petikan Utusan Malaysia 1 Januari 2002
Oleh ROSLI MANAH dan KHADIJAH IBRAHIM
Lagu berteras muzik etnik terus menguasai Juara Lagu TV3 sejak lima tahun lalu apabila lagu Mimpi Laila ciptaan dan nyanyian Yassin memenangi Juara Lagu 2001.
Kemenangan Yassin tepat dengan tema Juara Lagu 2001 iaitu Terbaik Dari Malaysia Ke Pentas Dunia. Malah kemenangan lagu-lagu yang dianggap di luar arus perdana pop ini juga boleh merangsangkan penghayatan muzik yang bernilai artistik.
Juara Lagu 2001 diadakan di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam kelmarin dan disiarkan secara langsung menerusi TV3, Time Highway Radio (THR) dan di laman web.
Mimpi Laila adalah sebuah karya lagu yang mempergayakan elemen muzik etnik Arab dalam suasana pop. Sementara liriknya yang dihasilkan sendiri oleh Yassin menyimpang daripada tema konvensional tentang cinta yang stereotaip.
Penguasaan lagu berteraskan etnik dilihat sebagai suatu yang positif bagi muzik negara ini. Kecenderungan ini diperlihatkan pada Juara Lagu 1997 menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah ciptaan M.Nasir yang muncul sebagai juara. Diikuti dengan lagu Cindai ciptaan Shuhaimi Mohd Zain pada tahun berikutnya. Cindai dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza.
Andalusia ciptaan dan nyanyian M.Nasir dipilih juara pada 1999 dan tahun lalu lagu Balqis ciptaan Shuhaimi Mohd Zain muncul juara.
Mimpi Laila juga memenangi kategori Etnik Kreatif. Kemenangan itu membolehkan Yassin membawa pulang RM37,000 iaitu RM25,000 untuk Juara Lagu dan RM12,000 untuk juara kategori.
Yassin berkata, lagu yang berteraskan muzik etnik Arab itu diilhamkan dari Hikayat Seribu Satu Malam.
``Kemenangan ini mendorong saya terus menghasilkan yang lebih baik pada masa akan datang,'' kata Yassin semasa ditemui selepas menjuarai pertandingan itu malam kelmarin.
Bagaimanapun, Yassin bekas anggota kumpulan nasyid Brothers mengakui, dia terkejut apabila Mimpi Laila diumumkan sebagai juara.
Mimpi Laila sebenarnya tidak berada dalam senarai yang dijangka menang seperti pihak media menjangka M. Nasir dan Shuhaimi Mohd Zain kerana mereka lebih menonjol. Yassin mengakui, M.Nasir adalah idolanya dan sedikit sebanyak lagu-lagu ciptaannya dipengaruhi oleh konsep muzik M. Nasir.
Melihat persembahan Yassin pada malam itu, memang tidak dinafikan Yassin telah memberikan persembahan yang terbaik berbanding persembahannya sebelum ini.
``Sebelum ini setiap kali bertanding saya gementar tetapi malam ini lain pula hingga mimpi saya menjadi kenyataan,'' katanya yang akan ke Beirut tidak lama lagi untuk merakam empat buah lagu album keduanya.
M.Nasir pula yakin lagu-lagu berteras etnik mampu mendapat tempat di luar negara sekiranya ada kesungguhan daripada pihak tertentu.
Ketika diminta mengulas mengenai Mimpi Laila, kata M.Nasir, Mimpi Laila sebuah lagu pop yang sederhana dan mempunyai tarikan apabila mendengarnya.
Yassin mengetepikan lagu Raikan Cinta ciptaan dan nyanyian M.Nasir dalam kategori Etnik Kreatif.
Sementara itu lagu Seandainya Masih Ada Cinta ciptaan Ajai dan dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah menjuarai Kategori Balada.
Kejayaan Yassin dan Ajai menyaksikan penguasaan pencipta muda kerana sebelum ini pertandingan itu dimonopoli oleh orang lama.
Kalau dilihat sejarah Juara Lagu sejak 16 tahun lalu, pencipta yang menjuarai pertandingan telah silih berganti mengikut era kegemilangan masing-masing. Antara pencipta yang pernah menempah kenangan manis di Juara Lagu ialah Datuk Ahmad Nawab menerusi penyanyinya Ramlah Ram, A. Ali dengan lagu-lagu nyanyian Zaiton Sameon kemudian diikuti oleh Manan Ngah dengan penyanyinya Francesca Peter.
Era kegemilangan M. Nasir adalah pada pertengahan 90-an dengan lagu Tanya Sama Hud Hud.
Ajai yang turut bertanding sebagai penyanyi untuk lagu Maafkan Aku bagi kategori pop rock tetapi tewas.
``Saya amat yakin dengan lagu Seandainya Masihkah Ada Cinta dan tahu Dayang Nurfaizah dapat menyanyikan dengan begitu bagus sekali,'' jelas Ajai.
Ajai adalah antara pencipta muda yang mempunyai nama besar dalam industri muzik negara ini. Kemenangan ini pasti memberi laluan yang lebih luas untuk mencapai kejayaan pada masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan