Rabu, Jun 29, 2005

Spider - Bawa haluan sendiri

Oleh WANDA IDRIS
petikan Utusan Malaysia 29 Jun 2005

PERSOALAN tentang kedudukan kumpulan Spider dengan syarikat Luncai Emas sudah terjawab!

Kini kumpulan yang dianggap paling popular negara itu sudah bebas daripada label tersebut apabila Luncai Emas menyerahkan surat pelepasan kepada kumpulan tersebut bulan lalu.

Biarpun ada yang melontarkan kata-kata kononnya Spider lupa daratan kerana tindakan itu, namun kumpulan tersebut mempunyai alasan sendiri mengapa ingin keluar daripada label yang memperkenalkan mereka ke dalam industri hiburan tempatan.

Selain mahu melebarkan sayap, Tony Iskandar yang ditemui Mega selepas sidang akhbar Sunday Nite Live kumpulan itu di Planet Hollywood baru-baru ini memberitahu:

``Sampai bila kami mahu bersama. Setelah lapan tahun, sudah tiba masanya untuk kami perlu berdikari dalam mencari kepuasan sendiri.

``Kami tiada masalah dengan Luncai Emas lebih-lebih lagi dengan M. Nasir sebab dialah yang banyak mengajar kami tentang industri ini... Tentang selok belok dunia kreativiti.

``Tentang lupa daratan atau lupa diri tu, biarlah orang nak kata apa pun. Terpulang... Mereka tidak berada di tempat kami. Kalau mereka berada di tempat kami, mereka akan faham.''

Bagaimanapun, kata pemain bass Spider itu lagi, mereka masih belum bebas secara total dengan Luncai Emas.

Ini kerana syarikat tersebut hanya melepaskan mereka dengan beberapa syarat terutama sekali dalam pemilihan syarikat rakaman untuk Spider bernaung selepas ini.

``Keputusan syarikat mana yang menjadi pilihan masih tidak ada. Semuanya masih dalam perbincangan dan pastinya Luncai Emas akan mendapatkan tawaran terbaik untuk kami,'' tambah Tony.

Mengakui mendapat tawaran terbaik daripada beberapa syarikat rakaman antarabangsa dan tempatan sejak menjuarai Anugerah Juara Lagu yang lepas, tegas Tony, biarpun tidak lagi menjadi artis Luncai Emas, mereka akan tetap bekerjasama dengan M. Nasir selepas ini.

Malah Spider yang turut dianggotai oleh Tam sebagai vokal, Nafi (gitar) dan Ayie (dram) kini sedang sibuk mencari material terbaik untuk pembikinan album terbaru mereka.

``Hubungan kami macam keluarga. Apa yang berlaku ialah kami keluar sebagai artis rakaman untuk mencari haluan sendiri.

``Tetapi kerja-kerja seni misalnya lagu-lagu ciptaan kami masih di bawah Luncai Emas Publishing.

``Malah untuk album baru yang sedang kami usahakan, kami tetap akan bekerjasama dengan M. Nasir,'' katanya.

Berkenaan kedudukan kumpulan itu dengan NAR Records, kata Tony, syarikat itu masih kekal sebagai unit promosi dan pengedaran album mereka sehingga mereka mempunyai syarikat baru.

Menyentuh mengenai persembahan mereka di pusat hiburan popular itu pada 10 Julai dan 24 Julai depan, kata Tony, mereka tidak akan membuat apa-apa gimik istimewa pada persembahan itu nanti.

``Kalau nak gimik pun, mungkin daripada pilihan lagu. Sebab selama ini kalau kami buat show, kami hanya menyanyikan lagu-lagu sendiri.

``Tapi pada persembahan itu nanti, kami merancang untuk membawa lagu-lagu tahun 80-an dan 90-an.

``Mungkin tak semestinya lagu yang didendangkan nanti pernah menjadi hits, tetapi lagu itulah yang kami suka dan selalu main semasa jamming.

``Kami mahu berkongsi bersama-sama peminat lagu-lagu yang kami minati dan dalam masa yang sama menghiburkan mereka,'' jelasnya sambil memberitahu antara lagu pilihan untuk dimainkan pada malam persembahan itu nanti termasuk lagu-lagu daripada kumpulan Search, Lefthanded, Wings dan CRK.''

Tiada ulasan: