Ahad, Jun 14, 2009

M Nasir ulangi sejarah

petikan Harian Metro 14 Jun 2009
Oleh FIRDAUS SAHAT

PADA 1994, M Nasir risau apabila mengenangkan penerimaan peminat terhadap konsert pertamanya di Stadium Negara. Malah waktu itu juga dia gementar memikirkan maklum balas peminat, lebih-lebih lagi ia adalah konsert terbesar pernah diadakannya.

Mengimbau sejarah lalu, Konsert Canggung Mendonan akhirnya berjaya menggegarkan lokasi itu.

Suntikan lagu Mentera Semerah Padi bersama 16 lagu lain memberikannya semangat besar sewaktu membuat persembahan.

Garapan pelbagai rentak lagu tradisional, daripada inang kepada keroncong melangkah ke irama joget dan seterusnya bergoyang dengan elemen dangdut menyaksikan keunggulan M Nasir sebagai penghibur dengan gaya tersendiri.

Barangkali, ramai merindui aksinya di pentas besar sebegitu meskipun baru-baru ini penyanyi, komposer, penulis lirik, pengarah dan pelakon ini baru saja selesai mengadakan Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB).

Walaupun tempahan tiket untuk tiga malam itu sentiasa penuh, rasanya pasti ada yang berkecil hati dan hampa kerana tidak dapat ikut serta.

Dek kerana permintaan peminat, M Nasir sekali lagi bakal mencipta sejarah tersendiri.

Kali ini, konsert yang diadakan bukan lagi berpentaskan IB. Mengulangi zaman kegemilangannya, anak seni berusia 52 tahun ini akan menggegarkan Stadium Negara sekali lagi, 25 Julai ini.

Menurut M Nasir, sudah lama dia mengimpikan konsert mega sedemikian.

Selepas konsert pertamanya dulu, peminat tidak lagi dimeriahkan dengan persembahannya yang bertenaga.

“Sewaktu konsert di IB Februari lalu, ramai tidak dapat menonton persembahan berkenaan, lebih-lebih lagi tempat duduknya terhad.

“Sedikit sebanyak, saya juga terkilan mengenangkan peminat yang kecewa dan sebab itu saya menerima tawaran daripada Maya Axis Creative Sdn Bhd selaku penganjur konsert ini,” katanya.

Selepas 30 tahun bergelumang dalam dunia hiburan, M Nasir masak benar dengan kerenah gelanggang ini dan peminatnya.

Demi kepuasan mereka, dia berjanji akan memberikan persembahan terbaik, khas buat peminatnya.

“Insya-Allah, saya akan mempersembahkan 30 lagu dari tujuh album yang diterbitkan sejak 1979 pada konsert berkenaan.

“Menariknya, konsert ini akan menjadi konsert solo kedua saya di Stadium Merdeka.

“Antara lagu yang akan dipersembahkan nanti adalah Langgam Pak Dogol, Kias Fansuri, Phoenix Bangkit dan Hati Emas. Bagi mereka yang menyaksikan persembahan saya ketika di IB dulu, saya berjanji konsert ini jauh berbeza daripada persembahan berkenaan.

“Untuk konsert mega ini, peminat yang datang menontonnya pasti teruja dengan persembahan visual dan 3D yang dipaparkan.

“Malah, ia berbeza dengan apa yang pernah mereka saksikan sebelum ini. Selain itu, barisan lagu dan persembahan nanti bakal mencuri tumpuan mereka.

“Untuk kali ini juga, saya memperbanyakkan lagu berentak balada. Sebelum ini, saya tidak mempunyai peluang untuk menyanyikan lagu berkenaan dan hingga kini, saya rasa banyak lagu genre itu tidak dapat saya persembahkan kepada peminat,” katanya yang sudah biasa dengan persembahan secara spontan.

Mereka yang ingin mendapatkan tiket konsert itu pada harga RM383, RM253, RM153, RM83 dan RM53 boleh melayari www.tickethotline.com.my atau menghubungi 03-77251177 / 1166.

Bercerita soal perkembangan filem Aduh Saliha, M Nasir yang bertindak sebagai pengarah filem itu menjelaskan, segala kekusutan akan terlerai tidak lama lagi.

“Sehingga kini, segala masalah yang dialami dikenalpasti dan ia akan diselesaikan secepat mungkin.

“Begitupun, sama ada penggambaran filem berkenaan akan diteruskan atau tidak masih belum diputuskan,” katanya.

Dalam diam, M Nasir turut merancang mahu merakam sebuah lagi filem baru. Begitupun, kali ini dia tidak akan bergelar pengarah, sebaliknya memegang status produser.

“Buat masa ini, ia masih dalam perbincangan. Jika tiada aral, semuanya akan diatur dalam masa terdekat ini. Namun, sehingga kini perbincangan masih belum mendapat kata putus, lebih-lebih lagi saya agak sibuk dengan nyanyian,” katanya.

2 ulasan:

deaf-angel berkata...

kias fansuri woww
ni dia pernah bawak live ke

Saudagar Mimpi berkata...

Rasanya pernah kot.Tak silap aku dlm raptai di IB dulu pun ada.