Jumaat, Februari 27, 2009

Tiket konsert M Nasir habis

petikan Berita Harian 27 Februari 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Ali Bakar bersyukur hasil kerjasamanya dengan akhbar Kumpulan New Straits Times

TIDAK ada perkara yang lebih menggembirakan penganjur Konsert Alam Muzik M Nasir iaitu Ali Bakar sebaik saja mendapat tahu tiket untuk menyaksikan konsert penyanyi tersohor tanah air itu langsai beberapa hari sebelum menjelangnya acara sebenar.

Saat dihubungi Hip kelmarin, Ali yang juga Pengurus Besar Box Office (M) Sdn Bhd tidak henti-henti melahirkan rasa syukur kerana di saat dia berdepan dengan masalah penaja serta keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, pencinta muzik tanah air masih sanggup mengeluarkan wang saku mereka untuk menyaksikan konsert itu.

“Saya mendapat khabar gembira ini pagi tadi dan terus terang saya katakan, kerjasama yang dilakukan antara kami dan Kumpulan New Straits Times Press(M) Bhd memberi impak yang positif terhadap usaha kami. Publisiti yang diberikan mereka serta penerbitan lain banyak membantu penjualan tiket.

“Berita ini juga sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya yang sebelum ini berdepan dengan masalah tidak mendapat penaja. Sekurang-kurangnya, apabila tiket ini habis dijual ia dapat membuktikan bahawa keyakinan penonton terhadap atis tempatan masih ada dan M Nasir masih lagi sifu,” ujar Ali dalam nada teruja.

Jelasnya, walaupun berkeyakinan konsert ini bakal mendapat sambutan menggalakkan namun dalam situasi seperti sekarang, semuanya boleh berlaku.

“Untuk semua konsert Nasir sebelum ini, boleh dikatakan tiket habis diujal. Tapi untuk konsert yang ini, saya tak mahu meletak sebarang harapan tinggi. Bukan tidak yakin cuma melihat kepada faktor ekonomi dan sebagainya, ada juga perasaan ragu.

“Begitupun alhamdulillah, jika sebelum ini tidur saya tidak lena tapi kini saya sudah boleh fokus kepada perkara lain,” tegas promoter konsert terkenal ini.

Ditanya bagaimanakah reaksi Nasir sendiri saat mendengar khabar gembira itu, Ali berkata nasir hanya melemparkan segaris senyuman.

“Bila dia dimaklumkan mengenai berita baik itu, Nasir hanya memandang saya dan memberikan senyuman sinis. Biasalah, dia tapi saya tahu dalam hatinya, dia bangga dan gembira dengan sokongan yang diberikan peminat,” jelasnya sambil memberitahu ada peminat yang datang sejauh dari Brunei dan Singapura semata-mata untuk menyaksikan suami kepada pelakon Marlia Musa ini beraksi.

Dalam pada itu, Ali juga ingin memohon kemaafan kepada mana-mana pihak yang masih menghubunginya untuk mendapatkan tiket ke konsert terbabit lantaran kegagalannya untuk memenuhi kehendak itu.

“Selama tiga malam konsert itu berlangsung, semua tempat sudah penuh. Memang tak dapat nak selit lagi. Dan saya juga ingin memaklumkan kepada semua pihak bahawa konsert ini tidak akan disambung sehari lagi seperti yang digembar-gemburkan.

“Lagipun, sejurus selepas konsert itu berakhir, pentas itu akan digunakan untuk persembahan lain. Tapi, Insya-Allah, tahun depan kalau ada rezeki kami akan anjurkan konsert yang sama,” kata Ali lagi.

Walaupun lega dengan sambutan yang diterima namun jauh di sudut hati masih terselit perasaan bimbang.

“Memandangkan Nasir perlu menyanyi untuk tiga malam berturut-turut, saya bimbangkan kesihatannya serta staminanya. Jadi saya harap, semua peminat penyanyi ini dapat berdoa semoga Nasir dikurniakan kesihatan yang baik dan mampu membuat persembahan hebat untuk ketiga-tiga malam itu,”ujar Ali yang mahu semua penggemar M Nasir terhibur menyaksikan konsert itu.

Tiada ulasan: