petikan Berita Harian 5 Jun 2024
Oleh Farihad Shalla Mahmud - farihad@bh.com.my
M Nasir tak terkejut berita pemergian Allahyarham Pyanhabib berikutan melihat perubahan fizikal yang ketara ketika kali terakhir bertemu pada 14 Mei lalu. - Foto IG M NasirKUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir menyifatkan Allahyarham Pyanhabib sebagai sahabat yang setia.
Disebabkan itu, M Nasir berkata, arwah turut menuntut kesetiaan sama daripada sahabatnya.
"Beliau adalah rakan yang setia dan disebabkan itu, arwah menuntut kesetiaan sama daripada sahabatnya.
"Arwah juga seorang yang selalu menyokong rakan-rakan. Walau apa yang berlaku, arwah tetap memberi sokongan dan ambil peduli.
"Antara kata-katanya yang saya ingat sampai sekarang adalah, apa sahaja terjadi, kita kena teruskan hidup," katanya kepada BH Online.
Ditanya kali terakhir berjumpa dengan penyair dan pelakon itu, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu berkata, ia berlaku ketika mereka sama-sama menjayakan rakaman video promo Konsert Dato MN45ir Cipta yang bakal berlangsung pada 10 Ogos depan.
"Kali terakhir ketika kami menjalani penggambaran video promo pada 14 Mei lalu. Masa itu, saya nampak tubuhnya semakin kurus.
"Nak kata terkejut dengan pemergiannya tidak juga kerana saya melihat perubahan fizikal sangat ketara berbanding ketika beliau masih ceria dan sihat," ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenarnya, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam ini, selepas seminggu menyambut ulang tahun ke-66.
Selain aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976, Allahyarham juga terbabit dalam pementasan teater dan lakonan filem.
Antara filem lakonannya termasuklah Kembara Seniman Jalanan, Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.
Beliau juga pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-7 menerusi filem Tsu Feh Sofiah arahan Datuk Rahim Razali
Tiada ulasan:
Catat Ulasan