Ahad, Januari 20, 2002

Sakitnya jadi artis

petikan NSTP e media 20 Januari 2002


ORANG kata isu cetak rompak sudah basi. Namun, M Nasir ingin memperkatakan mengenainya yang diibarat bagaikan lagu lama yang diberi nafas baru kerana ia adalah pembunuh nombor satu industri muzik negara. Malah, beliau turut menganggapnya satu bala. Ikuti temubual ‘Sifu’ M Nasir bersama HARDI EFFENDI YAACOB di Studio Luncai Emas Sdn Bhd, Bandar Baru Sungai Buluh baru-baru ini.


Agak-agaknya sudah berapa lama cetak rompak wujud?

Rasanya... mungkin 20, 30 atau 40 tahun lalu. Bayangkan, sudah lebih 20 tahun aku terbabit dalam bidang seni, malah aku mula terbabit dalam bidang seni suara dan muzik sejak penghujung 70-an. Ketika itu pun, memang sudah ada cetak rompak. Tapi, aku rasa kegiatan haram itu sudah wujud lebih awal lagi. Ketika kecil dulu, aku pun pernah melihat karya muzik yang dicetak rompak, malah aku pun pernah memilikinya. Tapi, ia tidak dihasilkan dalam bentuk kaset, CD (cakera padat), VCD (cakera padat video) dan sebagainya seperti yang boleh kita perolehnya secara meluas ketika ini. Dulu, kebanyakannya dalam bentuk piring hitam yang tebal-tebal. Ini mungkin disebabkan peredaran zaman, perkembangan teknologi dan sebagainya.

Apakah perasaan anda apabila setiap kali karya muzik yang dihasilkan dicetak rompak?

Apa lagi, kecewalah. Bayangkan, aku sudah giat dalam bidang seni suara lebih 20 tahun lalu. Bayangkan pula, orang yang berniaga dalam tempoh 20 tahun... yang setiap kali mengalami masalah yang sama iaitu cetak rompak. Apa yang mereka rasa. Aku, mereka dan orang lain, semuanya sama. Masing-masing punya anak, isteri dan keluarga. Kita juga punya cita-cita dan pelbagai rancangan. Tapi, aku dan anak-anak seni lain mestilah mahu menjadikan segala impian, cita-cita dan rancangan masing-masing dalam bidang seni... bidang muzik. Sebabnya, di situlah bakat yang aku ada... di situlah kebolehan aku... di situlah pengalaman aku.

Mungkin, aku boleh buat kerja lain. Tapi, bidang seni... kerja sebagai penyanyi, penggubah lagu, penulis lirik, penerbit album, pemuzik dan pelbagai kerja seni lain adalah periuk nasi aku. Cuba bayangkan kalau orang tabur pasir dalam periuk nasi kita. Tentunya kita marah, bengang, tidak puas hati dan sebagainya. Dan, itulah yang aku rasa apabila karya muzik aku dicetak rompak. Aku rasa, karyawan dan seniman muzik lain turut merasai apa yang aku rasa.

Pernahkan anda rasa terseksa dengan wujudnya kegiatan haram sebegini?

Tentulah. Dan, aku rasa bukan aku saja yang merasainya, tetapi rakan seperjuangan lain dalam bidang seni. Mana tidaknya! Aku penat-penat buat lagu, tulis lirik, menyanyi dan sebagainya, tapi hasilnya dicuri orang lain... siapa lagi kalau tidak ‘lanun-lanun’ yang tidak berhati perut itu... bukan saja di malam hari, malah di siang hari juga.

Yang sepatutnya aku punya dan rakan seperjuangan aku lain punya... dirampas sesuka hati. Dan, aku dan rakan-rakan lain bukan gangster, bukan macam orang lain. Aku dan mereka... artis. Takkan aku nak pergi kedai, check satu-satu sama ada jual karya muziknya yang original atau cetak rompak. Kita tidak boleh begitu, bukannya apa, cuma nanti kita jadi bahan ketawa di kalangan orang ramai.

Sebenarnya, artis sentiasa mengharapkan mereka mempunyai status, jaga mereka punya maruah, imej dan sebagainya. Tapi, persoalannya... siapa yang jaga kita... siapa yang membela kita. Ini kalau kita jadi penyanyi, kita buat rakaman dan kita mengharapkan sesuatu karya muzik yang dihasilkan boleh dijual. Tapi, siapa yang membela kita. Tapi, kita sekarang jadi bahan ketawa, bahan untuk dihukum.

Apa maksud anda dengan perkataan ‘bahan untuk dihukum’?

Orang ramai judge kitalah, moral kita. Tindak-tanduk kita dihakimi masyarakat, tapi kita tidak blame semua anggota masyarakat. Cuma, sebahagian kecilnya, cuma mereka yang tidak sedar sajalah... betapa payahnya hidup sebagai karyawan dan seniman. Bagi orang yang tahu menguruskan kewangannya, mungkin dia selamatlah. Tapi, apabila terlalu sikit pula untuk diuruskan... sakit jugalah. Seperkara lagi, riwayat artis ini pendek... umur dia pendek.

Bila dia naik saja, dia dapat semuanya. Tapi, bayangkanlah masa dia naik, dia kena cetak rompak. Lagipun, artis banyak jenisnya. Ada artis perempuan, artis lelaki, artis pop, artis rock dan sebagainya, malah setiap satunya akan mendapat layanan yang berbeza-beza... tidak sama. Umpamanya, artis rock.

Layanannya tidak akan sama dengan artis pop. Sebabnya, artis rock mempunyai market yang tersendiri... buat show di ekspo, funfair dan sebagainya. Mereka belum tentu dapat peluang menyanyi untuk dinner show, corporate show dan sebagainya. Show di funfair dan ekspo pula agak teruk juga. Tapi, bayangkan betapa teruk keadaan show di tempat sebegitu. Penonton bayar tiket murah. Memang bukan senang buat untung untuk funfair atau persembahan di ekspo. Kebanyakannya pun... sakit. Ada yang ‘hidup’. Tapi, dia tidak dapat dihormati seperti mana artis lain. Perjuangan mereka lebih... this is rock.

Memang wujudkah perbezaan di antara artis rock, artis pop, artis lelaki, artis perempuan dan sebagainya?

Tentulah. Ia berbeza-beza. Contohnya, artis perempuan... bagi mereka yang ada rupa dan nama sikit, mereka ada lebih peluang daripada artis lelaki. Jika kena cetak rompak pun, mereka ada alternatif lain. Malah, mereka mudah dapat offer menyanyi untuk dinner show, corporate show dan sebagainya, itu belum lagi kita memperkatakan mengenai projek endorsement dan penajaan lain.

Lebih menarik, kebanyakan tawaran berkenaan bukannya secara bermusim, tetapi berterusan. Bagi artis lelaki, lain pula yang berlaku. Mereka kena kerja keras. Lagipun, mereka banyak tanggungan... anak-anak, isteri dan sebagainya. Tapi, artis perempuan tidak... jika mereka berkahwin, tentunya suami masing-masing akan menanggung mereka. Sebenarnya, artis lelaki mempunyai banyak beban yang terpaksa ditanggung. Tapi, kita terima hakikat... yang banyak dalam industri muzik tanah air pun, artis lelaki sama ada yang aktif secara solo mahupun berkumpulan. Cuba, tengok dan faham sendiri semuanya lelaki. Bukan saja penyanyi, malah pemuzik, penggubah lagu, penulis lirik, jurutera bunyi dan mereka yang terbabit di sebalik tabir pembikinan album semuanya lelaki. Sebab itulah, banyak artis lelaki yang susah, lebih-lebih lagi apabila album mereka tidak laku di pasaran gara-gara cetak rompak.

Bagaimanakah artis lelaki yang menjadi mangsa cetak rompak ini mahu meneruskan kehidupan mereka?

Mungkin ada sumber pendapatan lain. Tapi, biasanya mereka bergantung kepada bayaran royalti. Tentunya, mereka memerlukan bayaran royalti yang constant. Macam album mereka yang sentiasa jual, contohnya album dari bad catalogue... masih lagi jual... masih lagi dipasarkan, sekali gus memastikan proses pembayaran royalti itu berterusan. Sekurang-kurangnya apabila ada album mereka yang lama dijual, seterusnya dipasarkan, maka adalah bayaran royalti mereka. Tapi, macam mana jika cetak rompak terus berlaku dan album berkenaan menjadi mangsa.

Sebenarnya, bayaran royalti itulah yang menjadi imbuhan ihsan dan pencen untuk mereka sebaik saja berhenti menyanyi ataupun bersara dari pelbagai bidang profesion seni muzik. Aku, begitu juga rakan seperjuangan lain berbeza dari kau dan individu lain yang bekerja makan gaji. Manalah aku ada pencen... manalah aku ada EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Tapi, bagaimana aku boleh menikmati bayaran royalti berkenaan secara berterusan jika setiap kali karya muzik yang aku hasilkan menjadi mengsa cetak rompak. Sebab itulah aku tanya tadi, siapa yang mahu membela aku dan rakan seperjuangan lain.

Benarkah pembabitan dalam bidang muzik masih belum dianggap sebagai kerjaya profesional di kalangan sesetengah pihak?

Itu memang tidak dapat aku nafikan. Pada hal, pembabitan dalam bidang muzik, sama ada penyanyi, penggubah lagu, penulis lirik, penerbit album, pemuzik dan sebagainya adalah satu kerjaya yang profesional. Malah, dalam mana-mana konvensyen sekalipun, pembabitan dalam bidang muzik seringkali dikatakan sebagai satu profesional.

Walaupun sudah declare sebagai satu profesion, tapi kita still tidak entitle untuk mendapat EPF, pencen dan pelbagai imbuhan lain lagi. Tapi, apabila memperkatakan mengenai perkara itu, perkara lain pula yang dibangkitkan sebab kita sentiasa dihakimi. Terbukti, kita memang tidak dipedulikan.

Itulah yang aku katakan tadi, riwayat hidup artis ini memang pendek... puncak kegemilangannya hanya sekali saja. Ada artis yang nasib dia baik, puncak kegemilangannya berlaku dua kali.

Contohnya, dia mula bertapak dengan menghasilkan album pertama dan laris di pasaran. Kemudiannya, dia menghasilkan album kedua dan album ketiga... juga laris di pasaran. Di sini, grafnya akan terus meningkat dan itulah masa terbaiknya untuk buat duit serta mengumpul harta. Kemudiannya, graf berkenaan akan menurun dan si artis perlu menerima kejadian itu dengan hati yang terbuka. Itu kenyataan hidup yang kena dia terima. Malah, semua artis akan mengalami keadaan sebegitu. Tetapi, dari segi profesionalisme, dia masih mempunyai peminat lagi.

Orang tidak akan sentiasa membeli albumnya, ini satu kenyataan. Apabila sampai puncak, dia akan menurun. Tapi, bagi artis profesional... yang sentiasa membuat persembahan, dia boleh hidup. Tapi, jika artis itu tidak dapat tawaran membuat persembahan, bagaimana pula. Apabila sudah jadi artis, nama dia besar dan tiba-tiba jatuh... dia akan susah untuk bekerja. Dan, dia mahu buat kerja apa pun. Akhirnya, dia akan menghadapi konflik dengan diri dan jiwanya.

Benarkah artis kita tidak sedar diri, lebih-lebih lagi dengan adanya sumber pendapatan yang mudah diperolehi seperti bayaran royalti?

Jika ada bayaran royalti yang berterusan sekalipun, tidak semestinya artis kita hidup untuk enjoy semata-mata. Sebenarnya, kita buat album... kita buat kaset... kita buat CD dan sebagainya, kita perlukan bayaran royalti. Ia yang membuatkan kita bergerak. Lagipun, bukan semua penggiat muzik yang boleh mengadakan persembahan. Malah, bukan semua orang suka tengok persembahan live seseorang artis.

Tapi, itulah hakikatnya... ada artis yang mempunyai kelebihan pada suaranya, penampilannya di atas pentas dan lain-lain lagi. Tapi, ada juga artis yang tidak suka buat persembahan secara langsung dan bergantung harap pada hasil jualan albumnya. Ada artis yang suka menggubah lagu, menulis lirik dan berkarya dengan menggunakan apa cara sekalipun. Tapi, bagaimana mereka mahu meneruskan hidup jika hasil kerja mereka dicetak rompak, dirampas, dicuri dan sebagainya. Tidak tahulah apa aku mahu cakap lagi. Kau sendiri, apa yang kau rasa kalau hasil kerja kau dicuri? Bayangkan, sumber hidup kau dicuri di depan mata kau sendiri, apa yang kau akan rasa?

Agaknya, artis baru sedarkah mengenai cetak rompak dan isu royalti ini?

Tidak rasanya. Mungkin, ini disebabkan mereka masih belum mempunyai kesedaran, belum ada tanggungan. Malah, kemarahan mereka masih belum sampai ke peringkat yang ketara kerana belum ada tanggungan lagi. Dan, mungkin ada di antara mereka yang tidak mempedulikannya langsung. Artis baru tidak seperti artis lain, terutama artis lelaki yang mempunyai banyak tanggungannya. Apakah selepas kita berkeluarga, kita perlu berhenti menyanyi.

Tidak tahulah dengan artis perempuan. Mungkin selepas mereka berkahwin, husband masing-masing akan menanggung mereka. Bagi artis baru, masalah cetak rompak dan isu royalti ini tidak memberikan kesan yang ketara terhadap jiwa mereka, malah mereka belum ada passion.

Mungkin, mereka ada rasa marah, bengang dan sebagainya. Tapi, tidaklah ketara. Lain pula dengan artis lama seperti kita. Kita akan marah hingga sampai ke satu peringkat yang amat dahsyat. Mana tidaknya! Saban tahun dan setiap kali menghasilkan album, kita pasti berdepan dengan masalah berbangkit seperti cetak rompak. Malah, suku atau separuh dari jumlah salinan album yang kita buat pasti dicetak rompak.

Kadangkala, aku terfikir... aku buat album untuk bagi ‘si lanun’ cetak rompak makan ke! Kita mahu bagi duit pada mereka! Dan, duit itu datang dari masyarakat kita sendiri... orang kita sendiri. Itu lebih memalukan.

Ada ketikanya, aku sendiri naik malu bila tengok bangsa aku sendiri yang jual kaset, CD dan VCD cetak rompak.

Tiada ulasan: