petikan Harian Metro 18 Jun 2013
Nama dan kredibiliti Datuk M Nasir sebagai penyanyi dan komposer terkenal dalam industri muzik tanah air tidak perlu dipertikaikan lagi.
Sebut saja mana-mana judul lagu dan siapa pun penyanyinya, lagu sentuhan pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamad ini pasti menjadi dan memikat hati pendengar.
Tidak kiralah sesebuah lagu itu dinyanyikannya sendiri atau dirakam oleh penyanyi pilihannya, rata-rata karya itu unik dan ‘berhantu’.
Namun, kebelakangan ini komposer kelahiran Kota Singa ini dilihat kurang menonjol dalam bidang penggubahan lagu.
Selepas menjulang nama menerusi lagu ciptaannya Awan Nano nyanyian Hafiz Suip pada Anugerah Juara Lagu ke-26 dan Anugerah Planet Muzik 2011, komposer ini seakan sudah kurang aktif berkarya.
Setahun menyusul, M Nasir muncul pula dengan lagu terbaru Angin Syurga nyanyian Misha Omar. Bagaimanapun, selepas lagu itu mengisi atmosfera muzik kita, tiada lagi lagu terbaru gubahannya yang kedengaran.
Apakah karyawan berbakat ini sudah merajuk, tidak aktif atau bertukar angin daripada penggubahan lagu? Bagi mendapatkan penjelasan berhubung perihal itu, wartawan RAP, Wahi Aziz (wahiduzzaman@mediaprima.com.my) cuba mendekati penghibur disegani ini untuk kupasan lebih terperinci.
RAP: Apakah perkembangan terbaru kerjaya anda?
M NASIR: Seperti yang semua sedia maklum, konsert solo saya, Konsert M Nasir Sang Pencinta akan berlangsung di Istana Budaya pada 28 hingga 30 Jun ini. Kini saya sedang sibuk dengan persiapan dan latihan akhir untuk konsert itu.
RAP: Berdasarkan pemerhatian, anda seperti sudah tidak aktif menghasilkan lagu-lagu baru kebelakangan ini?
M NASIR: Itu tidak benar. Saya masih aktif mencipta lagu hingga hari ini, malah saya mencipta lagu setiap hari. Cuma lagu-lagu baru belum dirakamkan dan ada yang belum diputarkan di radio.
RAP: Adakah benar timbul desas-desus mengatakan kebanyakan lagu ciptaan anda masih terperap dan tertangguh?
M NASIR: Bukan isu tertangguh atau tidak aktif, cuma lagu-lagu yang saya sudah dihasilkan tidak bersesuaian dengan penyanyi-penyanyi sedia ada. Memang ramai penyanyi yang meminta saya cipta lagu untuk mereka. Malah, ada di antaranya meminta sesebuah lagu dihasilkan mengikut trend muzik hari ini.
Hakikatnya, sesebuah lagu itu perlu bersesuaian dengan seseorang penyanyi. Bukan boleh cipta sesuka hati. Apabila orang meminta lagu daripada saya, jangkaan orang selalunya tinggi dan mengharapkan karya terbaik tetapi penyanyi perlu sedar tidak semua lagu sesuai dengan mereka. Mencari kesesuaian muzik untuk seseorang penyanyi itu mengambil masa.
RAP: Mungkin kerana anda sibuk dengan komitmen lain membataskan waktu dan tumpuan untuk menggubah lagu?
M NASIR: Memang saya sibuk dengan komitmen penerbitan program televisyen tetapi seperti dinyatakan tadi saya tidak pernah berhenti membuat lagu, cuma tiada penyanyi yang sesuai. Apabila berkarya, kita hendak hasilkan lagu yang sedap dan disampaikan penyanyi yang sesuai. Keadaan itu membuatkan orang menganggap saya sudah lama tidak menggubah lagu.
RAP: Pada tahun ini anda seperti belum menghasilkan lagu-lagu terbaru?
M NASIR: Memang benar belum ada lagu baru yang dimainkan di radio tetapi sudah banyak yang siap dirakamkan sebenarnya oleh beberapa penyanyi. Hanya menunggu waktu sesuai untuk dihantar ke radio.
RAP: Pernahkah anda kehabisan idea untuk menghasilkan lagu mengikut trend dan selera semasa?
M NASIR: Trend dan selera muzik berubah dengan cepat sejak tiga hingga lima tahun kebelakangan ini. Bukan itu bermakna saya tidak boleh menyesuaikan gaya gubahan dengan trend semasa. Sebagai pengkarya, saya sentiasa berusaha menghasilkan lagu-lagu yang progresif dan menuju ke hadapan. Namun, apa pun trend lagu yang dibuat perlu bersesuaian dengan penyanyi.
RAP: Pandangan anda mengenai perkembangan trend muzik tempatan hari ini.
M NASIR: Jangka hayat sesebuah lagu sekarang tidak lama. Paling tahan pun tiga hingga empat bulan saja. Selepas itu, orang akan bosan dan lagu baru muncul. Ia keadaan yang bagus untuk pengkarya sebenarnya. Elemen-elemen baru dalam muzik baik untuk otak saya terus bergerak dan berfikir. Jika tidak saya akan terus duduk dalam zon selesa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan