petikan Utusan Malaysia 9 Januari 2002
Oleh Khadijah Ibrahim
LIMA artis tempatan layak terpilih ke peringkat akhir pencalonan Anugerah MTV Asia yang akan berlangsung di Singapura pada 2 Februari depan.
Artis-artis yang terpilih itu ialah Tan Sri S.M Salim, M. Nasir, Too Phat, Siti Nurhaliza dan Ziana Zain.
Mereka merupakan antara puluhan artis tempatan yang dikenal pasti dan ditapis sebelum layak dipilih untuk pencalonan anugerah itu.
Kelima-lima mereka akan dipilih untuk merebut Anugerah Artis Popular Malaysia pada majlis itu nanti. Penganugerahan ini bukanlah berdasarkan mutu nyanyian sebaliknya hanya diukur tahap populariti.
Ini membuatkan pemenangnya tidak sukar dijangka berdasarkan beberapa acara anugerah yang memilih aspek populariti sebelum ini.
Salah seorang daripada artis tempatan yang dipilih itu akan memenangi kategori yang semuanya berdasarkan populariti dan tentunya ini bukanlah ukuran sebenar tahap mutu penyanyi tersebut.
Komposer dan penyanyi M. Nasir ketika mengulas mengenai pemilihannya berkata, dia sebenarnya secara terbuka sudah dapat menduga artis mana yang akan menang.
Lantas itu, Nasir yang tewas pada pertandingan Juara Lagu 2001 baru-baru ini, berkata, walaupun pertama kali dicalonkan untuk Anugerah MTV Asia, dia tidak menaruh sebarang harapan.
``Kategori ini lebih dinilai pada populariti dan bukan bakat. Jadi fikirlah sendiri siapa yang akan menang,'' kata M. Nasir pada majlis pencalonan itu di Flux, Twelve SI, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
M. Nasir yang akan membuka tirai persembahan tahun 2002 menerusi konsert yang akan diadakan di Johor Bahru pada Mac ini, tidak akan terkejut sekiranya penyanyi yang hanya popular memenangi anugerah itu.
Sementara itu, kumpulan hip-hop popular tempatan, Too Phat gembira kerana terpilih ke peringkat akhir pencalonan itu.
Too Phat yang dianggotai oleh Malique dan Joe Flizzow memberitahu, mereka tidak menyangka akan tersenarai bersama artis popular lain kerana usia pembabitan mereka dalam bidang seni hanya baru `setahun jagung.'
``Memang terkejut kerana kalau dibandingkan dengan artis lain. Pengalaman kami masih singkat,'' kata Malique.
Rakaman majlis anugerah yang dikendalikan oleh pengacara Cheryl Samad dan Utt itu akan disiarkan selama setengah jam di saluran MTV Asia Tenggara di stesen Astro pada pada 18 Januari.
Ulangannya akan disiarkan pada 31 Januari ini, mulai pukul 9.30 malam.
Selain kategori Artis Popular Malaysia, terdapat lapan kategori lain yang dipilih oleh peminat.
Kategori-kategori yang dimuatkan di dalam Anugerah Antarabangsa itu ialah Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Video Klip Popular, Artis Baru Popular, Kumpulan Pop Popular, Kumpulan Rock Popular, Filem Paling Popular dan Fesyen Paling Popular.
Antara calon di peringkat antarabangsa pula ialah Eminem, Ricky Martin, Robbie William, Ronan Keating, Shaggy, Britney Spears, Christina Aguilera, Backstreet Boys, Destiny's Child, Lim Bizkit, Linkin Park, Pearl Harbour dan Shrek.
Pemilihan telah dibuat sejak 12 November lalu dan akan berakhir pada 18 Januari ini.
Bagi yang ingin turut serta dalam pemilihan tersebut bolehlah melayari laman web di www.mtvasiaawards.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan