Selasa, Februari 17, 2009

Nan tunggu isyarat tangan M Nasir

petikan Harian Metro 17 Februari 2009
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

MENYEMAK senarai pemuzik yang terbabit dalam Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB) anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang diadakan pada tanggal 27 dan 28 Februari serta 1 Mac, jelas sekali mereka ‘repertoire’ - pemuzik handalan yang sering menyerikan penganjuran konsert mega serta majlis penganugerahan berprestij.

Individu berpengalaman ini ialah Aznan Alias atau mesra dengan panggilan Nan yang bertindak selaku pengarah muzik juga gitar utama, Zul Mahad (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (Dram), Pa’ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Kemunculan penyanyi senior Jay Jay yang baru meluncurkan single terbarunya berjudul Permaisuri sebagai pemain bassist dalam konsert ini mengiringi persembahan komposer itu termasuk empat penyanyi latar Wan Mohd Azran, Tija, Yiaz Baktiar dan Joanita.

Menurut Nan, 40, mengiringi persembahan komposer dan penyanyi prolifik, M Nasir memberikan kepuasan dan ‘feel’ yang berbeza kepada pemuzik yang terbabit.

“Perbezaan antara mengiringi konsert M Nasir dengan artis ternama lain di mana kami selaku pemuzik turut berpeluang membuat persembahan. Saya katakan ini bukan untuk membeza-bezakan namun, ini apa yang dirasakan saya sendiri berdasarkan 20 tahun pengalaman menjadi pemuzik.

“Datuk Siti Nurhaliza contohnya nama besar yang pernah mengadakan konsert. Namun, peranan pemuzik hanyalah sebagai pengiring bukan sebahagian daripada persembahan biduanita itu.

“Maksud saya, kami tidak perlu bersusah-payah kerana hanya perlu bermain muzik mengikut senarai lagu dan susun atur acara yang sudah ditetapkan dan dibincangkan dari awal.

“Berbeza dengan persembahan atau konsert M Nasir, beliau akan membuat persembahan berdasarkan ‘feel’ dan tindak balas penonton yang dirasakannya ketika itu.

“Justeru, sering berlaku pertukaran lagu secara mendadak dan paling mengerikan sekiranya permintaan lagunya itu tiada dalam senarai persembahan mahupun ketika sesi latihan,” katanya.

Mengiringi persembahan dan konsert M Nasir sejak 20 tahun lalu, Nan menambah M Nasir mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan isyarat setiap kali mahu melakukan pertukaran lagu.

Salah satu taktiknya, katanya, adalah dengan menepuk tangan.

“Di sinilah cabarannya saya sebagai pengarah muzik di mana saya perlu sentiasa peka sebelum isyarat itu disampaikan kepada pemuzik di bawah pimpinan saya.

“Sebagai persediaan menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti itu biasanya kami akan menghafal 40 lagu daripada 20 hingga 28 lagu yang kami berlatih.

“Setakat ini kami tidak merasakan ia sebagai bebanan, malah sangat seronok melakukannya. Saya sendiri membesar dengan muzik M Nasir sejak zaman Kembara dan sudah mengiringi persembahannya selama 20 tahun.

“Untuk pengetahuan ramai, kebanyakan pemuzik yang mengiringi dalam konsert ini adalah wajah sama yang terbabit dalam pembikinan albumnya. Justeru, boleh dikatakan tiada masalah kerana semua lagunya kami hafal,” katanya.

Begitupun, Nan tidak menafikan cabarannya tetap ada kerana karya ciptaan M Nasir mempunyai pengertian yang sangat mendalam, menyentuh soal kehidupan, kemanusiaan dan alam sejagat.

Terdapat pelbagai elemen dan instrumen diguna pakai dalam lagunya dan ia satu proses rumit dan memerlukan penghayatan mendalam.

Antara lagu-lagu yang mencabar seperti Keroncong, Gong Impian dan Selalu Nyata.

Menjalani latihan sejak tiga minggu yang lalu di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, sesi latihan sebenar serta peralatan konsert akan dibawa masuk ke Istana Budaya pada 24 Februari ini. Manakala 26 Februari, mereka akan menjalani raptai penuh.

Nan menjelaskan, konsert ini bersifat peribadi dan berkisarkan perjalanan seni M Nasir bermula dengan perjuangannya bersama Kembara sehingga sekarang. Ia juga mengangkat serta menjadi medan luahan rasa M Nasir terhadap senario pergolakan dunia yang berlaku di Tebing Gaza.

Sementara itu, M Nasir dalam kenyataannya berasa teruja untuk mengadakan konsert ini dan gembira latihan yang dijalankan hampir sempurna.

“Saya akan membawakan 18 hingga ke 25 lagu pada malam konsert. Boleh jadi ia lebih daripada itu. Setakat ini latihan berjalan dengan lancar kerana saya bertuah semua pemuzik yang terbabit adalah sahabat lama saya dan mereka juga tunjang belakang kejayaan karier seni saya sejak dulu lagi.

“Justeru, apa yang kami lakukan sekarang ini adalah membuat sedikit perubahan serta menampilkan kelainan dari segi susunan muzik supaya ia menepati konsep serta tema yang diketengahkan malam itu. Yang penting, matlamat memberikan gambaran dengan apa yang berlaku pada dunia sejagat pada malam itu haruslah sampai,” katanya.

Sekadar mengimbas, kali akhir artis berusia 52 tahun ini beraksi di pentas konsert mega adalah pada 29 Januari 2000 apabila beliau muncul dalam Konsert Raikan Cinta M Nasir di Stadium Merdeka.

Sebelum itu, beliau pernah menjayakan banyak lagi konsert antaranya Andalusia, Konsert Canggung M Nasir, Stadium Negara 29 Julai 1994; Asia Live (langsung dari Jepun) 12 Mei 1995; Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir, PWTC (26 Oktober 1995); Konsert Gembala M Nasir, Habour Pavillion Singapura (20 ogos 1999); Konsert Raikan Cinta M nasir, ntv7 (30 Ogos 2001) dan Konsert Phoenix M Nasir (2002).

Daripada 30 lagu yang bakal dipersembahkan, pemilik diploma dalam bidang seni lukis dari Nanyang Academy of Fine

Arts di Singapura pada 1978 ini dijangka turut menghangatkan pentas IB dengan lagu beberapa lagu baru serta lagu lama seperti Mentera Semerah Padi, Apokalips, Masirah dan Hijab Kekasih.

Selain itu, lagu Mantera Beradu gandingan bersama Malique Too Phat yang cukup hangat ketika ini serta Ekspres Rakyat berkemungkinan turut disampaikan penghibur berkenaan.

“Mungkin iya dan mungkin juga tidak kedua lagu itu akan dipersembahkan. Buat masa ini saya berlatih semua lagu yang hit dan dipilih atas kesesuaian tema bagaimanapun saya hanya akan menyenaraikan yang terbaik. Selain itu, berkemungkinan besar lagu baru turut dipersembahkan,” katanya

Tiada ulasan: