Isnin, Mac 20, 2006

M Nasir tampil lebih agresif, segar

petikan Berita Harian 20 Mac 2006
Oleh Zainuri Misfar

TIADA lagi irama Mustika atau Mantera Semerah Padi dari M Nasir. Mungkin juga sudah tidak ditemui muzik Kias Fansuri atau Andalusia, kerana album terbarunya kali memang agak terpesong sedikit daripada konsep album terdahulunya yang bercirikan muzik nusantara.

Tapi kali ini beliau akan mengembalikan irama Rajawali atau Hati Emas. M Nasir (gambar) menyisihkan alat muzik bergendang atau percussion seperti mana yang sering digunakan dalam lagunya.

Sebaliknya, untuk album terkininya yang setakat ini diberi judul M Nasir 2006 bakal tampil dengan rentak lebih agresif dan segar.

Irama blues, rock, progresif rock, ska, folk rock, polka, Motown dan Broadway, adalah antara elemen muzik dalam album terbarunya yang dijangka dipasarkan hujung bulan depan.

“Saya mengambil kebebasan sendiri untuk album kali ini. Saya nak buat apa saja yang saya suka. Ada rock, world beat... tetapi saya ambil kebebasan ini sebagai seorang seniman.

“Kita cuba untuk macam-macam (jenis muzik). Saya suka bereksperimen macam-macam muzik, terutama muzik ska, polka yang disulami dengan rock. Saya tidak mahu terikat dengan satu aliran seperti muzik nusantara saja.

“(Muzik) saya bebas dari unsur percussion yang sekarang ini sudah terlampau banyak digunakan, dan keterlaluan,” katanya semasa pradengar lagu terbarunya di Studio Luncai Emas, di Bandar Baru Sungai Buloh, baru-baru ini.

Tujuh daripada 12 lagu terbarunya diperdengarkan kepada media iaitu lagu Juwita, Lambaian Dari Aternity, Lambaian Firdaus, Balada Seorang Seniman, Di Dalam Benakmu, Apa Lagi!, Segala Dambaan dan Bahtera Raudah.

Kata Nasir lagi, keseluruhan album terbarunya kali ini mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan purata sebuah lagu dapat dilengkapkan sepenuhnya.

“Sebab dalam tiga tahun, dua bulan buat satu lagu. Hanya pada penghujungnya semakin rancak, sampai ke puncak dengan harapan (albumnya) dapat keluar pada Mac nanti,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan buat masa ini memang tiada sebarang perancangan untuk merakamkan lagu secara berpasangan atau berduet dengan mana-mana penyanyi kerana dianggap sebagai ‘gangguan’ pada dirinya.

“Saya masih ada lima lagu yang belum dirakam. Tapi memang belum ada rancangan untuk berduet dengan sesiapapun. Tidak ada...

“Kalau saya suka, kalau ada lagu sesuai saya akan menyanyi secara trio (bertiga) atau quatro (berempat). Saya belum terfikir nak buat lagi...,” katanya sambil menganggap albumnya kali ini amat istimewa kepada peminat sebab mereka sudah menunggu lama kemunculannya.

Walaupun muziknya ini dianggap lebih ‘keras’, Nasir yang mendapat jolokan ‘sifu’ berasakan setiap lagu nyanyiannya masih sedap didengar dan yakin boleh diterima dengan mudah oleh peminat.


Berikut adalah penjelasan ringkas dari M Nasir beberapa lagu terbarunya.

Lagu: Juwita
Ia berirama Motown. Liriknya mengenai prokomasi atau satu perakuan kepada wanita yang tidak sedar mengenai dirinya. Maksud lagu itu, “Beginilah sebenarnya rupa kau.” Dia tidak sedar bukan bermaksud tidak baik, cuma dia tidak menyedari kelebihan dan kebaikan pada dirinya.

Lagu: Dari Sini Ke Aterniti
Aterniti bermaksud lestari atau kekal abadi. Berkisar mengenai alam dan perasaan kita. Lagu ini berirama New Age dengan elemen progresif atau Bronx Rock.

Lagu: Lambaian Firdaus
“Macam lagu sarkas,” kata Nasir. Dinyanyikan dalam irama Broadway dan kedengaran irama March (macam lagu askar). Ia adalah suntikan irama polka sejenis muzik popular Russia yang nadanya ada unsur reggae. Gabungan polka dan reggae menghasilkan muzik aliran baru dinamakan ska.

Lagu: Di Dalam Benakmu
Lagu ini berentak rock. Mengisahkan apa yang kita selalu fikirkan - sebab kita selalu memikirkan diri ini sentiasa lemah sehingga tidak mampu buat apa-apa.

Lagu: Balada Seorang Teman
Dinyanyikan dengan iringan piano secara solo, sebelum disusuli dram, keyboard dan suara latar apabila masuk pada korus. Lagu ini menceritakan kesunyian. Kekuatannya pada vokal dan lirik.

Lagu: Apa Lagi!
Liriknya mengenai protes, satu luahan rasa tidak puas hati dengan suasana semasa. Muziknya berirama blues dan rock.

Lagu: Segala Dambaan
Lagu ini mengenai penyerahan diri kepada Tuhan. Dinyanyikan dalam muzik folk rock.

Lagu: Bahtera Raudah
Kata Nasir ini lagu perang. Sebenarnya, ia berirama progresif. Ia menggambarkan perjalanan menuju ke syurga kerana Raudah adalah salah satu nama syurga.

6 ulasan:

Saudagar Mimpi berkata...

WoW! Selepas terbaca artikel ni, teruja sungguh Saudagar Mimpi utk membeli CD terbaru dari sifu ni hahahahah. Perasaan yang sama mcm masa Phoenix Bangkit keluar dulu. Dari penjelasan M.Nasir, macam best bebeno jek lagu-lagu baru ni.

blackpurple @ jowopinter berkata...

Tak sabar nak tunggu album baru ni...dengar2nya hujung bulan ni kan....

Saudagar Mimpi berkata...

Yup! menurut artikel dari The Star paling lewat 28 Mac. Pastikan dapat yg Ori!

blackpurple @ jowopinter berkata...

...memang tak pernah miss beli semua album2 sifu yg ori sejak dari Kembara, masa budak2 dulu......Konsert pun jarang miss, cuma kat Hollywood jer baru2 ni termiss...hehehe...

ontahsapo berkata...

gua memang tunggu jer sebab nak layan juwita....

tapi lagu chip lama2 kalau korang nak layan, pi hamlau nyer web...semua lagu chip dari tahun 1979 dia kasik, siap boleh layan, cuma takleh donlot jer la...

regards,

Tanpa Nama berkata...

Hey mana nak cari album lama-lama sifu dulu hah? Masa dulu-dulu beli kaset je dan kaset mana boleh tahan lama kan!

Lepas ni sifu tentu sibuk dengan album solo Yazer. Kalau boleh sifu ciptalah satu lagu joget tetapi berentak rock sesuai dengan imej Yazer itu dan berduet pula dengan Mas AF2...Tentu best...Tajuk lagu mungkin Joget Tawau ke...