petikan Astro Awani 20 November 2025
TAYLOR'S University mengumumkan pelantikan empat tokoh tersohor dalam industri seni persembahan sebagai Profesor Adjung bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).
Pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti terbabit dalam merapatkan jurang antara pengajian akademik dan amalan profesional, serta memperkasa pelajar melalui bimbingan langsung daripada penggiat terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tarian.
Bagi pengkhususan Persembahan, pelakon Siti Saleha Mohd Baharum dan aktres, Datin Marlia Musa bakal membawa pengalaman luas serta pandangan mendalam daripada ekosistem seni persembahan negara.
Pengkhususan Muzik pula akan diperkaya dengan penglibatan penulis lagu, komposer dan penerbit iaitu Datuk Mohamad Nasir Mohamed Sam (M Nasir) yang telah membentuk industri muzik Malaysia lebih daripada empat dekad.
Selain itu, Pengkhususan Tarian akan dibimbing oleh seorang penari balet bertaraf antarabangsa, bekas Principal Ballerina, dan Pengarah Pembangunan Artistik bagi Ballet Nights di Asia Tenggara iaitu Maria Sascha Khan.
Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), Taylor’s University, Raziman Sarbini berkata bimbingan tokoh-tokoh ini akan memberikan pelajar pengalaman industri yang lebih nyata sekali gus meningkatkan kemahiran serta keyakinan mereka. -- Gempak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan