ANALITIC

Jumaat, Ogos 21, 2026

Kena fikir kejutan lagi buat penonton pada konsert MOMND5 pada Disember depan

petikan Harian Metro 21 Ogos 2026

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

M. NASIR kekal aktif terbabit dengan konsert berskala besar.

Sering kali orang berkata usia cuma sekadar angka, namun bagi figura popular bernama Datuk Dr M Nasir, tempoh lima dekad keberadaan dalam dunia muzik bukan sekadar angka.

Sebaliknya, ia adalah sebuah perjalanan panjang yang sarat dengan karya, pemikiran, pencarian dan perubahan zaman yang dilalui di depan mata.

Pada usia 69 tahun, M Nasir terus rancak menyemarakkan persada seni tanah air dengan pelbagai konsert mega.

Sedang popular dengan Konsert Cipta yang sudah memasuki edisi keempat penganjurannya, tiba-tiba muncul pula Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 (MOMND5) yang mengungkap perjalanan seni maestro muzik terkenal ini sejak 1979 hingga kini.

Pentas berprestij Panggung Sari Istana Budaya akan digegarkan dengan persembahan bertenaga M Nasir pada 5 Disember depan.

Menyedari kedua-dua konsert ini berkisar mengenai karyanya dan mungkin boleh menimbulkan kekeliruan, M Nasir sudah bersedia dengan penjelasan yang sempurna.

"Saya memang dah tahu soalan begini bakal ditanya, tapi Magnum Opus ini lain. Yang ini, dia agak fokus sikit. Kita telah memilih beberapa lagu yang istimewa bagi kita untuk dipersembahkan.

"Kali ini saya banyak menyerahkan kepada kawan saya yang merasakan lagu itu istimewa bagi mereka," katanya.

Menurutnya, beliau menyerahkan pemilihan lagu untuk konsert Magnum Opus ini kepada peminat dan pencipta lirik, Ismael Sharif yang mencetus idea asal kerana dia sudah mengikutinya sejak awal lagi.

"Sejak dia belum kahwin, dah kahwin, dah beranak-pinak, apa semua. Dah hampir pencen daripada kerja dia. Dia juga terlibat dengan kerja pembikinan lagu, dan rakaman apa semua.

"Ismael mengikuti konsert-konsert, persembahan saya dan aktiviti-aktiviti saya, dan juga mengetuai kelab sahabat saya. ?Jadi saya serahkan kepada dia dan kawan-kawan dia yang dia rasa. bersama-sama mengikuti saya. memilih lagu-lagu itu.

"Dia kumpulkan lagu-lagu itu dan serahkan pada saya, saya terima kebanyakannya lagu-lagu yang dia disyorkan untuk dimainkan di konsert ini," katanya.

Bagi mereka yang masih belum memahami apa itu Magnum Opus, ia adalah istilah berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud karya terpenting seseorang seniman.

Namun dalam konteks M Nasir, pengertiannya berkembang jauh lebih luas. Ismael melihat istilah itu sebagai gambaran keseluruhan perjalanan seni M Nasir, bukannya tertumpu kepada satu karya tertentu.

Magnum Opus sudah dipentaskan bermula dengan Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo pada 2017 di MATIC dan Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock 'N' Roll di Auditorium DBKL pada 2019.


Jika dua produksi terdahulu menelusuri fasa tertentu dalam perjalanan seni, edisi Dekad Ke-5 pula mengangkat keseluruhan perjalanan lima dekad M Nasir sebagai seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit.

M Nasir berkata, beliau menghargai inisiatif Ismael yang memainkan peranan besar mengadakan Magnum Opus edisi pertama dan kedua serta yang bakal berlangsung kelak.

"Saya percaya dia sangat-sangat mengikuti saya dan saya percaya dengan citarasa dia. ?Begitu juga yang lain, maka Magnum Opus kali ini kami buat secara konsert.

"Bukan seperti dulu yang macam bual bicara tentang lagu-lagu saya. Dulu itu ada juga persembahan. Kali ini kita buat konsert, manakala penceritaan pula dalam bentuk podcast yang menampilkan Hasnul Rahmat.

"Lagu-lagu pilihan antaranya Nurnilam Sari. Bagi dia lagu hit tapi mungkin bukan nombor satu. Lagu hit banyak kategori, saya tak ada buat pilihan sendiri dan serahkan kepada mereka sepenuhnya.

"Persembahan saya juga dijangka berlangsung lebih dua jam. Tentang kejutan kepada penonton, saya kena fikirlah. Tiga bulan lagi pementasannya. Yang penting, kesan keunikan lagu-lagu itu dan kenapa ia popular?

"Kenapa lagu-lagu itu dapat memberikan satu macam punya semangat zaman dan kebanyakannya daripada tahun-tahun 80-an dan 90-an," katanya penuh mendalam.

Biarpun karya-karyanya dilabel sebagai karya hebat dan sebagainya, M Nasir tidak sesekali mendabik dada, malah beliau mengakui mengambil inspirasi penciptaan lagu daripada nama popular seperti The Beatles.

"Semasa awal-awal dulu saya mengikuti perkembangan penciptaan lagu dekat dunia ini dari segi falsafah, mengikuti sejarah pencipta-pencipta lagu yang hebat-hebat dan sebagainya.

"Siapa yang besar, siapa yang dapat menghasilkan koleksi lagu yang banyak hits. Seperti kumpulan Beatles umpamanya yang mana keseluruhan karya mereka membawa pengaruh pada dunia muzik popular.

"Saya pun terpengaruh jugalah dengan pemikiran macam begitu. Nak menghasilkan karya-karya besar, jadi saya dengarlah lagu-lagu itu kenapa ia menjadi karya besar.

"Ia mesti mempunyai ciri-ciri, macam mesti nak bagus dari segi melodi dan dia punya senikata yang menyentuh sudut kemanusiaan.

"Pemikiran kemanusiaan ini mesti mempunyai ciri-ciri sedikit pendidikan, sedikit moral dan banyak kasih sayang. Dan persoalan-persoalan manusia ini. Jadi saya terpengaruh dengan benda-benda itu semua.

"Jadi lagu-lagu itu yang dianggap karya besar dalam pemikiran orang-orang yang mengikutinya. Saya pun terdesak untuk nak buat... karya besarlah kononnya. Saya ikut teori-teori penciptaan lagu maka terhasillah lagu-lagu saya

"Tetapi ada satu ciri, ada satu sisi yang saya ikut iaitu dunia puisi. Itu yang mungkin orang lain tak ikut," katanya.

Antara tarikan utama konsert MOMND5 ini adalah pementasan semula 30 karya ikonik M Nasir yang diberi nafas baharu menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Karya berkenaan akan disusun semula dalam bentuk simfoni oleh Mohd Rafi Shafie (Rafi Suhu), manakala OSK dipimpin oleh Eric Lee Yin Fah.

Tiada ulasan: