Jumaat, Oktober 11, 2024

Pasti 'gigit' perasaan

petikan Harian Metro 11 Oktober 2024

Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my

M Nasir akan menyampaikan lagu-lagu yang lebih menggigit perasaan.

PERSEMBAHAN terbaik! Itu kesimpulan dapat dibuat selepas menyaksikan latihan akhir Datuk M Nasir bersama pasukan pemuzik di Sungai Buloh, Selasa lalu.

Beliau bakal muncul dalam Konsert M Nasir Cipta 2 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam esok.

Konsert itu annti mungkin mengatasi kehebatan Konsert Cipta Datuk M Nasir edisi pertama yang berlangsung di lokasi sama pada 10 Ogos lalu yang berjaya memukau 8,000 penonton.

Menerusi konsert anjuran Icon Entertainment ini, M Nasir akan menyampaikan lebih dari 30 lagu dan ada di antaranya akan 'mengigit' perasaan penonton apabila menikmatinya.

"Lagu-lagu ini ada yang dipilih saya sendiri dan ada juga lagu permintaan. Saya bukan saja seorang penulis (komposer) lagu tapi pelaku (penyanyi) juga.

"Apabila konsert dibuat dua kali setahun, saya anggap perkara biasa dan harap akan jadi budaya di Malaysia. Malah boleh buat sekali, dua kali ataupun setahun dua, tiga kali ikut kehendak orang.

"Saya mulanya ingat yang pertama saja. Tapi saya ingat semula kenapa tidak kita tutup tahun ini dengan Cipta 2. Mungkin apa yang diluahkan dalam Cipta 1 tak cukup," katanya.

Menurutnya, bukan hanya setakat memenuhi permintaan peminat, bahkan ada lagu yang dia ingin nyanyikan, tidak dapat dinyanyikan sebelum ini.

"Untuk Cipta 2 saya akan menyampaikan lagu-lagu popular. Untuk lagu-lagu serius, ia akan dibuat pada konsert lain. Mungkin komuniti itu khusus, elit sikit," katanya.

Dia juga memilih pemain gitar Search, Kid untuk mengiringi persembahannya menerusi lagu Pawana yang dipopularkan kumpulan terbabit.

Iman Tang yang mewakili Icon Entertainment pula berkata, Cipta 2 mulanya tiada dalam perancangan dan keputusan untuk mengadakannya dibuat secara spontan. .

"Tapi kita dapat maklum balas daripada mereka yang datang hari itu tak boleh 'move on'. Mereka kata seronok dan banyak lagi lagu yang tak dinyanyikan.

"Memang kalau ikutkan 30 lagu satu konsert boleh buat 100 konsert untuk penuhkan katalog Datuk M Nasir. Saya bertemunya Jumaat dan petang esoknya Datin Marlia Musa hubungi saya nyatakan persetujuan.

"Sebelum jumpa Jumaat itu, saya semak lokasi, kebetulan ada show besar yang dibatalkan, jadi ada tarikh 12 Oktober dan hanya dua bulan dari Cipta 1. Saya rasa kami boleh melakukannya," katanya.


Tiada ulasan: