petikan Berita Harian 31 Mac 2006
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
SEPANJANG karier seninya yang sudah melebihi dua dekad, penyanyi M Nasir belum pernah mengadakan sebarang persembahan sempena Minggu Setiausaha. Bagaimanapun, tahun 2006 bagaikan mencipta sejarah tersendiri apabila sifu dunia muzik ini bakal tampil dalam dua persembahan berbeza.
Persembahan pertama yang menggandingkannya bersama juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor (Jac) diberi nama A Day to Remember dianjurkan Felda D’Saji Sdn Bhd bersama Mahir Entertainment & Production (MEP), jam 12 tengah hari, pada 18 April ini, bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Manakala persembahan kedua ialah majlis makan tengah hari anjuran Pearl of the Orient Event Management, pada 27 April, di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Jika persembahan pertama menyaksikan dia berkongsi pentas bersama penyanyi Gemilang, persembahan kedua pula akan turut dijayakan dua artis undangan, Azharina dan Sham Kamikaze, yang muncul dalam segmen pembuka tirai.
Menurut M Nasir, inilah tahun pertama dia bersetuju mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha. Namun, dia berjanji memberikan persembahan bertenaga untuk hiburan semua yang menghadiri kedua-dua majlis makan tengah hari berkenaan.
“Bukannya saya tidak pernah menerima sebarang tawaran mengadakan persembahan begini sebelum ini, tetapi mungkin ketika itu belum sampai masanya. Dengan tawaran yang sesuai, di samping bayaran berpatutan, maka mengapa tidak saya mencubanya?” jelas M Nasir ketika ditanya mengapa hanya kini dia membabitkan diri dalam persembahan meraikan setiausaha.
Katanya lagi, dia seorang penghibur dan tempatnya adalah di atas pentas. Justeru, dia berharap peminat tidak perlu gundah memikirkan corak persembahannya, biarpun dia belum pernah beraksi untuk majlis begitu. Janjinya, elemen M Nasir tetap wujud dalam dua persembahannya itu.
Persembahan di Dewan Perdana Felda yang akan diacarakan Azwan Ali bakal memperlihatkan suami kepada pelakon Marlia Musa ini menyanyi sambil diiringi lima pemuzik di bawah pimpinan penggubah terkemuka, Ramli MS. Dia dan Jac akan muncul selama kira-kira setengah jam seorang dengan mendendangkan tujuh atau lapan lagu.
Bagaimanapun, majlis makan tengah hari di PWTC akan menyaksikan M Nasir muncul di pentas dalam persembahan 45 minit dengan iringan muzik minus one. Sambil mengakui kelebihan muzik live dalam menghidupkan suasana, artis ini berkata, dia tetap akan cuba memberikan persembahan terbaik untuk semua.
“Saya tetap berharap, sesetengah lagu akan dapat saya bawakan dengan iringan muzik sebenar,” katanya.
Ditanya mengenai duet bersama Jac dan Azharina, artis yang bakal muncul bersama album baru, Juwita, itu belum dapat memutuskan perkara berkenaan. Begitupun, artis di bawah naungan Warner Music ini berkata, kemungkinan untuk mereka berduet tetap ada.
Jac dan Azharina pula masing-masing melahirkan rasa bertuah apabila dapat berkongsi pentas dengan penyanyi dan pencipta lagu yang disegani ramai itu.
“Saya berasa cukup kecil apabila diberitahu akan bergandingan dengan M Nasir, yang saya sendiri cukup kagumi. Begitupun saya juga cukup teruja, apatah lagi inilah tahun pertama saya beraksi pada persembahan sempena Minggu Setiausaha,” katanya yang akan turut menyanyikan beberapa lagu Inggeris popular pada hari berkenaan, di samping lagu popular dendangannya.
Selain Dewan Perdana Felda, Jac juga akan menjayakan Minggu Setiausaha di Sri Melayu pada 5 April.
Sebagaimana M Nasir dan Jac, penyanyi lagu Elegi Sepi, Azharina, juga adalah seorang lagi artis yang bakal mengecap pengalaman pertama beraksi pada persembahan sedemikian. Kali ini, dia diberi ruang untuk menyampaikan dua lagu sebagai pemanas pentas. Farah Fauzana pula dijemput mengacarakan majlis makan malam di PWTC, yang bermula jam 12 tengah hari.
3 ulasan:
Masih lagi ternanti2 Sang Pencinta ni.......
Yup! Bila nak keluar eh???
Mungkin Sang Pencinta tengah memikat setiausaha kot? :-)
mahal la tiket sec. weeks tu..kalau murah skit sure gua pergi, sebab dekat sgt dgn rumah...takder diskaun ker, pakai kad esso bleh tak? ker isetan card ker..?
regards,
Catat Ulasan