Khamis, November 13, 2025

Penulis lirik Hairul Anuar genggam PhD, kaji karya M Nasir

petikan Berita Harian 13 November 2025

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Dr Hairul Anuar ( dua dari kanan) dan Dr Nasir (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan Institut Peradaban Melayu UPSI. - Foto ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Namanya sudah gah dalam dunia penulisan lirik tanah air, namun semangat untuk menimba ilmu terus membara bagi Dr Hairul Anuar Harun, 50, yang berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) Peradaban Melayu sempena Istiadat Konvokesyen Ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau menerima pengiktirafan tersebut daripada Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, pada sesi pertama istiadat.

"Proses penyelidikan dan penulisan tesis mengambil masa tiga tahun penuh, diikuti setahun bagi kelulusan. Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu keputusan, namun saya terpaksa berkeras menamatkan apa yang telah dimulakan. Alhamdulillah, tahun ini semuanya selesai," katanya.

Dr Hairul dikenali sebagai penulis lirik berpengalaman yang telah menghasilkan lebih 300 karya, termasuk lagu-lagu popular seperti Cindai, Balqis dan Hati Kama.

Beliau mendedahkan inspirasi penulisan datang daripada minat membaca dan menelaah karya seni sejak usia muda.

"Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baru kepada masyarakat dan industri.

"Tesis saya pula mengkaji karya M Nasir, satu kajian pertama seumpamanya di dunia, jadi cabarannya sangat unik," katanya.

Dr Hairul menekankan bahawa proses analisis dan penyelidikan dalam penulisan lirik atau karya akademik mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya memerlukan pemahaman ilmu sebelum menghasilkan karya bermutu.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan yang diterima sepanjang pengajian, serta berharap kajiannya menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai peradaban Melayu dan warisan muzik negara.

Istiadat Konvokesyen ke-27 UPSI tahun ini menyaksikan pengurniaan ijazah kepada 7,173 graduan dari pelbagai peringkat pengajian, termasuk sarjana, doktor falsafah dan diploma, berlangsung dari 11 hingga 18 November 2025.

Sementara itu, penyelia tesis Dr Hairul, Prof Madya Dr Mohd Azam Sulong, atau lebih dikenali sebagai Azam Dungun dalam dunia muzik, memuji pengalaman luas Hairul sebagai kelebihan dalam memperolehi data penyelidikan.

Selain Dr Hairul, graduan Institut Pengajian Melayu (IPM) termasuk Dr Nasir Razali, berjaya menamatkan PhD menerusi tesis bertajuk "Naskhah Drama Absurd Ismail Kassan Berdasarkan Konsep Estetika Bersepadu".


Tambahan pautan: 

Akal Budi Melayu dalam Karya M. Nasir - artikel oleh Dr Hairul Anuar mengenai karya M.Nasir yang diterbitkan dalam Jurnal Peradaban Melayu Bil. 2, Jilid 18, 2023

Tiada ulasan: