ANALITIC

Sabtu, Februari 28, 1998

M Nasir - Brad Parker collaboration

Taken from Billboard page 55
28 Feb 1998
86 pages
Vol. 110, 

No. ISSN 0006-2510


Khamis, Februari 19, 1998

Perihal gagak yang malang

petikan Utusan Malaysia 19 Februari 1998

PUISI Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar yang ditulis pada tahun 1972 nampaknya masih relevan hingga hari ini. Secara mudah puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang itu sebagai reaksi terhadap satu operasi menembak gagak di Klang tahun yang sama.

Beberapa tahun lalu Usman mendeklamasi lagi puisinya dengan humor berbaur sinis. Dalam humor, Usman membawa imaginasi kepada tragedi gagak yang mati berselerakan.

Usman berjaya memberi kesan dramatik kepada tragedi itu. Ada gagak menjadi 'janda' dan tidak kurang anak gagak menjadi 'yatim piatu', ungkap Usman dengan nada yang sedikit pilu.

Beliau cuba membawa gagak keluar sudut pandangan biasa; hitam, huduh, jahat dan pengotor.

Puisi yang berupa surat ini bukan bertujuan membela gagak pada tragedi yang dilakukan oleh manusia. Pembunuhan 'beramai-ramai' terhadap masyarakat gagak ini adalah metafora untuk menilai kembali manusia dan kemanusiaan.

Tentunya menerusi Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar, Usman mahu membawa kepada satu perbincangan dan hujah yang melampaui gagak sebagai gagak.

Banyak yang dianggap sebagai gagak oleh sesetengah pihak dan tindakan ke atas mereka selalunya tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan. Mereka tentunya tidak ada daya untuk melawan apa sahaja tindakan sekalipun di luar kewajaran.

Kerana itu bagi banyak orang, kalau bernasib malang, gagaklah namanya. Lalu tidak hairanlah kalau gagak sering menjadi ukuran darjat. Gagak itu adalah marhaen, hina, miskin atau apa sahaja yang setaraf dengan burung hitam pekat yang berkicau riang menjelang senja di ibu kota.

Gagak menjadi pilihan P. Ramlee yang merintis hiba dalam lagu Merak Kayangan.

Seperti kata P. Ramlee, ''Dikau umpama merak kayangan, rupamu cantik warna kilauan, sehelai bulu laksana berlian, segak dan gayamu membikin hati tertawan. Aku umpama gagak di rimba, rupaku buruk tidak sepadan.''

Demikianlah gagak menjadi lambang kedaifan seorang pemuda yang mencintai gadis bangsawan dalam lagu Merak Kayangan.

Tetapi M. Nasir akan mengubah status gagak yang diberikan oleh P. Ramlee. Khabarnya M. Nasir telah menyiapkan skrip filem bertajuk Gagak Kayangan yang bunyinya agak sinikal. Barangkali M. Nasir mahu berlaku adil kepada gagak.

Gagak terus diperkatakan kerana kejelekannya. Dan merak dijulang kerana kecantikan, keunikan dan yang lebih penting spesiesnya telah hampir pupus. Jadi ia lebih dihargai daripada gagak yang tidak punya apa-apa nilai.

Tragedi di Klang tahun 1972 berulang lagi baru-baru ini. Satu operasi menembak gagak dibuat secara besar-besaran di ibu kota. Rasionalnya tentulah gagak mengotorkan ibu kota sekalipun kekotoran itu bukan seratus peratus kerja gagak.

Selepas lebih suku abad Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar, gagak terus menerima cemuhan yang sama; huduh, jahat dan pengotor.

Tulisan ini bukanlah mahu membela kematian sekian banyak gagak tetapi sekadar melihat bagaimana manusia begitu mudah meletakkan kesalahan kepada yang tidak berdaya seperti gagak.

Kesedaran sivik warga kota ini masih boleh dipersoalkan. Kesedaran mereka tentang kebersihan tempat awam dan persekitaran terbukti masih jauh daripada memuaskan. Lihat sahaja selepas konsert di Dataran Merdeka. Hasilnya sampah bertaburan di mana-mana.

Tetapi seperti biasa, manusia mempunyai kelebihan untuk meletak segala macam keburukan dan kekurangan diri kepada pihak lain. Gagak suka kepada kekotoran. Ini memang salah gagak. Tetapi manusia bertanggungjawab supaya persekitaran mereka tidak kotor.

Puisi Usman Awang ini boleh dijadikan renungan bersama. Tanpa menjadikan operasi menembak gagak di ibu kota sebagai desakan kuat dalam tulisan ini, Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar tentunya melampaui gagak yang sebenarnya.

Gagak tentunya hanya metafora Usman Awang untuk memperkatakan sesuatu supaya mudah difahami oleh kebanyakkan orang.

Bayangkan kalau tidak ada gagak untuk dipersalahkan kerana mengotorkan ibu kota, kepada siapa hendak diletakkan kesalahan itu?

Oleh: KU SEMAN KU HUSIN

Rabu, Januari 28, 1998

Gagak Kayangan belum ada heroin

petikan Utusan Malaysia 28 Januari 1998

KEGAWATAN ekonomi tidak dijadikan alasan oleh pengarah M. Nasir untuk menangguhkan pembikinan filem terbarunya berjudul Gagak Kayangan dan dia sebaliknya akan memulakan penggambaran sekitar April depan.

Namun, sebagai seorang pengusaha filem, dia turut mengambil kira faktor tersebut dan melakukan mengikut kemampuan diri apatah lagi filem itu diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.

''Kalau mahu tunggu ekonomi pulih kita tidak tahu bila masanya, jadi saya akan tetap meneruskannya,'' kata M.Nasir mengenai filem yang bakal menampilkan Azhar Sulaiman, Norman Hakim dan Hattan itu.

Dia juga pada awalnya bercadang mengundang Awie sebagai salah seorang pelakon utama, namun kerana penyanyi yang membintangi filem Merah arahannya itu mempunyai komitmen lain, dia terpaksa membatalkannya.

Apabila ditanya mengenai pelakon wanita yang akan menyerikan filem itu M.Nasir berkata dia belum lagi bertemu dengan pelakon yang sesuai untuk membawakan watak utama. Ujibakat yang diadakan juga mengecewakannya.

''Apabila filem ini bakal dimulakan penggambaran, barulah saya boleh pastikan siapakah yang akan dipilih sebagai pelakon wanita utama,'' kata M.Nasir semasa ditemui baru-baru ini.

Apabila ditanya pendapatnya mengenai terdapatnya filem Melayu yang sukar mendapat tempat di kalangan penonton, M. Nasir berkata, ia adalah kerana terdapat sesuatu yang tidak sesuai pada filem itu.

''Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada filem itu membuatkan peminat tidak menerimanya.

''Banyak filem yang bagus, tetapi filem yang bagus juga mungkin terdapat sesuatu yang tidak kena dan ia tidak mendapat tempat di pawagam,'' ujar M.Nasir lagi.

Untuk itu, katanya, dia juga turut membuat penilaian daripada filem-filem lain agar apa yang akan dihasilkannya bakal mendapat tempat.

''Untuk menghasilkan filem yang kena dengan selera semua orang, saya harus menilai sama ada cerita itu bersesuaian atau sebaliknya dan saya tidak mahu membohongi diri saya sendiri,'' katanya.

Penilaian tersebut penting kerana terdapat banyak golongan dalam masyarakat yang mempunyai cara tersendiri untuk menilai sesebuah filem,'' katanya.

Menjadi tugas yang sukar bagi setiap penerbit untuk memenuhi kehendak semua pihak kerana terdapat sesetengah elemen yang tidak boleh berjalan serentak, katanya lagi.

Malah, kadang-kadang untuk menekankan sesuatu aspek membuatkan aspek lain terpaksa dikorbankan.

Sabtu, Disember 27, 1997

Ghazal untuk Rabiah Juara Lagu ke- AJL 12

Daripada Wikipedia,

Juara Lagu 1997 ialah pertandingan yang membariskan lagu-lagu Melayu untuk dinobatkan sebagai "Juara Lagu" bagi tahun 1997. Pertandingan ini telah diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan telah diacarakan oleh Shamsul "Ghau Ghau" dan Anne Hamid.

Acara kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila komposer M. Nasir menang buat kali kedua Anugrah Juara Lagu dan lebih manis buat kali pertama dalam kategori Irama Malaysia dengan lagu "Ghazal Untuk Rabiah".



Kategori Balada
"Aku Cinta Padamu" : Siti Nurhaliza (Ly / Baiduri)
"Naluri" : Nora (Johan Nawawi)
"Seroja" : Kumpulan Search (M.Nasir / S. Amin Shahab)
"Senja Nan Merah" : Awie & Ziana Zain (Darwis (M. Nasir) / Seth (Loloq)

Kategori Irama Malaysia
"Ghazal Untuk Rabiah" : Jamal Abdillah & M.Nasir (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir)
"Awallah Dondang" : Noraniza Idris (Hairul Anuar / Anak Sarawak)
"Kalau Mencari Teman" : Ziana Zain (Razman / Habsah Hassan)
"Hela Bubu Hela" : Kumpulan A to Z (Kiya / Saba)

Kategori Pop Rock
"Itik Gembo-gembo" : Kumpulan A to Z (Halen Yap / Lan)
"Apa Ku Rasa" : Shima (Fauzi Marzuki / Darwis)
"Biru Mata Hitamku" : Wings (Andi Rahman /Loloq (Rosli Khamis))
"Cemburu" : Kumpulan Kool (Zuraini)

Kemenangan
Juara Keseluruhan: "Ghazal Untuk Rabiah" - (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir)

Juara Kategori:
Irama Malaysia: "Ghazal Untuk Rabiah" - (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir)
Balada: "Aku Cinta Padamu" (Ly / Baiduri / Siti Nurhaliza)
Pop Rock: "Itik Gembo-gembo" - (Halen Yap / Lan / A to Z)
Persembahan Terbaik: Siti Nurhaliza - "Aku Cinta Padamu"

Isnin, Disember 15, 1997

Seni Vokal : M.Nasir

petikan ROTTW Disember 1997 (vol.14)

S: Boleh saudara komen tentang vokal lagu 'Ghazal Untuk Rabiah'?
J: Saya dan Jamal mempunyai jenis vokal yang sama iaitu tenor. Lenggok iagu tersebut lebih kepada bunyi Arab. Jadi, saya memang berniat membuat bentuk seperti rentak Arab, walaupun kalau didengar ia macam berbunyi Spanish, tetapi ia lebih kepada Arab. Seperti rentak Spanish tiru Arab, dan dibawa kepada kita, dapatlah pengaruh joget.

S: Apakah pendapat saudara tentang penyanyi tanahair sepanjang saudara mencipta lagu dan menerbitkan album-album mereka?
J: Yang penting ialah tone...penyanyi kita yang popular sekarang kebanyakannya memang mempunyai tone tetapi secara teknikalnya tidaklah mahir sangat.

S: Jadi, maksud saudara, kenalah belajar teknik suara di kelas vokal?
J: Tetapi yang belajar vokal, kebanyakannya pula tidak punya tone pula. Tone ini adalah anugerah semulajadi. Sebab itulah bagi kebanyakan orang memang ada tone, tetapi tiada teknik yang betul, Seperti kebanyakan penyanyi rock kita menyanyi dengan teknik yang betul, tetapi disebabkan mereka mempunyai tone, kenalah muzik rock yang dibawakan. Bagi penyanyi pop pula banyak yang mempunyai tone, tetapi tidak ramai yang mempunyai tone yang betul-betul sedap, ada tu memang ada , tetapi dalam teknik menyanyi, tak banyak yang boleh jadi terbaik. Yakni, boleh menguasai lenggok, tuning, pernafasan dan ucapan, menyebutkan lirik tersebut dengan tepat dan berkesan.

S: Jadi, bagaimanapun mesti belajar dengan formal?
J : Dalam bidang muzik Melayu kita tidak ada guru yang benar-benar formal. Semua pandai-pandai,, sendiri sahaja. Kalau dalam bidang soprano, klasikal mungkin adalah. Maksud saya dalam corak muzik Melayu ini sendiri, tak ada.

S: Maksud saudara, tidak sesuai menyanyikan lagu Melayu dengan stail klasikal?
J: Tidak sesuai sangat. Kadang-kadang, muzik Melayu tidak sesuai dengan banyak vibrato. Memang masa dahulu, banyak orang yang menggunakan teknik klasikal seperti falsetto dan lain-lain. Sekarang ni orang dah tak berapa suka lagi.

S: Tetapi dalam R&B, teknik falsetto banyak digunakan?
J : Itu R&B bukan lagu Melayu. Kalau nak belajar, boleh. Tetapi kebanyakan penyanyi R&B di sini pun,tidak menguasai teknik-teknik tersebut juga. Dan tidak mempunyai soul, tiada kejiwaan atau kalau di sini, orang cakap feel atau penghayatan.

S: Bagaimana pula dengan vokal kumpulan-kumpuIan rock?
J: Rock pun pandai-pandai, sendiri, kebanyakannya tidak menguasai teknik-tekniknya. Dalam rock, mestilah kena pandai menyanyi, maknanya menguasai tune,tone memang dah ada pada diri masing-masing.Tetapi teknik rock, ada scalingnya yang tersendiri, dan kebanyakan orang tidak dapat menguasainya. la berpunca daripada blues, dan sebenarnya scale blues tidak ramai yang dapat menguasai. Sebab bila seseorang menyanyi rock, dia ikut lagunya sahaja. Tetapi kalau didengar dengan betul betul, kebanyakannya tidak menguasai yang 'purist' punyalah. Tetapi yang biasa memang boleh.

S: Maksud saudara, dalam rock, ada stail yang tersendiri?
J : Ada Ienggoknya.Seperti juga bila main gitar blues, begitu juga kita main gitar, itulah scale menyanyinya. Kalau boleh ikutkan seperti permainan gitar, itu baguslah.

S: Begitu juga dengan lagu Melayu, ada lenggoknya?
J : Begitu juga dengan lagu Melayu, seperti penyanyi menyanyikah lagu-lagu Melayu perlu mengetahui lenggok-lenggok Arab, Deli dan lain-lain. Seperti Noraniza Idris memang dapat menguasai lenggok- lagu Melayu dengan baik.Yang lain semua poppish(pop), mereka meniru lagu orang putih tetapi mereka cuba sesuaikan dalam lagu Melayu. Tetapi, lagu orang putih sendiri, mereka tak kuasai. Jadi, ditengah-tengahlah. Jadi, kita tengok muzik-muzik Melayu semuanya ditengah-tengah.

temubual berkaitan Seni Cipta Lagu

Ahad, Disember 07, 1997

'Muzik Melayu lebih kaya dari irama Barat'

petikan Berita Harian, 7 December 1997

Kelolaan Hanim Mohd Saleh

M.Nasir beri sebab kenapa tak rakam album Inggeris, beri tip cipta lagu sedap


 "Muzik Melayu sebenarnya lebih kaya daripada muzik Barat. Kalau Barat hanya tertakluk kepada 12 bar Do Re Mi... dan seterusnya, bar untuk muzik Melayu tidak ada hadnya. Pengaruh budaya daripada puluhan daerah Timur membentuk muzik kita... ada pengaruh Latin, Arab, Hindustan dan Cina."

 — M. Nasir


KALAU ada yang pernah terfikir, mengapa pemuzik sehebat M.Nasir sejauh ini belum merakamkam album Inggeris, jawapannya sebenarnya ada pada lagu-lagu Melayu sendiri.

Kata seniman kelahiran Singapura itu, orang Melayu sepatutnya lebih berbangga menghasilkan muzik Melayu kerana kekayaan seninya yang tidak dapat ditandingi Barat.

"Muzik Melayu sebenarnya lebih kaya daripada muzik Barat. Kalau Barat hanya tertakluk kepada 12 bar Do Re Mi... dan seterusnya, bar untuk muzik Melayu tidak ada hadnya. Pengaruh budaya daripada puluhan daerah Timur membentuk muzik kita... ada pengaruh Latin, Arab, Hindustan dan Cina.

"Sebab itu kita kena kenal sejarah. Hanya pemuzik yang tahu akar umbinya akan dapat menghasilkan muzik yang tinggi nilai seninya," kata Nasir yang telah menghasilkan lebih 1,000 lagu sejak menceburi bidang muzik lebih 20 tahun lalu.

Nasir, menerusi sesi Bicara Karya anjuran Persatuan Karyawan Muzik Singapura dan Jamm Recording Studio, untuk pertama kali berkongsi pengalaman bagaimana menghasilkan lagu yang baik dan sedap di dengar.

Sesi tersebut dihadiri oleh penggemar muzik tanah air yang mahu berjinak-jinak dalam seni gubahan muzik dan penulisan lirik.

Jadi, bagaimana nak hasilkan muzik yang sedap?

Tidak ada formula, kata Nasir, tetapi pemuzik harus peka terhadap muzik sekitarnya.

Berdasarkan pengalaman beliau, kata Nasir, muzik paling laku di pasaran ialah muzik yang mudah gubahannya.

"Tetapi nak buat muzik yang mudah itulah yang susah. Kalau anda perhatikan lagu-lagu gubahan Allahyarham P. Ramlee dan Wandly Yazid, semuanya mudah susunannya. Tak bercelaru.

"Apa yang penting ialah kita tak boleh lokek keluarkan melodi," ujarnya.

Tambah Nasir, berdasarkan pemerhatiannya, orang yang terlalu banyak bermain alat-alat muzik elektronik seperti keyboard sukar mencipta lagu yang baik kerana mereka terbatas dengan bunyi-bunyian yang terdapat pada alat tersebut.

"Ini amat berbeza jika anda seorang penyanyi atau main muzik yang membolehkan anda menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan bunyi seperti gendang. Seorang penyanyi lebih tahu nada atau chord mana yang lebih sedap berbanding dengan pemuzik alat elektronik," kata beliau lagi.

Agak menarik perhatian apabila Nasir bersikap terbuka mengenai sikap penggubah muda yang terpengaruh dengan lagu-lagu yang sedia ada, lantas menghasilkan lagu seakan-akan satu 'ciplakan'.

"Tiru juga satu seni. Kita boleh pinjam satu melodi sebuah lagu dan kemudian kembangkan melodi itu kepada bentuk muzik kita sendiri.

"Dengan keadaan ribuan atau jutaan muzik yang dah ada di seluruh dunia, mustahil kalau kita kata melodi yang kita keluarkan adalah yang pertama kali diciptakan. Mana kita tahu orang Sepanyol, Arab atau Afrika dah buat? Yang penting, kita pelbagaikan irama itu," kata Nasir lagi.

Beliau juga menggesa pemuzik muda agar jangan cepat patah semangat jika lagu-lagu mereka kurang mendapat perhatian syarikat rakaman.

"Teruskan berkarya," katanya.


Kegiatan terkini

  •  Beliau sudah mula masuk Studio Ronggeng miliknya untuk rakaman album terbaru. Setakat ini, empat lagu telah dipilih untuk rakaman.
  •  Sedang bersiap menerbitkan filem kedua, Gagak Kayangan, yang menampilkan Awie dan kemungkinan, Erra Fazira. Penggambaran dijangka bermula selepas Hari Raya.
  •  Luncai Emas Sdn Bhd (syarikat milik Nasir) sedang mengatur konsert luar negara kedua, kali ini di Australia. Konsertnya di Royal Northern College of Music, Manchester, pada Mac lalu, mencapai kejayaan membanggakan.
  •  Nasir juga bakal mengeluarkan album empat artis berkumpulan My Pet Alien, D'Spider, Primary Sun dan Malaysian People. Mereka terpilih daripada uji bakat yang diadakan oleh Luncai Emas.
  •  Sedang dalam proses mengadun suara bagi album penyanyi Ruhil Amani Hussein dan Khatijah Ibrahim.

Isnin, September 15, 1997

Seni Cipta Lagu : M.Nasir

petikan ROTTW September 1997 (vol. 11)

M Nasir merupakan seniman yang tidak perlu membuktikan apa-apa lagi.Sepanjang penglibatan beliau di dalam dunia muzik (lebih 20 tahun), Nasir telah menghasilkan beratus (mungkin menjangkau angka ribu) lagu yang mencangkupi pelbagai elemen. Nasir berjaya menguasai irama Pop, Rock, Blues, Reggae, Folk sehinggalah irama yang diberi nama Nusantara yang bertunjangkan akar muzik Malaysia. Walaupun lagu ciptaan beliau tidak lagi membanjiri pasaran muzik tanah air seperti mana lima tahun lalu, Nasir masih aktif berkarya untuk dirinya.


S: Bagaimana dengan proses album terbaru?
J: Dalam pembikinan. Sedang kumpul apa sahaja melodi yang ada , tengah cari-cari apa yang patut. Cuma buat dahulu dan tengok apa yang berlaku.

S:: Apakah yang hendak saudara ketengahkan pada album terbaru itu nanti?
J: Hari ini saya berkarya mengikut naluri . Ia, kalau ikut naluri, bentuknya akan jadi 'sebegitu 'juga. Seseorang itu akan memberikan bentuk itu juga, tapi dengan lagu-lagu yang baru kerana elemen-elemen lama dalam karya seseorang seniman itu harus dipertahankan.

S: Elemen-elemen lama yang bagaimana ?
J: Elemen lama yang macam..err..lagu rakyat, lagu berbentuk American folk, toga yang berbentuk kemelayuan. Itu semua akan timbul, tapi bila semuanya dah jadi, nanti saya akan tapis kembali, mengikut apa-apa yang saya betul-betul hendak. Selepas itu semuanya akan dilihat lain. Seperti memikirkan cerita filem yang belum ada skrip. Di segi pemilihan instrument untuk album ini sudah saya bayangkan namun inti konsep keseluruhan album ini saya belum putuskan. Dalam tempoh pos produksi ini, saya hanya merakam apa sahaja melodi di dalam studio.

S: Apakah formula saudara sewaktu mencipta lagu dan apakah instrument asas yang saudara gunakan ?
J: Mencipta lagu adalah 'ancient craft' . Salah satu kraf yang terkuno. Kraf yang telah dihasilkan oleh orang zaman-zaman dulu. Tanpa instrument pun boleh buat lagu (mengetuk meja sambil menyanyikan melodi pendek). Cara saya mencipta lagu hari ini tidak banyak berbeza dengan cara saya dahulu mungkin 'tools' sahaja yang sedikit berbeza kemudian proses rakaman dibuat secara tradisional secara konvensional sahaja. Kali ini saya cuba menggunakan gendang sebagai peralatan asas dalam penghasilan melodi. Gitar saya akan gunakan kemudian apabila hendak mengetahui kord-kord yang terdapat pada melodi tersebut. Bila lagu itu dicipta dari gendang, ia ada bunyian dan bentuk yang tertentu.
Gitar sering digunakan oleh ramai pencipta lagu kerana mudah menentukan kord. Saya sebenarnya cuba larikan dia dari bentuk-bentuk folk.(American folk) Bila kita pegang gitar aje, kita tak boleh lari. Siapa pun, tanpa disedarilah.. Bila pegang gitar, dan strum gitar tu.. 'strumming' tu sahaja adalah folk. (Strumming gitarnya) Bunyinya pun dah folk kon? Letaklah apa-apa sahaja bunyi, alternative ke, thrash ke, dan bunyi-bunyi lain, tapi sebenarnya ia adalah folk. Asal-usulnya folk, blues atau country.

S: Mungkin ada yang mengaitkan album terbaru saudara nanti seperti album kumpulan- kumpulan nasyid (yang tidak menonjolkan instrument bertali ).
J: Sebenarnya album nasyid memang pernah saya fikirkan . Ketika itu , saya bercadang bersama Jay Jay , Arab untuk menghasilkan album nasyid progresif. Tapi projek itu tidak bergerak-gerak .

S: Saudara begitu menekan pada segi naluri saudara dengan penciptaan lagu ?
J: Benar, tetapi bukanlah bergantung kepada naluri sahaja, kita juga mesti ada ilmu. Kita mesti ada pengaruh, kita hidup daripada kecil dan kita dipengaruhi oleh bermacam-macam muzik. Jadi naluri yang telah banyak dicampur dan dipengaruhi oleh banyak jenis muzik. Kalau ada ilmu, kita akan dapat mengetahui scale dan apa jenis muzik yang telah mempengaruhi naluri. Matlamat seorang seniman yang ingin menghasilkan karya yang jujur ialah apabila beliau berjaya menghilangkan influence itu semua ! (Ketawa).

S: Apakah lagu atau muzik yang dikategorikan sebuah karya yang jujur bila seniman tersebut menghasilkan muzik yang mengikut kemampuan ilmu muziknya?
J: Kalau ikut kemampuan, orang itu tak boleh mendakwa beliau menghasilkan seni. Bagaimana kalau kemampuannya lemah? Jika, pengetahuan tidak cukup kita tak boleh buat seni. Kita hanya boleh buat hiburan...kita nak cerita pasal hiburan ataupun seni ?

S: Dua-dua..
J: Kita tidak boleh merasa rendah diri dengan berkata inilah kemampuan aku. Seseorang tu contohnya, telah mengambil Master dalam bidang muzik. Bila tamat pengajian beliau mesti merasakan beliau setaraf dengan profesor yang mengajarnya dahulu atau mungkin lebih tinggi. Beliau tidak boleh rendah dari itu. Barulah boleh diiktiraf sebagai pencipta atau seniman. Tapi kalau nak cipta juga, boleh. Tidak ada siapa yang boleh melarang.

S: Tapi bukankah sebab dia 'cuba ' untuk membuat sesuatu dengan bakat yang dirasakan ada dimilikinya
J: Cuba kosong tidak boleh.

S: Saudara pun bermula dengan mencuba juga....
J: Tetapi saya mencuba dengan dah tahu!

S: Apa yang saudara tahu pada ketika itu ?
J: Dah tahu apa jenis muzik yang nak dibuat. Kekurangan pada ketika itu ialah teknologi sahaja. Lagu memang senang nak buat. Nak kasi orang suka, susah. Sekarang 'gelombang' pendengar sudah berubah . Mereka lebih gemar mendengar hasil karyawan baru bunt lagu, lebih suka group baru buat lagu, walaupun group tu tak berapa bagus. Asalkan 'fresh' mereka terima. Semua orang nak yang baru dan selalunya benda-benda ni sekejap. Tapi.... itulah muzik pop.

S: Apakah saudara masih mengilap bakat atau sudah berpuas hati dengan kejayaan yang pernah saudara kecapi?
J: Saya buat lagu. Kalau boleh saya nak memberi hiburan , kalau bolehlah. Tapi..hiburan secara penjelmaan daripada dalam.. fikiran dan perasaan . Pasal apa, saya dah fikirkan senikata dan kerana senikata-senikatanya sebegitu maka lagunya mesti 'seperti itu" juga!. Jadi bukan sahaja saya dah fikirkan melodinya, masa dah buat tu saya dah fikirkan secara sub-concious lagunya dan senikatanya...maksudnya bukan dah tersusun, tidak. Tapi apa yang saya nak ceritakan dalam liriknya.

S: Jadi saudara akan bermain dengan senikata dulu..baru melodi ?
J: Dua-dua sekali. Tetapi senikata tersusun, tak ada. Senikata kemudian . Tapi ada ayat-ayat yang terpilih telah dicatatkan di dalam lagu itu.

S: Sekarang masih mencipta lagu setiap hari ?
1: Err..hari-hari. Dan tak ada masa yang tertentu.

S: Temu bual ini bertujuan memberi sedikit panduan kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dalam penghasilan lagu. Apakah resipi utama yang mesti ada pada seorang pengubah lagu terbaik?
J: Perlu mengenal dan mendengar banyak melodi lagu. Tetapi ada dua perangkap di sini satu, beliau mungkin akan terlampau tahu, dia tak boleh buat...takut kerana ; mereka rasakan semua muzik yang mereka hasilkan adalah ciplak. Macam standard lagu blues umpamanya, tak ada lagi blues yang lain. Macam lagu asli, pusing-pusing di situ juga. Tetapi, pencipta lagu yang kreatif boleh bezakan benda-benda begini. Mereka boleh membuat benda itu jadi berbeza. Ini boleh dikelaskan sebagai menciplak dengan kesedaran mengambil sempena..(Ketawa) Sebab terlampau sedap sangat. Sengaja diambil untuk membuat orang memperingati atau apa-apalah… macam satu seni yang diciplak, tapi masih original. Seperti lagu-lagu Beatles yang banyak memberikan ilham kepada orang lain .

S: Saudara kelaskan diri saudara di mana?
J: Saya cuba...menjadi pencipta lagu yang menguasai semua . Rhythm, melodi, senikata . Walaupun cuba membuat eksperimentasi, asas peraturan di dalam sesebuah muzik mestilah dijaga. Kalau nak buat lagu seperti Rn'B ada rhythm-rhythm dan melodi yang mesti dikekalkan . Kalau nak buat lagu Melayu umpamanya, ada undang-undang , landasan, moral dan etika. .

S: Tapi hanya purist sahaja yang tak mahu melanggar landasan tersebut.
J: Kita kena hormat pemuzik begini. Adanya pemuzik tulen makanya ada kita. ! Kalau mereka tidak ada, kita pun tak ada.

S: Saya ingin tahu bagaimana saudara dapat membuat penilaian antara satu ilham yang baik dan buruk ?
J: Itu.... (Berfikir) ..magic ..X-file(senyum sinis) .

S: ...sendiri rasa ..
J: Rasa yang datang dari pengetahuan . Kalau tidak, rasa itu tak boleh pakai. Macam orang gila. Rasa orang gila, jujur: tapi sekadar rasa sahaja, orang lain tak boleh pakai. Rasa yang saya maksudkan di sini ialah rasa yang boleh dikongsi bersama dengan orang lain. Jika ia boleh memberikan manfaat, lagi bagus. Jadi rasa kita terkawal, ini dipanggil tasawuf.

S: Jika ingin menyingkap semula semua pengalaman saudara sewaktu proses mencipta lagu pastinya terlalu panjang.
J: Begini, bagi orang yang boleh membaca note, memang pandai membaca note, tak perlu menyanyi.. dia tulis sahaja…ingat melodi dan tuliskan note dan berupaya membuat susunan muzik tanpa sebarang instrument . Saya seperti orang lain kena pakai instrument untuk membuat melodi kemudian merakamnya. Prosesnya lebih kurang soma. Hari ini ramai yang cipta lagu pakai komputer . Hasilnya akan jadi lain sedikit. Selalunya mereka yang hasilkan kategori muzik dance hip-hop dan sebagainya.

S: Industri muzik kita akan menerima muzik hip-hop tidak lama lagi. Jungle Music cuba dipopularkan oleh industri muzik Amerika agar di zaman cyber nanti, penduduk masih dapat merasai kehijauan melalui muzik .
J: Jadi, kita pun begitu juga?

S: Mungkin. Saudara sendiri cakap, sekarang ramai yang boleh buat muzik dengan komputer. Malah, Eric Clapton pun sudah menghasilkan album yang menggabungkan petikan blues dengan muzik hip-hop , Jungle dan house music menerusi album TDF .
J: (Terkejut) Ha?? Dia terpaksa buatlah sebab nak bayar sewa rumah dia (Ketawa) Bayangkan berapa puluh tahun dia main blues .., mungkin dia dah bosan!!

S: Beliau belum bosan lagi, cuma nak....
J: (Memotong cakap) Dia dah bosan sebenarnya. Tapi peminat tak kisah, asal sedap, mereka akan dengar . Sekurang-kurangnya dia boleh nyanyi, sudahlah. Dia boleh menyanyi dan menyampai dengan baik. Dan perempuan masih suka dengan dia lagi. Dengan 'macho' dia (Ketawa) Itu yang penting dalam industri ini ..itu aje. Mana ada benda lain. Yang penting seksi..

S: Adakah saudara mengikut landasan tersebut atau ada pilihan lain ?
J: Kenyataannya kita buat apa-apa yang patut…yang kita rasa sesuai...setiap komposer perlu mainkan peranan. Sekarang , apa yang hendak diperjuangkan.? Di barat, pasal banyak macam-macam fahaman ada.. akhirnya mereka jadi keliru. Di timur.. keadaannya begitu juga. Kita telah Baratkan. Tak ada lagi timur. Mungkin 10, 20 tahun lagi…muzik melayu akan hilang....mungkin awal lagi.

S: Saudara kan ada?
J: Umur saya- dah 40..jadi bila-bila saja saya akan boleh bosan dengan muzik. Apabila perginya nanti orang seperti Data' M. Daud Kilau dan mereka semua, matilah muzik Melayu. Dia bawa sekali. Ada tengok tak budak-budak baru yang bawa lagu Melayu ? Mereka akan lebih banyak bercakap fasal industrial , alternative. Alternative dihasilkan kerana inginkan kelainan. Kelainan bukan bererti pegangan. Susah untuk menemui penyanyi baru yang boleh menyanyi lagu melayu, jangan cerita lagu arab, lagu mengaji Jadi benda tu matilah. .

S: Balik kepada cara penulisan lagu .
J: Ambil gitar dan menyanyi. Tapi jangan menyanyi ikut kord . Ini akan terbawa kepada penghasilan 'chord words' . Lagu-lagu begitu, jarang yang akan jadi bagus.

S: Jadi, pertama sekali dari segi teknik, cuba dapatkan satu melodi yang tidak terkongkong dengan kord .
J: Melodi untuk pop lebih banyak tertumpu pada strumming dan kordnya. Kalau dengar, lagu dia sama saja. Melodinya tak sedap, sebenarnya tapi mood dia yang orang ikut. Pasal dia nak ikutkan mood kord . Kalau beliau lari dari melodi mood mungkin tak dapat. Jadi, kord penting dalam lagu . Beatles umpamanya bunt melodi dulu. mengapa lagu-lagu mereka semuanya sedap-sedap? Sebab, mereka penyanyi . Jadi mereka tahu mengalunkan melodi. Pada saya , pencipta lagu yang baik ialah mereka yang boleh bernyanyi dengan baik .

S: Bagaimana pula hendak menentukan lagu itu telah siap , tidak perlu ditambah apa-apa lagu di bahagian melodinya?
J: Muzik ada cara dan sistem . Tapi tak perlu lah kita terikat dengan peraturan itu. Kebiasaanya orang akan mula dengan dengan satu part (bahagian) : Umpamanya ia bermula dengan ...(Memainkan gitar) Ambil yang paling simple saja...seperti kebiasaannya kalau buat lagu country rock umpamanya. Kau punya nyanyi pun lenggoknya dah macam country rock.(mainkan gitar) Satu kali…lepas tu kau repeatlah…second verse kononnya…kalau tak hendak, kau punya suka . Lepas tu…kalau ada idea , kau tambahkan sikit kelainan, ikut rasa kau. Lepas tu dia ada bridgenya yang menyambung antara verse dan korus, tapi kalau nak buat panjang, panjanglah. Lepas tu korusnya…korusnya selalunya maksud senikata itu. Supaya senang orang ingat! (Mainkan gitar) kalau tak sedap, tukarlah kord. Lepas tu kalau rasa nak masuk bahagian solo tapi kau rasa aahh.. solo panjang dah ketinggalan zaman jadi tak payah buat bahagian solo yang panjang.
Inilah teknik buat lagu: traditionally dan konvensional . Solo sebenarnya ialah interlude di dalam lagu tersebut. Solo asal-usulnya merupakan bahagian khasnya kerana penggunaan satu-satu instrument. Solo gitar ini menjadi popular kerana ia dipopularkan oleh Jimi Hendrix , Yardbirds dan Cream. Orang ramai mula menggemari muzik kerana kehebatan pemain gitar atau pemain dramnya. Dalam terminologi yang betul, ini dipanggil interlude., Dia macam 'rest' lah.. untuk vokal relax sekejap (Ketawa) Lepas tu kalau dia nak ulang balik, pergi verse. Kalau terus nak pergi korus, nak cepatkan lagu, mungkin pasal melodinya tak kuat sangat, dia terus pergi ke korus atau 'bridge atau apa-apa pun boleh. Lepas tu tiap-tiap melodi, akan turun..(mainkan gitar dan menyanyi dengan menurun) Turun… jatuh untuk menghabiskan lagu. Bagaimana seseorang pencipta lagu hendak menghabiskan karyanya adalah terpulang kepada citarasanya pada lagu tersebut.

S: Apakah diantara lagu ciptaan saudara yang boleh dikategorikan sebagai masterpiece?
J: Masterpiece tu..sendiri peganglah. Orang lain tak perlu ambil kisah . Kalau kita rasa hasil karya itu perfect, itu kita kena sendiri pegang.

S: Berbalik pada ketika mula-mula saudara berkecimpung di dalam bidang penghasilan lagu. Siapakah pengubah lagu idola saudara? Dan, jika diberi kesempatan , apakah soalan mengenai penghasilan lagu yang akan saudara tanya kepada mereka?
J: Secara jujurlah ..tak ada satu pun yang saya betul-betul suka ..melainkan Beatles. Police pun tok ada lagi masa tu. Bob Dylan tak boleh main muzik tapi sajak dan ciptaan lagunya banyak yang bagus-bagus. Muziknya memang tak bagus tapi ciptaannya bagus. Tapi, Beatles jangan cakaplah.

S: Okay, katakanlah berpeluang jumpa Beatles pada ketika itu , dari segi penciptaan lagu, nak tanya apa ?
J: Tak akan saya tanya apa-apa ! Salam ajelah …salam suruh masuk Islam! (ketawa) Saya tak akan tanya punya . Pasal saya tahu dari mana ilham mereka . Saya tahu …dari dulu lagi saya dah tahu. Beatles, sebab dia boleh menyanyi dan kenal dengan budayanya. Nampak macam 'working class' tapi mereka banyak tiru klasikal muzik.

S: Lagi pasal Beatles, sejauh manakah anda mengikuti perkembangan band tersebut?
J: Dari mula sehingga mereka berpecah dan masing-masing menghasilkan album solo. Bukan kenal sangat …tapi bila dah lama ni, saya makin faham. Menghasilkan lagu tidak sukar tetapi lagu yang benar-benar meninggalkan kesan .. hanya terhasil bila kita mengenal budaya bangsa sendiri.

temubual berkaitan Seni Vokal

Jumaat, Ogos 29, 1997

Kesan 'Merah' ke atas M. Nasir

 petikan Berita Harian, 29 Ogos 1997


FILEM sulung arahan M. Nasir, Merah, berjaya membolot hadiah wang tunai M$70,000 ($38,661) setelah meraih Anugerah Filem Terbaik, dalam majlis Anugerah Skrin dan Bintang Popular 96.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai pendorong bagi beliau bergiat lebih aktif dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem, M. Nasir, ketika ditemui Berita Harian Malaysia, berkata: "Kejayaan filem ini memberikan kesan amat mendalam ke atas saya. Ia adalah kejayaan semua pihak yang terbabit menjayakan filem ini. Memang pada mulanya saya tidak menyangka filem ini mampu mengalahkan filem lain yang dicalonkan. Ternyata kenyataan itu salah dan saya agak terkejut dengan kemenangan ini."

Merah, terbitan syarikatnya, Luncai Emas, merupakan kali pertama M. Nasir mengarah dan menerbitkan sebuah filem sejak lebih sedekad beliau bergiat dalam bidang seni.

Dalam satu temubual awal dari itu, M. Nasir dilaporkan tidak begitu runsing sama ada filem pertama arahannya itu akan meletup atau tidak seperti filem oleh Yusof Haslam.

"Saya buat filem bukan nak meletup," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Awie memainkan peranan utama dalam filem Merah yang kini dicalonkan ke Festival Filem Asia Pasifik, di Pulau Cheju, Korea Selatan, dari 6 hingga 9 Oktober ini.

"Filem di Malaysia mempunyai satu tren iaitu menjadikan seorang bintang terkenal sebagai daya penarik dan penampilan Awie ini adalah segala-galanya, dia berlakon dengan baik dan mempopularkan filem itu sekaligus," tambahnya.

Sementara itu, Awie berbangga dan terharu dengan pencapaiannya menerusi filem Merah, yang turut memberinya pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik tahun lalu.

"Awie terharu kerana peminat setia masih lagi bersama Awie dan lebih mengejutkan, Awie menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik.

"Dengan kejayaan ini, terbuktilah bahawa usaha mengambil penyanyi menjadi pelakon bukan sekadar melepas batuk di tangga dan Awie sahut cabaran itu," katanya.

Di samping itu, Awie menyifatkan kemenangannya itu sebagai bukti penyanyi juga boleh menjadi pelakon yang terbaik jika diberi peluang membuktikannya.

"Saya terkejut dengan kemenangan ini. Secara langsung, saya dapat buktikan yang seorang penyanyi juga boleh meraih gelaran Pelakon Terbaik.

"Pernah satu ketika dulu, seorang kenalan saya merendahkan kebolehan saya dan mengatakan saya hanya boleh menjadi penyanyi yang baik. Tetapi hari ini, saya berjaya membuktikannya," kata Awie.

Selain daripada anugerah itu, Awie juga memenangi dua lagi kategori yang dipertandingkan iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular. Dengan itu, beliau membawa pulang M$16,000.

Gandingan tenaga antara M. Nasir dengan Awie mungkin tidak berakhir di situ kerana M. Nasir bercadang mengambil Awie untuk filem terbarunya, Gagak Kayangan.

Menurut akhbar Harian Metro, M. Nasir berkemungkinan mengajak Awie membawa peranan penting dalam filem keduanya yang berunsur komedi itu.

"Saya sekarang di peringkat prapenerbitan untuk Gagak Kayangan. Saya harap filem itu juga akan berjaya. Kalau tiada halangan, mungkin Awie akan dipilih berlakon dan saya sedang mengkaji perkara itu. Namun, saya pilih Awie bukan kerana dia menang hari ini tapi sebab dia sememangnya berbakat sebagai pelakon dan penyanyi," kata M. Nasir yang belum memberi sebarang kata putus.

Dengan kemenangan beliau di majlis anjuran bersama stesen TV swasta, TV3, dan Berita Harian Malaysia, di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam, Ahad lalu, M. Nasir, berkata:

"Saya percaya kemenangan ini akan memberi saya keyakinan yang lebih kepada filem terbitan dan arahan pertama saya ini."

Khamis, Mei 01, 1997

DJ Rasuah: PRO Syarikat Diberkas

petikan Berita Harian 1 Mei 1997

KUALA LUMPUR— Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan seorang pegawai perhubungan awam (PRO) sebuah syarikat rakaman antarabangsa di Malaysia kerana disyaki memberi sogokan kepada juruhebah-juruhebah radio atau deejay supaya lagu-lagu daripada album keluaran syarikatnya diperdengarkan ke udara.

Pegawai berusia 35 tahun itu, yang juga seorang artis dan pengurus rakaman dalam jabatan perhubungan awam syarikat tersebut, diberkas minggu lalu.

Pegawai itu ditahan selama lima hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Penangkapan ini menyusuli penyiasatan selama lima minggu oleh BPR ekoran dakwaan bahawa para deejay radio menerima rasuah daripada syarikat-syarikat rakaman.

Pasukan pegawai BPR yang menyiasat kes ini mempunyai bukti bahawa kira-kira 10 juruhebah radio dikatakan menerima rasuah.

Pencipta lagu dan penyanyi M. Nasir, yang terkenal dalam kalangan industri muzik Malaysia kerana pandangan-pandangannya yang kontroversi, mendedahkan bahawa sesetengah syarikat rakaman terpaksa 'beri makan' kepada juruhebah radio supaya lagu-lagu mereka diperdengarkan di udara.

Sementara itu, Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar) meminta juruhebah negara tersebut mengambil pendirian tegas terhadap syarikat-syarikat rakaman yang cuba menawarkan sogokan. Penyiar juga meminta juruhebah berwaspada apabila berurusan dengan syarikat rakaman atau wakilnya supaya tidak menimbulkan sebarang tohmahan kurang menyenangkan seperti yang dibuat oleh M. Nasir.

Akhbar Berita Harian Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung Penyiar, Mazlan Abdul Hamid, berkata isu yang dicetuskan oleh M. Nasir dianggap serius kerana ia membabitkan kredibiliti dan profesionalisme juruhebah di Malaysia keseluruhannya.

"Penyiar berpendapat dakwaan terbuka M. Nasir kali ini keterlaluan. Beliau melihat daripada sudut dan kacamata peribadinya. Soal rasuah membabitkan dua pihak, pemberi dan penerima.

"Kalau benar wujud seperti yang didakwanya, syarikat rakaman juga wajar dipertikaikan. M. Nasir sebagai karyawan, mengapa tidak menegur syarikat rakaman," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Radio, Angkasapuri, kelmarin.

Penyiar ditubuhkan pada 1984 dan mempunyai lebih 1,000 anggota. Lebih 300 anggotanya ialah juruhebah daripada semua stesen radio di Malaysia.

Mengenai penyelesaian yang perlu dibuat untuk menjernihkan keadaan, Mazlan menjelaskan perkara itu bergantung pada pendirian M. Nasir.

"M. Nasir melalui Papita mungkin boleh mengadakan perbincangan dengan Penyiar, yang menjadi orang tengah antara beliau dengan juruhebah. Ini bergantung pada kehendak kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau juga menegaskan sehingga kini tiada juruhebah bertindak menggam lagu M. Nasir.

"Namun ibarat orang yang hatinya sudah terluka, sudah tentu sedikit sebanyak perkara itu mempengaruhi perasaan juruhebah. Tetapi setiap juruhebah sentiasa diawasi oleh ketua masing-masing supaya dapat menjalankan tugas mengikut arahan yang ditetapkan," kata Mazlan.