapi menarik perhatian SM kerana mesejnya. Mungkin itulah juga yang cuba dijelmakan semula dalam visual mapping lagu ini. Perang satu lagi sudah tentulah perperangan melawan hawa nafsu. Imej wanita  banyak digunakan dalam visual ini.

9. Mentera Semerah Padi
Tiupan nafiri menjadi treadmark lagu ini. Lagu ini sememangnya antara lagu biasa dibawakan oleh sifu di pentas. Sudah tentu sempurna!

Sekali lagi kumpulan remaja bertopeng mendeklamasikan puisi di pentas.

10. Hijab Kekasih
Antara lagu yang dalam kisahnya. Diakhir lagu sempat M Nasir bertanyakan audien maksud bait lirik" Haram kelamin untuk kita bercerai…Kasih dan sayang dalam keredhaanMu…”. Sifu juga bertanya sama ada penulis lirik Seth hadir atau tidak pada malam itu.

*Set Akustik...Aznan, Rafi bersama M Nasir memainkan gitar akustik.

11. Layang Layang Putus Talinya
Lagu pertama dalam set Akustik. Rafi dan Nan memainkan gitar akustik untuk lagu Alleycats yang sifu ciptakan untuk sebuah drama swasta. Datuk M Nasir cuba mengingatkan audien tentang kemunculan slot drama swasta di TV lama dahulu. Antara persembahan menarik malam itu.

12. Meniti Titian Usang
Lagu Search yang pernah dinyanyikan sifu dalam album Srikandi Cintaku

13. Srikandi Cintaku
Kata sifu lagu ini beliau cipta untuk kumpulan yang berat tetapi dilembutkan. (Ya la, nama kumpulan ganas- “Bloodshed”...nyanyi lagu cinta..hahhahah.)

14. Aku dah Bilang
Sebuah lagu baru yang belum dirakamkan oleh M Nasir. Rasanya lagu ini bercorak country blues. (... kalau tak silap pemahaman SM la..kalau salah tolong betulkan. ) M Nasir bermain gitar akustik bersama Nan dan Rafi.

15. Tanya Sama Hud Hud.
Gabungan Rafi dan Nan memainkan gitar mengingatkan kita pada kolaborasi mereka dalam konsert Akar bertahun dulu. Sudah tentu penonton diajak  menyanyi bersama terutamanya  bahagian" lang menyilang. kui menyikui"... Layan!.

Solo seruling oleh Mohar memberi ruang kepada Datuk M. Nasir menukar busana.

16. Akar Kita
Pentas kembali hangat dengan lagu dari Konsert Akar dan lagu ini diberi susunan yang baru. Imej akar dan pokok menghiasi latar mengiringi lagu ini.

17. Buka Hatimu.
Lagu rancak ini memang best! Gaya sepontan brader “Rock” yang tiba tiba bangun dan rap dalam dialek Kelantan.!!!  Siap ada efek bunyi turntable lagi...masalahnya aku sepatah haram tak faham tapi ia tetap menghiburkan. Orang putih kata... i didnt see that coming.....lucu pun ada. Solo Aznan dalam lagu ini tidak perlu dipertikaikan lagi.

18. Wadi
Kisah perjalanan Kabilah menuju ke destinasi (jalan yang benar). Imej patung pulau Easter di kanan pentas mungkin menggambarkan tema kesesatan. Iringan gamelan dari Kumpulan Swarasa Gamelan mempercantikkan lagi susunan lagu ini.

19. Mustika
Akhirnya dapat juga dengar lagu Mustika ini secara live. Lebih bermakna bila ia turut diiringi Gamelan.  Gitar solo dimainkan oleh Aznan.

20. Sahabat Gua
lagu wajib untuk penonton bangun dan menari bersama sifu! Tak payah disuruh suruh....Lagu paling happening!!!. Rafi memainkan Oud .Bergegar gegar lantai dewan!

21. Ada
Lagi lagu wajib jika nak beronggeng. Lebih ramai berdiri dan menari. Di bawah kelihatan M Nasir turun dari pentas dan menyanyi dan menari dicelah penonton yang menari mengikut irama. Orang orang kuat KSMN  juga tak lepaskan peluang joget lambak malam tu.. Happenig habis la malam itu. Protokol semua tolak tepi. Di akhir lagu M.Nasir cuba mengubah lirik yang membawa maksud persembahan sudah tamat.

Encore

Pentas digelapkan. Penonton mula buat kecoh dan meminta Datuk M Nasir kembali ke pentas. Ada juga yang mula bertepuk dan menjerit "We want more!"

22. Sesat di Kuala Lumpur
Datuk M Nasir kembali ke pentas bermain gitar akustik. Layar hadapan diturunkan dan paparan efek gambaran warna warni kesibukan Kuala Lumpur. Imej yang  ditayangkan sangat menarik sesuai dengan nilai nostalgia Kuala Lumpur. Antara persembahan yang tidak boleh dilupakan.

23. Sentuhan Listrikmu
Penonton menyanyi bersama M Nasir dalam lagu ini. Penonton diminta menyanyikan bahagian latar...eya ya ya ya.... mengelikan hati kerana suara penonton tidak ikut tune.

24. Hati Emas
Lagi lagu wajib M Nasir. Penonton sudah berdiri dan tidak mahu duduk. M Nasir, Nan dan Rafi sudah menguasai pentas dengan gitar solo dan tarian sifu.

25. Mentera Semerah Padi (reprise)
Bagaikan latar imej api di pentas begitulah panasnya penonton bila terus berdiri dan menyanyikan lagu semangat pahlawan Melayu ini sekali lagi bersama kumpulan Gong Impian yang seolah-olah cuba mencurahkan tenaga terakhir malam itu. Bagaikan jantan yang berkokok... !!!!

Persembahan tamat setelah berlangsung selama dua jam tanpa henti. Pengacara majlis memperkenalkan barisan pemuzik dan produksi Konsert Sang Pencinta. Diantara pemuzik yang menjayakan Konsert Sang Pencinta adalah : Guitar  Rafi & Aznan, Keyboard: Firdaus, Rap/Rebana: Rock,  Seruling: Mohar.,  Keyboard/Accordian: Eddie, . Percussion II: Paeng,  Drum : Pae, Kumpulan Gamelan dari Aswara. Layar pula memaparkan End kredit-tenaga produksi Sang Pencinta. M Nasir, menyertai anggota Gong Impian, Bombbay dan semua pemuzik iringan memberikan penghormatan kepada semua penonton yang hadir pada malam itu. Penonton juga memberikan "standing ovation" diikuti tepukan gemuruh dari seluruh penonton.
Penonton kelihatan gembira dan terkesan dengan persembahan Sang Pencinta. Kehebatan pemuzik dan Imej pemetaan visual berjaya meningkatkan lagi nilai konsert ini.
Di lobi Istana Budaya peminat sifu dari pelbagai lapisan umur mula beratur panjang untuk sesi autograf dan bergambar bersama M Nasir. Kemunculan M Nasir disambut tepukan gemuruh.

Konsert Sang Pencinta merupakan satu lagi penanda aras tinggi dalam karier panjang seniman yang bernama Datuk M Nasir. Gabungan teknologi pementasan dan lagu malar segar karya sifu memperkuatkan sifat mistik konsert Sang Pencinta. Sebagai peminat karya sifu, segunung tahniah kepada Datuk M. Nasir, Pihak Penganjur, Istana Budaya, Luncai Emas, Kelab Sahabat M Nasir (KSMN) dan semua yang menjadikan Konsert Sang Pencinta satu realiti.

SM- *Tak sia-sia la aku pening kepala, naik bas turun bas! Harap ada la rakaman Blu Ray konsert ini nanti!!!

Sang Pencinta pukau penonton

petikan Harian Metro 1 Julai 2013
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
Karismanya di pentas begitu terserlah. Kawalan vokal pula mantap dan bertenaga. Manakala, persembahan penuh dengan sifat jati diri kemelayuan yang disuntik dengan elemen moden menjadikan semua yang hadir berasa terhibur.

Itulah yang dirasai penonton ketika menyaksikan Konsert M Nasir Sang Pencinta yang berlangsung di Istana Budaya (IB) pada 28 hingga 30 Jun lalu.

Hampir dua jam setengah, penonton terpegun dengan energi hebat Nasir dalam konsert anjuran Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red On Black dan Belbis serta sokongan IB ini.

Penampilan Aznan Alias selaku Pengarah Muzik dan Mohd Rafi Shafie sebagai ‘string arranger’ serta gabungan pemuzik handalan tanah air dan iringan string daripada OSK (Orkestra Simfoni Kebangsaan) yang bergandingan dengan gamelan OTM (Orkestra Tradisional Malaysia), sememangnya menjanjikan sebuah persembahan hebat dari penyanyi bergelar ‘sifu’ ini.

Intro konsert dimulakan dengan penampilan sekumpulan individu bertopeng yang melontarkan bicara Ku Mahu Hidup Seribu Tahun Lagi dan kemudiannya bermonolog.

Kemudiannya Nasir tampil dengan lagu pertama berjudul Dalam. Ketika ini, set pentas diliputi dengan skrin yang memancarkan ilustrasi berbentuk 3D di mana Nasir berada didalamnya. Ia mewujudkan satu pemandangan yang indah.

Biarpun lagu ini kurang mesra di telinga peminat dan sukar mengajak mereka untuk bersama-sama menyanyi, Nasir ada sebab tersendiri memilihnya sebagai pembuka pentas.

Kemudiannya dia menyampaikan lagu Bahtera Raudah dan diikuti dengan lagu Apokalips. Di sini barulah situasi penonton seakan mula bernafas dan terhibur dengan persembahan yang ditampilkan.

Seterusnya suasana terus bersemarak apabila lagu Keroncong Untuk Ana, Hidayah, Rajawali dan Perang Yang Lagi Satu didendangkan kepada penonton.

Seperti yang diketahui, Nasir bukan terikat dengan skrip, justeru setiap patah kata yang keluar dari mulutnya bersifat spontan, namun mempunyai pengertian mendalam.

Peminat setia sudah sinonim dengan penghayatan mendalamnya ketika menyampaikan lagu. Ada kala lagaknya seperti orang bersilat, mengikut irama yang disampaikan. Dia juga tidak duduk diam apabila bergerak ke segenap pelosok pentas termasuk mencelah di antara pemuzik.

Tiada sebarang cacat cela gabungan Nasir bersama pemuzik pengiringnya sepanjang konsert ini. Masing-masing sudah memahami gaya nyanyian dan gimik persembahannya.

Bahkan sesuatu yang menghiburkan pemuziknya seakan menjadi jentera penggerak yang mewarnai persembahan Nasir. Gaya tersendiri mereka juga turut menghidupkan persembahan ini.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Mantera Semerah Padi yang turut sama dinyanyikan oleh penonton serta lagu Hijab Kekasih. Begitu syahdu mendengar lagu ini disampaikan dengan penuh perasaan.
Selepas itu, M Nasir tampil berbeza menerusi segmen akustik bersama string. Pilihannya ialah menyanyikan semula lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan oleh artis lain iaitu Layang-Layang Terputus Tali (Alleycats), Meniti Titian Usang (Search) dan Srikandi Cintaku (Bloodshed).

Lagu-lagu ini sememangnya meninggalkan nostalgia terhadap peminat dan sekali lagi mereka bersama-sama menyanyikannya. Nasir tidak ketinggalan menyanyikan lagu baru berjudul Aku Dah Bilang dan seterusnya lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

Setiap kali lagu bertukar, ilutrasi grafik di belakang pentas juga berubah mewujudkan mood yang berlainan kepada penonton. Ini antara pembaharuan dan kelainan yang ditonjolkan dalam konsert ini.

Lagu seterusnya Akar Kita, Bukalah Hati Mu dan Wadi serta Mustika (diiringi muzik gamelan), Sahabat Gua dan Ada.Selepas gimik meninggalkan pentas buat seketika, dia tampil semula dengan lagu Sesat Di Kuala Lumpur dan mengakhiri persembahan dengan lagu Sentuhan Listrikmu.

Tidak perlu banyak berceloteh, peminat tetap gembira menyaksikan persembahan Nasir. Namun siapa sangka seniman hebat ini juga pandai bergurau apabila cuba mengajuk gaya gwiyomi membuatkan semua yang hadir ketawa.

Mengulas mengenai perasaannya, Nasir terharu apabila berpeluang beraksi lagi di IB selepas kali pertama melakukannya pada konsert Alam Muzik empat tahun lalu.

“Terima kasih kepada Bombbay (Zamberi Shaari), yang percaya dengan saya. Dia bersungguh-sungguh untuk melaksanakan konsert ini. Walaupun saya ada bercita-cita nak buat, tapi saya jenis suka bertangguh.

“Bombbay penuh dengan cita-cita dan semangat tinggi. Saya kagum dengan usahanya untuk merealisasikan konsert ini,” katanya.
Gandingan mereka sememangnya serasi dan bagi Bombbay, tanpa Nasir, konsert ini tidak akan dapat dihasilkan.

Ahad, Jun 30, 2013

Mantera M. Nasir menjadi

petikan Utusan Malaysia 30 Jun 2013 Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI mussaddad.mahdi@utusan.com.my Foto NOORADZRENE MOHD NOOR

MENGHIBURKAN... M. Nasir tidak pernah ‘renggang’ dengan roh Melayunya.

LAGU-LAGU seperti Mentera Semerah Padi dan Senyuman Listrikmu begitu dekat dengan peminat. Susunan muzik yang cukup hebat menambahkan seri pada lagu yang sudah sedikit berusia itu.

Tidak terhenti daripada terus memberikan yang terbaik buat para pencinta karyanya, M. Nasir membuktikan pengalaman berpuluh tahun di atas pentas berjaya meletakkan dia di tempat tertinggi.

Uniknya M. Nasir masih berada dalam kelas tersendiri. Muzik yang diperjuangkan oleh lelaki berkenaan masih punyai ramai pengikut lantaran kita semakin ketandusan penyanyi yang mempertahankan ‘roh’ Melayu dalam setiap karya mereka.

Kehebatan karya-karya M. Nasir tidak terletak kepada populariti lagu itu semata-mata sebaliknya seni kata puitis penuh maksud tersirat menambahkan lagi misteri pada setiap sentuhan penyanyi ini.

Dan biar dia di depan, kekuatan M. Nasir tidak hanya terletak pada dirinya sebaliknya bersama paduan para pemuzik yang mendokong persembahannya.

Diketuai Aznan Alias bersama rakan-rakan yang lain nyata telah menyempurnakan konsert Sang Pencinta yang bermula 28 Jun yang lalu sehingga malam ini.

Seperti yang dijanjikan, konsert kali ini tidak hanya menghidangkan peminat dengan lagu-lagu popular sebaliknya mengetengahkan lagu-lagu yang kurang dimainkan di radio.

Memulakan konsert dengan lagu Dalam dan Bahtera Raudhah sudah pasti ramai yang samar-samar mendengarkan lagu tersebut. Namun buat peminat setianya, lagu itu bukan asing pada mereka.

Momentum yang dicipta sejak lagu pertama diteruskan sehingga tamat konsert. Variasi lagu-lagu yang dipilih oleh penyanyi ini cukup lengkap dan bagaikan perjalanan satu malam yang manis untuk ditempuhi.

Konsert yang dianjurkan oleh Bombbay Worldwide itu turut diserikan dengan lagu-lagu lain seperti Apokalips, Keroncong Untuk Ana, Hidayah, Rajawali, Hijab Kekasih, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan banyak lagi.

Tidak hanya mendendangkan lagu-lagu nyanyiannya, M. Nasir turut menyanyikan lagu ciptaannya kepada penyanyi lain seperti Layang-Layang Terputus Tali, Menanti Titian Usang dan Srikandi Cintaku.

Semangat kemelayuan M. Nasir terserlah di dalam lagu Wadi dan Mustika. Selain menggunakan akordion sebagai penambah seri, ketukan gamelan juga membangkitkan lagi semangat Melayu pada konsert ini.

Apa yang pasti percaturan Bombay selaku penganjur konsert ini menjadi dengan pembaharuan pemetaan visual yang boleh disifatkan antara terbaik pernah dihasilkan.

Jumaat, Jun 28, 2013

Dato’ M. Nasir Lakar Magis di Konsert Sang Pencinta

petikan gua.com.my 28 Jun 2013
KAMARUDDIN RAZAL


Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang menemui penggemar muzik di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 28 Jun sehingga 30 Jun 2013 boleh dikatakan sebagai salah sebuah konsert yang terbaik yang pernah diadakan pada tahun ini. Aura dan magis Dato’ M. Nasir masih utuh dan ampuh.

GUA berkesempatan menonton Konsert M. Nasir Sang Pencinta pada malam Khamis dan konsert ini telah membuktikan bahawa M. Nasir merupakan salah seorang penghibur terbaik tanah air. Dimulakan dengan persembahan puisi-drama oleh sekumpulan anak muda yang mendeklamasikan puisi ‘Aku’ dari Chairil Anwar, seterusnya penonton telah dibawa menyelusuri penggembaraan muzik M. Nasir dengan persembahan 22 buah lagu dengan penuh bertenaga sekali.

Menyampaikan seleksi lagu-lagu hitnya seperti ‘Rajawali’, ‘Mentera Semerah Padi’, ‘Keroncong Untuk Ana’ dan ‘Tanya Sama Itu Hud-Hud’, penonton juga berpeluang mendengarkan lagu baru M. Nasir yang berjudul ‘Aku Dah Bilang’. Selain itu, penonton juga diajak menari bersama dengan M. Nasir ketika beliau melagukan lagu ‘Ada’ dan ‘Sahabat Gua’. Suasana Panggung Sari, Istana Budaya gamat seketika apabila semua hadirin bangun dan menarikan retak lagu tersebut yang begitu mengasyikkan.

M. Nasir juga tidak ketinggalan mengalunkan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Search, Meniti Titian Usang dan lagu Srikandi Cintaku, nyanyian asal kumpulan Bloodshed secara akustik. Apa yang membuatkan para penonton kagum ialah disamping alunan vokal mantap M. Nasir, penonton juga disajikan dengan penataan grafik yang cukup mantap. Kaedah 'visual mapping' yang menggunakan beberapa projektor memberi kesan grafik yang cukup menarik dalam konsert tersebut.

Menemui M. Nasir dalam satu sesi sidang media usai konsert, beliau menjelaskan yang dirinya sangat terharu kerana diberi peluang sekali lagi untuk beraksi di pentas Istana Budaya.

“Saya sangat terharu diberikan peluang sekali lagi untuk mengadakan konsert di Istana Budaya. Terima kasih atas semua sokongan yang diterima dari para peminat, kawan-kawan dan pihak media. Terima kasih juga kepada pihak penganjur kerana percaya kepada saya, sebagai seorang penghibur,” ulas M. Nasir yang pernah muncul dalam Konsert Alam Muzik M. Nasir pada tahun 2009, juga di Istana Budaya.


Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan Konsert M. Nasir Sang Pencinta ini! Bagi para peminat di luar sana yang mahu menyaksikan konsert ini, tiket masih lagi dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455 dan untuk mendapatkan tiket, anda boleh melayari laman web www.ticket2u.biz atau menghubungi Ticket2u di talian 03-41478600 dan boleh menghubungi Istana Budaya Box Office di talian 03-20618134.

Rabu, Jun 26, 2013

Datuk M Nasir: Janjikan kelainan

petikan Harian Metro 26 Jun 2013
Oleh Wahi Aziz

Empat tahun berselang sejak Konsert Alam Musik di Istana Budaya (IB), karyawan serba boleh Datuk M Nasir beraksi semula di pentas berprestij itu dalam Konsert M Nasir Sang Pencinta yang bermula lusa.

Selepas sekian lama peminat menanti aksi penyanyi ini secara langsung, jangkaan umum pastinya tinggi melangit untuk menyaksikan sebuah konsert terbaik.

Ketika ditemui RAP, baru-baru ini, pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamad, 56, menyifatkan acara mega itu adalah rutin biasa bagi seorang penghibur.

Menyangkal sebarang bentuk tekanan atau kebimbangan, komposer disegani ini sebaliknya mahu mencabar diri untuk menampilkan persembahan yang istimewa dan penuh pengertian.

M NASIR ketika sesi latihan sempena Konsert M Nasir Sang Pencipta yang bermula Jumaat ini di Istana Budaya.

“Tiada tekanan pun kerana konsert adalah perkara biasa bagi seorang penghibur. Sebaliknya, kita kena beri sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan dulu.


“Memandangkan kebelakangan ini penganjuran konsert berbayar sudah tidak rancak seperti dulu, saya perlu memastikan tenaga dan pengisian konsert nanti lebih besar dan baik,” kata­nya.

Berkongsi serba ringkas mengenai pengisian per­sembahan, M Nasir berkata, elemen paling penting dalam sebuah persembahan adalah penyampaian dan nyanyian.

Katanya, tanpa perlu menampilkan sebarang gimik keterlaluan, tumpuan sebenarnya pada tiga malam konsert berlangsung adalah menghiburkan penonton secara spontan dan semula jadi.

“Bukan saya akan berlakon dalam persembahan nanti tetapi kita kete­ngahkan usaha dramatik dengan sokongan visual, muzik dan peralatan bagi memperkayakan nilai konsert itu.

“Susunan muzik harus lebih besar dan maju ke depan. Saya selalu mahu membawa penonton ke hadapan ketika berhibur dalam persembahan saya.

“Gabungan muzik Melayu dan moden itu disusun secara progresif bersesuaian dengan bunyi sekarang. Itu penekanan yang saya terapkan nanti,” katanya.

Ditanya mengenai harapan, penyanyi lagu Apokalips dan Mustika ini hanya berharap kesihatannya berada pada tahap terbaik agar dapat mencurahkan sepenuh tenaga dan usaha dalam konsert itu kelak.

“Kadang-kadang keghairahan kita boleh mengganggu perancangan yang disusun. Suara bukan alat muzik yang boleh dibaiki atau ditukar ganti.

“Saya hanya berharap dapat beraksi dengan sepenuh tenaga. Jangkaan besar penonton adalah suntikan semangat untuk saya memberikan aksi yang lebih besar,” katanya.

Seniman yang mula aktif sejak 1979 ini dijang­ka mendendangkan 25 lagu popularnya termasuk segmen ‘unplugged’ bagi koleksi lagu ciptaannya untuk artis lain.

Dalam pada itu, penerbit juga pengarah konsert, Zamberi Shaari berkata, M Nasir menjanjikan kelainan dalam perjalanan konsert itu nanti, sekali gus menjadikan ia acara yang tidak patut dilepaskan.

“Bagi menambahkan impak kepada persembahannya, dia memerlukan 10 pemuzik rythm, 12 pemain alat muzik bertali daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan tujuh pemuzik gamelan daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

“Sudah tentu gabungan muzik ini mampu menaikkan semangat penonton yang mahukan kepuasan dalam me­nyelami muzik istimewa sifu ini,” katanya.

Katanya lagi, jika pada konsert di IB empat tahun lalu, M Nasir membuka tirai dengan memaparkan visual abstrak mengenai kelahiran, kali ini pe­nyanyi itu akan menggunakan kecanggihan teknologi visual 3 dimensi (3D) menggunakan tujuh projektor bagi melatari aksinya.

“Bagaimana hasilnya, sama-samalah kita nantikan kejutan di pentas IB,” katanya

Ahad, Jun 23, 2013

M. NASIR Harap ini bukan terakhir

petikan Utusan Malaysia 23 Jun 2013

KONSERT Sang Pencinta masih mengekalkan keaslian lagu asal M. Nasir dengan diiringai Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Orkestra Tradisional Malaysia.

HAMPIR dua dekad Konsert Canggung Medonan berlalu tetapi manisnya tetap dirasai sampai sekarang. Tidak menyangka sama sekali konsert tersebut meninggalkan impak sebegitu besar dalam perjalanan seninya, penyanyi ini tahu kenangan itu tak mungkin luput dalam ingatan.

Saat namanya semakin memuncak ketika itu, M. Nasir tahu inilah masa untuk menguji kesetiaan peminatnya. Melihatkan lautan manusia yang memenuhkan Stadium Negara pada tahun 1994 itu, dia tahu percaturannya berjaya.

Segala-gala telah disiapkan sejak awal. Dari segi pemilihan lagu hingga susunan muzik telah diatur untuk terus menghiburkan peminat lagu-lagu popular M. Nasir yang baru saja melancarkan album Canggung Medonan.

“Saya masih ingat ketika itu orang jarang buat apa yang cuba saya sampaikan. Waktu itu industri kita dipengaruhi oleh irama pop dan rock yang menebal.

“Apabila saya menyuntik elemen begini nampaknya peminat menerima. Ditambah dengan beberapa lagu popular ketika itu menjadikan Konsert Canggung Medonan meninggalkan kenangan manis buat saya dan pemuzik," kata M. Nasir.

Tidak dinafikan semangat dan jati diri muzik Melayu begitu menebal di dalam dirinya. Semangat itu juga disuntik ke dalam lagu dan lirik bagi menterjemah kuasa irama Melayu ke dalam setiap lagu sepanjang kerjayanya.

Menariknya penyanyi kelahiran Singapura ini masih tebal muzik Melayu. Saat ramai yang mula mengikut gelombang arus muzik dunia yang sering membadai, hanya dia antara artis yang masih setia mempertahan cita rasa Melayu dalam muzik.

“Saya sedar kita masih ada penyanyi lama yang tebal dengan jati diri muzik Melayu. Cuma kalau kita lihat pada generasi baru keadaan itu nampaknya sudah semakin meruncing dan amat membimbangkan. Paling saya takut andai kata saya menjadi yang terakhir.

“Trend ini memang mengikut perubahan semasa. Saya sedar muzik itu perlu ada perkembangan tetapi dalam masa yang sama kita masih perlu mengekalkan ciri-ciri Melayu.

“Kalau tengok sekarang dah tak ramai yang ada ciri-ciri itu. Semuanya mengikut trend terkini. Muzik luar yang pada dasarnya tidak langsung mempertahankan ciri-ciri Melayu walau sedikit dalam lagu.

“Dari segi lagu sampailah cara nyanyian semuanya kita mahu tiru penyanyi luar. Malah cara sebutan pun bertukar seperti orang putih," jelas penyanyi yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi ini lagi.

Mengakui trend muzik dunia mempengaruhi sesebuah komuniti, hal itu terjadi sejak dulu lagi. Mengambil contoh beberapa negara yang sudah hilang jati diri (dalam bidang muzik), M. Nasir berharap agar perkara tersebut tidak akan terjadi di sini.

Baginya peranan yang dimainkan oleh stesen radio amat penting. Tidak sekadar memutarkan lagu-lagu yang dikelaskan sebagai ‘lagu popular sezaman’ sebaliknya mereka berperanan mempromosikan lagu-lagu bercirikan Melayu.

Kuasa yang ada pada stesen radio boleh mengubah situasi itu. Jika tidak dibendung mungkin lagu orang muda hanya untuk orang muda dan lagu orang tua akan terus terpinggir tanpa dinikmati sama rata.

Konsert teaterikal M Nasir

petikan Berita Harian 23 Jun 2013
Oleh Mohd Aizat Shamsuddin


Aksi sifu muzik di Istana Budaya pada 28-30 Jun

Persembahan Datuk M Nasir dalam tiga konsert solonya sebelum ini tidak pernah menghampakan peminat. Walaupun dilihat kurang berinteraksi bersama penonton, barisan lagu yang didendangkan bagaikan mewakili dirinya untuk berkata-kata.

Semangat dibawa penonton turut sama-sama menyanyi dan ada juga menari mengikut rentak seakan merasuk di jiwa M Nasir untuk memberi persembahan terbaik menjadikan setiap konsert solo dijayakannya pasti meninggalkan memori tersendiri.

Bermula dengan konsert solonya pertamanya, Konsert Canggung di Stadium Negara (1994) diikuti Konsert Akar di PWTC (1995) dan kali terakhir, Konsert Alam Musik di Istana Budaya (2009) masing-masing mempertaruhkan gaya persembahan dan mood berbeza kepada penonton.

Penantian empat tahun

Selepas empat tahun sabar menanti, M Nasir sekali bakal membuka cerita baru kepada konsert solonya, Konsert M Nasir Sang Pencinta yang akan diadakan di Istana Budaya (IB) pada 28 sehingga 30 Jun ini.

“Setiap konsert solo yang pernah saya jayakan, ada pembaharuan yang akan dibawa, ada cerita yang cuba untuk disampaikan dalam bentuk visual kepada penonton.

Untuk konsert kali ini cerita yang akan disampaikan lebih mendalam berbentuk teaterikal. Ini merangkumi rekaan persembahan pada malam itu dari segi muzik iringan, pencahayaan dan pemilihan lagu yang jarang didengar tapi sedap didengar. Setakat ini masih belum ada kata putus lagu yang akan dipersembahkan tetapi ia merangkumi lagu biasa dipersembahkan dan lagu yang jarang diputarkan tapi sedap dipersembahkan di pentas konsert.
“Lagu ini akan disusun semula untuk mendapatkan nafas baru tapi digubah mengikut kesesuaian konsert.

Selebihnya penonton harus melihatnya pada malam konsert itu nanti,” katanya pada sesi latihan di Studio Red On Black, Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Persembah 25 lagu

Tiga malam konsert M Nasir itu kelak dijangka menyampaikan 25 lagu, dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk unplugged bagi koleksi lagu ciptaannya kepada penyanyi lain.

Konsert M Nasir Sang Pencinta dibawakan Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red on Black dan Belbis serta sokongan Istana Budaya, turut menampilkan Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik dan Mohd Rafi Shafie pula sebagai Penyusun Alat Muzik ‘String’.

Sementara itu, Aznan Alias berkata, setakat ini latihan lancar dan setiap pemuzik yang terbabit sudah bersedia untuk malam konsert itu nanti.

“Setakat ini sudah 90 peratus lagu yang akan dipersembahkan sudah diputuskan cuma akan dimuktamadkan nanti dengan M Nasir,” katanya yang bekerjasama dengan M Nasir sejak Konsert Canggung di Stadium Negara pada 1994.

Tiket konsert dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455. Untuk tempahan, layari www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03-41478600

Konsep peta visual Bombay

petikan  Kosmo! 23 Jun 2013


KONSERT Opera Hidup grup Wings merupakan tapak mula Bombay mengaplikasikan konsep peta visual.

DALAM lapangan pementasan, Bombay atau nama sebenarnya Zambre Shaari cukup dekat sebagai penganjur konsert yang sering tampil dengan idea dan konsep yang bagus.

Pada tahun ini, Bombay melalui syarikat kendaliannya, Bombay Worldwide Events tampil dengan sebuah konsert yang ditunggu-tunggu ramai peminat hiburan.

Konsert Sang Pencinta yang mempertaruhkan Datuk M. Nasir sebagai penghibur bakal bersulam dengan konsep yang disebut visual mapping atau peta visual.

Jelas Bombay, peta visual tersebut menggunakan teknologi video dalam konsert berkenaan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari mulai 28 Jun ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

BOMBAY atau Zambre Shaari mula bergiat dengan dunia konsert sejak zaman Battle of the Band.

"Konsep ini saya telah cuba untuk konsert Rockestra Opera Hidup Wings di Istana Budaya dua tahun dahulu.

"Tidak terlalu sofistikated tetapi kita perlu mencuba teknologi baharu yang akan mempamerkan sesuatu yang lebih terperinci," jelas taukeh konsert ini.

Apabila ditanya tentang keperluan konsep sebegini dalam adunan Sang Pencinta kelak, Bombay menjelaskan bahawa ia akan memperhebatkan persembahan M. Nasir kelak.

"Konsep peta visual ini akan memberi kelebihan kepada pentas, lebih menyeluruh dan akan berkaitan dengan jalan cerita konsert tersebut. Secara visual, ia akan kelihatan lebih jelas dan terperinci," jelas Bombay yang turut bekerjasama dengan pihak Red On Black dan Belbis untuk konsert tersebut.

"M. Nasir memang unik dari segi penciptaan lagu-lagunya. Ini yang membuahkan cabaran dalam melahirkan kelainan dalam konsert Sang Pencinta kelak. Ketekunan dan penelitian perlu diberi penekanan kerana kita mahu sampaikan maksud lagu-lagunya yang mendalam," ujarnya yang sudah membuat persediaan selama empat bulan sebelum konsert tersebut berlangsung.

Buat Bombay, M. Nasir boleh memberikan input kepada sesiapa sahaja dan merupakan seniman yang mempunyai ruang yang besar dalam berkarya.

"Dia merupakan seniman yang memberikan satu cabaran yang lebih kepada sesiapa sahaja yang bekerja dengannya. Kelebihannya ialah dari segi penciptaan lagu-lagunya," jelas Bombay.

Bombay mula terlibat dengan dunia konsert sejak zaman Battle of the Band lagi. Dia juga berkesempatan bekerjasama dengan Allahyarham Jalil Ngah dalam produksi belakang tabir konsert.

"Saya suka bekerjasama dengan M. Nasir kerana boleh berkongsi idea dan konsep. Lagu-lagunya yang ke arah kemelayuan akan membuatkan konsep persembahan dan pementasan jadi lebih luas untuk diteroka. Impaknya juga besar kerana dia membawa jiwa nusantara," jelas Bombay yang melihat M. Nasir cukup teruja dengan konsert kali ini.

Khamis, Jun 20, 2013

Buat konsert untuk peminat

petikan Utusan Malaysia 20 Jn 2013

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar NASIRRUDDIN YAZID

M. Nasir bakal mengadakan persembahan di Istana Budaya selama tiga hari bermula 28 Jun ini.
SEBUT sahaja nama Datuk M. Nasir, siapa yang tidak kenal. Ramai yang cukup tertarik dengan persembahan yang dilakukannya.

Melihat gaya tarian dengan elemen muzik yang dibawakannya cukup untuk menghanyutkan pendengar berada di alam M. Nasir dengan tarian yang bersahaja.

Bagi penyanyi yang berasal dari Singapura itu, dia mula mengecap nama dalam bidang nyanyian bukan sebagai seorang penyanyi yang bergerak solo. Sebaliknya dengan kumpulan Kembara yang turut dianggotai A. Ali dan S. Sahlan.

Kumpulan yang ditubuhkan sekitar tahun 1980-an itu banyak mendendangkan lagu-lagu puisi dan rakyat sehinggalah mereka berpecah dan Kembara dianggotai dengan ahli baru yang ditambah elemen kugiran.

Menariknya, kumpulan itu mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan peminat muzik ketika era mereka.

Malah, Kembara juga sudah mengadakan konsert bergerak ke seluruh negara untuk menemui peminat dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

Namun, setelah hampir 65 buah lagu dihasilkan bersama Kembara, ahli kumpulan itu membawa haluan masing-masing sehinggalah mereka membuat kemunculan semula untuk peminat setia.

Jika dilihat, sejak akhir-akhir ini banyak kumpulan muzik lama sudah mula berkumpul kembali untuk mengadakan persembahan kemunculan semula kumpulan mereka.

Namun, bagi M. Nasir, dia berpendapat kumpulan-kumpulan yang pernah mengecapi popular pada zaman kegemilangan mereka sememangnya berhak membuat kemunculan semula buat peminat.

"Bukan mudah hendak membuat kemunculan semula kerana mereka memerlukan peminat yang sangat tegar memberi sokongan setiap kali mereka melakukan persembahan.

"Peminat tegar ini yang akan menghadiri setiap kali kumpulan mereka membuat persembahan biarpun kumpulan itu sudah agak lama tidak aktif," jelasnya.

Tambahnya, bukan mudah untuk mengumpulkan semula kesemua anggota yang pernah terlibat satu ketika dahulu untuk mengadakan sebuah konsert kerana memerlukan masa dan perancangan yang teliti.

"Kebiasaannya, sebuah kumpulan akan mempunyai peminat tegar apabila kumpulan mereka mempunyai banyak lagu dan kebanyakan lagu mereka mendapat perhatian peminat ketika di zaman mereka," ujarnya.

Berkongsi pengalaman mengadakan konsert bersama dengan kumpulannya, Kembara di Singapura baru-baru ini, jelas M. Nasir, dia sendiri terkejut dengan sambutan yang diberikan peminat.

"Sebenarnya konsert itu diadakan atas permintaan orang. Saya pun bersetuju dengan ahli kumpulan yang lain untuk membuat persembahan sebagai Kembara.

"Pada mulanya, saya tidak meletakkan sebarang harapan pada konsert tersebut. Tetapi bila tiba hari persembahan, saya terkejut dengan kehadiran peminat yang agak ramai," jelasnya.

Tambahnya, kemunculan semula kumpulan-kumpulan lama bukanlah satu fenomena, tetapi mereka sebenarnya memang layak membuat kemunculan semula sebagai menghargai peminat setia.

"Ada orang cakap ini satu fenomena kerana bila ada yang mula, ramai yang nak ikut. Bagi saya, ini bukan fenomena. Sebaliknya kumpulan-kumpulan yang pernah mengecapi era popular mereka memang layak membuat kemunculan semula," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Kembara diadakan di negara ini, jelas M.Nasir, itu memerlukan masa dan perancangan yang teliti.

"Memang kami ada merancang untuk mengadakan persembahan untuk Kembara di sini tetapi ia masih lagi dalam peringkat perancangan.

"Banyak benda yang perlu diteliti terutamanya melibatkan masa apatah lagi setiap anggota mempunyai komitmen mereka tersendiri," jelasnya.

Pentas Sang Pencinta

Selepas melakukan konsert solo Alam Muzik pada tahun 2009, M. Nasir kini muncul lagi dengan konsert solonya dan kali ini ia berjudul Konsert M. Nasir Sang Pencinta bertempat di pentas Istana Budaya selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Jun ini.

Menurut M. Nasir, konsert itu akan menyaksikan dirinya mendendangkan lebih 20 buah lagu melibatkan lagu-lagu nyanyiannya yang popular sehinggalah ke lagu yang jarang didengari.

"Selain lagu-lagu didendangkan oleh saya, saya akan turut menyanyikan semula lagu-lagu ciptaan saya yang diberikan kepada penyanyi lain," jelasnya.

Mengulas mengenai konsertnya kali ini, jelas M. Nasir, sebagai seorang penyanyi, memang sudah menjadi kerja buat penyanyi untuk mengadakan konsert bagi peminat mereka.

"Saya sebagai seorang penyanyi memang kerjanya ialah untuk menjayakan konsert melalui nyanyian. Tetapi perbezaannya ialah, konsert solo ini khusus buat penyanyi itu sendiri.

"Saya sendiri sentiasa menantikan untuk mengadakan konsert solo kerana ia adalah seperti satu pemberian buat peminat-peminat.

"Semua penyanyi buat persembahan pentas bila melibatkan majlis atau program-program undangan tetapi bukan semua peminat dapat hadir. Jadi, bila buat konsert solo, ia lebih terbuka kepada umum dan lebih ramai peminat berpeluang untuk hadir," ujarnya.

Tambahnya lagi, antara kelainan yang terdapat pada konsertnya nanti sudah semestinya tenaga persembahan yang lebih hebat.

"Selain tenaga, konsert kali ini mengandungi kesan visual yang menceritakan setiap lagu yang dipersembahkan.

"Saya juga bakal menyampaikan sebuah lagu baru pada malam persembahan dan jika mahu tahu lagu itu tentang apa, irama dan judul lagu itu, kenalah datang menonton," jelasnya.