petikan Harian Metro 10 Disember 2006
-Hartati Hassan Basri-
KALAU sudah rezeki tidak ke mana. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan kejayaan M Nasir menerusi dua lagu ciptaannya, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Juwita Citra Terindah ketika Separuh Akhir Muzik Muzik 21 kategori Pop Rock, Jumaat lalu.
Tapi kalau bukan rezeki, letaklah harapan tinggi menggunung atau keyakinan 100% tetapi jika Yang Masa Esa tidak izinkan, ia tidak akan menjadi kenyataan.
Ternyata kata-kata saya menerusi ruangan ini minggu lalu menjadi kenyataan apabila mengatakan mungkin M Nasir kecewa dan hampa lagu ciptaannya, Nafas Cahaya tidak berjaya dalam kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif pada 24 November.
Bagaimanapun itu bukan alasan untuknya terus kecewa hingga mahu menarik diri daripada mencalonkan lagunya dalam kategori Pop Rock sebagai protes keputusan juri. Ternyata memang sudah rezeki M Nasir apabila hasratnya untuk menarik diri itu tidak ‘direstui’, kerana rezekinya sudah tertulis.
Isu yang saya paparkan minggu lalu turut mendapat perhatian pembaca. Di sini saya paparkan komen pembaca yang menggelarkan dirinya Musim Sakura.
“Bagi saya, walaupun M Nasir nama besar dalam dunia muzik, tidak semua lagu yang diciptanya itu bagus. Semua manusia ada kekurangan. Hidup kita, tidak boleh fikir diri kita bagus. Jika kita berfikir begitu, Allah SWT akan tarik rezeki kita.
“Kita patut bersyukur dan belajar terima hakikat. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Jika kita anggap diri kita sentiasa bagus, ada orang yang lebih bagus daripada kita. Itu yang perlu kita ingat.
“Saya harap M Nasir belajar terima hakikat dan tidak perlu malu pada peminat tapi malu pada Allah SWT,” katanya.
Keputusan kategori Pop Rock itu juga melengkapkan 12 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 21 (AJL21) nanti. Ternyata AJL yang kini mencecah usia 21, mempunyai peranan yang penting sebagai program yang mengiktiraf karya pemuzik, penulis lirik dan penyanyi tanah air.
Walaupun industri muzik kita dikatakan agak lembap kerana masalah cetak rompak serta saingan daripada karya luar, apa yang penting ia tetap meriah dengan penyertaan lagu-lagu baru.
Kehadiran orang lama seperti M Nasir, Fauzi Marzuki, Pak Ngah, Anuar Dahlan, Azmeer dan Zulkifli Mahat, ternyata masih mampu memberi saingan hebat kepada komposer muda.
Mungkin penyanyi senior yang menghasilkan album perlu lebih bersikap terbuka dengan turut sama menyertai carta Muzik Muzik sebagai merancakkan lagi program itu. Sebabnya, ada penyanyi senior yang tidak bersedia bertanding atas alasan tersendiri.
Bagaimanapun, dalam keadaan industri muzik kita sekarang, rasanya semua pihak perlu meletakkan kepentingan peribadi ke tepi.
Majlis Anugerah Industri Muzik ke-14 (AIM14) yang turut menghargai penyanyi, komposer, penulis lirik dan mereka yang terbabit dalam penerbitan album, baru saja menutup pencalonannya Jumaat lalu.
Difahamkan, penyertaan tahun ini lebih baik selepas penganjur, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) dengan persetujuan Persatuan Industri Rakaman Malasyia (RIM) mengubah syarat penyertaan tahun ini.
Untuk AIM14, album yang mengandungi lapan lagu atau durasi 30 minit layak bertanding. Malah beberapa kriteria untuk kategori Rakaman Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik turut diubah.
Perubahan ini dilakukan selepas kekecohan AIM13 apabila album terbitan Maestro Talent & Management seperti album Mawi dan Farah tidak dapat dicalonkan kerana tidak memenuhi syarat 10 lagu atau durasi lebih 40 minit.
Semoga semua pihak terus menghasilkan karya yang baik untuk menjadi santapan pendengar kita supaya mereka tidak menoleh karya luar. Isu ini masih terus diperkatakan termasuklah dalam program Fenomena Seni Jumaat lalu.
Tahniah juga buat filem Cicak-Man kerana berjaya mencatat rekod dengan kutipan paling tinggi pada hari pertama pada Khamis lalu iaitu RM350,000 manakala hari kedua RM300,000. Ternyata penonton kita menyokong karya tempatan jika bagus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan