Jumaat, Oktober 18, 2024

Sifu tunai janji

petikan Berita Harian 18 Oktober 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud -farihad@bh.com.my

Seperti dijanjikan pada sidang media konsert itu, kira-kira dua bulan lalu, M Nasir mengotakan kata-kata apabila konsert tiga jam itu sarat dendangan lagu romantis termasuk karya yang dihasilkan untuk penyanyi atau band lain. Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Seperti dijanjikan pada sidang media konsert itu, kira-kira dua bulan lalu, M Nasir mengotakan kata-kata apabila konsert tiga jam itu sarat dendangan lagu romantis termasuk karya yang dihasilkan untuk penyanyi atau band lain. Foto Ihsan Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR: Konsert Datuk M N45ir Cipta 2 yang menggegarkan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu bukan sahaja menceritakan perjalanan seni empat dekad maestro muzik, Datuk M Nasir, malah, menghamparkan lautan emosi buat penonton.

Seperti dijanjikan pada sidang media konsert itu, kira-kira dua bulan lalu, M Nasir mengotakan kata-kata apabila konsert tiga jam itu sarat dendangan lagu romantis termasuk karya yang dihasilkan untuk penyanyi atau band lain.

Setiap lagu yang dinyanyikan ada sejarah dan momen tersendiri yang boleh dikaitkan dengan peminat.

Sempat juga M Nasir mengusik penonton yang sebahagian besarnya dalam kalangan Generasi X atau Gen X sebelum menyampaikan lagu yang pernah dipopularkan anak didik, kumpulan Alleycats.

"Lagu yang saya hendak nyanyikan ini adalah lagu lama, iaitu era 1980-an. Lagu ini untuk Kuala Lumpur.

Bukan sekali, sebaliknya, kerap juga M Nasir menonjolkan sisi berbeza iaitu gemar bergurau, berbanding imej serius yang sering ditampilkan. Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Bukan sekali, sebaliknya, kerap juga M Nasir menonjolkan sisi berbeza iaitu gemar bergurau, berbanding imej serius yang sering ditampilkan. Foto Ihsan Bangsawan Pictures

"Lagu ini juga mengingatkan kita kepada bas mini. Tahu atau tidak bas mini itu apa? Tugu Negara tahu tak? Kalau tahu, maknanya semua yang datang sudah tua (ketawa)," katanya sebelum menyampaikan lagu Senyumlah Kuala Lumpur dan Andainya Aku Pergi Dulu.

Bukan mudah untuk komposer yang pernah menghasilkan ribuan lagu memilih karya yang mahu didendangkan pada konsert itu.

Bagi sebuah acara yang menghimpunkan penonton daripada pelbagai generasi, penganjur sangat cerewet daripada segi pemilihan lagu. Langkah ini bagi memastikan misi konsert 'santapan jiwa' itu menusuk ke sanubari setiap penonton.

Dibuka dengan Pawana nyanyian Search dan Hukum Karma dendangan Wings, M Nasir membuat penonton terpinga-pinga dan tidak menyangka lelaki berusia 67 tahun sepertinya mampu menari sambil menyanyi dengan stamina ampuh.

M Nasir kembali mengusik hati penonton apabila menyanyikan lagu Malam yang disifatkan sesuai untuk mereka yang emosinya rapuh pada malam itu.

"Ini sebuah lagu yang emosional. Bagi orang yang emosional. Sekarang ini ramai yang emosional dan selalunya perasaan emosi itu datang pada waktu malam.

"Jadi saya dedikasi lagu ini kepada mereka. Kepada mereka yang bagus suaranya, bolehlah menyanyi bersama. Mereka yang tidak bagus, jangan," katanya sambil disambut dengan gelak ketawa penonton.

Bukan sekali, sebaliknya, kerap juga M Nasir menonjolkan sisi berbeza iaitu gemar bergurau, berbanding imej serius yang sering ditampilkan.

Ketika M Nasir yang mendapat jolokan sifu ini berbual dengan penonton sebelum menyampaikan lagu Bonda, ada rasa sebak dalam nada suaranya itu.

"Saya memang tidak boleh kalau hendak bercerita pasal emak sebab dia sudah tiada. Nanti saya sedih.

"Kepada mereka yang menghantar foto ibu mereka untuk dipaparkan di layar lebar, bolehlah perhatikan ada atau tidak wajah ibu anda di situ," katanya yang memberi pengiktirafan kepada wanita bergelar ibu ketika menyanyikan lagu yang dipetik dari album Canggung Mendonan itu.

Lagu nyanyian sendiri yang turut mengisi senarai persembahan adalah Rajawali Terbang Tinggi, Kias Fansuri,Duit-duit, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Apokalips, Mentera Semerah Padi, Hati Emas dan Keroncong Untuk Ana.

M Nasir turut membangkitkan nostalgia penonton seperti Kenangan Lalu nyanyian Flybaits, Srikandi Cintaku dan Awan Nano sebelum menggamatkan stadium dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya sebagai lagu penutup.

Ketika itu, 10,000 sampul raya berisi duit RM1 jatuh bertaburan daripada bumbung mengiringi nyanyian M Nasir, lantas, menggamatkan suasana.

Dibuka dengan Pawana nyanyian Search dan Hukum Karma dendangan Wings, M Nasir membuat penonton terpinga-pinga dan tidak menyangka lelaki berusia 67 tahun sepertinya mampu menari sambil menyanyi dengan stamina ampuh. Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Dibuka dengan Pawana nyanyian Search dan Hukum Karma dendangan Wings, M Nasir membuat penonton terpinga-pinga dan tidak menyangka lelaki berusia 67 tahun sepertinya mampu menari sambil menyanyi dengan stamina ampuh. Foto Ihsan Bangsawan Pictures

Biarpun tempoh persiapan hanya dibuat dua bulan, namun, konsert kesinambungan itu bukanlah sekadar melepaskan batok di tangga.

Selain pemilihan lagu yang menepati cita rasa, konsert anjuran ICON Entertainment itu sempurna dengan penampilan istimewa gitaris terkenal, Kid mengiringi M Nasir menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu, Isabell dan Tiara.

Bunyi yang dihasilkan dari 'gorengan' gitar milik Kid atau nama sebenr Hamzah Mohd Taib itu menambahkan lagu 'bisa' serta 'aroma' melodi hit itu.

Selain paparan visual yang menarik dengan pelbagai bentuk grafik dan berwarna-warni, kejayaan konsert ini juga banyak dibantu 23 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Aznan Alias yang berjaya menjadikan susunan muzik lebih 'besar'.

Meskipun tidak menyatakan dengan jelas namun konsert Cipta tidak akan terhenti setakat dua siri sahaja. Penganjur seakan memberi bayangan M Nasir bakal beraksi secara hatrik dengan elemen serta konsep berbeza.

Tiada ulasan: