Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Konsert solo yang akan berlangsung di Istana Budaya turut dapat sokongan artis tempatan
SELEPAS hampir sembilan tahun artis serba boleh, M Nasir, tidak muncul dengan konsert besar-besaran di negara ini, tanggal 27 dan 28 Februari, serta 1 Mac depan tentunya saat paling ditunggu peminat penghibur berkenaan apabila beliau tampil dalam Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB).
Kali akhir artis berusia 52 tahun ini beraksi di pentas konsert mega adalah pada 29 Januari 2000, apabila beliau muncul dalam Konsert Raikan Cinta M Nasir di Stadium Merdeka.
Sejak itu, peminat cukup merindui aksi M Nasir menyanyikan lagu popularnya dalam sebuah persembahan besar-besaran.
Bagi peminat, kemunculan pada konsert terbaru nanti tentunya detik terbaik untuk mereka menikmati semula kelunakan suara penyanyi yang juga komposer, penulis lirik, pengarah dan pelakon ini. Apatah lagi, pemilik nama Mohamad Nasir Mohamad ini cukup kaya dengan himpunan lagu merdu, sama ada ketika masih bersama kumpulan Kembara ataupun sesudah bergelar artis solo.
Pada konsert terbarunya itu, tentu sekali sebahagian koleksi terbaik lagu merdunya akan didendangkan semula, bukan saja untuk menghiburkan peminat, bahkan bagi membawa mereka mengimbau kembali perjalanan seni lelaki kelahiran Singapura ini.
M Nasir
Daripada kira-kira 30 lagu yang bakal dipersembahkan, M Nasir dijangka turut menghangatkan pentas IB dengan lagu Mentera Semerah Padi, Apokalips, Masirah dan Hijab Kekasih.
Peminat setia penyanyi ini semestinya tidak mahu melepaskan peluang menikmati alunan indahnya tatkala beliau menyanyikan lagu terbabit. Sebelum kesempatan itu terlepas daripada genggaman, seharusnya pembelian atau tempahan tiket dilakukan sekarang berikutan jualannya ketika ini cukup kencang.
Menurut penganjur konsert, Ali Bakar dari Box Office, tiket berharga RM45 dan RM85 sudah pun habis disambar peminat. Manakala tiket bernilai RM150, RM200 dan RM250 pula laris dijual.
"Tiket berharga RM45 umpamanya habis ditempah hanya selepas beberapa hari jualan tiket dibuka," katanya ketika menghadiri pertemuan bersama bahagian pemasaran Kumpulan NSTP, akhbar rasmi konsert berkenaan di Balai Berita.
Gembira dengan sambutan begitu menggalakkan diterima daripada orang ramai, Ali berkata, kerinduan peminat terhadap penyanyi itu serta promosi berterusan diberikan pihak media membolehkan jualan tiket konsert terbabit berlangsung dalam suasana amat memberangsangkan.
Katanya, golongan artis turut memberikan sokongan dengan menempah tiket sejak awal-awal lagi bagi memastikan peluang berhibur bersama sifu muzik itu tidak tercicir begitu saja.
"Penghibur ternama, Anita Sarawak, ialah artis pertama yang mendapatkan tiket paling mahal untuk ke konsert berkenaan," katanya yang memberitahu, Awie dan Amy Search juga bakal hadir memberikan sokongan kepada artis yang turut menaikkan nama mereka dalam persada muzik.
Ketika ini, latihan persembahan membabitkan penyanyi dan 10 pemuzik serta empat penyanyi latar diadakan di pejabat Luncai Emas, Sungai Buloh. Latihan penuh akan diadakan di IB bermula pada 23 Februari.
Pemuzik yang bakal mengiringi persembahan dua jam M Nasir pada konsert itu nanti ialah Aznan Alias yang bertindak sebagai pengarang muzik serta pemain gitar, Hanafi Spider (gitar kedua), Zul Mahat (piano), Firdaus Mahmud (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Jay Jay (gitar bes), Ujang (dram), Pa’ang (perkusi pertama), Hamzah (perkusi kedua) dan Mohar (seruling).
INFO: Konsert M Nasir
- BAGI peminat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan konsert ditunggu-tunggu ramai ini, mereka boleh menempah tiket di laman sesawang www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.
- TIKET juga boleh didapati di Istana Budaya, Triways Travel & Tours cawangan KLCC dan Taman Tun Dr Ismail, Ticket Charge di Mid Valley, Matic, Sri Amera Holiday Sdn Bhd di Plaza Sentral Shah Alam, serta cawangannya di Pasar Awam Precint 16, Putrajaya.
- SEMPENA Konsert Alam Muzik M Nasir, NSTP bakal mengeluarkan kole dan alas tetikus istimewa yang masing-masing bakal dijual dengan harga RM20 dan RM10. Ikuti hebahan yang disiarkan menerusi Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times jika anda berminat mendapatkan koleksi terhad berkenaan.
Album solo studio M Nasir:
- Untuk Pencinta Seni (1979)
- Solo (1988)
- Saudagar Mimpi (1991)
- Canggung Mendonan (1993)
- Srikandi Cintaku (1999)
- Phoenix Bangkit (2001)
- Sang Pencinta (2006)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan