petikan Berita Harian 13 Disember 2006
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
SEBELUM pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 21 kategori Pop Rock berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu, kedengaran ura-ura kononnya komposer dan penyanyi terkenal, M Nasir ingin menarik diri daripada program terbabit.
Bagaimanapun, apabila dia muncul juga pada pertandingan berkenaan, yang turut disiarkan secara langsung oleh TV3, khabar angin itu berakhir. Malah, apabila keputusan diumumkan, rezeki jelas lebih berpihak kepada sifu ini setelah dua lagu ciptaannya, Lagu Jiwa Lagu Cinta yang dipersembahkan bersama Mawi, serta Juwita Citra Terindah, melangkah ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), Januari depan.
Pada sidang media sejurus tamat rancangan, persoalan mengenai ura-ura penarikan diri itu diajukan kepadanya.
“Benda (penarikan diri) itu saya sudah tinggalkan, kenapa hendak dibangkitkan kembali?” tanyanya kembali apabila wartawan bertanyakan hal berkenaan.
Begitupun, setelah dijelaskan mengapa soalan itu harus juga diajukan, Nasir mengalah. Tetapi ringkas saja jawab: “Ada beberapa perkara yang saya tidak puas hati”.
Pada pertanyaan lain, komposer yang pernah beberapa kali menjulang trofi AJL ini berkata, dia berasakan, keputusan yang diumumkan malam itu adalah cukup adil, berikutan saingan sengit dihadirkan semua lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir. Selain dua lagunya, lagu sepenuhnya ciptaan Neves dari kumpulan Pretty Ugly, Diari Seorang Lelaki, serta ilham cipta Aidit Alfian dan Ad Samad, Tak Tercapai Akalmu, turut melayakkan diri.
“Saya sendiri tidak menjangkakan dua lagu saya akan terpilih ke akhir, apabila saya mendengar lagu lain yang bertanding, jelas sekali mereka juga hebat belaka. Saya takut juga sebenarnya,” kata suami kepada pelakon Marlia Musa ini.
Baginya, lagu Juwita Citra Terindah mungkin lebih disukai juri yang melihat kepada elemen moden dalam muzik, manakala Lagu Jiwa Lagu Cinta pula lebih kepada cita rasa masyarakat umum.
Sementara itu, Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin yang pertama kali berjaya ke peringkat akhir turut melahirkan rasa tidak percaya dengan pemilihan lagu ciptaannya ke AJL. Dia sendiri tidak berani untuk mencari di mana sebenarnya kekuatan lagu berkenaan, walaupun pada dasarnya dia mengakui wujud nilai komersial yang kuat dalam lagu Diari Seorang Lelaki.
Aidit Alfian pula berasakan, kategori Pop Rock saja sudah cukup untuk menjadikan pertandingan itu meriah.
“Bukan saya hendak menidakkan kekuatan kategori lain, tetapi kategori Pop Rock memang penuh berwarna-warni. Semua komposer hadir bersama karya berbeza, begitu juga persembahan oleh artisnya,” ujar jejaka yang sebelum ini pernah memenangi trofi Juara Lagu 2002 menerusi Keliru, nyanyian Ajai dan Nurul.
Dia dan Nasir juga bersetuju, pada hakikatnya Malaysia kaya dengan penghasilan yang menarik, termasuk dalam kategori pop rock itu sendiri. Bahkan, stesen radio tempatan hari ini banyak mengetengahkan lagu bercorak demikian untuk siaran. Begitu pun mereka tidak berani meramal peluang lagu daripada kategori itu untuk muncul juara keseluruhan pada saingan akhir awal tahun depan.
Irama hip hop diketepikan?
PADA malam Jumaat lalu, nasib tidak menyebelahi beberapa lagu yang mempunyai sentuhan hip hop dalam melodinya. Pilihan juri nampaknya lebih kepada irama yang berteraskan rock, berbanding irama lain dalam kategori Pop Rock.
Antara lagu yang berunsur hip hop dalam saingan separuh akhir terakhir itu ialah Da’ Bomb dan Lemas nyanyian Ruffedge, Caramu (Nikki & Zahid), Menari Denganku (Sarah & Zahid). Dua lagu lain yang turut bertanding ialah Bukankanlah Pintu (Amy Mastura) dan Serasi Bersama (Ajai & Nurul).
Ketua juri, Aubrey Suwito, berkata kegagalan lagu hip hop ke akhir bukan kerana timbulnya sebarang masalah berhubung irama terbabit.
Malah, jelas Aubrey, ada kalangan juri yang meletakkan lagu hip hop sebagai pilihan empat teratas mereka.
“Begitupun, apabila markah keseluruhan dicampur, lagu berkenaan tidak termasuk dalam empat lagu yang berjaya ke akhir, dengan perbezaan mata yang amat sedikit. Saingan kali ini, saya akui, memang amat sengit,” kata juri ini. Juri lain ialah Helen Yap, Jennifer Thompson, Zubir Ali dan Amran Omar.
Persembahan Nikki, Zahid terbaik
RAMAI kalangan wartawan dan penonton yang hadir pada malam saingan separuh akhir kategori Pop Rock kecewa apabila lagu Caramu ciptaan Audi Mok dan liriknya oleh Nur Fatimah gagal menambat hati juri.
Kekecewaan itu lebih dirasakan apabila penyanyinya, Nikki yang tampil bersama Zahid, memberikan persembahan cukup hebat serta bertenaga, ketika mengalunkan irama rancak berkenaan. Malah, penonton turut memberikan sorakan paling kuat untuknya, selesai saja persembahan.
Pendek kata, Nikki dengan mudah boleh muncul juara persembahan terbaik, sekiranya wujud anugerah itu pada malam berkenaan. Begitupun, menolak kekecewaan ke tepi, Nikki tetap berasa bangga kerana dia kecundang dengan penuh bergaya, manakala persembahannya pula memikat hati banyak pihak. Aidit sendiri, umpamanya, berasakan lagu Caramu dan Nikki sendiri memberikan saingan hebat kepada peserta lain.
Selain Nikki, tampil menghiburkan juga ialah Sarah (yang juga bersama Zahid, menerusi lagu Menari Denganku), serta M Nasir dan anak didiknya Mawi, ketika menyanyikan lagu Jiwa Lagu Cinta. Meskipun begitu, jelas sekali Mawi gagal menyanyi aura gurunya itu apabila berada di pentas.
petikan MStar 13 Disember 2006
Juri AJL prejudis terhadap lagu urban?
Radin Sri Ghazali
Tidak dapat disangkalkan bahawa kategori Pop Rock mempertaruhkan calon-calon hebat untuk Anugerah Juara Lagu 21 pada kali ini.
Namun kehebatan persembahan lagu-lagu yang berkonsepkan urban komersial seperti Lemas dan Da Bomb (oleh Ruffedge), Menari Denganku (oleh Siti Sarah dan Zahid) serta lagu yang bakal disebut sebagai finalis AJL 21, Caramu (oleh Nikki dan Zahid ) gagal memberi sebarang impak kepada panel juri.
Seperti biasa, apabila rumah sudah siap pahatpun akan berbunyi. Pemilihan kategori Pop Rock sudah pun dibuat dimana empat lagu yang layak ke peringkat akhir ialah Juwita Citra Terindah (M.Nasir), Lagu Jiwa Lagu Cinta (M.Nasir & Mawi), Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly) dan Tak Tercapai Akalmu (Elyana).
Walaupun keputusan adalah muktamad, masih terdapat cakap-cakap belakang di
"Pemarkahan adalah adil dan tidak berat sebelah kepada mana-mana jenis genre. Setiap lagu dihakimi menerusi susunan melodi serta lirik.
"Malah, terdapat salah sebuah lagu berkonsepkan urban berada di tangga kelima dan hanya memerlukan satu mata sahaja untuk melayakkan diri ke peringkat akhir," jelas komposer Aubrey Suwito selaku ketua juri ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat sikap bias di kalangan panel juri terhadap lagu berunsurkan R&B dan Hip Hop.
Malah keempat-empat buah lagu tersebut disertakan dengan iringan tarian yang kreatif serta kemantapan vokal terutamanya Nikki dan Siti Sarah.
"Bagi Nikki, melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sudah memadai. Nikki rasa bangga kerana inilah kali pertama Nikki memasuki Muzik-Muzik ," ujar anak didik Ning Baizura ini.
Lagu Caramu, duet di antara bekas peserta Malaysian Idol ini bersama pemenang Akademi Fantasia 2, Zahid dikatakan antara lagu favourite untuk melangkah ke peringkat akhir.
Namun, Nikki langsung tidak menyatakan sebarang penyesalan ataupun melahirkan rasa tidak puas hati setelah gagal mara ke peringkat akhir AJL 21.
Walaupun mempunyai mutu vokal yang luarbiasa pada malam tersebut, Nikki mengakui bahawa penilaian sebuah lagu bukan berdasarkan vokal semata-mata.
"Segala-galanya diambil kira, daripada susunan sehingga ke vokal. Sebuah lagu tidak akan menang hanya berdasarkan suara yang baik sahaja," kata anak kelahiran negeri di bawah bayu ini.
Neves Pretty Ugly terlampau selamba
Vokal penyanyi utama kumpulan Pretty Ugly, Neves sering menjadi sindiran media setiap kali dia menyanyi secara live.
Malah pada malam tersebut, Neves sekali lagi gagal untuk menunjukkan kehebatan vokal malah keselurahan persembahan kumpulan tersebut dikatakan agak 'selamba'.
"Selamba ke? Harus ingat bahawa malam ini kami hanya menggunakan minus one. Oleh itu, ramai berpendapat bahawa persembahan kami bersahaja," ujar komposer kepada lagu Diari Seorang Lelaki ini.
"Kami berjanji akan memberi persembahan selamba yang paling hebat pada malam akhir nanti!" ujarnya lagi.
Bagi Elyana pula, perasaan teruja menyelubungi dirinya. Penyanyi yang berusia 19 tahun itu merupakan yang termuda di kalangan finalis pada AJL 21 nanti.
Namun pelakon drama bersiri Dunia Baru ini menjanjikan persembahan yang terbaik pada peringkat akhir nanti.
"Usia bukan satu halangan untuk saya. Asalkan saya melakukan yang terbaik, itu sudah cukup," ujar anak didik Aidid Alfian ini lagi yang terpilih untuk ke final dengan lagunya Tak Tercapai Akalmu.
Sifu M.Nasir cukup bernasib baik kerana kedua-dua lagunya iaitu Lagu Jiwa Lagu Cinta (duet bersama Mawi) dan Juwita Citra Terindah berjaya mara ke peringkat akhir.
"Saya tidak pernah mengharapkan apa-apa tetapi saya bersyukur dan akan melakukan yang terbaik," ujar komposer ini lagi.
Ketika ditanya lagu manakah yang bakal menjadi saingan utama pada peringkat akhir nanti, M.Nasir hanya mampu ketawa.
"Soalan cepus emas tu. Saya tidak mempunyai sebarang pilihan tetapi berharap agar kedua-dua buah saya akan disampaikan dengan baik," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan