Isnin, Julai 16, 2012

Bukan senang nyanyi dengan MPO

petikan Harian Metro
Oleh Roslen Fadzil
roslen@mediaprima.com.my/ roslenmetro@yahoo.com
       
KETIKA ini banyak konsert dan persembahan hiburan dianjurkan sebelum umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia memasuki bulan puasa.

Seperti yang selalu berlaku, semua persembahan itu perlu dibereskan sebelum datangnya Ramadan kerana pada bulan yang mulia itu nanti muslimin dan muslimat ingin memperbanyakkan amalan ibadah terutama pada sepanjang malam.

Dengan erti lain, acara yang berbentuk hiburan yang keterlaluan eloklah dihentikan bagi menghormati kedatangan Ramadan dan begitulah yang selalu terjadi. Malah sikap saling menghormati daripada mereka yang bukan Islam juga sering terpancar dalam masyarakat majmuk di negara kita.

Minggu lepas saja, banyak persembahan dianjurkan di pentas terbuka selain dewan tertutup terutama di Lembah Klang. Ada konsert superstar Barat, Justin Bieber bersama bintang K-Pop, Jay Park serta konsert biduan tempatan seperti Ramli Sarip dan Datuk M Nasir.

Tidak semuanya yang sempat saya ikuti kerana hambatan tugas namun salah satu yang sempat saya ikuti adalah konsert M Nasir di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, pada Jumaat lalu.

Agak lama juga saya tidak menyaksikan persembahan bekas vokalis trio Kembara itu. Kali terakhir melihat kelibat M Nasir adalah melalui pertandingan Mania di Astro apabila dia menjadi ikon di situ bersama Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.

Lantaran itu, apabila mendengar buat julung kali M Nasir akan menyanyi bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pimpinan Kevin Field, ia sesuatu yang tidak harus dilepaskan. Kita maklum, bukan semua penghibur di Malaysia berpeluang menyanyi dengan MPO sejak ia dicetuskan dan antara yang saya ingat adalah Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Aishah dan Lah Ahmad.

Pada malam pertama saya ke konsert M Nasir itu, dewan prestij berhemah itu ‘full house’. Kata jurucakap DFP, ramai peminat membeli tiket pada saat-saat akhir selepas ada juga yang berusaha mendapatkan tiket secara undangan. Itu perkara biasalah.

Melihat sambutan itu kata PRO tadi, sekurang-kurangnya usaha DFP yang mahu mendidik masyarakat Malaysia membeli tiket untuk melihat konsert artis sendiri dalam suasana elit, mula berhasil. Saya difahamkan, tiket konsert M Nasir itu berharga antara RM98 dan RM358. Apa yang membanggakan, persembahan pada kedua-dua malam itu ‘sold out’. Untuk itu, syabas diucapkan.

Akan tetapi saya hairan kerana sangat sedikit bilangan artis kita yang pergi menonton. Selebriti yang saya tengok datang pun hanyalah Misha Omar, Datuk Ramli MS, Adibah Noor dan Datuk DJ Dave (malam kedua). Mana perginya yang lain yang selama ini asyik melaungkan M Nasir kononnya ‘tok guru’ mereka termasuk juga bintang-bintang realiti TV? Di manakah sokongan artis muda seperti itu?

Kalau datang, mereka bukan saja dapat bernostalgia dengan lagu M Nasir namun sekurang-kurangnya mereka boleh menilai sendiri betapa susah hendak boloskan diri ke pentas DFP dan berdiri sama tinggi dengan konduktornya. Ada kriteria tertentu yang dinilai dan pastinya ia berkaitan bakat dan pencapaian seseorang anak seni itu.

Inilah waktunya untuk artis-artis muda kita yang kencang dengan ‘show’ mengorbankan sedikit wang mereka untuk menggali ilmu dan memerhati kemampuan biduan dan biduanita negara menyanyi dengan orkestra bertaraf antarabangsa seperti MPO. Maaf cakap, kesedaran ini belum menyerlah. Apabila dikritik, maka mulalah mereka ‘tarik muka 14’.

Saya tidaklah mahu mencoret secara ‘’detail’ corak persembahan M Nasir bersama MPO itu. Secara keseluruhan saya akui saya terpana dengan persembahannya dalam kebanyakan lagu seperti Suatu Masa, Mustika, Sahabat Gua, Di Balik Cermin Mimpi dan lagu jampi, Mantera Semerah Padi. Memang M Nasir benar-benar bersatu dengan orkestra itu. Lebih daripada itu, ada gubahan lagu yang saling tidak tumpah seperti skor muzik filem Hollywood.

Dari segi persembahan juga, semuanya sudah menjadi lain, bagi disesuaikan dengan gubahan skor MPO. M Nasir sendiri lebih banyak menyanyi secara improvisasi menjadikan konsert itu kadangkala terarah kepada eksperimentasi.

Malah ada masanya M Nasir berdepan dengan situasi yang sulit dan mencabar kerana cuba bersatu dengan skor MPO yang berbeza daripada apa yang kita dengar dalam albumnya mahupun konsert-konsert biasa. Pada malam pertama, keperitan M Nasir itu terlihat dalam lagu Kepadamu Kekasih.

Ringkas kata, saya memang gembira kerana menjadi sebahagian daripada peminat setia M Nasir yang sempat menonton konsert itu. Sekurang-kurangnya M Nasir sudah menghadiahkan saya sesuatu yang cantik pada malam ulang tahun hari kelahiran saya pada 14 Julai lalu, 10 hari selepas ulang tahun hari kelahirannya sendiri - roslenmetro@yahoo.com/ roslen@mediaprima.com.my

Tiada ulasan: