Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
SATU luahan dalam satu nada - itulah yang dapat disimpulkan mengenai Konsert Unplugged Prihatin Palestin yang berlangsung di Angkasapuri, Sabtu lalu.
Negara kita tidak pernah sunyi daripada mengadakan aktiviti, konsert mahupun jualan lelong amal sejak berlakunya tragedi yang menimpa rakyat Palestin sejak Disember lalu.
Pelbagai cara dilakukan sebagai manifestasi anak seni terhadap kekejaman Zionis yang tidak berperikemanusiaan itu.
Biar apa cara sekalipun yang dilakukan keikhlasan penting dalam menzahirkan apa yang terbuku dihati.
Hattan cukup beremosi ketika menyampaikan lagu ’Palestin Jangan Kau Menangis’ - foto THE STAR oleh BRIAN MOH
Justeru, konsert yang diilhamkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ini merupakan satu luahan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dan kemanusiaan.
Konsert yang berlangsung selama satu jam setengah tanpa iklan itu menggabungkan persembahan daripada artis-artis veteran dan kumpulan indie yang baru meningkat naik di negara ini.
Setiap artis yang membuat persembahan ternyata punya gaya tersendiri ketika mengalunkan melodi indah dan bait-bait lirik puitis yang bersifat kemanusiaan, dengan harapan bumi Gaza yang bergolak kembali aman.
Persembahan pembuka tirai pada malam itu juga mengundang air mata oleh penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Hattan.
Gambar atas: sumber Kosmo Online 11 Februari 2009
Air mata jantannya tumpah ketika mengalunkan lagu Palestin Jangan Kau Menangis, biar pun dengan nada tersekat-sekat Hattan kembali menguasai pentas dengan menyampaikan sebuah lagu lagi bertajuk Suara Binasa.Nyata nyanyian Hattan berjaya menyentuh hati tetamu yang hadir apabila mengenangkan penderitaan yang ditanggung oleh masyarakat Islam yang tidak berdosa di bumi Palestin.
Ibarat perjuangan baru sahaja bermula, persembahan seterusnya diteruskan dengan nyanyian oleh M.Nasir dengan menyampaikan dua buah lagu 'trademark'nya, Masirah dan Dibalik Cermin Mimpi.
Tidak ada yang dapat diperkatakan mengenai beliau, dengan hanya duduk dikerusi beliau mengalunkan bait-bait lagu ciptaannya dan S. Amin Shahab dengan sempurna sekali.
Kumpulan yang memperjuangkan lagu-lagu puisi, Kopratasa turut tidak ketinggalan membuat persembahan dengan menyampaikan dua buah lagu, Tragedi Utara dan Mesti Berani.
Bukan hanya artis yang terkenal di media arus perdana diberi peluang untuk membuat persembahan malah RTM mengambil langkah berani memberi ruang kepada kumpulan dan mereka yang memperjuangkan lagu-lagu indie.
Konsert malam itu ibarat satu platform untuk mengetengahkan bakat mereka.
Mereka ini terdiri daripada, Izzy Mohd (Never Fade Away), Tony Leo Slevaraj (Liberty), Milli’z (It’s In You), Azmyl Nor (Senja), Rendra Zawawi (No Mask), Najwa Mahiaddin (Innocent Soul), The Snow Symphony (Free), Khadijah Ibrahim (Rintihan Dari Palestin), Dr. Wan Zawawi (Anak Dunia dan Mencari Amerika) dan diakhiri dengan persembahan penutup oleh gabungan semua artis menyanyikan lagu Knocking On The Heaven’s Door.
Apa yang mereka lakukan pada malam itu merupakan interpretasi dan rasa hati mereka untuk membela nasib rakyat Palestin.
Rasa simpati dan kemanusiaan timbul merentasi pegangan agama dan budaya segenap lapisan masyarakat di negara ini untuk menyelamatkan mangsa terutamanya kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa kekejaman regim Zionis.
Dalam banyak-banyak persembahan yang dipersembahkan malam itu nyata persembahan oleh Dr. Wan Zawawi ketika menyampaikan lagu ’Mencari Amerika’ pasti membuka minda masyarakat di negara ini.
Lirik yang agak sinis disampaikan nyata kena dengan apa yang kita alami ketika ini. Ia menggambarkan ’Amerika’ sebagai sebuah kuasa besar menakluk dan menjajah kita dengan cara yang halus.
Lebih senang lagi disimpulkan dengan mereka menguasai ekonomi kita dengan kebanjiran produk-produk mereka di seluruh dunia.
Di samping persembahan nyanyian lagu oleh artis-artis tanah air, konsert pada malam itu turut diselitkan dengan pengisian visual dan persembahan klip video yang diselang-selikan dengan persembahan artis. Bermula dengan segmen 1 (Peluru Setan Dunia) memaparkan kekejaman serangan Amerika Syarikat di Iraq, klip video serangan Israel di Lebanon dan Palestin
Bagi segmen 2( Neraka Lebanon) pula mengetengahkan klip video mangsa peperangan di Iraq, Lebanon dan Palestin.
Ia kemudiannya diteruskan dengan segmen 3 yang memaparkan bantahan yang dilakukan oleh masyarakat dunia termasuklah di Eropah, Asia Tengah dan dunia Arab terhadap kekejaman regim Zionis.
Seterusnya penonton dapat menyaksikan paparan segmen 4 (Renungan Pahit) yang memaparkan wajah anak kecil yang luka parah, kehilangan ibu bapa dan cacat anggota badan gara-gara sifat kebinatangan Israel.
Segmen 5 (Biarkan Merpati Terbang) sudah pasti dapat memberikan gambaran sebenar kepada penonton tentang kekejaman regim Zionis terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Konsert yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu disiarkan secara langsung menerusi TV2.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cek bernilai RM10,000 oleh wakil Golden Heritage Sdn Bhd kepada Tabung Gaza RTM kepada isteri Menteri Penerangan, Datin Seri Sharifah Ismail serta disaksikan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh.
Gambar atas: sumber Harian Metro 10 Februari 2009
1 ulasan:
Seingat aku, Hattan pernah release album khas berkiatan Palestin. Aku tak ingat tajuknya tapi salah satu tajuk lagunya berjudul "Di lutut Mama".
Catat Ulasan