petikan Harian Metro 12 Disember 2006
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Keputusan M Nasir kekal bertanding mempertaruhkan dua lagunya berbaloi apabila kedua-duanya berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL21
HEBOH sebelum ini, komposer berpengalaman M Nasir mahu menarik diri daripada menyertai Separuh Akhir Muzik Muzik 21 kategori Pop Rock. Gara-gara tidak puas hati dengan keputusan juri mengadili Irama Malaysia & Etnik Kreatif.
Desas-desus itu dipercayai timbul bukan hanya disebabkan lagu ciptaannya Nafas Cahaya lirik ditulis Loloq dendangan Misha Omar itu terkandas sekali gus gagal mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 21 (AJL21).
Bahkan, melihat hampir keseluruhan keputusan juri yang mengadili kategori berkenaan yang dilangsungkan pada 24 November lalu itu tidak telus.
Namun, apakah yang menyebabkan M Nasir akhirnya mengubah fikiran sehingga masih berminat menyertai pertandingan itu? Barangkali pihak TV3 dan M Nasir sendiri sudah berkonfrantasi untuk meluahkan segala rasa sekali gus meleraikan kekusutan.
Nampaknya, keputusan M Nasir untuk kekal bertanding dan mempertaruhkan dua lagunya iaitu Juwita Citra Terindah dan Lagu Jiwa Lagu Cinta duet bersama anak didiknya, Mawi berbaloi apabila kedua-duanya berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL21.
Ketika menjawab pertanyaan, apakah kemungkinan kejayaannya itu dipengaruhi markah kesian juri yang mahu mengambil hatinya semula, M Nasir hanya menjawab ringkas, ‘mungkin juga’.
Pun begitu, dia mengakui keputusan Separuh Akhir Pop Rock yang diadakan pada 7 Disember (Jumaat) lalu, jam 9 malam, bertempat di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, itu dilakukan secara adil.
“Saya kira keputusan malam ini lebih adil. Malah pertandingan kategori ini juga yang paling sengit dan hebat. Bahkan lagu yang dipertandingkan adalah lagu-lagu yang ada standard,” katanya.
Katanya lagi, dia tidak mampu menjangkakan kemenangan namun ada menyimpan harapan untuk mara ke akhir.
“Saya tahu menilai lagu saya. Namun lagu yang dipertandingkan malam ini cukup sengit dan hebat belaka. Satu, dua markah boleh ubah status atau kedudukan lagu itu sendiri.
“Jelasnya setiap lagu dihasilkan ada sasaran pendengarnya sendiri. Pada juri yang gemarkan ‘mood’ muzik moden mungkin mereka memilih Juwita Citra Terindah sementara Lagu Jiwa Lagu Cinta ia khusus untuk semua khalayak,” katanya.
M Nasir muncul bersama Mawi sebagai artis pertama membuat persembahan menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta dan yang kelima ketika membawakan lagu Juwita Cinta Terindah.
Manakala pasangan tidak lagi serasi, Nurul dan Ajai artis kedua membuat persembahan. Mereka membawakan lagu Serasi Bersama hasil ciptaan Ajai sendiri dan Loloq selaku penulis liriknya.
Meskipun, Nurul dan Ajai kelihatan tenang di pentas seolah-olah tiada dusta antara mereka, namun sebilangan peminat berasa sebak melihat persembahan pasangan ini.
Sebabnya, ramai yang tidak menyangka mereka akan mengambil keputusan berkongsi pentas lagi dan kelihatan cukup profesional meskipun kini dalam proses perceraian. Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi mereka malam itu.
Persembahan seterusnya, disempurnakan Ruffedge menerusi lagu Lemas ciptaan dan lirik oleh Cat, Sein, Zain & Uno. Kumpulan vokal hip hop yang dianggotai empat jejaka tampan, Zain, Husin, Amir dan Azan turut mempertaruhkan sebuah lagi lagu iaitu Da’ Bomb.
Biarpun sudah mempersembahkan yang terbaik dan disebut-sebut antara empat peserta layak ke akhir namun Ruffedge terpaksa akur dengan keputusan juri.
Pretty Ugly menepati ramalan, apabila turut disenaraikan ke AJL21 menerusi lagu top mereka, Diari Seorang Lelaki ciptaan vokalis kumpulan itu Neves atau nama sebenarnya, Raizan Zainal Abidin.
Ia satu pencapaian yang membanggakan apatah lagi ini kali pertama Pretty Ugly berjaya ke final.
Menyentuh kekuatan Diari Seorang Lelaki, Neves mengakui dia bukanlah orang yang layak memperkatakan kehebatan lagu ciptaannya itu.
“Saya tidak berani mengadili sudut mana kehebatan lagu itu tapi saya percaya Diari Seorang Lelaki disukai kerana nilai komersialnya.
“Apapun kami memang terkejut apabila nama diumumkan apatah lagi ini kali pertama ke peringkat akhir AJL. Mengenai persembahan final, kami akan mengekalkan gaya selamba dan mempersembahkannya dengan cara kami yang tersendiri,” katanya. Pretty Ugly tidak bersendirian kerana Elyana juga antara finalis pertama kali melangkah ke final.
Dia membawakan lagu Tak Tercapai Akalmu ciptaan Aidit Alfian lirik oleh AD Samad memberi persembahan cukup memberangsangkan biarpun namanya tidak disenaraikan dalam ramalan empat peserta akhir.
“Kalau hendak kata saya tidak jangka ke final, tidak boleh juga kerana komposer dan penulis lirik lagu ini sudah melakukan yang terbaik. Andai kata terlalu yakin bimbang pula kecewa jika tidak berjaya.
“Justeru malam ini fokus saya hanyalah untuk memberi persembahan yang terbaik dan Alhamdulillah Tak Tercapai Akalmu berjaya.
“Soal persediaan menghadapi saingan di peringkat final nanti apatah lagi satu-satunya penyanyi wanita dan paling ‘junior, saya tidak pernah menjadikan usia sebagai halangan.
“Apa yang penting saya mahu membawa cabaran sekali gus membawa harapan komposer dan penulis lirik serta membuatkan mereka tersenyum. Mengenai persiapan final tentunya saya mahu memantapkan lagi persembahan vokal kerana lagu ini agak sukar disampaikan selain memerlukan pernafasan yang cukup dan penghayatan lirik yang mendalam,” katanya.
Keputusan itu turut mengejutkan kerana ramai menjangkakan Caramu ciptaan Audi Mok dan lirik, Nurfatimah nyanyian Nikki Malaysian Idol dan Zahid AF2 lebih layak ke final.
Bukan saja hasil ciptaan lagu itu baik dan berkualiti malah persembahan Nikki dan Zahid cukup bertenaga. Aidit Alfian, M Nasir dan Loloq sendiri menyifatkan Caramu sebuah lagu yang bagus.
Tiga tahun menyertai Separuh Ahkir Muzik Muzik bermula dengan lagu Kesetiaan diikuti Jangan Kau Mimpi namun, nyatanya Siti Sarah Raissuddin tidak pernah serik.
Meskipun persembahannya menerusi lagu Menari Denganku duet bersama Zahid cukup hebat masih juga belum berjaya ke akhir. Saat Hilang Cintamu yang tersenarai dalam Separuh Akhir Kategori Balada pada 1 Disember lalu juga gagal.
Apapun, gandingan Sarah dan Zahid di pentas tampak ‘comel dan ngam’ tambahan pula nyanyian dua sahabat baik ini dipenuhi elemen drama.
Selain Sarah, seorang lagi peserta tidak berjaya adalah Amy Mastura. Dia yang mempertaruhkan lagu Bukakanlah Pintu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Ucu.
Sementara itu, ketua juri Aubrey Suwito dalam majlis sidang media selepas selesai pertandingan, turut menjelaskan mengapa lagu-lagu berunsurkan dance dan hip hop gagal meraih tempat.
“Melihatkan pemarkahan juri, memang mata bagi setiap lagu tidak jauh berbeza. Malah ada juri yang menyenaraikan lagu berunsurkan elemen ini dalam kelompok empat terbaik tetapi ada juga juri yang memberi markah sederhana.
“Apabila semua markah dirangkumkan kami mendapati Lagu Jiwa Lagu Cinta, Juwita Citra Terindah, Diari Seorang Lelaki dan Tak Tercapai Akalmu mendahului lagu lain.
“Apapun kategori ini paling mencabar kewibawaan juri membuat keputusan kerana lagu yang bertanding semuanya bagus-bagus,” katanya.
Juri profesional yang turut terbabit, Jeniffer Thompson, Amran Omar, Helen Yap dan Zubir Ali.
petikan Utusan Malaysia 12 Disember 2006
AJL21 antara suram dan kontroversi
Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH
LENGKAP sudah senarai 12 lagu yang akan berentap pada malam final Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL21) yang dijadualkan berlangsung Januari depan.
Suka atau tidak, terimalah keputusan juri profesional dengan hati yang terbuka.
Keputusan adalah muktamad walaupun banyak ramalan lagu yang tersasar.
Bermula dengan kategori Irama Malaysia & Irama Kreatif yang menimbulkan kejutan, ramai mula terasa kesuraman AJL21.
Kontroversi bersambung pula bagi kategori Balada apabila ikon penyanyi rock, Amy Search menarik diri di saat-saat akhir. Namun persaingan sengit dalam kategori tersebut berjaya meredakan keadaan.
Malam Jumaat lalu, empat lagi lagu dipilih dalam kategori Pop Rock. Walaupun sasaran ramalan terus menghantui penonton, kredibiliti juri profesional harus dihormati.
Jelas ketua juri, Aubrey Suwito, persaingan dalam kategori berkenaan amat sengit dan hanya dipisahkan dengan satu mata di antara lagu-lagu yang bertanding.
Sesuatu yang perlu ditekankan, AJL21 mempertarungkan lagu dan bukannya persembahan artis.
Akibatnya pasangan comel, Sarah dan Zahid yang mencuri perhatian penonton dengan lagu Menari Denganku terpaksa berputih mata.
Begitu juga dengan vokal mantap Nikki dan variasi sempurna gerak tari Ruffedge. Belum layak bertanding di AJL21.
Namun apa yang nyata, AJL21 dan kontroversi tidak dapat dipisahkan hingga ke malam pertandingan akhir nanti. Soal penjurian masih lagi menjadi duri dalam daging untuk memuaskan hati semua pihak.
Cakap-cakap belakang mula kedengaran apabila M.Nasir dikatakan tidak sebulu dengan Aubrey yang nyaris menyaksikan komposer itu menarik diri dalam kategori Pop Rock.
Komposer tersohor itu dikatakan tidak berpuas hati apabila lagu ciptaannya Nafas Cahaya nyanyian Misha Omar gagal dalam kategori Irama Malaysia & Irama Kreatif. Sementara itu, keputusan TV3 membenarkan Felix menggantikan Mawi melalui lagu Kian dalam kategori Balada perlu dipertikaikan. Sedangkan Amy Search tidak dibenarkan diganti dengan penyanyi lain.
Malam M.Nasir
Dua lagu M.Nasir, Lagu Jiwa Lagu Cinta duet bersama Mawi dan Juwita Citra Terindah layak ke AJL21 mewakili empat lagu dalam kategori Pop Rock.
Bakinya diisi oleh lagu Diari Seorang Lelaki nyanyian Pretty Ugly (ciptaan dan lirik Neves) dan Tak Tercapai Akalmu nyanyian Elyana (ciptaan Aidit Alfian dan lirik AD Samad).
Empat lagu tersebut tidak perlu bersusah payah membuat persembahan pada malam Jumaat lalu kerana tetap memikat hati juri.
Walaupun timbul spekulasi mengatakan keputusan juri memilih dua lagu cipataan M.Nasir semata-mata untuk mengambil hatinya, kualiti tinggi yang dimiliki dua lagu ciptaan komposer itu perlu diakui.
Mutu lagu-lagu M.Nasir sudah diketahui kehebatannya dan sukar digugat jika memasuki mana-mana pertandingan.
Justeru bila ura-ura M.Nasir ingin menarik diri, memang ada kewajarannya.
Zahid dan Sarah serasi bersama
Persembahan Sarah dan Zahid memang serasi jika dibandingkan dengan Ajai dan Nurul. Nampak comel apabila Zahid dan Sarah dipadankan.
Manakala Ajai dan Nurul pula macam ada yang tidak kena. Tiada lagi adegan berpegang tangan dan romantis di atas pentas. Tindakan Ajai memakai cermin mata hitam turut menimbulkan pertanyaan.
Barangkali segan bertentang mata dengan Nurul yang semakin jelita dan seksi sejak tidak lagi serasi bersama.
Senarai 12 lagu yang akan bertanding pada Anugerah Juara Lagu Ke-21
Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif
* Candak ciptaan Pak Ngah dan lirik Ce’ Kem (Siti Nordiana).
* Hantaran Hati ciptaan Nik Nizam dan lirik Rosminah Tahir (Bob & Aspalela Abdullah).
* Zapin Cinta SMS ciptaan dan lirik Anuar Dahlan (Senario & Adibah Noor).
* Warkah Buat Laila ciptaan Ayob Ibrahim dan lirik Habsah Hassan (Zahid).
Kategori Balada
* Mungkir Bahagia ciptaan Hazami dan lirik Hazami/Ita (Hazami)
* Secebis Harapan ciptaan Zulkifli Mahat dan lirik Noor (Nora).
* Ku Seru ciptaan Ajai dan lirik Habsah Hassan/ Shuhaimi Baba (Misha Omar).
* Terlalu Istimewa ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Adibah Noor (Adibah Noor).
Kategori Pop Rock
* Lagu Jiwa Lagu Cinta ciptaan M.Nasir dan lirik Loloq (M.Nasir dan Mawi)
* Juwita Citra Terindah ciptaan dan lirik M.Nasir (M.Nasir).
* Diari Seorang Lelaki ciptaan dan lirik Neves (Pretty Ugly).
* Tak Tercapai Akalmu ciptaan Aidit Alfian dan lirik AD Samad (Elyana).
article taken from Malay Mail 11 December 2006
No winds of change yet
-by JOE LEE -
DESPITE criticism that the classifi cation of the genres is outdated, no categories contested in the prestigious Anugerah Juara Lagu, or the weekly Muzik Muzik charts will be done away with, said TV3 entertainment, sports and recreation general manager Azhar Borhan.
POP-ROCK FINALISTS: Members of Pretty Ugly, Elyana (third from left) and M. Nasir
However, to stay relevant, the programme will see positive changes soon.
“We will maintain the three categories — Pop Rock, Balada and Irama Malaysia & Etnik Kreatif. At the same time, we will consider introducing other categories. Music itself is evolving and we must keep up with the times,Azhar said. However, he was unable to reveal when the change would take effect.
“I wish I can answer that, but there are many elements to consider and work out first,he said.
On the Pop Rock category semi-finals last Friday, a rockcentric decision by the jury saw crowd favourites like Da Bomb, written and performed by Ruffedge; Caramu, written by Audi Mok and Nurfatima and performed by Nikki and Zahid; and Menari Denganku, written by Neves and performed by Sarah and Zahid end up being the losers of the night.
M.Nasir was the biggest winner as two of his songs, Lagu Jiwa Lagu Cinta and Juwita Citra Terindah made it to the fi nals together with Pretty Ugly’s Diari Seorang Lelaki (written by Neves) and Elyana’s Tak Tercapai Akalmu (written by Aidit Alfi an and lyrics by Ad Samad).
Azhar shrugged at the choices of the jury and said they were the result of the tabulated score given for both melody and lyrics.
“We cannot say anything as we have entrusted the duty to them. It is not for us to demand a say, and it is not appropriate,he said.
The jury panel that night comprised Aubrey Suwito, Helen Yap, Jennifer Thompson, Amran Omar and Zubir Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan