petikan Seni Malaya 6 Jun 2024
Oleh:Abdullah Jones
Sesi berbual Abdullah Jones dan M.Nasir di Galeri Puteh baru-baru ini.“Mana ada orang pakai dah!” kata editor portal ini dan mungkin juga portal yang satu lagi itu kepada kami.
Semasa diminta untuk bertemu Datuk M.Nasir bagi menulis artikel pameran ‘SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir’ yang akan diadakan di Galeri Puteh, kami menolak kecuali jika kami dibekalkan dengan vest coat seperti mana kami lihat yang selalu dipakai oleh mereka yang terlibat mencari berita.
Kami minta dari Seni Malaya dan juga Malaysiakini.
Pameran ‘SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir’ memerlukan para pelukis menafsirkan semula lagu-lagu yang telah ditulis oleh seniman ini. Lebih 40 buah karya mengambil bahagian dalam pameran tersebut.
Sejak membaca kolum Pak Pandir Moden oleh Pak Sako di surat khabar lama dulu, kami teringin juga beroleh kemudahan yang sedemikian dan setelah melihat Karam Singh Walia memakai vest-coat di televisyen, kami berazam untuk kelihatan bergaya seperti dia jika nanti kami direzekikan untuk mewakili mana-mana badan berita.
Kecewa kami hanya Tuhan yang tahu apabila diberitahu yang wartawan kini tidak lagi gemar beridentiti begitu. Dan kami menolak pelawaan itu sebenarnya kerana kami takut untuk duduk bersama dengan tokoh yang satu ini.
Tidak pernah selama menulis kami menganggap diri kami sebagai wartawan. Malu sebenarnya mahu mengaku memangku jawatan sebesar itu. Kami hanya seorang yang suka menulis dan menulislah yang kami lakukan.
Dan sebagai seorang yang bukan pemberita, semasa duduk bersama M.Nasir kami memberitahu dia yang kami tidak ada apa-apa soalan.
“Kalau tak ada soalan, kita berceritalah,” jawabnya dan dia pun mula bercerita.
Menurut M.Nasir rancangan untuk pameran ini adalah hasil dari perbualan santai diantara dia dan juga Nizam Rahmat, pengasas Galeri Puteh.
Menurut dia lagi, tugas untuk memilih pelukis diserahkan sepenuhnya kepada pihak galeri dan dia mencadangkan agar pelukis yang dipilih adalah dari pelbagai lapisan usia. Ini adalah untuk memungkinkan penafsiran lagu-lagu yang pernah dia hasilkan tidak terhad hanya kepada satu generasi.
Hasilnya menurut M.Nasir, karya-karya yang dipamerkan sangat mengesankan. Dia mengambil contoh karya pelukis Ronnie Mohamad yang mempersembahkan karya yang mengambil judul pameran ini, Sesat Di Kuala Lumpur sebagai tajuk karyanya.
Karya tersebut menurut dia memang menggambarkan keadaan yang sebenar di Central Market sekitar tahun 1980-an. Ronnie pada hemat M.Nasir berjaya membuat satu tafsiran yang tepat terhadap lagu tersebut. Sesat yang dipamerkan oleh Ronnie adalah sesat yang dialami oleh M.Nasir dan juga mereka yang sibuk mencari jalan lurus di Kuala Lumpur pada zaman itu.
Selain itu karya Husin Othman, Arikwibowo Amril, Norlisham Nor dan juga Jamil Mat Isa juga menarik untuk diperkatakan. Pelukis lain yang terlibat dalam pameran ini ialah Hamir Soib, Ahmad Fuad Osman, Najib Bamadhaj, Hishamuddin Abdullah, Rafiee Ghani serta ramai lagi.
M.Nasir sendiri juga menyumbangkan beberapa buah karya.
Penafsiran baru juga membuka ruang kepada pemahaman yang lebih luas terhadap lagu dan tentu sekali lirik-lirik penyanyi tersebut. Ianya juga menjadikan lagu-lagu yang selama ini berada disatu jalan sehala bercambah menjadi sesuatu yang lebih terbuka.
Pelukis terkenal Fendy Zakri yang terlibat sama dalam pameran ini meminta kami bertanya kepada M.Nasir sama ada penyanyi ini pernah menghasilkan lagu berdasarkan lukisannya sendiri.
Untuk makluman, selain pemusik, M.Nasir juga adalah seorang pelukis. Menurutnya, dia melukis setiap hari sejak lama dulu sehingga hari ini. Dia juga pernah mengadakan pameran solo sedikit masa dulu.
Menjawab pertanyaan Fendy, dia mengatakan mungkin ada namun dia tidak dapat menamakan secara khusus judul lagu yang terhasil dari sesi melukis. Menurut dia, sudah semestinya dia akan berlagu semasa melukis namun dia tidak dapat mengenal pasti lagu mana satukah yang terhasil dari sibuknya dia melukis itu.
Lagu yang paling terkenal terhasil dari lukisan adalah lagu ‘Vincent‘ nyanyian Don McLean. Lagu tersebut menceritakan kisah hidup pelukis Vincent Van Gogh dengan penuh melankolia. Namun begitu ianya dihasilkan lama setelah pelukis tersebut meninggal dunia.
Sementara pameran lukisan berasaskan lagu seperti pameran ‘SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir’ yang dapat dikesan adalah apabila para pelukis berkumpul untuk meraikan lagu-lagu dari album Us karya penyanyi Peter Gabriel.
Pameran Art About Us ini disertai oleh pelukis-pelukis tersohor seperti Yayoi Kusama, Mikael Bethe-Selassie, Ian Huges dan juga Finbar Kelly serta ramai lagi.
Menariknya, Peter Gabriel adalah penyanyi yang turut menjadi rujukan M.Nasir dalam berkarya. Dia pernah mengatakan keinginan untuk membawa musik Nusantara ke mata dunia seperti mana yang dilakukan oleh Peter Gabriel kepada ‘world music’.
Dalam masa bercerita itu, M.Nasir juga menegaskan bahawa kini agak sukar untuk mencari penulis lirik yang bagus. Mungkin kerana hidup dalam kesenangan maka apa yang mereka lagukan kini adalah permasalahan cinta yang pura-pura. Lagu-lagu kasih sayang hari ini ditulis tanpa ada jiwa manakala lagu-lagu pemberontakan pula kelihatan berada diatas permukaan.
Dalam dunia musik pula, selain kumpulan Kembara, Nasir mendapati kumpulan Harmoni yang dipimpin oleh Zubir Ali layak diingat sebagai kumpulan yang rebel kepada musik yang ada pada waktu itu.
Disebalik kemerduan dan harmonisnya lagu-lagu mereka kumpulan ini sebenarnya adalah perlawanan kepada nada dan irama yang menguasai pendengar pada waktu itu.
Sementara pemberontakan dalam lukisan dinegara kita menurut M.Nasir dimulakan oleh Latiff Mohidin dan kumpulan Anak Alam. Lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh Latiff dan juga kumpulan Anak Alam menurut M.Nasir lari dari kebiasaan seperti yang dihasilkan oleh seniman yang ada pada masa itu.
M.Nasir juga menamakan Sulaiman Esa sebagai seorang yang berani dalam menghasilkan karya.
Dunia catan kita berhenti memberontak setelah itu dan mungkin kerana kehidupan seniman hari ini adalah selesa, mereka tidak lagi mahu dilihat sebagai pemberontak atau setidak-tidaknya pembaharu dalam dunia catan hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan