Oleh: WANDA IDRIS
petikan Utusan Malaysia 1 Julai 2005
DI SAAT zaman kegemilangan boys band (artis lelaki berkumpulan) sudah pun berada di penghujungnya, M. Nasir melahirkan Quest, sebuah kumpulan vokal berharmoni lelaki - Raheel, Irwandi, Zenn dan Aie'Z.
Kata sifu itu, empat anak muda ini berpotensi dan mampu melangkah jauh dalam bidang seni suara tempatan sekalipun kecenderungan dan minat masing-masing terhadap muzik berbeza. Raheel cenderung ke arah R&B, Irwandi (broadway), Zenn (etnik) dan Aie'Z (rock).
``Mereka boleh menyanyi. Jadi mengapa mesti kita sia-siakan bakat mereka'' katanya sewaktu bersantai dengan Mega di studio rakaman Ronggeng, miliknya sambil memerhati anggota kumpulan tersebut menyudahkan pembikinan rakaman lagu Cintakan Temui Jalannya.
Lagu tersebut merupakan lagu terakhir yang dirakam oleh Quest untuk dimuatkan dalam album sulung mereka yang dijangka dipasarkan penghujung Julai ini.
Lagu ciptaan dan lirik oleh M. Nasir itu juga bakal menjadi taruhan kepada Quest untuk memperkenalkan diri dalam industri muzik tempatan.
Mega turut berkesempatan mendengar lagu-lagu yang telah dirakamkan oleh Quest termasuk lagu Cintakan Temui Jalannya, Jiwa Terbakar, Kita Rasa Cinta dan Hanya Satu Ingatan Cinta yang dikatakan bakal hits dan menjadi siulan ramai.
Nyata pendirian M. Nasir terhadap konsep pop Quest begitu jelas.
``Kita tak mahu terikat dengan pasaran urban. Kita buat album yang orang boleh terima.
``Lagu kalau sedap, sedaplah. Kalau tak sedap, tak sedaplah (didengar) walau apa konsep yang dibawa,'' katanya.
Komen anggota Quest
``Mula-mula bekerja dengan M.Nasir memang seram. Kita orang masuk studio rakaman dengan macam-macam rasa. Memang dua tiga bulan pertama tu, rasa tak boleh nyanyi.
``Tapi dia banyak memberi tunjuk ajar dan panduan kepada kami. Daripada tak tahu apa-apa, M. Nasir memberi bimbingan dan mempertingkatkan bakat dan kemahiran diri kami.
``Dan apabila kami semakin faham dengan caranya, kami rasa amat mudah dan selesa bekerja dengan M. Nasir,'' ujar Raheel mewakili teman-temannya.
Menjelaskan mengenai kumpulan tersebut, kata Raheel, sebagai sebuah kumpulan vokal berharmoni, mereka tetap mengekalkan elemen kegemaran masing-masing.
``Memang kami menampilkan konsep pop tetapi secara dasar dan akarnya kami kumpulan berharmoni. Tiap seorang mempunyai kelebihan vokal masing-masing.
``Elemen-elemen itu merupakan kekuatan dan keistimewaan setiap individu dalam Quest dan memang kami tonjolkan dalam setiap lagu-lagu dendangan kami,'' jelasnya.
Tentang Quest
* Ditubuhkan sejak lima tahun lalu dengan nama asal, Notez (sebutan notes).
* Quest bermaksud pengembaraan yang menggambarkan kumpulan itu sendiri yang sedang `mengembara' mencari tapak dalam dunia hiburan tempatan.
* Mula menjadi artis rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd., setelah jamming dengan Ilham (anak M. Nasir) di Studio Ronggeng. Kebetulan M. Nasir terdengar dan terus suruh datang uji bakat.
* Masa uji bakat, nyanyi lima lagu acapella.
* Menjadi artis Luncai Emas sejak Ogos 2003 dan memulakan pembikinan album sejak pertengahan tahun lepas.
* Ada 15 lagu dalam senarai. Tapi hanya 11 lagu yang dirakamkan.
* Enam daripada lagu-lagu tersebut adalah ciptaan M. Nasir manakala selebihnya daripada Firdaus, Hadi Hassan dan Tengku Shahrum.
* Turut terpilih ialah lagu ciptaan Raheel dan lirik oleh Ara Bakar berjudul Ini Yang Ku Cari.
* Album sulung Quest yang berjudul Jiwa Terbakar diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn. Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan