petikan Harian Metro 11 Julai 2009
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
LEBIH 30 tahun dalam bidang seni, M Nasir, 52, berjaya menghasilkan lagu yang meninggalkan nostalgia kepada peminat. Rahsia kejayaannya terletak pada lirik lagunya yang begitu dekat di hati pendengar serta muzik santai yang menghiburkan.
Justeru, dalam keghairahan stesen televisyen mengadakan program realiti bertujuan mencari bakat baru bagi memeriahkan persada seni tanah air, Nasir terus dengan keunggulannya yang tersendiri. Bahkan kehadirannya dalam dunia hiburan tempatan terus mendapat perhatian masyarakat.
Justeru, dengan kekuatan yang ada pada Nasir sebagai anak seni yang tidak jemu berjuang, selepas kejayaan konsertnya di Istana Budaya (IB), Februari lalu, pada 25 Julai ini bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, sekali lagi dia diberi kepercayaan mengadakan konsert solo, Konsert Satu Wajah M Nasir. Konsert itu diadakan selama dua jam bermula 8.30 malam.
Nasir terharu apabila syarikat pengurusan acara, Maya Axis Creative Sdn Bhd, sudi menganjurkan konsert itu kerana kebetulan pada penghujung Jun dan Julai ini, beberapa artis ternama lain turut mengadakan konsert solo termasuk konsert Datuk Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Jun ini dan Anuar Zain juga akan mengadakan konsertnya pada 1 dan 2 Julai ini.
Kedua-dua konsert itu diadakan di IB. Jamal Abdillah turut mengadakan konsert di tempat sama pada 5 hingga 9 Ogos ini.
Menurut Nasir, dia sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dengan lebih 20 lagu dipetik daripada semua albumnya termasuk ketika bersama kumpulan Kembara.
Antara lagunya, Lara, Serikandi Cintaku, Anak-Anak Kita, Andalusia, Seutuh Listrikmu, Kias Fansuri, Tanya Sama Hud Hud, Lambaian Sukma, Hati Emas, Masrani (dipetik dari filem Selubung), Mustika, Apokalips, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Gerhana, Ada, Keroncong Untuk Ana, Langgam Pak Dogo, Di Balik Cermin Mimpi, Sang Pencinta, Pilihlah Aku, Mantera Semerah Padi, Phoenix Bangkit Dari Abu, Raikan Cinta, Padamu Kekasih, Satu Masa dan Bonda. Termasuk satu lagu baru yang digubahkan khas untuk konsert itu.
Menyentuh keadaan stadium yang boleh memuatkan 9,000 penonton, Nasir tidak gusar kerana dia yakin mereka yang tidak dapat menyaksikan konsert di IB akan datang untuk melihat persembahannya kali ini. Dia juga tidak berasakan jarak antara kedua-dua konsert itu agak dekat.
"Inilah peluang terbaik kepada peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert saya di IB untuk datang ke Stadium Negara. Lagipun konsert yang dibuat di stadium menjanjikan kelainan dengan suasana lebih santai.
"Saya juga tahu ada dua tiga artis lain mengadakan konsert pada Jun dan Julai ini kerana mungkin mereka juga mengejar masa kerana tidak lama lagi puasa dan hari raya. Biasanya selepas Aidilfitri, kegiatan seni agak perlahan dan kembali rancak menjelang hujung tahun. Tetapi saya yakin masing-masing mempunyai khalayak peminat tersendiri.
"Kali terakhir saya buat konsert solo, Konsert Canggung M Nasir di Stadium Negara pada 1994 dan Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), Kuala Lumpur pada 1995. Ketika itu sambutan sangat bagus. Yang lain itu, saya menjayakan konsert bersama artis lain.
"Konsert itu dihadiri ramai pelajar pusat pengajian tinggi dan sekarang mereka tentu sudah berkeluarga. Siapa tahu mereka akan kembali menyaksikan konsert ini untuk bersama berhibur dengan lagu yang pernah menjadi nostalgia kepada mereka suatu ketika dulu," katanya.
Untuk konsert kali ini juga, jelas Nasir dia belum bercadang menjemput mana-mana artis kerana mungkin tema yang bakal ditampilkan tidak memerlukan artis jemputan.
"Tidak dinafikan sepanjang perjalanan kerjaya seni ini, saya terbabit dengan ramai artis merakamkan suara dengan mereka seperti Siti, Jamal Abdillah, Yusnizar Hussein, Tan Sri S M Salim, Hattan dan Mallique (Too Phat).
"Bagaimanapun, saya tiada masalah membuat persembahan seorang kerana sebelum ini, saya biasa menyanyi selama tiga jam sendirian. Persembahan konsert juga tidak perlu banyak klimaks kerana penonton akan bosan.
"Saya memilih Stadium Negara kerana sudah lama tidak mengadakan konsert di sana dan bentuk konsert ini sesuai dengan kapasiti penonton yang lebih besar daripada di IB. Konsert ini akan memberikan tenaga yang berbeza dengan mengajak penonton menari bersama kerana saya mahu mereka bergembira pada malam itu.
"Jika kebanyakan bentuk konsert di negara ini memaparkan muzik moden, namun untuk kelainan konsert ini, saya pamerkan pelbagai corak dan konsep muzik yang akan diiringi 13 hingga 14 pemuzik," katanya.
Nasir juga percaya dia terus berada dalam arus perdana muzik tanah air kerana kebanyakan lirik lagu menyentuh kehidupan manusia.
"Waktu mula berkarya saya banyak menghasilkan lagu kerakyatan dan lagu cinta yang menjadi nostalgia sehingga kini. Misalnya pada setiap persembahan lagu yang wajib dinyanyikan, Satu Masa dan Hati Emas. Kedua-dua lagu itu juga banyak dimainkan pada majlis perkahwinan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan