Rabu, Julai 15, 2009

M. Nasir pilih pembaca bertuah Kosmo!

petikan KOSMO! 15 Julai 2009

M. NASIR bersama Baharom (dua dari kiri) dan Samirah (kanan) memilih pembaca bertuah untuk memenangi tiket konsert 1Wajah M. Nasir di Kuala Lumpur semalam. Kiri sekali Tengku Khalidah.

KUALA LUMPUR - Debaran konsert 1Wajah M. Nasir semakin terasa apabila penganjur konsert, Maya Axis Creative Sdn. Bhd., menerima ratusan penyertaan daripada pembaca Kosmo! di seluruh negara untuk memenangi 100 tiket percuma ke konsert tersebut.

Penyanyi yang turut digelar 'sifu' itu turun padang bersama Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan Pengarah Urusan Maya Axis Creative, Samirah Hambali bagi memilih sendiri pembaca bertuah untuk menonton konsertnya secara percuma di Stadium Negara pada 25 Julai ini.

Menurut Samirah, meskipun sekadar tiket percuma, ia menunjukkan sokongan padu oleh peminat M. Nasir.

"Penjualan tiket juga amat memberangsangkan tetapi masih ada ruang untuk peminat yang masih belum membeli tiket kerana Stadium Negara boleh memuatkan 6,000 orang pada satu masa," jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat Kosmo! di sini semalam. Turut sama Pengarang Hiburan Kosmo!, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Sementara itu, M. Nasir memberitahu, beliau tidak menyangka meskipun hanya 100 tiket percuma yang ditawarkan kepada pembaca Kosmo! tetapi penyertaan yang diterima begitu menggalakkan.

Buat pembaca yang telah menghantar penyertaan, nama mereka yang menerima sekeping tiket ke konsert 1Wajah M. Nasir akan disiarkan dalam akhbar ini pada 23 Julai ini.

Tiket-tiket masih dijual pada harga RM383, RM253, RM153, RM83 dan RM53 dan ia boleh didapati daripada Ticket Hotline di laman web www.tickethotline.com.my atau dengan menghubungi 03-77251177/1166 dan 03-80769872/73.

Tiada ulasan: