Jumaat, Jun 12, 2009

M Nasir kembali beraksi

petikan Berita Harian 12 Jun 2009
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


Sifu muzik bakal membuat persembahan pada 25 Julai anjuran Maya Axis Creative di Stadium Negara

ANDAI Februari lalu, Konsert Alam Muzik M Nasir yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya melakar sejarah bermakna sepanjang 30 tahun perjalanan karier seniman M Nasir, Julai ini lakaran momen membanggakan itu kembali berulang menerusi Konsert Satu Wajah M Nasir.

Dibawakan Maya Axis Creative Sdn Bhd, Konsert Satu Wajah M Nasir di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 25 Julai itu bakal mempamerkan karya terbaik anak kelahiran Singapura itu sepanjang tiga dekad meniti dunia hiburan.

Tanpa terikat dengan konsep tertentu, persembahan dua jam itu bakal menampilkan variasi diri seorang M Nasir, sekali gus membawa peminat melewati hasil karyanya menerusi tujuh album solo yang dirakamkannya sejak 1979.

Akui penyanyi yang bakal meraikan ulang tahun ke-52 pada 4 Julai ini, kekuatan karya M Nasir terletak pada sentuhannya dan itu yang akan dipersembahkan pada malam 25 Julai nanti.

“Saya akan merangkumkan lagu terbaru dan lama, namun cuba untuk memperbanyakkan lagu balada kerana banyak sentuhan perlahan yang tidak sempat saya persembahkan dalam persembahan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Restoran Rebung, Bangsar, baru-baru ini.

Memahami selera khalayak yang menyukai persembahan yang variasi, M Nasir mendambakan konsert solo selepas 15 tahun tidak beraksi di Stadium Negara itu bebas tanpa terikat tema tertentu.

Baginya, keutamaan adalah membuat khalayak terhibur lalu kepelbagaian dalam persembahan secara tidak langsung menterjemahkan variasi warna yang dilalui seseorang insan dalam meniti kehidupan.

“Hidup kita tidak terikat dengan sesuatu benda semata-mata, namun dalam kepelbagaian warna yang dilalui akan ada penyatuan iaitu diri sendiri,” katanya memberikan falsafah konsert yang akan menggabungkan 10 pemuzik di bawah pimpinan Nan.

Akuinya, dalam apa juga persembahan dijayakan pasti berlaku kelemahan, namun dia selesa untuk tidak memandang ke belakang.

Baginya, kesilapan lalu tidak perlu lagi difikirkan kerana apa yang dipersembahkan dulu pernah menyentuh hati peminat.

“Persediaan memainkan peranan penting. Saya bernasib baik kerana sentiasa memenuhi undangan persembahan, maka perasaan takut mampu diatasi kerana ia umpama latihan sebelum saya ke pentas lebih besar.

“Kebiasaannya saya senang beraksi spontan dan disebabkan itu, saya selesa bekerjasama dengan pemuzik memahami cara serta lagu saya.

“Saya akan melakukan beberapa susunan muzik baru untuk beberapa lagu, selain memikirkan aturan perjalanan konsert supaya momentumnya berjalan lancar serta menghiburkan.

“Semua itu memerlukan komitmen dan apa yang mengujakan, saya juga akan membawakan beberapa lagu untuk diperdengarkan kepada peminat sebagai persembahan istimewa,” katanya.

Meskipun Julai ini memperlihatkan suasana aktif dalam industri hiburan dengan kehadiran beberapa persembahan besar, M Nasir tetap percaya konsert itu mampu memberikan tarikan kepada mereka yang menghargai karyanya.

Akuinya, biarpun jarak antara Konsert Alam Muzik M Nasir dan Konsert Satu Wajah M Nasir tidak jauh, namun dia akur perbezaan latar bakal menyuntik suasana baru dalam persembahannya.

“Biarpun konsert terdahulu mendapat sambutan baik tetapi masih ramai yang tidak berkesempatan untuk menontonnya.

“Konsert ini adalah kesinambungan daripada apa yang persembahkan pada malam Konsert Alam Muzik M Nasir dulu.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan bagaimana mahu mengangkat semangat penonton kerana semua itu bergantung kepada corak persembahan nanti.

“Apa yang pasti dengan set, suasana serta visual yang berbeza penonton akan dapat merasai apa yang bakal dipersembahkan nanti,” katanya.

Pasukan baru berpengalaman

BARANGKALI nama Maya Axis Creative agak asing di pendengaran pencinta konsert, namun pasukan yang diterajui Samirah Hambali dan Rohani Ismail mempunyai pengalaman luas di balik tabir bidang hiburan.

Pengarah Urusannya, Samirah berkata, pengalaman bertugas di syarikat rakaman antarabangsa sebelum menubuhkan syarikat sendiri menjadi panduan kepada mereka untuk memahami serta memenuhi cita rasa khalayak.

Katanya, mereka terpanggil untuk menganjurkan konsert berkenaan selepas menyaksikan kejayaan persembahan M Nasir di Istana Budaya, tidak lama dulu.

Perancangan asal mereka cuba mementaskan konsert itu di Sabah, namun hasil perbincangan bersama akhirnya mereka memutuskan untuk menampilkannya di Kuala Lumpur.

“Kami memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahan M Nasir di Istana Budaya dulu supaya turut bersama dalam konsert kali ini.

“Kekuatan dan tarikan yang dimiliki M Nasir tidak perlu diragui. Disebabkan itu kami percaya konsert ini akan mendapat sambutan malah berbangga kerana dapat kembali bekerja dengan M Nasir.

“Kami berharap kesungguhan ini akan dihargai kerana konsert ini adalah hadiah kepada peminat setianya. Insya-Allah, seandainya membuahkan kejayaan konsert ini akan dibawa ke Sabah dan Sarawak supaya lebih ramai dapat menyaksikan legenda hiburan ini beraksi di pentas besar,” katanya.

Dengan kapasiti penonton mencecah 7,000 di Stadium Negara, Samirah percaya konsert itu dapat menarik jumlah khalayak yang selesa dengan tawaran harga tiket istimewa.

“Kami memberikan 10 peratus diskaun kepada mereka yang menempah pada dua minggu pertama, selain diskaun lima peratus kepada pelajar yang berminat menyaksikan konsert ini.

“Diskaun istimewa 10 peratus turut diberikan kepada 500 ahli Kelab Sahabat M Nasir kerana kami mahu lebih ramai menyaksikan konsert yang bakal mempertingkatkan industri muzik tempatan ini,” katanya.

Samirah berkata, konsert yang mendapat khidmat Sinar FM sebagai radio rasmi turut mengalu-alukan sumbangan penaja untuk menyuntik keyakinan kepada khalayak bahawa industri hiburan tempatan masih bernafas dan aktif dengan pelbagai siri persembahan besar.

INFO:

Konsert Satu Wajah M Nasir
Tarikh: 25 Julai 2009
Waktu: 8.30 malam
Harga tiket: RM383 (termasuk hidangan ringan dan pelekat kereta VIP); RM253 (termasuk pelekat kereta VIP); RM153, RM83 dan RM53.

Tempahan: Boleh dibuat menerusi Ticket Hotline di www.tickethotline.com.my atau 03-7725 1177/1166.

Keterangan lanjut mengenai persembahan dan penajaan boleh menghubungi Maya Axis Creative di talian 03-80769872/9873 atau faksimile: 03-80707871.

Tiada ulasan: