Jumaat, Januari 25, 2002

Penyanyi bersaing di Anugerah Planet Muzik

petikan Utusan Malaysia 25 Januari 2002

Oleh ROSLI MANAH
Penyanyi Malaysia, Singapura dan Indonesia sekali lagi berentap merebut trofi pada Anugerah Planet Muzik 2002 yang akan berlangsung di Singapura Sabtu ini (26 Januari).

Antara penyanyi Malaysia yang turut disenarai peringkat akhir ialah Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain dalam kategori Artis Terbaik Wanita. Turut dicalonkan Titi DJ dan Rossa dari Indonesia.

Dalam kategori lelaki pula tidak ada penyanyi dari Malaysia dicalonkan. Kategori itu menampilkan penyanyi kelahiran Singapura M.Nasir, Ferhad serta tiga penyanyi Indonesia, Ari Lasso, Andre Hehanussa dan Harvey Malaiholo.

Kumpulan nasyid kontemporari Raihan dan Rabbani pula dicalonkan dalam kategori Kumpulan Terbaik bersama kumpulan Kaleoidoscopicuriosity (Singapura), Padi dan penyanyi duet Anang dan Kris Dayanti dari Indonesia.

Dalam kategori Kumpulan Baru Terbaik pula pasangan Ajai, Nurul dan Bozz dari Malaysia turut dicalonkan. Mereka bersaing bersama kumpulan-kumpulan dari Indonesia.

Kategori wanita pula menampilkan Elyana, Samirah, Mala serta penyanyi Singapura Asiyah Sinnan dan Shanty.

Dalam kategori album pula album Safa (Siti Nurhaliza), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Phoenix Bangkit (M.Nasir), Aku Cinta Padamu (Ziana) turut layak bersaing bersama Sesuatu Yang Tertunda (Padi) dan Makin Aku Cinta (Anang dan Kris Dayanti).

Lagu Menadah Gerimis (Ziana), Raikan Cinta (M.Nasir), Masirah (M.Nasir), Percayalah (Siti Nurhaliza), Makin Aku Cinta (Anang & Kris Dayanti) dan Kasih Tak Sampai (Padi) bersaing merebut anugerah Lagu Terbaik.

Anugerah Planet Muzik 2002 juga turut mempertandingkan beberapa kategori melibatkan penyanyi tempatan Singapura sahaja.

Selain menyampaikan anugerah, ia juga akan menampilkan persembahan hiburan oleh Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ziana, Nurul dan Ajai, Ferhad, Fazley, Yassin, Hetty Sarlene, Rem, Man Bai, Harvey Malaiholo, Kris Dayanti, Padi, Anterro Boys dan beberapa lagi

Tiada ulasan: