Ahad, Februari 22, 2009

Suatu perjalanan M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 22 Februari 2009
Oleh WANDA IDRIS
Foto FATAH SULAIMAN

Pada 4 Julai ini, genaplah 52 tahun usia M Nasir. Namun selagi nyawa dikandung badan, perjalanan seninya tidak akan berhenti malah selagi ada sisa usianya, selagi itulah dia akan merakam.

Bagi lelaki ini, perancangannya merupakan sebuah perjalanan yang diatur oleh lagu-lagu yang dicipta. Satu pengabdian terhadap dunia muzik yang disayanginya.

“Kadang-kadang benda itu sesuatu yang kita rasa kita harus buat,” katanya pada satu pertemuan baru-baru ini.

Perjalanan seni, bagi dirinya, tidak boleh rancang kerana takdir kita ditentukan oleh-Nya. Lalu, biarpun pernah terasa tidak mahu lagi mencipta, “tetapi tiap-tiap hari masih lagi di studio”, kata Nasir.

Mungkin sahaja melalui pandangan mata kasar, kita menganggap ia sebahagian rutin namun tegasnya, walau sekadar merakam, selalunya ada benda baru yang dihasilkan. Sentiasa optimis dengan kemahuan dan pembaharuan dalam dunia muzik, ia perlu jika seseorang pengkarya mahu terus ‘hidup’ dan memperjuangkan seninya.

Cuma, persoalannya kata Nasir, perubahan yang bagaimana yang diinginkan. Apakah ia sampai atau tidak kepada pendengar?

“Sebab macam mana pun berlaku perubahan, dasarnya tidak boleh berubah. Kita dengar muzik baru tapi sebenarnya tak ada benda yang tersangat baru. Biar trend muzik berubah setiap lima tahun, mereka yang mempelajari muzik tetap belajar muzik yang sama. Mungkin mereka menghasilkan benda baik daripada segi teknikal dan karya seni tapi tetap belajar benda sama - klasikal, jazz dan sebagainya.

“Pergi sekolah dan hasilkan benda sama. Perubahan sebenar datang daripada muzik jalanan. Budak-budak baru, mereka suka bereksperimen dengan bunyi. Kalau rajin mencari maka akan dapatlah perubahan,” katanya.

Seperti juga dunia penciptaan, Nasir juga tidak pernah lelah menghasilkan album baru. Namun dia realistik kerana tidak semua album yang dihasilkan akan diterima dan disukai ramai.

“Penciptaan yang enak didengar selalunya dicipta tanpa sengaja, di bawah sedar. Tak boleh merancang. Kerana itu kita mesti merakam, selalu merakam.

“Masalah tak sampai (diminati pendengar), apa yang kita nak kadang kala tak sama. Sebenarnya banyak benda boleh buat tapi cita rasa muzik orang itu boleh jual atau tidak?

“Kita faham pembeli. Cuma bawa benda baru yang boleh diterima. Tapi mesti ada konflik dalam setiap pembikinan. Sama ada hit atau miss,” ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album Sang Pencinta, tiga tahun lalu.

Alam muzik

Ketika ini yang dinanti-nantikan peminat adalah persembahan istimewanya untuk Konsert Alam Muzik M. Nasir yang bakal berlangsung di Istana Budaya selama tiga malam bermula 27 Februari hingga 1 Mac ini. Sudah sembilan tahun tidak muncul dengan satu konsert besar-besaran, kali terakhir sifu ini muncul di Konsert Andalusia pada 2000 di Stadium Merdeka.

M. Nasir sebelum itu pernah menjayakan konsert-konsert antaranya Konsert Canggung Mendonan, Konsert Akar Manifestasi Akustika juga Konsert Gembala.

Semua konsertnya itu menjurus kepada usaha memberi penghayatan seni kepada khalayak menerusi karya-karyanya. Dan kali ini, konsertnya menceritakan tentang perjalanan seni pemilik nama sebenar Mohd. Nasir Mohamed ini.

Jauh perjalanannya untuk sampai ke tahap ini dengan perubahan dalam industri, pemikiran dan stail - daripada bentuk muzik kerakyatan hingga ke pop, zaman rock, irama Malaysia, rentak dunia juga kerohanian - itulah alam muzik sebenar yang ingin dipersembahkan kepada audiensnya.

“Ia bersangkut paut dengan perasaan,” katanya yang menyenaraikan kira-kira 30 buah lagu pada malam persembahan yang dipetik daripada zaman Kembara hingga masa kini.

Diiringi 10 pemuzik yang diketuai pengarah muzik Aznan Alias, menurut Nasir konsert ini adalah kesinambungan lontaran karya-karyanya selama ini.

“Artis manapun, dasarnya sama.

Orang putih pun mana ada berubah sangat. Sting misalnya, tapi datang sini, orang serbu juga konsertnya. Sebab mereka mahu tengok dan nikmati muziknya,” jelas Nasir.

4 ulasan:

Samael berkata...

aduh, 5 hari terasa sangat jauh! hehe.. dh la saye pergi yg 28hb punye.

Azyze berkata...

tidak sabar mahu menonton, alhamdulillah saya dapat tiket show terakhir, selalunya itu yang terbaik :)

terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya, i am humbled.
kamu ke konsert?
mungkinkah kita bakal berkongsi aura sifu dalam IB kelak?
play on!!

Saudagar Mimpi berkata...

Samael : Perjalanan aku nak ke IB ni pun terasa jauh jugak.

azyze : Sama-sama. Kalau tiada aral melintang sudah tentu saya akan ke konsert itu dan berkongsi aura sifu bersama sahabat-sahabat lain. Tiket pun dah dibeli untuk persembahan malam kedua. Sekarang tengah berharap tiada halangan kerja disaat-saat akhir. Kalau ada pun dah rancang nak memontengkan diri. hahahhahaha!

Tanpa Nama berkata...

saya nk tahu tentang sejrah hidup mnasir yang membawa beliau kedalam dunia seni....adakah beliau mendapat pendidikan awal sejak kecil atau pun sewaktu sudah dewasa....bagaimana dunianya mempengaruhi sikap dan cara beliau berfikir?