IRAMA dan lagu bagaikan sumpah sakti. Ia hadir menyatu pantang terpisah. Ia meresap menjadi akar, berbunga menjadi benih, digubah ia menjadi muzik. Maka terhasillah muzik itu menjadi sejambak khazanah yang tidak canggung sebaliknya santapan pendengaran kita selama ini.
Seniman muzik yang sebenar akan kenal bentuk, untuk siapa muzik mereka dipersembahkan dan bagaimana ia harus berdendang. Lagunya bukan sekadar sebuah puisi yang memuja bulan. Muzik yang hebat ialah muzik yang mencerminkan budaya, tamadun dan rumpun yang diwakili sang pemuzik itu dan khalayak pencintanya sendiri.
Melihat muzik sebagai penyembuh bahkan penyubur kecintaan menerusi lagu, sengaja perbualan sebegitu yang diheret masuk dalam penyatuan dua nama, seorang sifu bernama Datuk M. Nasir dan seorang lagi, sang gitaris handalan, Aznan Alias.
“Saya tidak tahu apa yang M. Nasir rasa tetapi bagi saya, dialah orang yang paling layak untuk menerajui muzik Melayu. Bila muzik M. Nasir berbunyi, kita tahu itu muzik Melayu.
“Saya fikir seruling Mohar satu benda wajib dalam muzik M. Nasir. Bunyi tiupannya sahaja sudah membentuk bahawa muzik M. Nasir itu muzik Melayu. Kalau tanpa bunyi seruling Mohar, muzik M. Nasir boleh jadi seakan-akan sama dengan soul atau R&B. Ia semangat kepada muzik itu sendiri.
“Kalau dengar minus one sahaja pun orang tahu itu lagu Melayu. Ritma dan skil yang dipraktikkan itu Melayu dan kemelayuan M. Nasir itu tidak ada langsung menjurus ke arah Indonesia. Tapi macam Jaipong dalam lagu Dah Lagu Tu, itu memang sengaja dimasukkan unsur Indonesia.
“Pendek kata semua lagu dalam album M. Nasir bernuansakan muzik Melayu, bahkan lagu Bukalah Hatimu yang disuntik elemen moden pun, kalau dipersembahkan secara langsung, kemelayuannya tetap menyerlah,” lentur Aznan Alias bercakap tentang rimbunnya muzik yang dijalani dalam rumpun Melayu muzik M. Nasir.
Sering bersuara melalui petikan gitarnya, sesekali melontarkan pandangan dalam perbualan secara lisan, Aznan yang juga dikenali sebagai Nan Saturnine atau Nan itu seorang yang lantang dan sarat perkongsian.
Pertama kali berkolaborasi, irama dan lagu mereka bergabung dalam rakaman album solo pertama M. Nasir, Solo pada 1988. Sebelum itu, Nan menyumbang khidmatnya dalam pembikinan album artis-artis baharu yang mempertaruhkan karya M. Nasir seperti Roy dan Ruhil.
Sekali lagi diberi mandat menjadi pengarah muzik untuk konsert besar M. Nasir yang berjudul Sang Pencinta, hujung Jun nanti, Aznan tidak mentafsir satu lagi sisi yang berbeza.
M.NASIR bakal membawakan lagu-lagu yang jarang dipentaskan.
Katanya, lagu-lagu M. Nasir membenarkan pemuzik bercerita dan menjadikan melodi itu hak kita semua.
“Seperti lagu Kepadamu Kekasih dan Andalusia. Lagu-lagu itu menjurus ke satu jalan yang betul dan tidak pula menyesatkan. Perantaraan bahasa yang digunakan sungguh dalam. Muzik cuma rasa, yang kena betul ialah cara. Semuanya berdasarkan bahasa.
“Menjelang konsert yang semakin dekat, kami juga semakin merasai kehilangan Loloq. Siapa lagi penulis lirik yang boleh cipta ayat-ayat seperti Loloq,” katanya yang menganggap pembikinan konsert berkenaan tidak ubah seperti sebuah reunion. Layaknya seperti sebuah kenduri buat mereka, kata Nan.
Mereka berkobar-kobar kembali bersatu dan meraikan sebuah persembahan untuk dinikmati bukannya untuk bersorak atau terkinja-kinja sekadar berhibur.
Buat Nan selaku pemerhati khalayak peminat, rata-rata peminat berat sifu bukan hanya berhibur kosong. Mereka ini faham dan meletakkan apresiasi tinggi dalam persembahan yang diberikan pasukan M. Nasir di atas pentas.
“50 peratus perancangan di atas kertas sudah cantik. Selebihnya ialah momen magik yang akan berlaku,” tambah Aznan.
Kemelayuan
Jika Nan melihat Konsert Pencinta yang dibawakan oleh Bombay Worldwide dan dipromosikan oleh Mewah Events tersebut sebagai kenduri, begitu juga M. Nasir.
Jawabnya terhenti-henti mengembalikan momen empat tahun lepas di mana mereka bersatu di atas pentas yang sama.
“Pemuzik-pemuzik yang terlibat dalam konsert ini juga adalah mereka yang terlibat dalam album-album saya. Mereka ini bagus dan serasi.
“Mereka mengikuti perkembangan muzik yang saya ikuti. Mereka cepat faham dan menjiwainya,” jelasnya tentang 20 pemuzik yang bakal mengiringinya kelak.
Membuka topik kemelayuan yang bukan tabu sebaliknya mempamerkan jati diri, M. Nasir menjelaskan suntikan kemelayuan itu hadir sudah lama dalam lagu-lagunya.
“Bila buat lagu dan muzik, semangat kemelayuan itu yang kita ketengahkan. Semangat itu memang menyerlah pada beberapa lagu. Daripada rakaman kita bawa kepada persembahan. Itu yang kita cuba paparkan dan manifestokan.
“Muzik itu bukan hanya didengar tetapi juga dilihat. Itu juga perlu dan apa yang kita cuba pamerkan adalah semangat kemelayuan itu.
“Walaupun saya sendiri secara peribadi gemarkan karya avant garde dan moden, tetapi karya itu perlu ada identiti diri. Itu penting,” ulasnya.
Beberapa untaian lagu-lagu jarang dipentaskan seperti Wadi, Dalam, Gurindam Gunung Tahan dan Hijab Kekasih bakal dialunkan dengan jiwa dan rasa yang berangkaian.
“Saya suka buat lagu-lagu yang tidak janggal untuk dibawakan secara langsung. Ada orang rakam lagu tetapi lagu-lagu itu tidak boleh dinyanyikan live.
“Saya pula suka buat lagu yang senang untuk persembahan langsung. Nyanyian live ini satu suasana yang menarik,” ujarnya yang memilih repoirtoire lagu-lagu kali ini mengikut tema konsert.
Sesuai dengan gandingan untuk muka depan kali ini, M. Nasir selaku rakan seni melihat pengarah muzik konsertnya, Aznan sebagai seorang yang banyak tahu dalam bidang muzik.
“Mulanya saya tidak tahu betapa hebat kemahirannya. Dia ada pengalaman kelakar dan muzik yang serius. Jadi saya boleh bekerjasama dengan baik,” ulas M. Nasir yang juga bakal diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.
2 ulasan:
The seruling player starts the wings show and he was awesomeand the orkestra comes in halfway when he was playing,
This nan guy, i love the strangers cd, with hi, mus may, black wings
Deaf: Mohar- The Seruling player, yeah! he one of the finest musican out there. Rasanya dalam album Wings pun dia ada main.
& Bro Aznan(Nan) guitar work was awesome in Saturnine (Grey & Raining Grace) albums.
Catat Ulasan