Isnin, Mac 06, 2006

Jarum Emas: Inti pati Lagu Cinta Lagu Jiwa

petikan Harian Metro 5 Mac 2006
Oleh Adam

MELALUI kolum ini pada Februari tahun lalu, saya mengaitkan setiap kali mendengar lagu Kepadamu Kekasih, yang terlintas di fikiran cuma M Nasir. Kuatnya populariti M Nasir sejak era trio Kembara hinggakan peminat hiburan tanah air menyangka lagu itu bukan sekadar dicipta dan dinyanyi, malah lirik bercorak ketuhanan hasil nukilan beliau.

Lalu tenggelamlah terus nama Eunosasah, penulis asal puisi Kepadamu Kekasih. Dia hasilkan puisi itu ketika usianya 33 tahun pada 1979. Lebih haru dalam satu konsert M Nasir, Eunosasah yang juga wartawan dan jurugambar bebas yang ketika itu membuat liputan terpinga-pinga kerana sahabat lamanya terlupa menyebut nama penulis lirik lagu itu.

Namun itu cerita lama, yang baru M Nasir menceriakan arena hiburan tanah air dengan lagu yang dinilai mengangkat maruah penyanyi dan penulis lirik. Jarang sekali duka lara penulis lirik mahupun penyanyi itu diadaptasi melalui lagu.

Tidak seperti pasangan berkasih, gelodak rasa, rindu dendam yang dipendam dikongsi bersama pendengar. Inilah keunikan Lagu Cinta Lagu Jiwa nyanyian M Nasir dan Mawi yang cuba membawa pendengar memahami jiwa insan seni.

Lagu Cinta Lagu Jiwa dinyanyikan begitu bersemangat oleh M Nasir dan Mawi pada kemuncak Anugerah Bintang Popular-Berita Harian di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu. Lagu digubah M Nasir, lirik oleh Loloq.

Seperti mana dinyatakan pengulas bebas, Kapten Hasan atau Hasan Muslim kepada saya, rangkap pertama dan kedua lagu itu menyedarkan kita perasaan penulis lirik yang tidak dikenali penyanyi ketika hadir di konsert penyanyi berkenaan.

Ada penyanyi yang cuma kenal nama penulis lirik, tetapi tidak pernah bersua. Kesannya sudah pastilah penulis lirik itu tidak selesa di konsert jika penyanyi tidak mengenalinya atau jika mengenalinya, tetapi tidak menoleh ke arahnya.

Inilah yang diungkapkan melalui rangkap, “gerangan apa buat ku kemari, dalam temasya ku memencil diri, darilah jauh asyik memandangnya, sekalipun dia masih tak perasan ku di sini.”

Jika penggubah lagu bangga lagunya dinyanyikan, penulis lirik sepatutnya gembira jika ada kredit untuknya. Saya percaya dalam dunia hiburan tanah air, tidak ramai penyanyi kenal siapa dan siapa menulis lirik untuk lagu nyanyiannya.

Lirik lagu tidak semestinya mewakili perasaan, pendapat atau pengalaman penulis lirik itu, walaupun banyak daripada lirik lagu tidak dapat disisihkan mewakili perasaan, pendapat dan pengalaman penulis lirik itu sendiri.

Sepatutnya penulis lirik lebih dihormati, tetapi itu jarang terjadi dalam arena hiburan tempatan.

Hakikatnya jelas, jika dulu dalam Anugerah Juara Lagu, ada kategori Penulis Lirik Terbaik, tetapi sejak kebelakangan ini kategori itu dimansuhkan, sebaliknya ia dirangkumkan untuk Komposer, Penyanyi dan Penulis Lirik sekali gus.

Pada peringkat awal saya menceburi wartawan pada era 1980-an, boleh dikatakan banyak media, khususnya majalah, ada kolum dikhususkan untuk mengupas lirik. Malah, di stesen radio tidak terkecuali menyediakan ruang mengulas lirik.

Melalui ulasan diberi, ia bukan saja mematangkan wartawan, tetapi memberi ‘input’ berguna buat penulis lirik, penyanyi, penggubah lagu, malah penggiat seni lain bagi menghasilkan lirik bertenaga bukan lirik yang mendayu-dayu.

Rangkap terakhir disisipkan perkataan diuji, sesuai dikaji, “lagu jiwa, bukan lagu mengadu nasibku, lagu cinta bukan lagu meratap hidupku, hanya nak menyatakan, tuah dan untung badan, diuji hebat cinta, sehebat begini hebat begini.”

Jika sajak seseorang itu bermutu, tetapi bila dihantar ke pihak akhbar tidak disiarkan, penulisnya bukan saja kecewa tetapi hampa. Begitulah nasib si penulis lirik, yang saya rasa barangkali inilah inti pati di sebalik Lagu Cinta Lagu Jiwa.

ADAM: Aku menulis bukan kerana nama.


Lagu: Lagu Cinta Lagu Jiwa
Penggubah: M Nasir
Penulis Lirik: Loloq
Penyanyi: M Nasir dan Mawi

Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini

Menari kerana melayan
Menari kerana sunyi
Menari kerana kasih
Ada di depan mata masih juga tak mengerti

Gerangan apa buat ku kemari
Dalam temasya ku memencil diri
Darilah jauh asyik memandangnya
Sekalipun dia masih tak perasan ku di sini

Lagu jiwa
Bukan lagu mengadu nasibku
Lagu cinta
Bukan lagu meratap hidupku
Hanya nak menyatakan
Tuah dan untung badan
Diuji hebat cinta
Sehebat begini hebat begini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

seorang lelaki yang egois yang pernah saya kenal