Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
petikan Berita Harian 14 Jun 2005
PEMINAT Misha Omar nampaknya terpaksa bersabar sehingga ke awal tahun depan sebelum mereka dapat menikmati lagu baru penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Penyanyi Bunga-Bunga Cinta ini tidak akan melahirkan album baru dalam masa terdekat.
Walaupun syarikat rakamannya, Sony BMG ada mencadangkan supaya album solo ketiga Misha dikeluarkan September ini, pihak pengurusan Misha berasakan tempoh itu tidak sesuai untuk kemunculan album baru.
Bukan saja tarikh berkenaan cukup hampir dengan kehadiran bulan puasa, bahkan ia juga amat dekat dengan sambutan Aidilfitri. Selepas itu, orang ramai sibuk dengan musim cuti Krismas dan sambutan tahun baru pula. Waktu itu dilihat sebagai bukan masa terbaik untuk mempromosikan album baru.
Jadi, peminat Misha hanya boleh memiliki album terbaru artis berkenaan seawal-awalnya Januari atau Februari tahun 2006. Namun begitu, tidak bermakna segala kerja berkaitan projek terbabit akan dilakukan apabila hampir waktu pengeluaran. Sebaliknya, Misha kini sudah mula mencari lagu sesuai.
Banyak juga lagu sudah diterima dan banyak juga hasil karya yang terpaksa diketepikan berikutan kesamaan bunyinya dengan lagu sedia ada. Nyata, kali ini Misha inginkan sesuatu yang cukup kuat dan memberikan nada berbeza, bagi mengukuhkan lagi kedudukan sebagai antara penyanyi disegani dewasa ini.
Justeru, antara pencipta terkenal yang dihampirinya ialah M Nasir, yang kini bergelar Pengetua Akademi Fantasia musim ketiga. Komposer terkemuka itu sendiri sudah agak lama tidak mencipta lagu untuk penyanyi wanita, biarpun suatu ketika dulu dia cukup sinonim dengan penyanyi Ella.
Difahamkan, M Nasir turut bertanya pada Misha, apakah dia berani membawakan lagu hasil tangannya? Kerana percayakan keupayaan diri, Misha bersedia menyahut cabaran berkenaan. Jika projek terbabit terlaksana, gabungan kedua-dua artis berbakat ini pasti menjadi tumpuan semua peminat mereka.
Mengenai perkembangan lain penyanyi yang juga mencapai kejayaan menerusi lagu Pulangkan itu kini sibuk menjalani penggambaran rancangan terbaru TV3, Felisa Beauty Makeover.
Selain itu, sebagai duta Laurier pula, dia kini menjelajah ke seluruh negara dalam siri promosi barangan keluaran Kao (Malaysia) Sdn Bhd itu, yang mendapat kerjasama syarikat rakamannya. Siri promosi bernama Sesi Ilham Bersama Misha Omar itu bermula 21 Mei lalu di Shah Alam dan dijangka berakhir bulan depan. Selain Lembah Klang, Misha juga berkunjung ke Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Di samping menghiburkan peminatnya dengan persembahan nyanyian, Misha turut melayan orang ramai yang ingin bergambar serta mendapatkan tanda tangannya. Bagaimanapun, sesi paling dinanti pastinya saat Misha mengadakan permainan dan peraduan untuk peminat.
Ketika menjayakan promosi terbabit di Kelana Jaya, Petaling Jaya, baru-baru ini, Misha dan peminat kelihatan cukup terhibur bersama agenda yang diatur. Mereka bergelak tawa menyaksikan peserta bergoyang dalam acara gelang rotan dan telatah lucu mereka yang cuba meniru gaya Misha beraksi.
Sepanjang promosi itu juga, peminat boleh menyertai Peraduan Sesi Ilham Bersama Misha yang berlangsung 15 Mei sehingga 31 Julai ini. Penyertaannya cukup mudah, iaitu membeli mana-mana produk Laurier dan mengisi borang disertakan. Borang boleh didapati di semua pasar raya terdekat.
Setiap penyertaan ke-100 akan memenangi jemputan eksklusif ke Sesi Ilham Bersama Misha Omar di Planet Hollywood. Hanya 350 peminat bertuah akan mendapat jemputan itu. Bukan itu saja, pada malam kemuncak nanti, 10 peminat akan memenangi cabutan bertuah, lima pemenang memenangi percutian 3 hari 2 malam bersama Misha, manakala lima lagi memenangi jamuan makan malam bersama penyanyi itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan