Sabtu, Januari 12, 2002

M Nasir artis kedua jayakan HMI Special 2002

petikan NSTP e-media 12 Januari 2002
Oleh Hardi Effendi Yaacob

SELEPAS Ziana Zain membuka tirai, kini tiba pula giliran sifu muzik ternama, M Nasir, untuk menjayakan siaran langsung Hiburan Minggu Ini 2002 (HMI 2002) di Angkasapuri, malam esok.

M Nasir yang beraksi dalam Juara Lagu 2001, baru-baru ini akan tampil dengan persembahan bertenaga selama satu setengah jam, bermula 8.45 malam.

Jurucakap Warner Music, Liza, berkata penghibur itu akan menggunakan sembilan pemuzik pengiring, selain tiga penyanyi latar yang sering bersamanya dalam persembahan pentas dan studio rakaman.

"Kita yakin M Nasir akan memberi sebuah persembahan yang unik malam esok. Pengalaman M Nasir membuat konsert di Malaysia dan Singapura tentunya banyak membantu beraksi secara live," kata Liza.

M Nasir akan menyanyikan sekurang-kurangnya 10 lagu terutama yang dipetik dari album terbarunya, Phoenix Bangkit selain koleksi lagu popularnya selama ini.

Antaranya, Raikan Cinta, Bila Rumi Menari, Langgam Pak Dogoh, Masirah dan Sahabat Gua. Apa yang menarik, penghibur itu juga akan berduet dalam sebuah lagu bersama kumpulan hip hop popular, Too Phat.

"Inilah sebahagian daripada keunikan persembahan M Nasir kali ini," katanya.

Difahamkan, HMI - Special... M Nasir diterbitkan oleh Jack Nadarajah, penerbit kanan di Unit Hiburan TV Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Peminat setia penyanyi itu boleh mengikuti siaran langsungnya di TV1, Saluran Perdana, bermula jam 8.45 malam esok. Ia akan dipancarkan terus dari Auditorium Perdana, Angkasapuri.

"M Nasir adalah artis popular kedua yang diberikan peluang menjayakan HMI - Special selepas Ziana Zain, minggu lalu. Seperti biasa, M Nasir sendiri memberikan pelbagai idea supaya konsert itu akan hebat dan menarik," kata Liza

Tiada ulasan: