Selasa, Julai 21, 2009

Semangat membara M Nasir

petikan Harian Metro 21 Julai 2009
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

KETIKA M Nasir menjayakan Konsert Canggung Mendonan 15 tahun lalu, dia baru berusia 37 tahun. Untuk Konsert 1 Wajah M Nasir di Stadium Negara pada Sabtu ini, dia mencecah usia 52 tahun.

Namun, bagi anak seni seperti Nasir, usia bukanlah halangan kepadanya untuk mempersembahkan yang terbaik buat peminat. Semangat dan kesungguhannya menjayakan konsert itu mengatasi segala-galanya.

Apa ada pada usia? Ia sekadar ilusi. Barangkali seiring peningkatan usia dan pengalaman hidup yang dilalui selama ini, persembahan Nasir lebih mantap.

Istimewanya, muzik Nasir boleh dinikmati semua peringkat usia kerana lirik lagunya berlegar sekitar hidup manusia seharian dan setiap kata menyentuh yang jiwa pasti membuatkan kita terpesona.

Menjelang persembahan konsert anjuran Maya Axis Creative Sdn Bhd itu, Nasir bersama 11 pemuzik dan empat penyanyi latarnya mempergiatkan latihan di Studio Luncai Emas miliknya di Sungai Buloh, Selangor.

Mereka yang terbabit menjayakan konsert itu ialah Aznan Alias (pengarah muzik), Mohd Rafi Shafie (gitar), Zulkifli Mahat (piano), Ahmad Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Ahmad (keyboard), Wan Kelly Abdul Rahman (bass), Mohardinan Ismail (seruling), Khairul Izwan Kamarulzaman (perkusi tradisional), Nizam (perkusi latin) dan Saharudin Saninam (dram).

Penyanyi latar, Tijah Muhamad Nor, Norakmal Kamarulzaman, Wan Mohd Azran dan Izzad Izzuddin Borhan. Dengan pasukan kerja yang sudah sangat memahami kehendak dan seleranya, Nasir percaya konsert itu bakal mengatasi kehebatan dan kejayaan Konsert Canggung Mendonan.

"Tiada bezanya semangat yang ada pada saya 15 tahun dulu dengan sekarang. Malah dengan peningkatan usia, saya perlu membuktikan mampu melakukan lebih baik daripada dulu.

"Sokongan peminat tambah menyemarakkan rasa dalam dada dan bagaikan tidak sabar untuk menakluki seluruh stadium pada malam itu.

"Saya yakin mereka yang pernah datang menyaksikan Konsert Canggung Mendonan akan datang lagi menonton konsert ini kerana ada lagu yang dinyanyikan 15 tahun lalu akan dipersembahkan semula.

" Tentu saja ia mengembalikan kenangan lama. Saya pasti ada peminat sebaya saya dan ada perkara yang kami dapat kongsi bersama," katanya.


Pengarah Promosi konsert, Rohani Ismail berkata, pada saat akhir jualan tiket begitu menggalakkan dan hampir 80 peratus habis dijual.

Jelas Rohani, sudah menjadi kelaziman orang ramai gemar membeli tiket pada saat akhir.

"Kami menjangkakan sambutan yang memberangsangkan memandangkan konsert ini adalah persembahan istimewa daripada Nasir yang sudah berkecimpung dalam arena muzik selama tiga dekad. Konsert ini menghimpunkan karya terbaiknya sepanjang 30 tahun pembabitannya di persada muzik tanah air, bermula daripada era kegemilangan kumpulan muziknya, Kembara sehingga kini muncul sebagai komposer dan penerbit album disegani pada peringkat serantau.

"Lebih istimewa konsert kali ini bukan saja pemilihan lagu yang dititikberatkan, tetapi soal teknikal yang akan memberi kepuasan kepada penonton. Kami memilih kru, pemuzik iringan dan semua yang terbabit untuk melengkapkan konsert ini.

"Saya percaya konsert ini akan mendapat sambutan kerana mungkin ia akan menjadi konsert terakhir Nasir. Konsert dua jam ini akan menyaksikan persembahan 29 lagu daripada Nasir bermula dari zaman Kembara dan lagu ciptaannya yang dinyanyikan artis lain seperti Alleycats, Hattan, Search, Wings, Mawi dan Ella," katanya.

Antara seleksi lagu bakal dinyanyikan ialah Lara, Serikandi Cintaku, Anak Anak Kita, Andalusia, Sentuhan Listrikmu, Kias Fansuri, Tanya Sama Hud Hud, Lambaian Sukma, Hati Emas, Mustika, Apokalips, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Gerhana, Keroncong Untuk Ana, Di Balik Cermin Mimpi, Sang Pencinta, Mentera Semerah Padi, Phoenix Bangkit Dari Abu, Raikan Cinta, Kepadamu Kekasih, Satu Masa dan Bonda.

Oleh itu, kata Rohani, jangan tunggu pada saat akhir untuk membeli tiket yang sudah mula dijual di Stadium Negara Kuala Lumpur, hingga hari konsert. Harga tiket yang masih tinggal RM53, RM83, RM153 dan RM253 (dengan pelekat kereta VIP).

Potongan 10 peratus diberi kepada penuntut kolej dan universiti dengan menunjukkan kad pelajar sebagai bukti di KLCC, Kompleks Pertama, Istana Budaya, SriAmera Shah Alam dan Putrajaya.

Ahli Kelab M Nasir boleh membeli 500 tiket dengan potongan 10 peratus. Kanak-kanak bawah 12 tahun layak mendapat diskaun 15 peratus dan pelajar lima peratus.

3 ulasan:

Portdy berkata...

Saharudin Saninam tu Ujang ke SM?

Saudagar Mimpi berkata...

Setelah menyelongkar arkib, SM mendapati terdapat kesilapan nama pada artikel ini. Nama Ujang ialah Saharudin Sariman, bukan Saharudin Saninam.

Tanpa Nama berkata...

betul ke postpone ke 7 nov?