Selasa, Julai 17, 2012

Aura Sifu M Nasir tawan peminat

taken from Sinar Harian 17 Julai 2012
MARINA SAHABUDIN
FOTO: IHSAN DFP

Gayanya bersahaja, namun lagaknya mampu mengalahkan orang muda. Begitulah hebatnya, M Nasir atau nama sebenar beliau, Datuk Mohamad Nasir Mohamad, ketika beraksi di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Ternyata dalam usia yang kini menjangkau 55 tahun, auranya masih hebat dan mampu menawan penonton.

Malah, penyanyi kelahiran Singapura ini sememangnya cukup istimewa di hati peminat.

Tidak hairanlah mengapa ramai yang sanggup membelanjakan sejumlah wang semata-mata untuk menonton konsert, M Nasir with The MPO yang berlangsung selama dua hari berturut-turut di pentas berprestij itu.

Auranya dapat dirasakan sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke dewan. Di saat itu, kedengaran tepukan dan sorakan gemuruh daripada peminat.

Tanpa membuang masa, beliau membuka persembahan dengan barisan lagu-lagu berhantunya, seperti Mustika, Hati Emas, Apokalips dan Andalusia.

Malah, ia diserikan lagi dengan beberapa buah lagu yang telah digubah dalam bentuk medley seperti Sang Pencinta, Impian Seorang Nelayan, Nusantara dan Ekspres Rakyat .

Ketika itu, penonton terpaku seketika untuk sama-sama menghayati setiap bait-bait lagu yang disampaikan. Suasana dewan yang sepi, jelas menunjukkan penonton bersama-sama menjiwai persembahan beliau malam itu.

Suasana bertukar meriah apabila beberapa lagu hit seperti Mantera Semerah Padi, Juwita Citra Terindah dan Sentuhan Listrikmu dinyanyikan.

Menariknya, di akhir konsert, beliau menyampaikan lagu Ada, yang mana ketika ini semua penonton berdiri, bertepuk tangan dan menyanyikan lagu tersebut bersama.

Tidak dapat dinafikan lagi, dalam usia yang lebih separuh abad, kemantapan vokal dan tenaga beliau masih sama seperti di awal pembabitan dalam bidang seni.

Selain itu, beliau juga bijak berinteraksi bersama peminat. Bahkan, suasana dewan menjadi gamat dengan gelak tawa penonton apabila M Nasir menghiburkan mereka menerusi lawak spontan beliau.

Secara keseluruhannya, persembahan beliau pada malam itu benar-benar menghiburkan serta menakjubkan.

Muzik akustik MPO

Diiringi alunan muzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) daripada 100 pemuzik berpengalaman yang diterajui Konduktor Bersekutu, Kevin Field, nyata persembahan M Nasir membuai perasaan dan emosi penonton.

Dengan kehadiran pemain biola dan saksofon, persembahan tersebut menjadi lebih segar dan dramatik.

Jelas M Nasir, beliau sudah lama menantikan saat itu sepanjang bergelar anak seni.

"Memang saya berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert yang diiringi satu kumpulan orkestra yang besar .

"Dengan suasana dewan yang cukup sesuai untuk muzik akustik, saya mahu ia menjadi penghargaan dan hadiah kepada peminat," katanya.

Bijak memilih lagu sepanjang persembahan membuatkan penonton tidak bosan menonton konsert yang mengambil durasi selama dua jam itu.

Menurut M Nasir, konsert itu diharap dapat memberi pengalaman berbeza dalam lagu-lagu yang dipersembahkannya.

“Kebanyakan lagu yang dipilih adalah koleksi lagu lama saya. Setiap lagu ini pula mempunyai identiti tersendiri saya.

"Jadi, saya membuat keputusan untuk menyampaikan lagu yang memperkenalkan nama saya pada awal kemunculan sehinggalah ke hari ini,” kata beliau yang teliti dalam memilih lagu setiap kali mengadakan persembahan.

Persiapan selama setahun

Dapat mengikut jejak Tan Sri Datuk SM Salim (2010) dan Datuk Sheila Majid (2011) mengadakan persembahan di DFP sudah menjadi satu impian buat M Nasir.

Menurut beliau, hasratnya itu muncul setelah menyaksikan konsert SM Salim pada tahun lalu. Tidak menyangka, ia akhirnya dapat direalisasikan. Beliau bekerja keras demi memastikan persembahannya berjalan dengan sempurna.

"Ini adalah impian saya sejak dahulu lagi. Bukan mudah untuk mendapat tempat mengadakan konsert di sini.

"Segala persiapan, saya sudah lakukan sejak setahun lalu.

"Jadi, saya mahu peminat merasa dan mendapat sesuatu yang istimewa daripada konsert ini," jelas M Nasir yang mengambil masa selama 10 hari menjalani latihan bersama MPO.

Bakal ke Singapura

Berita baik bagi peminatnya di Singapura, M Nasir kini turut dalam perancangan untuk mengadakan persembahan istimewa di negara itu, pada tahun hadapan.

Menurut M Nasir, beliau berharap konsert tersebut dapat mengubati rindu peminatnya di sana.

"Saya harap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat. Apa pun, saya masih dalam perancangan untuk melakukannya," katanya yang pernah mengadakan Konsert Canggung di Stadium Negara (1994), Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (1995) dan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya (2009).

Mengimbas pembabitan beliau dalam bidang seni, bekas graduan Diploma Seni Lukis dan GCE ‘O’ Level di Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura ini memulakan kariernya bersama Kembara dan menghasilkan empat album pada awal 1980-an.

Kemudian, beliau bergerak secara solo pada tahun 1989 dan melahirkan tujuh lagi album solo.

Sepanjang penglibatan dalam bidang seni, beliau menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (1990, 1991, 1993, 1994, 1999, 2000 dan 2012), Festival Filem Malaysia (1984 dan 1990), Anugerah Skrin TV3 (1997), Anugerah Industri Muzik (2001 dan 2002), Anugerah Planet Muzik (2001), selain memenangi kategori Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular (1994).

Beliau turut dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara pada 1996 dan Darjah Indera Mahkota Pahang pada 2011 yang membawa gelaran Datuk.

Pada masa sama, beliau juga adalah insan yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan penyanyi terkemuka tanah air seperti kumpulan Search, Wings, Ella dan Ziana Zain.

Tiada ulasan: