Jumaat, Julai 15, 2005

Paduan Jamal, M Nasir menyentuh rasa

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
petikan Harian Metro

BUKAN sesuatu yang mudah untuk menyaksikan dua nama besar ini beraksi di pentas bersama. Pastinya apabila kedua-duanya digandingkan bersama dalam Konsert Fenomena M Nasir dan Jamal Abdillah, kehadiran mereka mengundang tumpuan peminat.

Sebenarnya sudah lama M Nasir dan Jamal Abdillah tidak bersama dalam persembahan pentas. Kali terakhir di Stadium Merdeka beberapa tahun lalu. Ini julung kalinya mereka berdua digandingkan bersama dalam persembahan pentas dan ada menyifatkannya yang paling hebat.

Rakaman Konsert Fenomena di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini menjadi peluang keemasan untuk menyaksikan mereka beraksi di pentas.

Sebelum ini program sama menyaksikan gandingan Siti Nurhaliza bersama Dayang Nurfaizah dan Misha Omar bersama Jaclyn Victor. Persembahan
mereka ini akan disiarkan pada musim raya nanti.

Tirai persembahan dibuka M Nasir dengan lagu rancak Mentera Semerah Padi yang diiringi dengan persembahan silat. M Nasir yang kini menjadi pengetua Akademi Fantasia musim ketiga, berjaya membawa penonton menghayati persembahannya dengan alunan rancak untuk menghidupkan suasana
malam.

Kemudian M Nasir memperkenalkan insan seni yang dilahirkan menerusi Bintang RTM dan kini bergelar Raja Pop iaitu Jamal Abdillah. Tanpa melengahkan masa, Jamal mendendangkan lagu Seroja dengan penuh penghayatan dan menyentuh perasaan penonton.

Selepas itu M Nasir kembali beraksi di pentas dengan menyanyikan rangkaian lagu popular ciptaannya iaitu Laila Namamu Teratas, Kau Ratnaku, Jaket Biru dan Hidayah sebelum disusuli lagu raya yang menjadi
nostalgia ramai, Suatu Hari Di Hari Raya.

M Nasir menyentuh perasaan penonton dengan memulakan persembahan mengalunkan lagu rancak dan kemudian mengakhirinya dengan lagu yang
membangkitkan keinsafan.

"Lagu ini banyak memberi inspirasi kepada saya untuk merenung jauh ke dalam kehidupan manusia yang serba kekurangan," katanya merujuk kepada
lagu Hidayah.

Tirai persembahan seterusnya dirancakkan kembali dengan Jamal menyanyikan lagu Menaruh Harapan yang pernah didendangkan Zaiton Sameon. Lagu
ini dimuatkan dalam album terbaru Jamal, Kau Penghiburku.

Apabila Jamal menyanyikan lagu Gadis Melayu, penonton bagaikan histeria apabila Jamal menyanyikan lagu lama itu dengan penuh penghayatan,
ditambah pula tarian yang mengasyikkan sambil diiringi petikan gitar Joe Wings.

Seterusnya Jamal menyanyikan lagu ciptaan M Nasir, Joget sebelum diteruskan dengan lagu Berdendang Dalam Tangisan, Kekasih Awal Dan Akhir
serta Malam Minggu.

Gandingan lagu duet mereka berdua malam itu menampilkan lagu Kepadamu Kekasih dan Ghazal Untuk Rabiah sebagai hadiah untuk peminat setia
mereka yang tertunggu-tunggu persembahan duet dua penyanyi unggul ini.

Kepadamu Kekasih pernah menggandingkan Jamal dan M Nasir bersama Hattan dalam album Mentor yang dihasilkan Hattan khusus sebagai tanda
penghargaan kepada M Nasir.

Lagu Ghazal Untuk Rabiah pula pernah menyemarakkan industri muzik tanah air dengan lagu ala irama padang pasir diikuti kejayaan lagu itu diangkat
sebagai Juara Lagu.

Dalam persembahan selama satu jam setengah itu, Jamal dan M Nasir banyak melakukan aksi dan lawak spontan.

"Seburuk-buruk manapun saya, kalimah Allah ada dalam diri saya," kata Jamal yang kini berusia 46 tahun kepada M Nasir apabila diusik mengenai
penampilannya sekarang.

Jamal berkata, bagi mengekalkan mutu suara, penjagaan kesihatan, makan dan tidur yang cukup adalah antara faktor penyumbang.

Tirai persembahan mereka berdua malam itu diakhiri dengan lagu raya ciptaan S Atan, Salam Aidilfitri dan Salam Dunia. Sebagai bonus kepada peminat setianya yang masih tidak berganjak, M Nasir sekali lagi tampil mempersembahkan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud.

Sementara itu M Nasir berkata, tidak semua lagu yang diciptakannya sesuai dinyanyikan secara duet.

Ini kerana setiap lagu yang dicipta mengikut target nyanyian yang tersendiri.

"Banyak lagu yang saya cipta atau nyanyikan, datang secara spontan. Sebenarnya banyak lagu yang dicipta datang secara tiba-tiba," katanya yang
menyambut ulang tahun ke-48 baru-baru ini. Manakala Jamal berkata, kebanyakan aksinya pada malam itu datang secara spontan kerana seni itu
adalah sesuatu yang halus dan menyentuh perasaan.

"Banyak yang saya lakukan mengikut rasa hati. Seni itu rasa dan rasa itu jiwa. Mengenai tarian pula, ia bergantung kepada jenis lagu sama ada sesuai atau tidak untuk ditarikan mengikut rentak," katanya.

Kira-kira 1,000 penonton hadir menyaksikan persembahan dua penyanyi lelaki popular ini. Sekalipun rakaman konsert berakhir jam 12 tengah malam, penonton nyata terhibur dengan lagu yang dipersembahkan.

Tiada ulasan: