Oleh AU YEONG HOW
PENYANYI tersohor, M. Nasir berjanji akan menyajikan sesuatu kelainan dalam konsert terbarunya, 'Konsert Satu Wajah' bulan hadapan, berbanding dengan Konsert Alam Muzik.
Janjinya, pelbagai tema dan irama akan dipersembahkan dalam persembahannya itu.
"Tidak sama, (tetapi) ada kesinambungan dari konsert saya pada Februari lalu. Tenaganya berbeza. Visualnya lain. Set 3D tidak sama. Keseluruhannya berlainan dengan di Istana Budaya," ujarnya.
Kata Nasir lagi, dia akan bawa lebih banyak membawa lagu-lagu balada dalam konsertnya kali ini. Pilihan lagu juga akan meliputi adunan lagu baru dan lama serta lagu-lagu artis lain.
"Saya rasa banyak lagu balada yang tak dapat saya nyanyi... yang awak suka tapi saya tak dapat nyanyi (dalam konsert terdahulu). Jadi, saya akan menyanyi lebih banyak lagu balada dalam konsert kali ini," ujarnya.
Tambahnya, dia telah siap "lock up" (menempah)khidmat kumpulan pemuzik utama untuk persembahannya itu.
Ditanya maksud nama konsert "Satu Wajah", jelas M. Nasir secara ringkas: "Banyak maksudnya. Karakter diri pelbagai tetapi saya hanya mempunyai satu wajah."
Memandangkan Stadium Negara berkapasiti lebih tinggi daripada Istana Budaya, adakah M. Nasir bersedia untuk menghiburkan para peminatnya?
"Saya sentiasa memberikan persembahan terbaik. Kebimbangan saya sama ada orang lain dapat bersama saya. Ahli-ahli pemuzik, orang lain dan orang saya..
"Saya sentiasa bersedia. Selalunya di setiap persembahan saya, kespontanan berlaku... Mereka dah tahu lagu saya. Hanya kita kena buat sesuatu yang spesial, kita kena buat gubahan yang baru untuk beberapa lagu, atur perjalanan konsert. Kesemua itu perlu komitmen," jelasnya.
Samirah Hambali (tengah) menjelaskan kepada media sambil ditemani M. Nasir dan Amin Hussen (paling kanan)
Ditanya perasaannya bertandang ke Stadium Negara buat kali kedua setelah membuat persembahan 15 tahun lalu, kata M. Nasir, dia sebenarnya telah beberapa kali membuat persembahan di Stadium Negara tetapi dengan artis lain.
"Secara solonya, dah 15 tahun. Tetapi saya pernah buat show di situ dengan Alleycats dan kumpulan rock dulu.. Sebelum saya membuat persembahan solo, mungkin ramai yang belum dilahirkan," katanya berjenaka.
Dalam perkembangan lain, M. Nasir berkata, syarikat produksi filemnya sedang berusaha untuk membuat filem.
"Saya tengah nak buat filem .... judul tidak tahu lagi. Saya juga akan mengeluarkan album tidak lama lagi," katanya.
Menariknya, M. Nasir akan menghadiahkan buah tangan dalam bentuk satu atau dua lagu baru di konsertnya pada 25 Julai ini.
"Konsert Satu Wajah M. Nasir" akan diadakan di Stadium Negara pada 25 Julai ini, jam 8.30 malam.
Konsert lebih dua jam itu menjanjikan yang terbaik dari artis serba boleh ini dan akan mempamerkan karya-karya beliau yang terbaik selama 30 tahun di dalam industri muzik.
M. Nasir dijangka mempersembahkan lebih 30 lagu terbaik dari pelbagai genre dari kesemua tujuh album yang telah diterbitkan sejak 1979.
Antara lagu-lagunya yang malar hijau termasuk Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta, Pheonix Bangkit, Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Kepadamu Kekasih dan Anak-Anak Kita.
Konsert tersebut akan dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara, Maya Axis Creative Sdn. Bhd, Sinar FM, Ticket Hotline, dan syarikat Beyond Events selaku pengurus artis, M. Nasir.
Menurut Pengarah Urusan Maya Axis Creative Sdn. Bhd., Samirah Hambali, kali terakhir M. Nasir mengadakan konsert solo meganya di Stadium Negara pada 28 Julai 1994.
"Kali ini, M. Nasir akan membuat konsert yang lebih besar pada 25 Julai ini. Kami yakin pada kehebatan M. Nasir kerana hasil penyelidikan kami semasa persembahannya di Istana Budaya mendapati lebih 3,000 menghadirinya.
"Ketiga-tiga persembahan itu adalah full house (penuh). Ramai peminat menghubungi kami kerana tidak dapat membeli tiket. Kami menjangkakan konsert Satu Wajah M. Nasir turut mendapat sambutan hebat," kata Samirah pada sidang akhbar di Restoran Rebung, Bangsar, semalam.
Menurut Samirah, kos konsert tersebut dianggarkan sekitar RM400,000 hingga RM500,000 dan pihaknya tidak mendapat apa-apa tajaan lagi.
"Oleh itu, penaja-penaja boleh mengambil peluang keemasan ini untuk bersama-sama menjayakan konsert yang bakal menggegarkan Stadium Negara nanti.
"Sumbangan mereka bukan hanya dinilai dari segi keuntungan tetapi yang penting ianya membantu mempertingkatkan industri muzik tempatan," katanya.
Kata Samirah, pihaknya mempromosikan konsert tersebut di MySpace, Yahoo dan Google untuk mempromosikan acara itu.
Mengenai harga tiket, Samirah berkata, tiket-tiket berharga RM383 (termasuk hidangan ringan & pelekat kereta VIP), RM253 (termasuk pelekat kereta VIP), RM153, RM83 dan RM53 setiap satu (RM3 adalah untuk yuran pemprosesan).
Tiket-tiket boleh dibeli dari Ticket Hotline di www.tickethotline.com.my atau dengan menghubungi talian 03-7725 1177/1166.
"Orang ramai layak mendapat diskaun 10 peratus jika membelinya dalam masa dua minggu mulai hari ini. 500 tiket dengan diskaun 10 peratus dikhaskan untuk ahli-ahli kelab M. Nasir. Kanak-kanak berumur kurang dari 12 tahun mendapat diskaun sebanyak 15 peratus dan pelajar-pelajar, 5 peratus.
"Pelekat kereta VIP itu adalah untuk 700 pembeli pertama sahaja," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Beyond Events, Amin Hussen berkata, walaupun konsert M. Nasir kali ini diadakan beberapa bulan selepas Konsert Alam Muzik M. Nasir di Istana Budaya, konsert kali menghidangkan konsep berbeza.
"Saya rasa peminat akan menghargai usaha konsert tersebut. Ia adalah hadiah kepada peminat di Kuala Lumpur. Insya-Allah, dapat kita anjurkan konsert itu di Sabah dan Sarawak.
"Ia akan memaparkan hasil-hasil kerja M. Nasir selama tiga dekad, iaitu dari 1979 hingga sekarang," katanya.
9 ulasan:
Yey! Moga konsert kali ini mendapat sambutan sama hebat seperti di IB! Demam konsert di IB hari tu pun belum kebah lagi. Ni dah nak kena demam lagi ni....
Ke mana hilangnya penaja ye?
Apa pun syabas atas kesungguhan sifu mengaadakan konsert sekali lagi!
wah ..SM jumpa kat sana yer
whoaaaa
konsert m nasir lagi! huhuhuhu
teruja dengan inisiatif beliau memperbanyakkan lagu balada...lagu apa agaknye eh?
tapi apa pun closing set mesti bantai lagu2 joget juga hahahah dah ini yang membuat penonton enjoy!
yahooooooooooooooooooooo!!
tak tau aku nak habaq apa, rasa nak berjoget bila dengaq sifu nak buat konsert lagi. yeyeyeye!
terima kasih SM.
demam masa kat IB dulu pun belum kebah lagi. hahah~
Saudagar,
saya setuju, keratan akhbar konsert IB tempohari masih suam-suam lagi di dinding kolaj saya, ni sudah nak ada konsert baru?
kebetulan pula banyak sungguh rancangan berlandaskan $$$ pada julai. aduh, takkan tak mahu pergi konsert stadium ni?
Ni yang nak nyanyi "Duit duit, dimana kau duit.." *sambil korek tabung*
Jumpa di stadium ya! :)
Sweet Charity buat konsert "Sejuta Wajah" di stadium Merdeka
+
Siti Nurhaliza buat konsert "Satu" di Istana Budaya
=
M Nasir konsert "Satu Wajah" di Stadium Negera
hehheheh
nuwa : Insyallah, kalau tak ada aral melintang.
Potdy : Lagu ronggeng semestinya. Mahu runtuh stadium kali ini agaknya. hahhahah...
Tanpa nama : Hah! nanti kat sana hang joget la puas-puas. Mungkin lepas tu dah tak demam lagi.
azyze gomez : Bukan setakat Julai, Ogos, sampai la bulan raya, semua nak pakai $$$$.
Harap sifu nyanyi lagu Duit bagi menghargai peminat yg sanggup pecah tabung kali kedua bagi tahun ini.
Tanpa Nama : Ini formula matematik ni. Mungkin lepas ni ada formula kimia pula.
Ada orang nak pergi tapi ada masalah duit...Saya nak pergi tapi belum ada teman...takkan nak pergi sorang...Huwaaaa - Lili
Catat Ulasan