Jumaat, Februari 20, 2009

IB puas hati

petikan Berita Harian 20 Februari 2009
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

M Nasir serius menjalani latihan bagi memastikan kelancaran konsert yang akan diadakan di Istana Budaya bermula 27 Februari.

Konsert Alam Muzik M Nasir turut membantu naikkan imej panggung berprestij

ISTANA Budaya (IB) sentiasa memberi peluang kepada penyanyi tempatan terpilih untuk beraksi di pentas bertaraf dunia berdasarkan kemampuan mereka itu menarik khalayak daripada pelbagai peringkat umur dan kaum selain berupaya menjadikan masyarakat mendekati seni budaya.

Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan bakat dan keunggulan penyanyi atau pemuzik tempatan yang ingin mengadakan persembahan seperti yang termaktub dalam dasar Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Menurutnya, berdasarkan dasar kementerian, 70 peratus persembahan di pentas IB memang diperuntukkan untuk pelbagai kebudayaan dan kesenian daripada pengkarya tempatan.

“Sebanyak 70 peratus kuota persembahan dalam IB memang kita sudah tetapkan untuk persembahan tempatan saja.

“Selepas mengambil kira faktor kegawatan ekonomi global, kuota 70 peratus itu akan ditambah kepada 80 peratus persembahan tempatan sepanjang tahun ini. Inilah masanya dan kesempatan itu harus diambil untuk terus mengangkat karya tempatan untuk sajian orang ramai terutamanya pelancongan asing,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian persembahan di IB itu bukan sekadar teater muzikal atau teater pentas semata-mata tetapi juga membabitkan konsert seperti Konsert Alam M Nasir yang akan berlangsung di IB selama tiga hari bermula 27 Februari ini.

Mengenai konsert M Nasir, Mohamed Juhari konsert komposer dan penyanyi ternama tanah air itu boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan daripada IB terhadap M Nasir kerana pembabitannya dalam seni muzik selama lebih 30 tahun.

“Sepanjang 30 tahun pembabitan M Nasir dalam bidang seni ini dia berusaha mengumpul peminat dari setiap golongan usia.

“Jika dilihat hasil seninya, pelbagai genre yang dicipta berupaya menarik pelbagai lapisan usia mendekati karya-karyanya. Seperti lagu Tanya Pada Hud Hud yang sangat diminati peminat muzik dari pelbagai peringkat. Lagu Juita, Aduh Saliha menjadi tarikan golongan remaja serta Keroncong Untuk Ana bagi mereka yang meminati irama keroncong.

“Bukan itu saja, M Nasir antara seniman yang cukup mengenali keperibadian seorang bakat baru, terutama penyanyi dan pemuzik. Sekiranya dia ingin membuat lagu untuk seorang bakat baru, dia akan mengenali secara mendalam jiwa penyanyi itu. “Jika dilihat lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh penyanyi lain cukup menepati jiwa dan keperibadian yang menyampaikannya,” jelasnya lagi.

Mohamed Juhari berkata, M Nasir adalah seniman yang seharusnya diangkat kerana karya penulisannya dalam setiap seni kata cukup unik jika diselami.

“Sebenarnya pada tahun lalu lagi dia ada menghantar permohonan untuk mengadakan konsert di Panggung Sari IB dan kita menyambut baik selepas mengambil kira pembabitan seninya selama ini.

“Namun disebabkan masalah penajaan daripada pihaknya ia terpaksa ditangguhkan. Konsert pada tahun ini juga adalah inisiatif Ali Bakar yang ingin juga mengadakan konsert M Nasir biarpun tidak mendapat penajaan daripada syarikat korporat,” katanya.

Info Konsert Alam Muzik M Nasir
  • Tiket berharga RM45, RM85 dan RM150 sudah habis dijual. Tiket berharga RM200 dan RM250 masih dijual tetapi jumlahnya semakin terhad dan dijangka habis menjelang konsert berlangsung.
  • Tiket boleh dibeli di kaunter Box Office, Istana Budaya atau tempahan di www.ticket2u.biz atau hubungi 03.31498600. Sebanyak RM1 daripada setiap tiket yang dijual disalurkan kepada NSTP Charity Fund.
  • Konsert Alam M Nasir berlangsung selama tiga malam berturut-turut bermula 27 Februari 2009 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. M Nasir akan menyanyikan lebih 25 lagu lama dan baru ciptaannya dalam persembahan selama dua jam itu.

Tiada ulasan: