ANALITIC

Rabu, April 09, 2008

Interaksi: 'Muzik kita sentiasa kena jajah'

petikan Harian Metro 9 April 2008

SIAPA yang tidak mengenali M Nasir. Dia bukan saja dikenali sebagai penyanyi dan komposer malah pelakon dan pengarah filem. Banyak anugerah diterima hasil sumbangan dan pencapaiannya dalam seni.

Terbaru pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) yang berlangsung 30 Mac lalu, M Nasir dinobatkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat berdasarkan sumbangan besarnya kepada perkembangan muzik tanah air.

M Nasir yang popular menerusi karya terbaiknya seperti album Kembara, Seniman Jalanan, Phoenix Bangkit dan Sang Pencinta, masih terus berkarya dan menguruskan syarikat studio miliknya, Luncai Emas Sdn. Bhd.

Ikuti temubual wartawan Harian Metro, ELRAFAEI SAPI mengenai inspirasi penghibur berusia 51 tahun itu dalam bidang seni, matlamat dan fokus terbarunya mengarahkan filem keduanya, Aduh Saliha.


SOALAN (S): Tahniah atas anugerah yang diterima baru-baru ini. Apa ertinya anugerah itu buat saudara?

JAWAPAN (J): Pengiktirafan ini dibuat sebagai tanda prihatin penganjur kepada insan seni yang banyak memberi sumbangan kepada perkembangan persada hiburan tanah air. Bagi saya, anugerah ini mempunyai nilainya tersendiri dan saya bangga atas pemberian ini.

S: Apakah berbaloi pengiktirafan anugerah berdasarkan perjuangan seni anda selama ini?

J: Soal berbaloi atau tidak, ia bergantung kepada banyak faktor. Anugerah ini pengiktirafan dari khalayak kepada saya dan orang ramai melihat anugerah ini kejayaan saya berdasarkan graf perjalanan karier seni saya selama ini.

Namun, dalam diri saya sebenarnya masih ada rasa kecewa dan matlamat yang belum dicapai. Sungguhpun begitu saya harus memandang ke hadapan dan masih lagi dalam perjalanan untuk mencapai matlamat itu.

S: Bagaimana anda melihat perkembangan muzik tempatan kini secara amnya?

J: Dalam menilai perkembangan ini, saya sendiri bertanyakan pada diri apakah cukup sumbangan saya selama ini kepada persada muzik tanah air dan masyarakat.

Bagi saya, persada muzik tempatan kini masih mengalami kemerosotan dengan penjualan album yang terjejas dan peluang artis mengadakan persembahan konsert serta penerimaan masyarakat sendiri semakin berkurangan. Apa yang kita lihat hari ini artis dari luar negara masih mendominasi pasaran muzik tempatan.

S: Jika persada muzik kita begitu, apakah cara terbaik untuk mengatasi masalah ini?

J: Masyarakat melihat perkembangan muzik hari ini arus perdana yang tidak boleh ditentang tetapi arus ini pada suatu masa akan tetap berubah. Sejak saya mengenali persada hiburan tanah air, saya berpandangan muzik kita sentiasa dijajah artis dari luar dan perkara ini terus berlaku berkali-kali.

Malah, jika dilihat artis kita sendiri, mereka masih tergolong dalam kelompok artis tempatan yang belum boleh mencapai peringkat tinggi.

Hanya ada segelintir artis saja yang mampu diketengahkan bakat tetapi jumlahnya sedikit.

Mengapa keadaan ini berlaku dan kenapa konsert artis tempatan kurang mendapat sambutan dari khalayak sendiri jika dibandingkan dengan konsert artis luar yang terus dikunjungi walaupun tiketnya mahal.

Dalam mencari puncanya, terdapat banyak faktor mendorong pemasalahan ini. Selain sikap artis tempatan yang ada ‘over expose’, sikap penaja yang tidak mahu menaja konsert artis tempatan, permasalahan ini juga merujuk pada sikap masyarakat yang tidak global.

S: Antara bakat dan penampilan, apakah kedua-duanya memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang artis itu?

J: Artis yang berjaya perlu mempunyai bakat semula jadi dan sebagai penyanyi, perlu ada suara yang sedap. Lalu dengan bakat yang ada, penampilan juga penting dalam membantu menaikkan profil artis itu. Tanpa penampilan dan paras rupa, memang sukar artis untuk pergi jauh.

S: Apakah kita perlu mengadakan lebih banyak acara anugerah bagi mengiktiraf sumbangan karyawan seni?

J: Majlis anugerah adalah sebuah acara yang bagus diadakan setiap tahun tetapi kita harus ingat supaya artis tidak terperangkap dengan glamor anugerah yang dimiliki. Biar seseorang artis yang menerima anugerah itu benar-benar memberi sumbangan kepada persada seni.

S: Bagaimana dengan perkembangan filem Aduh Saliha?

J: Penggambaran dijangka bersambung pertengahan bulan ini dengan menyiapkan baki penggambaran sebanyak 50 peratus. Selepas Sabah, lokasi penggambaran kali ini tertumpu di sekitar Kuala Lumpur.

S: Secara kasar, apakah Mawi berkebolehan untuk berlakon dan dia mampu menjadi pelaris filem ini?

J: Mawi seorang artis yang boleh dibentuk dan dia sebenarnya mempunyai bakat berlakon. Jika dinilai, Mawi mempunyai cara dan penampilan tersendiri sebagai artis walaupun ada ketika dia kelihatan canggung tetapi bersahaja.

Selepas terbabit dalam filem ini, keyakinan diri Mawi semakin meningkat cuma bakatnya diukur pada watak yang akan dipersembahkan. Setiap pembikin filem pasti mahu filem mereka mempunyai pelaris dan saya sendiri berharap agar sambutan filem ini positif.

S: Apakah artis kita boleh berjaya dalam dua bidang serentak seperti Mawi, menyanyi dan berlakon?

J: Jika seseorang artis itu suka dengan bidang yang diceburi, dia boleh berjaya. Sememangnya promosi penting dalam menaikkan artis tetapi artis tidak boleh over expose dengan media hingga peminat berasa bosan. Dalam bidang hiburan, peminat sentiasa mahukan benda baru dan hari ini, sesebuah lagu hanya mampu popular dalam tempoh tiga bulan saja dan jualan sesebuah album tidak sampai 10,000 unit.

Tiada lagi lagu ‘sensasi’ seperti zaman 80-an dahulu yang mampu bertahan lama. Pada masa kini, hanya artis yang paling menonjol, dia mampu meneruskan kehidupan.

S: Apa nasihat anda kepada artis lain khususnya artis muda?

J: Jika anda berkebolehan menyanyi, perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh, tidak putus asa dan bijak memilih penampilan yang sesuai dengan konsep muzik yang dipersembahkan. Menghasilkan karya atau lagu yang mampu memberi ‘rasa’ pada peminat amat penting seperti suara Jamal Abdillah yang memberi penghayatan pada lagu dan ia sampai kepada peminat.

Selasa, April 01, 2008

Terus berkarya selagi terdaya

petikan Berita Harian 1 April 2008
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Persembahan Mantap: Hattan, Ramli Sarip, Ella, Amy dan Awie menyampaikan lagu Kepadamu Kekasih.

M Nasir nasihat penggiat seni tabah hadapi cabaran

NAMA M Nasir memang sudah lama punya kaitannya dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Pada ABPBH 1994, dia diumumkan Artis Paling Popular di samping Penyanyi Lelaki Popular, manakala pada ABPBH 2000 dan 2001 pula, dia muncul pemenang Penyanyi Lelaki Popular.

Dicampur dengan anugerah lain, sudah puluhan trofi menjadi milik penggiat seni ini. Lalu, pemilihan sifu muzik itu sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 2007 dilihat paling tepat dan kena dengan masanya.

Siapa yang berani menyangkal sumbangan dan pencapaian penyanyi, penerbit album, pencipta lagu, penulis lirik, pelakon dan pengarah filem terkemuka ini?

Biarpun sudah tiga dekad menghambakan diri pada seni, karya Nasir akan terus menyinari dunia seni. Paling tidak, itulah janji empunya diri sebaik saja ditemui selepas menerima trofi terbabit di Arena of Stars, Genting Highlands, kelmarin.

Katanya, dia akan terus berkarya selagi terdaya dan anugerah pencapaian sepanjang hayat itu tentunya memberikannya lebih semangat untuk menghasilkan karya lebih baik pada masa depan.

Pengiktirafan: M Nasir mahu terus menyinari bidang seni.

"Apa yang saya hendak cuba habiskan kini ialah filem Aduh Saliha," katanya yang mengucapkan terima kasih untuk akhbar Berita Harian kerana menghargai sumbangannya dalam industri hiburan sehingga kini.

Sebagai artis yang sudah sekian lama berdepan dengan pahit maung dunia seni, Nasir juga sempat menghulurkan sedikit nasihat buat penggiat muda hari ini.

"Paling penting, seseorang penggiat seni perlu memiliki ketabahan. Sebagai anak seni, ada waktunya kita mudah berasa hati. Saat beginilah yang memerlukan kita berasa tabah, dengan segala ujian yang menghampiri.

"Pada masa yang sama, peminat boleh melupakan kita kerana mereka sentiasa mahukan sesuatu yang baru. Kerana itu juga, kita memerlukan daya ketahanan yang tinggi. Hanya karya yang baik mampu menjawab segala-galanya," ujar Nasir yang cukup berharap dapat menerbitkan album terbaru, hujung tahun nanti.

Pada satu pertanyaan, Nasir tidak menolak perasaan sedihnya apabila sebahagian penghargaan kepada anak seni cuma diberikan setelah penggiatnya sudah pun meninggal dunia.

"Sedih memanglah sedih, namun begitulah keadaannya kerana selalunya manusia itu cukup sibuk," katanya.

Isnin, Mac 31, 2008

Populariti tunjang utama dunia artis

petikan Berita Harian 31 Mac 2008
Oleh Zainuri Misfar


PENTING: M Nasir percaya populariti membantu seseorang artis masyhur.

Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2007, M Nasir berkongsi pendapat


DALAM sejarah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), M Nasir pernah dipilih oleh peminatnya sebagai Bintang Paling Popular pada tahun 1994 mengatasi mereka yang masih muda dan lebih popular daripadanya pada waktu itu seperti Awie, Erra Fazira, Ziana Zain, Sofia Jane, kumpulan KRU, Spring dan Nora. Pada tahun itu juga, beliau dipilih sebagai Penyanyi Lelaki Popular.

Bahkan M Nasir yang menampilkan genre muzik agak unik dan tersendiri itu dipilih sebagai Penyanyi Lelaki Popular untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada ABPBH2000 dan 2001.

"Tahun 1994 menjadikan saya mengerti realitinya berada dalam dunia seni. Bagi saya, selagi ada di sini, saya kena hadapi, nak rasa apa pun, suka atau tak suka, kita kena terima yang orang ramai memang suka kita. Jadi pada saya, apabila orang suka pada kita, baguslah," katanya yang ditemui di pejabat Luncai Emas Sdn Bhd, syarikat miliknya di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Sebaliknya, jelas Nasir, apabila orang tidak suka, seseorang artis perlulah mencari sebab mengapa dirinya tidak lagi disukai.

"Orang yang sudah biasa popular, tetapi tiba-tiba orang sudah tidak suka, dia mesti merindui (zaman popularitinya). Jadi, adakah kita masih nak salahkan orang? Manusia ini suka mencari sesuatu yang menyebabkan dia menyukainya. Itu sebab apabila orang sudah sukakannya, dia akan jadi popular," katanya.

Beliau berkata, seseorang penghibur, pelakon atau penyanyi memang seorang yang sensitif dan perasaan itu memang seharusnya ada dalam jiwa mereka.

"Mereka (artis) memang perlu sensitif kerana perasaan itu akan mendorong mereka untuk menjadi popular. Memang artis nak pujian. Kalau ada yang kata mereka tidak mahu pujian atau populariti, itu cakap saja. Mereka yang kata tidak mencari populariti adalah mereka yang berada dalam keadaan di bawah sedar. Mereka sedar pujian penting, tapi mengaku kononnya tidak perlukan pujian," jelasnya.

Populariti adalah pokok dalam dunia artis dan ia penting bukan saja di kalangan penggiat dunia hiburan tetapi juga bidang lain. Ini kerana populariti boleh membawa kemasyhuran. Dan, kemasyhuran itu menjadi 'kuasa' bagi artis yang berasakan dirinya popular.

Demikian pandangan M Nasir dalam memberikan definisi mengenai populariti.

"Orang nak popular kerana mahu disukai ramai, dikenali dan inginkan kemasyhuran. Populariti adalah pokok utama dalam dunia artis. Memang populariti sangat penting, bukan saja kepada artis tetapi semua orang.

"Dalam perniagaan, populariti penting kerana ia dapat membantu meningkat produk jualannya. Inilah tujuan mengapa mereka perlukan populariti sebab boleh digunakan untuk banyak tujuan," katanya.

Nasir berkata, dia tidak percaya langsung dengan dakwaan mereka yang menceburi bidang hiburan tidak memerlukan populariti.

"Populariti penting kerana bagi penyanyi atau pelakon, mereka mahu dikenali ramai dan orang suka pada dirinya. Bayangkan awak nak nak jadi penyanyi, tapi orang tidak suka dengar suara awak sebab awak tidak popular. Adakah awak boleh seorang penyanyi berjaya? Seseorang artis yang tidak dapat mencari populariti bermakna dia gagal dalam kerjayanya," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, orang suka kepada seseorang artis itu kerana beberapa sudut tertentu seperti kecantikannya, personaliti, gaya, penampilan dan bakat.

"Bakat ini termasuklah dengan hasil kerja yang bagus. Kalau penyanyi, suaranya bagus," jelasnya.

Nasir juga menjelaskan pengertian populariti juga terbahagi kepada beberapa jenis. Pertamanya, popular secara umum, bermakna semua orang suka pada dirinya. Kelompok kedua pula ialah 'cult artist' iaitu mereka yang popular dalam kelompok tertentu saja.

"Mereka yang dalam golongan 'cult artist' ini tidak disukai atau tidak popular di kalangan semua orang. Mereka disukai oleh golongan tertentu. Golongan 'cult artist' ini lebih daripada peminat setia. Kumpulan rock indie atau underground, misalnya, adalah kumpulan 'cult artist'.

"Walaupun tidak popular tetapi mereka ada pengikutnya tersendiri," katanya.

Kata Nasir, satu lagi kategori populariti disebut sebagai 'admire' atau memuja.

"Kerana terlalu admire, seseorang artis menjadi pujaan dan dianggap sebagai idola atau diva. Peminat tidak peduli apa yang pujaan mereka buat. Bagi mereka semuanya betul.

"Ramai juga artis yang popular dalam kelompok ini. Mereka berasakan dirinya masyhur, sudah ada kuasa dan boleh buat apa saja yang mereka suka dengan 'kuasa' populariti yang mereka peroleh," kata Nasir lagi.

Tambahnya lagi, apabila seseorang artis tidak dapat menangani kuasa kemasyhuran itu dengan sewajarnya, ia boleh mendatangkan kesan negatif. Oleh itu, mereka yang sudah mempunyai kuasa kemasyhuran itu perlu berhati-hati membawa gelaran populariti.

Populariti boleh membantu mengembangkan kerjaya seni. Bagaimanapun, populariti juga boleh membunuh atau menyekat kerjaya seorang pelakon, penyanyi atau sesiapa saja. "Apabila sudah ada kuasa masyhur, mereka mula menunjukkan perangai yang bukan-bukan. Ini kerana mereka sudah ada 'kuasa' iaitu kuasa kemasyhuran daripada populariti tadi," jelasnya.

Apakah populariti membebankan seseorang artis?

Nasir menjawab; "Sebelum popular, seseorang itu kena kejar dan berusaha meletakkan dirinya dikenali ramai. Seseorang artis mesti popular. Popular tidak dapat dielakkan. Saya tidak percaya kepada mereka yang cakap popular tidak penting.

Menurutnya, sama ada seseorang artis itu boleh mengawal diri dengan populariti yang dibawanya, ia bergantung kepada peribadi masing-masing

Ahad, Mac 30, 2008

ABPBH 2007 - Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat - Dato' M. Nasir

Anugerah Bintang-Bintang Popular Berita Harian ke-8 adalah penganjuran majlis penganugerahan seniman tahunan kali kelapan anjuran Berita Harian (kini dikenali sebagai Anugerah Bintang Popular).

Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-21 diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 30 Mac 2008. Majlis ini dikendalikan oleh Fauziah Ahmad Daud dan Raja Azura sebagai pengacara. Secara keseluruhannya, terdapat 16 anugerah dipertandingkan.

 Kategori "Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat" menjadi ganti kepada tiga anugerah khas yang diberikan kepada tokoh seni veteran sebelum ini, iaitu "Anugerah Biduan Veteran", "Anugerah Seniwati Veteran" dan "Anugerah Khas Bintang Popular".


M Nasir dianugerahkan dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. (sumber : Youtube)

Mawi terus menyerlah apabila merangkul gelaran "Bintang Paling Popular" untuk kali ketiga berturut-turut sejak tahun 2005. Beliau hanya meraih 119,268 undian keseluruhan, kurang jumlahnya berbanding dua tahun sebelumnya, iaitu 351,570 undi (2005) dan 261,555 undi (2006). Walau bagaimanapun, beliau berjaya membawa pulang kereta Peugeot 407 (2.0) bernilai RM 185,000 tajaan Nasim Sdn. Bhd. serta set barang kemas eksklusif daripada Habib Jewels Sdn. Bhd. bernilai RM 150,000 selain trofi.

Majlis ini juga turut melakar sejarah tersendiri dengan mencatat 4.5 juta penonton ketika disiarkan secara langsung selama dua jam setengah di TV3, iaitu mewakili 63.5 % daripada keseluruhan penonton, sekali gus mengatasi jumlah penonton tahun lalu seramai 4.41 juta orang.

Bintang Paling Popular: Mawi
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: M. Nasir
Pelakon Filem Lelaki Popular: Rusdi Ramli
Pelakon Filem Wanita Popular: Fasha Sandha
Penyanyi Lelaki Popular: Mawi
Penyanyi Wanita Popular: Siti Nurhaliza
Artis Berkumpulan/Duo Popular: Sofaz
Penyanyi Nasyid Popular: Rabbani
Pelakon TV Lelaki Popular: Rosyam Nor
Pelakon TV Wanita Popular: Dynas Mokhtar
Artis Komedi Lelaki Popular: Saiful Apek
Artis Komedi Wanita Popular: Sheila Rusly
Artis Baru Lelaki Popular: Dafi
Artis Baru Wanita Popular: Mila
Pengacara TV Lelaki Popular: Aznil Nawawi
Pengacara TV Wanita Popular: Fara Fauzana
Penyampai Radio Lelaki Popular: Faizal Ismail
Penyampai Radio Wanita Popular: Fara Fauzana

Ahad, Mac 23, 2008

M Nasir Live In Dublin

sumber : rott




Di balik cermin mimpi : M Nasir Live in Dublin


Sesat di Kuala Lumpur : M Nasir Live in Dublin

Berikut adalah review konsert ini yang telah dibuat oleh rott yang telah menghadiri konsert Sifu di bumi Ireland tempoh hari.
Tiket utk berjumpa sifu ini telah dijual bermula pada bulan 12 tahun lepas. Setelah 3 bulan lebih menunggu, akhirnya tercapai juga hasrat orang Malaysia di Dublin utk berjumpa dengan sifu. Gate Ambassador telah dibuka pada pukul 2.30petang hari Jumaat yang merupakan hari Good Friday dan cuti di Ireland. Artis undangan yang telah diundang ialah Mr Art Fazil dari UK. Beliau memulakan persembahan dengan lagu lagu beliau seperti Dikir Fikir Fikir, Satu Suara, Nur dan satu lagu baru khas utk warga Malaysia di bumi Irish, Melayu di kota Irish ( Inggeris ). Dan selepas itu Sifu M. Nasir pun memulakan persembahan yang sempoi dan bertenaga. Walaupun beliau sampai sini hari Rabu dan konsert/gig ni hari Jumaat, masa berlatih dengan band warga Dublin ni pon singkat, persembahan beliau sungguh bertenaga.
Terima kasih kepada yang telah menjayakan konsert ini, dan terima kasih kepada mastermind dalam perjalanan konsert ini dari awal hingga akhir. Semoga sifu tak serik utk dtg lagi ke Dublin ni.

Walaupun aku tak dpt jumpa nak bergambar dengan sifu, bersalaman dengan dia... takpe lah. Aku pun taknak kacau program sifu utk berjalan jalan di Kota Irish ini. Diharap sifu dpt bawak balik kenangan manis selama berada di sini.

Lagu lagu yang dimainkan:
- Rajawali Terbang Tinggi
- Hati Emas
- Apokalip
- Raikan Cinta
- Ada
- Juwita Citra Terindah
- Dua Insan
- Gerhana
- Keroncong utk ana
- Tanya sama itu Hud Hud
- Bonda
- Suatu Masa
- Mustika
- Impian Anak Jalanan
- Anak-anak Kita
- Sesat di Kuala Lumpur
- Di balik cermin mimpi

kredit: foto by asraf n rufi video by : torot
*Penghargaan kepada : rott
* Lihat lebih banyak gambar dari Konsert M Nasir di Dublin di sini

Video tambahan dari konsert di Dublin :


Dua Insan : M Nasir Live in Dublin


Impian Anak Jalanan : M Nasir Live in Dublin


Mentera Semerah Padi : M Nasir Live in Dublin

Keroncong Untuk Ana : M Nasir Live in Dublin



Juwita Citra Terindah : M Nasir Live in Dublin


Dua Insan : M Nasir Live in Dublin

Mentera Semerah Padi : M Nasir Live in Dublin


Bonda : M Nasir Live in Dublin

Ada : M Nasir Live in Dublin



Raikan Cinta : M Nasir Live in Dublin

Hati Emas : M Nasir Live in Dublin




Khamis, Mac 20, 2008

Jalil Ngah 1957-2008: Dijadual bedah semalam

petikan Harian Metro 20 Mac 2008
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

PERSADA seni tanah air terus diselubungi suasana suram dengan kehilangan seorang lagi insan seni yang begitu berharga iaitu Pengarah Kreatif, Abdul Jalil Ngah, 51.

Deraian air mata sahabat handai, membuktikan betapa dekatnya Allahyarham di hati mereka. Ia jelas kelihatan apabila M Nasir dan Man Bai berpelukan dalam keadaan sebak.

Sememangnya keadaan seperti ini sukar diterima apatah lagi sebelum ini mereka terpaksa menerima kenyataan kehilangan penulis lirik terkemuka, Rosli Khamis (Loloq).

Beliau yang terkenal di kalangan kru penerbitan termasuk artis rock era 80-an menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 pagi, semalam di Institut Jantung Negara (IJN) akibat sakit jantung.

Arwah yang dilahirkan di Kuala Terengganu meninggalkan seorang balu, Jalina Mustafa, 34, dan dua orang anak Adham, 11 dan Afrina, 8. Jenazah, selamat dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Menurut sahabat baiknya, Ahmad Fitri Emir, 44, atau lebih dikenali sebagai Arab semalam (Selasa) hari kelapan arwah berada di IJN. Dia sepatutnya menjalani pembedahan pintasan jantung jam 7 pagi disebabkan tiga saluran jantungnya tidak berfungsi.

“Bagaimanapun, selepas 25 minit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), dia disahkan meninggal dunia. Sebelum itu, beberapa kali arwah diserang sakit kepala yang teruk sehingga terpaksa diberikan ubat,” katanya.

Arab menambah, arwah sudah lama dikesan menghidap sakit jantung bagaimana kebelakangan ini kadar kesihatannya makin terjejas. Atas alasan itu juga pembedahan pintasan jantung yang sepatutnya diadakan Mei ini terpaksa dipercepatkan kepada 18 Mac.

Putera sulung hasil perkahwinan Jalil dengan isterinya, Jalina iaitu Adham turut ditemubual.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan ayah sudah meninggal.

“Saya menulis satu surat kepada ayah supaya dia kuat dan cepat sembuh malah memberitahu kepadanya yang saya dan adik sangat sayangkannya,” katanya.

Manakala, komposer terkenal Manan Ngah juga adik kepada arwah mengakui langsung tidak menyangka abangnya pergi dalam usia yang muda serta meninggalkan dua orang anak yang masih bersekolah.

“Walaupun sedih, sebagai adik saya harus reda dengan pemergiannya. Apatah lagi, sudah lama dia derita sakit jantung namun enam bulan kebelakangan ini keadaan kesihatan tidak begitu stabil,” katanya.

Rocker terkenal, Amy Search pula berkata, pemergian Jalil Ngah amat dirasai kerana arwah antara orang kuat yang banyak membantu memacu kerjaya seni Search.

“Arwah, antara individu di belakang tabir yang sering bekerjasama dengan Search,” katanya.

Isnin, Mac 10, 2008

Tapa pakar kulit album

petikan Harian Metro 10 Mac 2008
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

Hasilkan lebih 200 kulit album sejak 1979 untuk artis popular tanah air

DIA bukan penyanyi atau pemuzik, jauh sekali penerbit album. Namun, tidak keterlaluan dikatakan sumbangannya dalam industri muzik tempatan sungguh besar.

Betapa tidak, sebagai pereka kulit album, idea dan kreativitinya menjadi antara faktor penentu sesebuah album mampu menarik perhatian pembeli.

Lebih membanggakan, dia anak Melayu pertama bergiat aktif dalam bidang itu, malah pencetus kepada perubahan rupa bentuk kulit album daripada sekadar menggunakan wajah kepada elemen lain daripada yang lain.

Itu keistimewaan Mustaffa Ahmad Hidzir, 53. Lebih sinonim dengan panggilan Tapa, bapa tiga anak itu mula terbabit dalam penghasilan kulit album sejak zaman piring hitam.

Bukan calang-calang penyanyi solo atau berkumpulan menggunakan khidmatnya.

Antara paling awal ialah kumpulan Carefree menerusi album piring hitam berjudul Kebebasan pada 1979, diikuti album Kebebasan II dan Kebebasan III.

Selain kulit album Carefree, ketika zaman piring hitam, Mustaffa turut menghasilkan kulit album penyanyi popular seperti Datuk Sharifah Aini, Sudirman, Noorkumalasari, Raja Kobat, DJ Dave, Hail Amir, Gaya Zakri dan Aman Shah.

Apabila tiba zaman cakera padat (CD), kulit album Francisca Peters berjudul Now’s The Time menjadi kulit album CD pertama dihasilkannya.

kulit album Prahara Seni Abadi ini dihasilkan oleh TapaIni diikuti penyanyi solo dan berkumpulan yang masih aktif sehingga hari ini seperti M Nasir, Search, Wings, Lefthanded, Ramli Sarip, Slam, Iklim, Sheila Majid dan Man Bai, Ella, Rabbani, Noryn Aziz, Amuk, To’Ki dan Jamal Abdillah.

Bagi lulusan Diploma Senilukis dan Senireka (Grafik) Institut Teknologi Mara (kini UiTM) itu, hasil kerjanya menjadi bukti kemampuannya dan dia ternyata tidak silap memilih bidang walaupun pernah mengambil risiko gagal dalam projek akhir ketika menuntut dalam jurusan dari 1974 hingga 1978.

“Ketika melaksanakan projek tahun akhir, rakan lain memilih projek seperti membuat rekaan peket makanan dan yang seumpamanya, tetapi saya memilih membuat rekaan untuk syarikat rakaman, termasuk kulit album.

“Pensyarah kata saya akan gagal kerana menurutnya idea saya mengarut, tetapi saya tidak peduli dan teruskan juga,” katanya yang kini bertugas sebagai Pengarah Seni agensi periklanan Diversified Design Media Consult Sdn Bhd (DDMC) di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Menurut Mustaffa, dia tidak terkejut dengan ‘ugutan’ pensyarahnya kerana apa yang cuba dilakukannya memang dianggap janggal dan asing.

“Saya namakan syarikat rakaman saya Gong Record. Saya buat kulit album dan apa saja yang membabitkan rekaan grafik untuk syarikat itu.

“Kesudahannya apabila hasil kerja saya dipamerkan, ramai yang tertarik dan saya tidak gagal,” katanya.

Mustaffa berkata selepas tamat pengajian, dia bekerja sebagai pereka grafik dengan syarikat rakaman EMI Music Malaysia (EMI) dan ketika itu dia memperoleh lebih banyak pendedahan membuat rekaan kulit album.

“Tujuh bulan selepas itu saya keluar daripada EMI dan mencuba nasib sebagai pereka kulit album bebas.

“Dengan minat, pengalaman dan kreativiti dimiliki, saya berpeluang menghasilkan kulit album artis tempatan.

“Hanya saya anak Melayu dalam bidang itu dan hasilnya pula lumayan apabila untuk satu album boleh mendapat bayaran ribuan ringgit,” katanya.

Menurut Mustaffa, dia berterima kasih kepada syarikat rakaman EMI kerana memberinya kebebasan untuk menghasilkan kulit album mengikut acuannya sendiri.

“Ketika mula bergiat dalam pembikinan kulit album, syarikat rakaman biasanya mahu kulit album memaparkan wajah artis mereka. Saya pula cuba lari daripada kebiasaan itu.

“Menerusi album Malam daripada Sharifah Aini pada 1980 saya membuat pembaharuan dan ia dipersetujui EMI.

“Hasilnya album itu tampil dengan kelainan apabila menggunakan imej pelita minyak tanah berlatarbelakangkan kegelapan dan bukan wajah seperti kebiasaan,” katanya.

Mustaffa berkata, untuk menghasilkan kulit album, biasanya idea diperoleh daripada perbincangan dengan artis dan syarikat rakaman.

Katanya, dia juga menyumbang idea menerusi pembacaan buku berkaitan penghasilan kulit album, selain memanfaatkan minatnya terhadap muzik dan filem.

“Saya turut mendengar terlebih dulu lagu yang dihasilkan bagi mendapatkan gambaran terbaik konsep kulit album. Tajuk album juga perlu diteliti.

“Daripada segi tempoh masa, ia bergantung kepada permintaan syarikat rakaman,” katanya.

Ditanya apa inspirasinya dalam menghasilkan kulit album, Mustaffa tanpa berselindung mengakui sangat terpengaruh dengan kulit album kumpulan rock legenda, Pink Floyd dan pereka kulit album itu, Storm Thorgerson.

Storm adalah pereka grafik, pelukis dan jurugambar yang hasil karyanya sangat dekat dengan dunia muzik. Kredibiliti dan karya Storm dihormati di dalam dunia muzik, khususnya rock.

Dalam sejarah muzik rock & roll, Storm memahat namanya menerusi ilustrasi, gambar dan rekaan kulit album kumpulan rock legenda seperti Pink Floyd, Led Zeppelin, Black Sabbath, Yes, Paul McCartney dan John McLaughlin.

Menerusi gabungan faktor berkenaan, Mustaffa tampil dengan beberapa kulit album yang boleh disifatkan unik dan berbeza.

Antaranya album Wings berjudul Mr Barbarik — menggunakan ilustrasi sesuai dengan judulnya; Wings dan Search untuk album Double Trouble — menggunakan susunan patung dan ukiran; Search untuk album Terbaik (kompilasi) — menggunakan arca topeng ciptaan pelukis, Bayu Utomo Radjikin; Ramli Sarip untuk album Syair Timur — menggunakan elemen kerohanian dan eksploitasi warna dan Republic Of Brickfields — Aru menghayun rambut ‘dreadlock’nya.

Selain kulit album, Mustaffa menghasilkan logo persatuan Karyawan, Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Akademi Industri Muzik.

Menurut Mustaffa, kulit album yang dihasilkannya juga ada sejarah dan keistimewaan tersendiri.

“Kulit album pertama Slam berjudul Slam misalnya memaparkan anggota kumpulan itu bergambar di tapak KL Sentral.

“Mungkin sukar untuk mencari latar suasana tapak KL Sentral ketika ini.

“Pembabitan saya dalam bidang itu juga membantu menghasilkan bakat baru. Saya gembira melihat anak didik saya seperti Nizam Rahmat, Razkus, Fakrul, Nizam Ahmad, Fahmi, Boon, Foad, Kamarol dan Ramli Ahad kini mengukir nama dalam bidang penghasilan kulit album,” katanya.

Apabila ditanya berapa jumlah kulit album yang dihasilkannya, Mustaffa hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala sebelum berkata:

“Itulah masalahnya, saya sendiri pun tak ingat kerana saya tak pernah kira. Sejak 1979 hingga sekarang, jumlahnya mungkin 100, 200 atau lebih.

“Kini, saya berusaha mengenal pasti jumlah sebenar kerana saya dalam proses menghasilkan sebuah buku mengenai diri saya dan semua karya yang saya hasilkan,” katanya.

Mustaffa berkata, tujuannya menghasilkan buku itu supaya ia dapat dijadikan sebagai bahan sejarah dan bahan rujukan, terutama kepada generasi muda yang mahu menceburi bidang penghasilan kulit album.

“Buku itu belum siap tetapi judulnya sudah ada, iaitu 12x12.

“Saya memilih judul itu kerana itulah saiz kulit album piring hitam dan CD.

“Saiz kulit album piring hitam 12 inci (30 sentimeter) manakala saiz CD 12 sm,” katanya.

Menurut Mustaffa, dia memohon kerjasama orang ramai supaya menghubunginya jika memiliki kulit album yang dihasilkannya.

Katanya, setiap kulit album dihasilkannya tercatat nama Tapa di ruangan pereka kulit album.

“Koleksi saya tidak mencukupi kerana banyak yang tidak saya simpan. Jika ada, sila hubungi menerusi e-mel saya, tapa_qis@yahoo.com,” katanya.

Ahad, Februari 03, 2008

Loloq antara Andalusia dan Sup Selipar

petikan Utusan Malaysia 3 Februari 2008

BELASUNGKAWA
SESETENGAH pihak menganggap lirik adalah kata-kata untuk dibebelkan oleh penyanyi mengikut melodi yang dihasilkan oleh pencipta lagu. Malah ada juga tanggapan bahawa keperluan lirik sekadar untuk memberi tempat kepada penyanyi mengalunkan suara. Maka bidang penulisan lirik pada tanggapan sesetengah pihak tidak begitu penting dalam penghasilan sesebuah karya lagu.

Kerana itu apabila lagu Andalusia menjadi juara pada Juara Lagu 1999, kemenangan ini memberikan anjakan yang besar tentang peri pentingnya lirik yang baik mendukung lagu yang hebat. Dalam suasana lagu tempatan yang didukung oleh lirik berbasa-basi, Andalusia kelihatan agak terasing.

Bagaimanapun apabila lagu ini kerap disiarkan di radio, kepayahan sesetengah pihak untuk menghayati lagu ini sudah tiada lagi. Lagu Andalusia sedikit sebanyak telah membetulkan tanggapan bahawa lirik hanya bebelan yang tidak punya makna yang lebih besar daripada itu.

Lagu Andalusia diciptakan oleh M. Nasir, liriknya oleh Loloq dan dinyanyikan oleh M. Nasir sendiri.

Andalusia membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol). Tetapi kini kegemilangan itu telah hilang dan Loloq menulis, “Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar.”

Sehari selepas Juara Lagu 1999, saya menghubungi Loloq dan berkata, “Tahniah, lirik masterpiece kau berjaya.” Loloq membalas, “Kita jangan jadi Andalusia.”

Andalusia antara hampir 2,000 lirik lagu karya Loloq yang dihasilkan lebih dua dekad dalam industri muzik negara ini. Banyak lagi lirik yang meninggalkan kesan yang panjang kepada pendengar waima bagi lagu-lagu berentak rock dan kelakar termasuk Sup Selipar nyanyian Salih Yaakob.

Bagaimanapun pada rembang bergerimis Rabu lalu, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara selepas tiga hari tidak sedarkan diri. Allahyarham yang juga kerap menggunakan nama pena Nurbisa berusia 50 tahun dan meninggalkan isteri, Hariah Yaacob dan tiga cahaya mata, Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.

Allahyarham adalah penulis lirik yang paling banyak menulis untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Kalangan penggiat industri muzik melihat Allahyarham sebagai gandingan yang banyak membantu kehebatan M. Nasir. Suatu yang menarik tentang Allahyarham ialah pernah muncul sebagai penerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hakcipta Muzik (MACP) sebanyak lima kali. Rekod yang sama juga dipegang oleh M. Nasir dalam bidang ciptaan lagu.

Ini menunjukkan walaupun Allahyarham menyuntikkan pemikiran bernas dalam liriknya, karya itu tetap popular. Maka kalau ada yang menganggap lirik yang baik seharusnya dipinggirkan, itu adalah salah sama sekali. Malah pada awal tahun 90-an, lagu-lagu yang menggunakan liriknya menduduki lima tangga teratas semua carta di stesen radio tempatan.

Di sebalik imej “allien” bercermin mata bingkai tebal dan berambut kusut, Allahyarham sebenarnya seorang pemikir dan pentafsir kepada pergulatan sosial di sekeliling yang kemudiannya dituangkan ke dalam liriknya. Lihatlah lirik lagu Apokalip yang melihat kehidupan manusia secara perbandingan dengan roller coaster yang ada waktu di atas dan pada waktu lain berada di bawah.

Kemampuan Allahyarham ialah menulis lirik yang pelbagai tema dan bentuk. Lihatlah bagaimana lagu Ngam Ho, Kepala Sotong, Sup Selipar. Tetapi ada kalanya Allahyarham kelihatan romantis seperti lirik lagu Layar Impian nyanyian Ella atau Biru Mata Hitamku nyanyian Wings.

Lirik lagu Mentera Semerah Padi nyanyian M. Nasir mengingatkan saya kepada lagu Blowin’ In The Rain yang liriknya ditulis oleh Bob Dylan pada era rock tahun 60-an. Bob Dylan dianggap penyanyi dan penulis lirik lagu rakyat moden Amerika Syarikat yang berusaha menghasilkan karya yang bermutu.

Semasa hayatnya, Allahyarham selalu percaya bahawa lirik lagu tidak seharusnya menjadi kering dan beku, kemudian mengulangi frasa-frasa lama tanpa mencari yang baru. Kerana itu kalau dihayati lirik lagu Bonda nyanyian M. Nasir, dengan penuh kekerdilan, Allahyarham menghantarkan kekaguman seorang anak kepada ibunya. Di tangan Allahyarham, Bonda adalah untuk semua orang, tanpa mengira kaum, kepercayaan dan fahaman politiknya. Bonda menjadi begitu syahdu dan menginsafkan tentang pengorbanan seorang yang bergelar ibu.

Awal tahun lalu Allahyarham menunjukkan koleksi hampir 2,000 lirik lagu yang dihasilkannya. Cita-citanya untuk membukukan semua lirik itu sebagai satu sumbangan kecilnya kepada dunia kesusasteraan Melayu. Allahyarham menyebut koleksi itu akan dihantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan adakah lirik-lirik itu telah dihantar ke DBP?

Loloq telah pulang. Tetapi sebelum pulang Allahyarham telah membina satu terusan sebagai pilihan daripada yang telah sedia ada. Terusan ini tentunya tidak bermakna kalau kita tidak cuba mencari kelebihannya.

– KU SEMAN

Jumaat, Februari 01, 2008

‘Saya bagai patah sayap’

petikan Harian Metro 1 Februari 2008
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

KALANGAN rakan seperjuangan Rosli Khamis, 50, atau Loloq menganggap kematiannya bukan saja kehilangan besar di persada seni tanah air, bahkan hilang tempat ketawa riang sesama mereka.

Kesedihan serta terkilan lebih dirasai mereka apabila mengenangkan masing-masing tidak berpeluang berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

Loloq disahkan meninggal dunia pada jam 1.37 petang kelmarin di sisi isterinya, Hariah Yaacob di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur akibat pendarahan otak.

Salah seorang rakan paling rapat Allahyarham, Muhammad Nasir Mohd atau M Nasir meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat berada di sisi Loloq sewaktu dia meninggal dunia.

Ketika ditemui di hospital bagi menguruskan jenazah, M Nasir yang menitiskan air mata kerana sedih berkata, pemergian Loloq jelas kehilangan besar buat dirinya secara peribadi.

“Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada satu pun yang dapat menandingi atau menyamai kesetiaan ditunjukkan Allahyarham pada saya dalam persahabatan.

“Kami mula berkenalan pada awal 80-an menerusi seorang lagi teman. Waktu itu dia berminat untuk menghasilkan lirik lagu dan saya memberikannya peluang mencuba.

“Sejak itu kami rapat dan selalu menjalin kerjasama sehinggalah dia menyertai produksi yang saya tubuhkan, Luncai Emas Sdn Bhd sebagai penulis lirik secara eksklusif.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan banyak masa dengannya di saat akhir. Kali terakhir kami bertemu tiga minggu lalu tetapi waktu itu dia tidak menunjukkan apa-apa tanda,” katanya.

Pemergian Loloq juga menyebabkan pelbagai perkara membabitkan bisnes yang mahu dilakukan M Nasir tertangguh. Ketiadaan Loloq bagi M Nasir seperti patah salah satu sayapnya di bidang seni.

“Saya menganggap Loloq sebagai lambang kepada satu perjalanan, pemikiran juga hidup dan kebanyakan karya dihasilkan mempunyai roh untuk kita menghayati dengan emosi sendiri,” katanya.

Penyanyi Mohd Shukri Shahbudin atau Hattan pula antara orang paling awal menziarahi jenazah di hospital jelas tidak dapat menahan sebaknya kerana sedih tidak berpeluang bertemu Allahyarham.

Sebaik dilaporkan Loloq terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara, Ahad lalu, Hattan antara teman yang datang setiap hari menziarahi Allahyarham.

“Saya menghormati permintaan isterinya yang tidak mahu pihak luar datang melawat dan mengganggu arwah menjalani rawatan. Bagaimanapun, apa salahnya diberikan kelonggaran kepada kawan rapat.

“Bukan sehari dua saya kenal Loloq. Kami berkawan sejak hari pertama saya menceburi bidang nyanyian. Malah lagu pertama nyanyian saya, Berikan Norbisa liriknya ditulis Loloq sendiri.

“Katakan diberi peluang walaupun seminit bertemu Allahyarham, ingin bisikkan sesuatu ke telinganya. Sekurang-kurangnya dapatlah saya memohon maaf atas segala salah silap saya,” katanya.

Penyanyi Amy Search pula berkata, dia mengenali Loloq hampir 20 tahun. Malah arwah juga banyak menyumbang kejayaan dengan menghasilkan lirik menarik sepanjang kerjaya Amy sebagai penyanyi.

“Saya berkenalan dengan Loloq menerusi M Nasir dan pernah bersama-sama ‘lepak’ di Chow Kit. Pada saya, arwah mempunyai pemikiran tinggi hingga membolehkannya menghasilkan karya yang bagus,” katanya.

Pengarah filem, Mamat Khalid yang pertama kali bekerja dengan Loloq pada 1996 untuk sitcom Spanar Jaya mendedahkan, penyakit misteri yang dideritai arwah sudah lama dihidapi sejak sebulan lalu.

“Dia memberitahu penyakitnya tetapi atas permintaan keluarga, ia terpaksa dirahsiakan. Begitupun kerana komited kepada kerja, dia memastikan sakit dialami tidak mengganggu tumpuan.

“Dalam tempoh sebulan itu, dia sering berulang-alik ke hospital tetapi agak menghairankan saya difahamkan doktor tidak dapat mengesan puncanya.

“Kebelakangan ini pula, dia selalu mengeluh penyakitnya itu kembali menyerang. Dia berasa seperti matanya dicucuk jarum tajam dan sendi di seluruh badan pedih dan kejang,” katanya.

Sepanjang bekerjasama, Loloq sudah membintangi empat filem arahan Mamat antaranya Lang Buana, Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang.


petikan Berita Harian 1 Februari 2008
Rakan ralat tak sempat bertemu
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Peraturan ketat ICU halang hasrat mereka ziarah Loloq di saat akhir

RATA-rata rakan penulis lirik terkemuka Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq, 50, yang meninggal dunia Selasa lalu, di Hospital Pakar Damansara terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan arwah di saat akhir.

Kebanyakan mereka hanya mengetahui berita tergempar mengenai keadaan kesihatan arwah yang semakin kritikal Isnin lalu. Ramai yang bergegas untuk menziarah arwah yang ketika itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Namun malangnya mereka tidak dibenarkan masuk kerana peraturan ketat yang ditetapkan ahli keluarga Allahyarham. Hanya ahli keluarga dan mereka yang tersenarai namanya saja dibenarkan untuk melihat arwah.

Biarpun mengetahui syarat ketat yang ditetapkan ahli keluarga Allahyarham, rakan-rakannya tidak berputus asa malah tetap datang untuk menziarah Loloq walaupun akhirnya mereka terpaksa pulang dengan kehampaan.

Hanya kata-kata ucapan yang dapat dititipkan pada Loloq yang ketika itu bertarung akibat pendarahan otak. Rakan artis yang sempat mencoretkan kata-kata semangat antaranya Aris Ariwatan, Mamat Khalid, Joe Wings, Johan Nawawi, Aidit Alfian, Johari Teh dan beberapa teman lain.

Antara kata-kata semangat yang cuba ditiupkan walau tidak dapat bersua mereka seperti ‘Loq cepat sembuh!’, ‘Loq cepat, aku nak masuk studio rakaman’ dan banyak lagi kata-kata dengan harapan penulis lirik dan juga pelakon itu akan cepat sembuh tetapi doa mereka tidak kesampaian kerana Tuhan lebih menyayanginya.

Sahabat baik Allahyarham, M Nasir, satu-satunya artis yang mendapat kepercayaan daripada ahli keluarga Loloq berkata, pemergian Loloq adalah satu kehilangan besar buat dirinya.

Sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Loloq ke dunia seni, kehilangan Loloq begitu dirasai. Malah, M Nasir tidak dapat menahan air matanya daripada berlinangan ketika dikerumuni media.

“Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada yang istimewa sepertinya. Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan masa dengannya. Kali terakhir saya bertemu dengan Loloq kira-kira tiga minggu lalu.

“Kami ada beberapa rancangan yang ingin dibuat bersama. Banyak benda yang tertangguh, jadi dia kata pada saya, dia tidak sakit lagi dan mahu meneruskan kerja kami. Tapi keesokannya saya sudah tidak bertemu dengan dia lagi.

“Dia adalah perjalanan, pemikiran dan hidup. Lagu yang dihasilkannya mempunyai roh dan dia adalah sebahagian daripada itu,” kata penyanyi itu.

Loloq menyertai syarikat rakaman Luncai Emas milik Nasir sejak tahun 1990 sebagai penulis lirik eksekutif.

Sementara itu, Amy Search melahirkan rasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk bertemu langsung dengan Allahyarham.

“Saya berasa sangat sedih dan ralat kerana tidak dapat bertemu dengan arwah di saat akhirnya. Saya tidak mahu lama, cukuplah diberikan saya satu minit untuk saya membisikkan sesuatu ke telinganya,” kata Amy yang mengenali Loloq lebih 20 tahun yang lalu.

Loloq yang juga banyak menyumbangkan lirik lagu untuk Search disifatkan sebagai seorang yang dedikasi. Allahyarham gemar membaca dan sering tampil dengan pelbagai perkataan baru.

Selain terkilan kerana tidak dapat bertemu arwah, Amy Search juga terkilan kerana hasrat mereka untuk menunaikan umrah bersama tidak tercapai. Bagaimanapun, Amy gembira kerana arwah sempat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah baru-baru ini setelah mendengar cerita daripadanya mengenai keindahan dan nikmat yang dikecapi tatkala menunaikan umrah.

Seorang lagi sahabat Allahyarham, Hattan juga terkilan kerana tidak dibenarkan masuk melihat arwah di ICU. Hattan yang tidak dapat menahan tangisan berkata, dia mengesyaki perubahan pelik pada arwah apabila dia pergi menunaikan umrah.

“Perubahan yang nyata, dia pergi umrah. Loloq seorang yang sangat unik, dia juga seorang penasihat. Arwah orang pertama yang tahu muzik kita akan kiamat dan dia sangat kecewa dengan industri kita.

“Saya masih ingat, dia pernah bawa saya berjalan kaki di Singapura. Paling tidak boleh lupa, arwah bagi duit pada kawan-kawan apabila dia dapat duit banyak,” kata Hattan yang tidak dapat menahan linangan air matanya

Pengarah yang banyak bekerjasama dengan Loloq, Mamat Khalid berkata, dia terkilan kerana isteri Allahyarham terlalu berahsia. Bagaimanapun, dia menghormati pendirian isteri Loloq yang memerlukan privasi.

Menurut Mamat Khalid, dia mengetahui kesihatan Loloq terganggu sejak sebulan yang lalu. Katanya, penulis lirik dan pelakon itu mengadu mengenai matanya yang terasa seperti dicucuk-cucuk serta sendinya yang tidak boleh bergerak.

“Pertama kali dia dimasukkan ke hospital bulan lalu. Kata Allahyarham, doktor tidak tahu apa punca penyakitnya walaupun sudah menjalani pemeriksaan. Tetapi dia meminta kami supaya merahsiakan mengenai penyakitnya itu dan kami menghormatinya. Bagaimanapun saya tidak sangka akan jadi begini.

“Selama ini, orang hanya tahu dia sebagai seorang penulis lirik tetapi orang tidak tahu yang dia sebenarnya boleh berlakon. Dialah antara orang yang memberi perangsang kepada saya supaya buat filem. Ketika itu hati saya berbelah bahagi tetapi dia berjaya meyakinkan dan dia menawarkan diri untuk berlakon dalam filem pertama saya Lang Buana pad 2002,” kata Mamat.

Pengarah filem, Bade Azmi pula berpeluang menyelinap masuk ke bilik arwah. Dia yang mengetahui mengenai penyakit arwah pada hari Isnin berkata, dia hanya berkesempatan meluangkan masa selama beberapa minit dan memberi salam kepada arwah.


petikan Utusan Malaysia 1 Februari 2008
Sukar mencari pengganti Loloq

PETANG kelmarin industri muzik tempatan kehilangan seorang penulis lirik dengan kembalinya Loloq ke rahmatullah kerana mengalami pendarahan otak.

Sejak lebih sedekad lalu, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, 50, berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik nombor satu tanah air.

Kejayaan karyawan kelahiran Singapura itu dapat diukur melalui pencapaiannya sebagai ahli Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (MACP) sejak sedekad kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi MACP, Habsah Hassan, 58, Loloq boleh dikatakan sebagai penulis lirik tempatan yang paling berjaya dalam badan itu setakat ini.

“Setakat ini Loloq merupakan satu-satunya ahli MACP iaitu sebagai penulis lirik yang menerima bayaran royalti paling tinggi selama lima tahun berturut-turut.

“Malah, Loloq juga merupakan antara penulis lirik lagu yang paling aktif setakat ini yang mana beliau telah menulis lebih 600 lirik,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat jenazah Allahyarham di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Kenyataan Habsah itu turut disokong oleh Pengurus Hakcipta syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., Jennifah Johari, 39, yang menyifatkan Loloq sebagai penulis lirik tempatan paling aktif sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya keaktifan dan daya kreativiti Loloq menyebabkan Luncai Emas Sdn. Bhd. yang dimiliki M. Nasir itu melantik Allahyarham sebagai penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman tersebut.

“Kami telah melantik Loloq sebagai penulis lirik eksklusif di Luncai Emas Sdn. Bhd. sejak 1990 sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Kami mudah bekerjasama dengan Loloq bukan sahaja kerana daya kreativiti yang dimilikinya tetapi juga disebabkan keserasian antara kami dengannya,” ujar Jennifah.

Progresif

Loloq bukan sahaja berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik alaf ini yang progresif dalam mengetengahkan pelbagai warna mesej dalam karya-karya tulisannya.

Sebaliknya, pada 8 November 2005 menerusi akhbar Utusan Malaysia, bapa kepada tiga anak perempuan ini pernah menyatakan harapannya agar penulis lirik sepertinya sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada industri muzik tanahair.

Ini kerana, Loloq sanggup berhijrah dari Johor ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an semata-mata kerana mahu mencipta nama dan memperkembangkan bakatnya sebagai penulis lirik lagu.

Vokalis kumpulan rock Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, 50, tidak dapat melupakan pertemuan pertamanya dengan Loloq di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an.

“Ketika itu saya dan M. Nasir sedang menaiki sebuah van di Jalan Chow Kit. Itulah kali pertama saya bertemu dan berkenalan dengan Loloq.

“Kami kebetulan baru datang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru kerana mahu mencuba nasib sebagai anak seni,” kata Amy mengimbau perkenalannya dengan penulis lirik terkenal itu.

Jelas Amy, saat itu Loloq bukan sahaja baru hendak bertapak sebagai penulis lirik tetapi Search juga ketika itu belum melahirkan sebarang album dan hanya bermain muzik di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur.

Bakat Loloq mula terserlah apabila satu demi satu lirik ciptaannya berjaya disatukan menjadi lagu yang sempurna. Antara lirik terawal ciptaan Loloq berjudul Bisikan Nurani nyanyian Roy pada awal tahun 1990-an.

“Bagi saya, Loloq antara penulis lirik yang banyak menyumbangkan karyanya dalam album album Search. Antaranya lirik berjudul Gothik Malam Edan dan Diari Habil & Qabil,” ujarnya.

Bukan setakat artis-artis era tahun 1990-an tetapi ramai juga penyanyi baru termasuklah Misha Omar yang berkesempatan menyanyikan lirik lagu ciptaan Loloq.

Kata Misha, dia berasa terharu kerana berpeluang menyanyikan lirik ciptaan Loloq berjudul Cinta Adam Dan Hawa yang akan dimuatkan menerusi album terbarunya kelak.

Apatah lagi kata penyanyi berasal dari Kelantan ini lagu itu dicipta oleh Loloq sekembalinya beliau dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada Ogos tahun lalu.

“Arwah pernah beritahu saya bahawa dia mendapat ilham mencipta lirik itu ketika berada di Mekah. Malah, ketika merakamkan lagu itu di Studio Wake The Baby milik Ajai, arwah berada di sisi saya. Kenangan itu benar-benar meninggalkan kesan di hati saya.

“Saya bangga kerana dapat menyanyikan lirik lagu itu yang bagi saya dalam maksudnya. Itu tidak menghairankan saya kerana apa yang saya tahu arwah memang seorang yang amat mementingkan soal bahasa,” katanya.

Meningkat naik

Loloq bukan setakat dikenali sebagai penulis lirik tetapi juga penulis skrip filem dan Aduh Saliha merupakan skrip tulisannya yang pertama.

Selain itu, Allahyarham juga tidak ketinggalan mempamerkan bakatnya sebagai pelakon filem dan drama televisyen yang semakin meningkat naik kebelakangan ini.

Bakat Loloq itu diakui sendiri oleh pengarah Mamat Khalid yang tidak ketinggalan menjemput Allahyarham berlakon dalam filem-filem arahannya.

“Setakat ini, boleh dikatakan semua filem arahan saya ada menampilkan lakonan Loloq seperti filem Lang Buana, Man Laksa, Rock dan Zombie Kampung Pisang.

“Hanya filem Kala Malam Bulan Mengambang sahaja saya tidak sempat memberi peluang berlakon kerana watak tauke hotel yang sepatutnya dilakonkan Loloq telah diberikan kepada David Teo,” ujarnya.

Penyanyi Hattan yang pernah menyanyikan banyak lirik ciptaan Loloq tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika diminta mengulas tentang keakrabannya dengan Allahyarham.

“Saya memang rapat dengan Loloq kerana arwah sudah pun mula memberi saya lirik lagu sejak album solo pertama saya diterbitkan pada awal tahun 1990-an.

“Antara lirik lagu Loloq yang popular pernah saya nyanyikan berjudul Berikan Nurbisa yang dipetik daripada album Hitam Bukan Impian,” katanya.

Sememangnya pemergian Loloq ke rahmatullah merupakan suatu kehilangan yang sukar dicari ganti apatah lagi industri hiburan tempatan seakan-akan kekurangan insan yang amat kreatif seperti beliau.

Komposer terkemuka Ramli M.S. menyifatkan pemergian Loloq itu sukar untuk dicari ganti dalam waktu yang terdekat ini.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh tanam pokok dan mengharapkan ia akan tumbuh pada esok hari. Begitulah yang berlaku pada Loloq. Bagi saya, kita perlu ambil masa yang agak lama untuk melihat kemunculan seorang lagi penulis lirik seperti Loloq,” komennya.

Khamis, Januari 31, 2008

Misteri Kematian Loloq

petikan Murai.com.my 31 Januari 2008

KUALA LUMPUR, 31 JAN 2008: Kematian mengejut Loloq atau Rosli Khamis, 50, yang koma dua hari selepas dimasukkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Damansara pada awal pagi Ahad lalu benar-benar membingungkan kebanyakan rakan seperjuangan seninya.

Sepanjang hayatnya masih ada, penulis lirik yang cukup prolifik serta berpengaruh di dalam industri muzik tempatan negara ini tidak pernah dilaporkan mempunyai sebarang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau pun sakit jantung.

Lalu, apabila pihak doktor di hospital berkenaan mengesahkan anak seni kelahiran Singapura ini menghadapi masalah pembuluh darah pecah di bahagian otaknya, kita semua tertanya-tanya bagaimanakah ia boleh berlaku, sedangkan arwah sebelum ini seorang yang tegap serta sihat walafiat.

Krew murai.com.my cuba mendekati isteri beliau, Hariah Yaacob, 35, untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai penyakit yang dihadapinya arwah suaminya itu. Hariah yang manis bertudung litup bagaimanapun agak sukar untuk memberikan kerjasama kepada pihak wartawan.

"Minta maaf saya tidak boleh memberikan sebarang penjelasan lebih lanjut mengenai keadaan arwah sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan, doktor hanya mengesahkan dia menghadapi pendarahan di dalam otak. Maaf ya. Itu saja yang boleh saya katakan," katanya sewaktu ditemui di dalam Surau Al-Ikhwan di Bandar Baru Sungai Buloh.

Balu arwah itu ditemui di bahagian ruang solat muslimah bersama sanak saudara maranya yang lain dalam surau tersebut selepas menngiringi jenazah arwah yang tiba dari hospital berkenaan kira-kira jam 4.50 petang.

Sungguh pun begitu, ibu Hariah yang juga ibu mertua kepada Loloq, Hawa Md Bintang, 65, bukan saja lebih senang untuk didekati tetapi mahu memberikan kerjasama yang lebih dengan pihak wartawan mengenai pemergian Loloq yang mendukacitakan semua.

"Malam Rabu minggu lepas, makcik baru saja menziarahi anak menantu makcik di rumah mereka. Makcik tak nampak pun apa-apa yang pelik dan arwah pun nampak sihat saja serta tidak mengadu apa-apa sakit.

"Apabila dia dimasukkan ke hospital pada pagi Ahad lalu, sudah tentu kami semua terkejut dan lebih mengejutkan bila dapat tahu bahawa arwah kemudian meninggal selepas menjalani pembedahan Isnin lalu," katanya.

Kalau hendak diikutkan makcik Hawa mahu bercerita dengan lebih lanjut lagi mengenai musibah yang menimpa keluarganya itu. Namun, selepas diberi amaran oleh seorang anaknya supaya tidak menceritakan apa-apa lagi kepada kepada pihak wartawan, wanita itu terus mendiamkan diri.

M Nasir gagal menahan sebak

Daripada sumber yang diperolehi daripada rakan paling akrab dengan arwah pula, komposer dan penyanyi berkaliber, M Nasir berkata, sebelum ini arwah memang pernah mengadu mengenai keadaannya yang kurang begitu sihat.

"Dia memberitahu saya perkara itu selepas hari raya. Tidak lama selepas itu dia menghilangkan diri dan tidak berjumpa dengan sesiapa termasuklah kami semua di Luncai Emas.

"Apabila saya jumpa dia semula, saya tanya ke mana dia menghilang. Dia kata dia sakit tetapi sudah OK. Tapi, dia tidak beritahu dia sakit apa dan sekitar bulan lalu, sudah dua kali arwah dimasukkan ke hospital.

"Sebagai rakan arwah, saya tidak terkilan dengan pemergiannya. Saya redha. Namun, pemergian adalah satu kehilangan yang besar. Lebih-lebih lagi buat saya kerana dia banyak menulis lirik untuk lagu-lagu yang saya cipta.

"Kami juga berkongsi banyak perkara serta pemikiran yang sama. Saya tidak fikir akan ada pengganti yang lain selain daripada Loloq dan saya tidak dapat melihat siapa yang mampu menggantikan tempat Loloq sebagai penulis lirik yang hebat di negara ini," kata M Nasir dengan mata yang merah dan penuh sebak.

Pengarah filem Mamat Khalid yang turut dilihat berada di dalam van jenazah arwah memberitahu, arwah adalah antara rakannya yang paling akrab yang banyak berkongsi minat, cerita serta pemikiran yang sama.

"Sebab itulah dia selalu ada di dalam filem yang saya bikin kecuali Kala Malam Bulan Mengambang. Dia ibarat sparing partner saya. Dia memang best. Tidak sangka pula dia sudah pergi tinggalkan kita buat selama-lamanya.

"Sebenarnya, sudah dua kali dia masuk di hospital pada bulan yang lalu akibat darah yang tersekat di otak namun dari awal lagi pihak keluarganya mahu merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan semua," katanya.

Satu sumber pula memberitahu murai.com.my bahawa arwah sebenarnya ada menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku pada Isnin lalu. Pada masa itu, keadaan arwah sudah mula dilaporkan agak stabil semula.

"Tapi, keadaan arwah bagaimanapun bertukar menjadi kritikal semula apabila bahagian paru-paru arwah mula dipenuhi gas karbon dioksida dan arwah kemudian meninggal dunia kira-kira jam 1.37 petang semalam," sumber itu berkata lagi.

Sewaktu jenazah arwah dimandikan, dikafankan serta disembahyangkan di surau itu, ramai rakan artis serta karyawan seni yang sudah pun kelihatan berkumpul di situ untuk memberikan penghormatan terakhir buat anak seni yang dianugerahkan bakat cukup luar biasa itu.

M Nasir & isterinya Marlia Musa, Mamat Khalid, Tam & Nafie Spider, Misha Omar, Jaclyn Victor, Ella, Hattan, Amy, Nasir & Yazid Search, Saleem Iklim, Joe & Eddie Wings, Nurul, Farhan, Mila, Hasnul Rahmat, Zur Eda, Herman Tino, Ramli MS, Ali Bakar, Salman, Ajai, Zul Mahat, Johari Teh, Fauzi Marzuki, Eddie Hamid, Mohram , Keon, Moharis Yaakop, Firdaus, Farihin Abdful Fatah, Aidit Alfian, S Amin Shahab dan Sani Sudin adalah antara mereka yang kelihatan.

Orang-orang kuat dan berpengaruh dalam persatuan hiburan juga turut kelihatan iaitu Presiden MACP, Habsah Hassan, Presiden PAIMM, Datuk Aziz Bakar, Presiden Papita, M Daud serta Presiden Mahkota, Datuk A Rahman Hassan.

Masing-masing kelihatan cukup sugul dan sangat berduka dengan pemergian arwah yang sama sekali tidak dijangka ini dan ada di antara mereka tidak dapat menahan sebak apabila diberi peluang untuk menatap wajah arwah buat kali yang terakhirnya. Lebih-lebih lagi tatkala melihat jahitan di bahagian kepala arwah selepas beliau dilaporkan menjalani pembedahan Isnin lalu.

Tam Spider paling sugul

Paling tidak dapat menahan emosi dan sugul mereka dengan pemergian mengejut arwah ialah Tam Spider dan pemain keyboards Firdaus yang sudah menganggap arwah sebagai saudara kandung sendiri.

Tam berkata: "Buat masa ini, aku tidak dapat nak mengulas apa-apa. Tolonglah faham keadaan aku. Berilah masa untuk aku tenang kerana kehilangan arwah ini adalah sesuatu yang amat besar."

Jenazah arwah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Sungai Buloh dan disemadikan di pusara itu sekitar jam 6.45 petang. Tam bersama Firdaus adalah antara individu yang turut membantu menimbus tanah ketika upacara pengebumian dilakukan.

Antara yang berkejar pada saat akhir ke pusara Allahyarham adalah Afdlin Shauki, Zainalabidin, Cat Farish , Ali XPDC, Eman Manan, Rosyam Nor, Adlin Aman Ramlie, Eman Manan, Uwie, Din CJ, Bade Hj Azmi dan Pacai.

Loloq yang dilahirkan pada 21 Mei 1957 di Singapura meninggalkan seorang balu dan tiga anak iaitu Krusty Nur, 10, Jaerv Nur, 7, dan Yasha Nur, 5. Antara lirik beliau yang cukup diingati ialah Mentera Semerah Padi & Andalusia (M Nasir), Aduh! Saliha & Angan dan Sedar (Mawi), Layar Impian (Ella), Selendang Merdeka & Tak Nak Jadi Soh Chai (XPDC), Cinta Sakti (Def-Gab-C), Aladin & Kasih Latifah (Spider), NurNilam Sari (Awie & Search) Sembunyi (Misha Omar & Andy Flop Poppy), Persis Mutiara (Mila), Awan Yang Terpilu (Ning Baziura) serta Ghazal Untuk Rabiah (Jamal Abdillah & M Nasir) yang turut pernah mengungguli pertandingan Anugerah Juara Lagu 1997.

Selain itu, arwah juga aktif berlakon dan sering dilihat muncul dalam kebanyakan filem arahan Mamat Khalid iaitu Lang Buana, Rock, Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang. Terbaru, arwah berlakon dalam filem arahan Seow Teong Hing, Apa Kata Hati.

Arwah juga turut menulis skrip untuk filem Aduh! Saliha arahan M Nasir tetapi tidak dapat melihat karya filem itu siap sepenuhnya.

Rakan Artis Sedih Kematian Loloq
Oleh Ellyna Ali & Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 30 JAN 2008: Kematian penulis lirik handalan, Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, awal petang tadi begitu mengejutkan rakan artis dan karyawan seni kerana masing-masing sebelum ini menaruh harapan agar yang beliau akan dapat pulih seperti sediakala daripada penderitaan yang mengejutkan itu.

Namun siapa dapat melawan kehendak takdir yang nyata lebih berkuasa dalam menyusun ketetapan ajal dan maut dalam diri setiap manusia. Tepat jam 1.37 petang tadi, Allahyarham Loloq pergi buat selama-lamanya sekali gus meninggalkan nama dan jasa kepada dunia seni tanah air.

Rata-rata rakan seperjuangan meluahkan rasa sedih dengan kematian Allahyarham yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada bidang seni.

AMY SEARCH

"Saya amat sedih kerana kehilangan seorang sahabat baik. Sepanjang mengenali arwah, dia tak pernah mengadu sakit itu atau sakit ini. Dia juga tidak pernah cakap yang dia ada darah tinggi atau kencing manis. Tak pernah langsung. Jadi saya selalu anggap dia seorang yang sihat.

"Jadi apabila dapat tahu dia dimasukkan ke ICU awal pagi Ahad lalu, sudah tentu saya terkejut. Saya masih ingat sewaktu balik dari mengerjakan umrah dulu, saya ada bercerita kepada dia mengenai betapa seronoknya berada di Madinah dan melihat sendiri kebesaran Tuhan di sana.

"Tidak sangka pula saya kerana apa yang saya ceritakan itu membuatkan dia teruja untuk menjejakkan kaki ke Makkah. Saya katakan pada dia, sebagai anak seni, kita patut ke sana sebab anugerah yang Tuhan bagi pada kita, tidak semua orang dapat. Kalau kita dapat mencari jawapannya di sana, kita akan jadi orang yang cukup bahagia.

"Pada satu Jumaat, dia hubungi saya. Dia cakap kerana teruja mendengar cerita saya, dia sudah ke sana dan baru saja pulang dari mengerjakan umrah. Dia juga beritahu saya yang dia mahu lagi pergi ke sana dan kali ini dia mahu pergi dengan saya dalam tempoh yang lebih lama. Memikirkan kembali sekarang ini, saya rasa amat tersentuh dan sedih."

AJAI

"Ini adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya dunia penulis lirik. Sebenarnya saya hanya mengetahui berita arwah dimasukkan ke ICU sewaktu berada di Jakarta, Sabtu lalu untuk pembikinan klip video terbaru Mila.

"Saya cuma difahamkan arwah mengalami pendarahan beku di dalam kepalanya. Jadi doktor kata, dia mungkin akan mengalami koma sekurang-kurangnya 48 jam. Tapi petang tadi saya amat terkejut apabila dimaklumkan Loloq sudah meninggal dunia. Takdir menentukan yang dia kena pergi meninggalkan kita semua. Saya akan simpan segala kenangan bekerja dan bersahabat dengan arwah buat selama-lamanya."


RAMLI MS

"Saya sungguh sedih dengan pemergian Loloq. Sebelum ini, saya pun terkejut menerima berita Loloq terlantar tenat di ICU. Saya memang tidak nampak dia waktu Anugerah Juara Lagu Ke-22 berlangsung Ahad lalu. Kali terakhir saya bertemu dia ialah kira-kira sebulan yang lalu waktu sedang berbincang mengenai salah satu lagu ciptaan Azmeer dalam album baru Misha Omar. Dia yang tulis lirik lagu itu.

"Sepanjang kenal dia, dia memang tidak suka berkongsi susahnya dengan sesiapa. Tapi, kalau senang dia, memang dia suka orang. Memang payah hendak cari orang macam ini. Dia juga seorang yang cukup positif apabila berkarya serta tidak lokek berkongsi ilmu yang ada. Setakat ini saya memang tidak nampak apa yang negatif pada dirinya.

"Waktu menziarahinya malam Isnin lalu, saya memang mengharapkan untuk berjumpa dia. Namun saya juga harus menghormati prosedur perubatan yang ketat. Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang beriman."


FREDDIE FERNANDEZ, PRESIDEN KARYAWAN

"Berita yang amat mengejutkan industri hiburan kerana kita sedia maklum Allahyarham seorang yang sihat dan cergas dalam banyak bidang, bukan saja muzik malahan juga bidang lakonan. Saya menganggapnya sebagai satu kehilangan amat besar kepada industri dalam usia yang masih muda ditambah pula dengan bakat yang ada padanya.

"Harapan saya, moga apa yang ditinggalkannya hari ini dapat dihidupkan semula dalam lagu-lagu ciptaannya dan ucapan takziah saya sampaikan kepada isteri, anak-anak dan keluarga arwah.

"Di dalam Karyawan, Loloq boleh dianggap sebagai seorang yang lantang bersuara dalam menyampaikan pendapat dan pandangannya. Tak kira apa dan siapa saja yang dia tak suka, dia dengan lantang akan bersuara. Dia selalu mencari kebenaran dalam apa juga usaha membantu industri seni hiburan tempatan.

"Manakala bagi Maestro, kami menjalinkan hubungan yang amat baik kerana Allahyarham banyak membantu dalam menulis lagu untuk artis Maestro seperti Mawi dan Mila Bagi saya kejayaan lagu-lagu itu adalah kejayaan Loloq sendiri."


HATTAN

"Saya adalah artis pertama pilihannya untuk rakaman album. Malah saya mengenalinya sejak di Singapura lagi. Saya rasa kehilangannya sesuatu yang sukar di terima. Itu saja yang boleh saya kataka buat masa ini."


MISHA OMAR

"Saya bagaikan tak percaya. Semuanya berjalan terlalu cepat, kami ketawa bersama, kemudian dapat berita Allahyarham di masukkan ke hospital dan sekarang dia sudah tiada. Dari siang tadi lagi, saya cuba memujuk diri saya memberi tahu bahawa arwah sudah tiada lagi. Cukup bagi saya menerima kenyataan ini kerana sejak malam sebelum Anugerah Juara lagu (AJL) saya sempat bertemu dengannya. Kami bergurau dan bertegur sapa.

"Saya menjadikan semua ini sebagai pengajaran bahawa hidup ini sangat singkat. Saya pohon kepada kita semua dan sesiapa yang terlibat di dalam industri hiburan supaya menghormati orang-orang di sekeliling kita.

"Bagi saya dia seorang yang genius dalam industri muzik. Dan pertama kali saya mengenali Allahyarham ketika projek Nafas Cahaya dan dia juga menyumbangkan lirik untuk lagu Sembunyi serta satu lagi lagu ciptaan Azmeer, Adam dan Hawa.

"Beliau seorang yang ikhlas, bekerja tanpa memikirkan pulangan. Kerjanya hanya untuk perjuangan seni dan dia seorang yang senang diajak berbincang. Saya harap keluarga arwah akan tabah kerana Tuhan lebih menyayanginya."


SAW TEONG HIN, PENGARAH FILEM

"Baru malam semalam saya membaca blog yang ditulis oleh pengarah Mamat Khalid mengenai berita Loloq di masukkan ke ICU dan hari ini saya menerima SMS dari Datin Seri Tiara Jacquelina mengenai kematiannya.

"Memang menyedihkan saya kerana sepanjang mengenalinya, beliau sememangnya seorang baik hati, suka membantu, berfikiran positif dan sering menyokong apa juga idea saya.

"Saya mula kenal dengan Loloq sejak tahun 2000 lagi, ketika itu saya baru ingin berjinak-jinak dalam industri perfileman tempatan. Dialah orang pertama yang menyokong dan mengalu-alukan kemunculan saya dalam indutri. Namanya memang sudah cukup besar. Sejak era 1980-an lagi dia sudah mencipta lagu dan dia tak pernah kenal erti jemu.

"Penulisannya dalam apa jua irama sama ada rock mahupun balada, terselit metaforanya yang cukup hebat. Tidak hairanlah lagu-lagunya mampu menjadi evergreen."