petikan Berita Harian 4 November 2025
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
M Nasir pada sidang media Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir anjuran UPSI. Foto NSTP/Raihana MansorPETALING JAYA: "Saya tidak ada komen sebab saya rasa ini klasik sebuah cerita kumpulan," kata penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir mengulas isu pengunduran Eddie dan Black daripada kumpulan rock legenda, Wings.
Komposer yang turut dikenali dengan gelaran 'sifu' kerana bertanggungjawab menaikkan ramai artis termasuk Wings ini berkata, situasi ini berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia.
"Apa sebab orang bergaduh pun, macam-macam sebablah. Kalau kita nak korek, kita boleh korek kalau nak, pergilah tanya mereka.
"Tetapi yang betulnya, cara penyampaian orang itu bercerita tentang masalah itu yang penting. Kita tengok dari luar, kita jadi juri. Mana yang betul, mana yang tak.
"Tetapi, mereka di dalam, mereka yang merasakan benda itu. Dia tak nampak daripada luar. Jadi dia buat keputusan berasaskan dari emosi," katanya pada sidang media Konsert Gendang Pati @ UPSI di sebuah hotel di sini, semalam.
M Nasir yang mengharapkan semuanya berakhir dengan baik, turut menyifatkan apa yang berlaku ibarat pergaduhan adik-beradik.
"Kadang-kadang sampai mati pun ada," katanya penuh mendalam.
Ditanya kesediaannya menonton Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadual pada 28 November ini, M Nasir berkata, dia akan cuba mencari masa menikmatinya.
Terdahulu, Eddie, iaitu pemain bes dan Black (dram) mengejutkan peminat industri hiburan tanah air apabila mengumumkan pengunduran mereka daripada Wings pada 8 Oktober lalu.
Sementara itu, M Nasir akan menjayakan Konsert Gendang Pati anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tahun depan.
Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) ini akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI pada 17 Januari depan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan