Selasa, Jun 16, 2009

M. Nasir ke Stadium Negara

petikan Utusan Malaysia 16 Jun 2009
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


M. NASIR ternyata teruja dan gembira apabila dapat beraksi sekali lagi di pentas Stadium Negara selepas 15 tahun.

BERDASARKAN sambutan hangat dan kecemerlangan Konsert Alam M. Nasir yang berlangsung selama tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Februari lalu sememangnya membawa tuah kepada M. Nasir.

Masakan tidak, selepas lima bulan konsert itu melabuhkan tirainya dengan dihadiri oleh 5,000 penonton sepanjang tiga malam berlangsung, anak jati Singapura itu akan kembali beraksi di atas pentas tetapi kali ini dalam skala yang lebih besar.

Bakal berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 25 Julai depan, konsert yang diberi nama Konsert Satu Wajah M. Nasir itu juga menyaksikan seniman unggul itu kembali ke pentas yang sama selepas 15 tahun.

Ketika itu, dia beraksi dalam Konsert Canggung M. Nasir yang telah mendapat sambutan yang cukup hangat dan menggalakkan apabila dibanjiri hampir 7,000 penonton.

Kali ini, menerusi Konsert Satu Wajah M. Nasir, ia akan memperlihatkan dimensi lain seniman unggul ini dalam menterjemahkan karya-karyanya.

Tujuannya hanya satu iaitu mahu menghiburkan penonton dan peminat serta memastikan apa sahaja karya yang dilagukan pada malam itu nanti akan sampai tepat ke dalam lubuk hati mereka yang menikmatinya.

Berdasarkan trek rekod cemerlang Nasir pada konsert yang diadakan di IB itu ternyata sudah cukup menyakinkan Maya Axis Cerative Sdn. Bhd. (MACSB) selaku pihak penganjur untuk menganjurkan sebuah konsert oleh penghibur serba boleh ini.

Biarpun berdepan dengan kekangan dari segi penajaan dan kewangan, namun ia bukanlah satu halangan untuk MACSB dan Nasir sendiri sebagai penghibur dalam memberikan persembahan yang menarik.

Sudah pasti nama dan kehebatan seorang bernama M. Nasir mampu menarik perhatian penonton untuk hadir menikmati interpretasi seni Nasir menerusi karya-karya hebatnya.

Bertemu dengan komposer prolifik ini seusai majlis sidang akhbar konsertnya di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Nasir menjelaskan persembahannya dalam konsert selama dua jam itu akan berbeza dengan apa yang telah dilakukannya di IB.

Ini termasuklah aspek visual, set dan juga susunan muzik yang lebih segar dan baru seiring dengan pentas yang agak besar kali ini.

Tambahnya, apa yang dimahukannya adalah untuk peminat menikmati lagu-lagu dendangannya dan menyelami serta mendalami Satu Wajah yang diangkat sebagai tema konsert kali ini.

"Cuma saya bimbang jika tidak berupaya untuk mendapatkan barisan pemuzik yang terdiri daripada 10 orang yang sama terlibat dalam konsert di IB. Maklumlah, mereka juga sibuk dengan persembahan lain.

"Tetapi, saya akan berusaha untuk mendapatkan mereka yang sama mengiringi saya di IB untuk konsert ini kerana mereka sudah tahu muzik dan apa yang saya mahukan dalam persembahan saya," jelas Nasir atau nama penuhnya, Mohd. Nasir Mohamed ini yang masih mengekalkan Aznan Alias sebagai pemain gitar dan pengarah muzik konsertnya kali ini.

Sidang media tersebut turut menyaksikan kehadiran Pengarah Urusan MACSB, Samirah Hambali dan Pengurus Besar Beyond DDB, Amin Hussen.

Malah, stesenradio nombor dua negara, Sinar FM juga akan menjadi radio rasmi untuk Konsert Satu Wajah M. Nasir.

Kata anak seni berusia 52 tahun ini lagi, dia mahu memberi satu persembahan yang baru dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu apa yang sudah ditampilkan di IB sebelum ini dikitar semula dari semua segi.

Untuk Konsert Satu Wajah M. Nasir ini, penonton dan peminat setia Nasir akan dapat menikmati rangkaian lagu-lagu yang dipetik daripda albumnya sewaktu bersama kumpulan Kembara sehinggalah dia menjadi penyanyi solo.

Sudah pasti lagu-lagu seperti Hati Emas, Gerhana, Mustika, Mentera Semerah Padi, Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud, Kias Fansuri, Andalusia, Anak-Anak Kita, Kepadamu Kekasih, Ada, Raikan Cinta dan Juwita...Citra Terindah akan berkumandang di pentas penuh keramat itu.

Bukan itu sahaja, pelakon filem Kembara Seniman Jalanan dan Selubung ini juga akan mempersembahkan lagu-lagu hasil ciptaannya yang dinyanyikan oleh penyanyi lain sebelum ini.

Bapa kepada enam orang anak ini juga melahirkan rasa syukur dan gembiranya apabila ada pihak yang sudi tampil untuk menganjurkan sebuah konsert yang boleh dianggap sebagai mega itu.

Apatah lagi, setelah sekian lama masyarakat tempatan sudah dilambakkan dengan persembahan dan konsert percuma yang sedikit sebanyak mengikis nilai eksklusif artis itu sendiri.

"Apabila orang datang membayar tiket untuk menonton persembahan kita, ia adalah satu penghargaan dan kita sebagai karyawan sudah pasti mahu memberikan hasil yang terbaik agar setanding dengan wang yang mereka laburkan itu," katanya dengan maksud yang mendalam.

Dalam perkembangan lai,suami kepada aktivis teater, Marlia Musa ini juga memberitahu dia juga sedang sibuk merencana projek filem terbarunya.

Begitu juga dengan penghasilan lagu terbarunya yang akan dimainkan di corong radio sebelum beberapa minggu sebelum berlangsungnya konsertnya nanti.

Bercerita tentang filem Aduh Saliha yang sehingga kini masih samar untuk disiapkan, Nasir menjelaskan perkara itu akan dirungkai tidak lama lagi.

"Tunggulah nanti. Apa yang pasti, ia akan disiapkan juga," ujarnya ringkas.

Sementara itu, jika ada pihak yang berminat untuk menaja konsert ini, bolehlah menghubungi Samirah di talian 03-8076 9873.

4 ulasan:

deaf-angel berkata...

mesti best...
ala...aku lupa cd terbaru dia tu.. ada satu lagu aku suka sangat, lagu apa ntah..track no 7 kot. gerek beb

Portdy berkata...

cd baru yang sang pencinta tu ke bro Dep?

kalau album tu gua suka "Setiap Dambaan"

Kau perhatikan perjalananku
Kau perhatikan kalbu yang berdegup
Setiap nafas adalah engkau
Setiap nama
Setiap dambaan

Saudagar Mimpi berkata...

deaf_angel : track no 7 lagu Destinasi Eterniti. Layan juga lagu ni. Pun belum pernah aku dengar live.

Portdy : Kalau nak tau , dep mmg suka betul dgn album Sang Pencinta tu.

Paysalam berkata...

camne nak dapatkan dvd@vcd yang kat ib?.. sye pg ari ke-2..