petikan Berita Harian, 7 December 1997
Kelolaan Hanim Mohd Saleh
M.Nasir beri sebab kenapa tak rakam album Inggeris, beri tip cipta lagu sedap
"Muzik Melayu sebenarnya lebih kaya daripada muzik Barat. Kalau Barat hanya tertakluk kepada 12 bar Do Re Mi... dan seterusnya, bar untuk muzik Melayu tidak ada hadnya. Pengaruh budaya daripada puluhan daerah Timur membentuk muzik kita... ada pengaruh Latin, Arab, Hindustan dan Cina."
— M. Nasir
KALAU ada yang pernah terfikir, mengapa pemuzik sehebat M.Nasir sejauh ini belum merakamkam album Inggeris, jawapannya sebenarnya ada pada lagu-lagu Melayu sendiri.
Kata seniman kelahiran Singapura itu, orang Melayu sepatutnya lebih berbangga menghasilkan muzik Melayu kerana kekayaan seninya yang tidak dapat ditandingi Barat.
"Muzik Melayu sebenarnya lebih kaya daripada muzik Barat. Kalau Barat hanya tertakluk kepada 12 bar Do Re Mi... dan seterusnya, bar untuk muzik Melayu tidak ada hadnya. Pengaruh budaya daripada puluhan daerah Timur membentuk muzik kita... ada pengaruh Latin, Arab, Hindustan dan Cina.
"Sebab itu kita kena kenal sejarah. Hanya pemuzik yang tahu akar umbinya akan dapat menghasilkan muzik yang tinggi nilai seninya," kata Nasir yang telah menghasilkan lebih 1,000 lagu sejak menceburi bidang muzik lebih 20 tahun lalu.
Nasir, menerusi sesi Bicara Karya anjuran Persatuan Karyawan Muzik Singapura dan Jamm Recording Studio, untuk pertama kali berkongsi pengalaman bagaimana menghasilkan lagu yang baik dan sedap di dengar.
Sesi tersebut dihadiri oleh penggemar muzik tanah air yang mahu berjinak-jinak dalam seni gubahan muzik dan penulisan lirik.
Jadi, bagaimana nak hasilkan muzik yang sedap?
Tidak ada formula, kata Nasir, tetapi pemuzik harus peka terhadap muzik sekitarnya.
Berdasarkan pengalaman beliau, kata Nasir, muzik paling laku di pasaran ialah muzik yang mudah gubahannya.
"Tetapi nak buat muzik yang mudah itulah yang susah. Kalau anda perhatikan lagu-lagu gubahan Allahyarham P. Ramlee dan Wandly Yazid, semuanya mudah susunannya. Tak bercelaru.
"Apa yang penting ialah kita tak boleh lokek keluarkan melodi," ujarnya.
Tambah Nasir, berdasarkan pemerhatiannya, orang yang terlalu banyak bermain alat-alat muzik elektronik seperti keyboard sukar mencipta lagu yang baik kerana mereka terbatas dengan bunyi-bunyian yang terdapat pada alat tersebut.
"Ini amat berbeza jika anda seorang penyanyi atau main muzik yang membolehkan anda menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan bunyi seperti gendang. Seorang penyanyi lebih tahu nada atau chord mana yang lebih sedap berbanding dengan pemuzik alat elektronik," kata beliau lagi.
Agak menarik perhatian apabila Nasir bersikap terbuka mengenai sikap penggubah muda yang terpengaruh dengan lagu-lagu yang sedia ada, lantas menghasilkan lagu seakan-akan satu 'ciplakan'.
"Tiru juga satu seni. Kita boleh pinjam satu melodi sebuah lagu dan kemudian kembangkan melodi itu kepada bentuk muzik kita sendiri.
"Dengan keadaan ribuan atau jutaan muzik yang dah ada di seluruh dunia, mustahil kalau kita kata melodi yang kita keluarkan adalah yang pertama kali diciptakan. Mana kita tahu orang Sepanyol, Arab atau Afrika dah buat? Yang penting, kita pelbagaikan irama itu," kata Nasir lagi.
Beliau juga menggesa pemuzik muda agar jangan cepat patah semangat jika lagu-lagu mereka kurang mendapat perhatian syarikat rakaman.
"Teruskan berkarya," katanya.
Kegiatan terkini
- Beliau sudah mula masuk Studio Ronggeng miliknya untuk rakaman album terbaru. Setakat ini, empat lagu telah dipilih untuk rakaman.
- Sedang bersiap menerbitkan filem kedua, Gagak Kayangan, yang menampilkan Awie dan kemungkinan, Erra Fazira. Penggambaran dijangka bermula selepas Hari Raya.
- Luncai Emas Sdn Bhd (syarikat milik Nasir) sedang mengatur konsert luar negara kedua, kali ini di Australia. Konsertnya di Royal Northern College of Music, Manchester, pada Mac lalu, mencapai kejayaan membanggakan.
- Nasir juga bakal mengeluarkan album empat artis berkumpulan My Pet Alien, D'Spider, Primary Sun dan Malaysian People. Mereka terpilih daripada uji bakat yang diadakan oleh Luncai Emas.
- Sedang dalam proses mengadun suara bagi album penyanyi Ruhil Amani Hussein dan Khatijah Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan