ANALITIC

Rabu, November 22, 2023

Ipoh bakal anjur konsert M. Nasir, pelbagai aktiviti kesenian tahun depan

sumber AstroAwani  22 November 2023

IPOH:  Komposer terkenal Datuk M. Nasir bakal mengadakan konsert khas sempena pengiktirafan Bandar Raya Ipoh sebagai satu daripada bandar baharu yang menyertai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik.

Pengerusi Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) itu berkata persembahan itu dijangka diadakan pertengahan tahun hadapan di lokasi bersesuaian sebagai satu daripada pelbagai perancangan aktiviti kesenian bagi menyokong usaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengetengahkan bandar raya itu sebagai bandar kreatif muzik.

"Kita juga merancang untuk mengadakan pesta rakyat dan bekerjasama dengan beberapa penerbit di sini untuk membuat filem atau rancangan televisyen," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata MACP juga merancang untuk menganjurkan Program Cipta Ekspres di Ipoh dengan mengumpulkan para pencipta lagu untuk bersama-sama mencipta lagu baharu selama beberapa hari.

Mengulas lanjut, maestro muzik itu berkata beliau melihat Ipoh menjadi tumpuan ramai peminat muzik terutamanya muzik rock sejak 1980-an, selain peminat muzik genre lain termasuk di kawasan pinggiran Ipoh.

"Jadi kita hendak mengumpulkan mereka ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti seni yang akan menarik mereka ini untuk berkumpul seperti mengadakan konsert dan pesta...bukan selama sehari sahaja tetapi lebih lama seperti mengkhususkan Bulan Seni Ipoh contohnya," katanya yang berharap agar kesemua rancangan terbabit dapat direalisasikan dengan kerjasama MBI dan agensi-agensi lain secara aktif dan konsisten.

Pada 1 Nov lepas Bernama melaporkan UNESCO menerusi kenyataan dalam laman web rasminya, memaklumkan ibu negeri Perak itu kini diiktiraf sebagai satu daripada 55 bandar baharu yang menyertai UCCN bersempena dengan Hari Bandar Sedunia.

pada 2022, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin turut dilaporkan berkata bandar raya itu dicadangkan untuk dicalonkan sebagai Rangkaian Bandar Kreatif dalam pengkhususan muzik bagi menjadikan Ipoh sebagai bandar paling berdaya huni di negara ini.-- BERNAMA

Selasa, November 21, 2023

Bukti keampuhan M Nasir empat dekad

petikan Berita Harian 21 November 2023

Oleh Fatin Farhana Ariffin - fatin.farhana@bh.com.my

M Nasir turut menyampaikan lagu yang mengingatkan peminat agar jangan pernah lupa akan kesengsaraan rakyat Palestin menerusi lagu Masirah.

KUALA LUMPUR: Selama 40 tahun menjadi pejuang seni bukanlah tempoh yang singkat. Perjalanan panjang ini membuktikan keampuhan figura hebat, Datuk M Nasir dalam menghasilkan karya yang hidup, tanpa ditelan waktu dan zaman.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur bukti karya maestro muzik ini masih menjadi siulan ramai, biarpun ada yang sudah berusia empat dekad.

Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam kelmarin menjadi saksi lagu M Nasir bukan hanya diminati kelompok peminat berusia, malah generasi hari ini tidak ketinggalan berhibur bersamanya.

Malah, pengalaman empat dekad dalam bidang seni memberi kelebihan buat penyanyi kelahiran kota Singa ini memahami selok-belok dalam konsert.

Seperti konsert sebelum ini, M Nasir tidak pernah gagal memberikan hiburan yang padat, muzik dan celoteh bersahaja.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur satu lagi bukti pejuang seni bernama M Nasir layak digelar penghibur legenda sepanjang zaman, apatah lagi, tiket konsert habis dijual dalam tempoh hanya tiga minggu.

Dipenuhi dengan 2,800 peminat pelbagai peringkat usia, pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamad itu menggamatkan 'pesta rakyat' dengan hampir 30 lagu selama tiga jam.

M Nasir membuka tirai persembahan dengan lagu Phoenix Bangkit daripada album keenam dan Semakin Nyata daripada album kedua yang dihasilkan pada 34 tahun lalu.

Awalnya, tidak ramai begitu mengenali lagu irama Malaysia seperti Inang Pulau Kencana dan lagu dangdut, Secangkir Kopi Semanis Puan dan Bila Rumi Menari, melainkan peminat tegar.

Namun, M Nasir pantas menaikkan adrenalin penonton menerusi lagu Tanya Sama Hud Hud.

Sesi 'gendang battle' antara M Nasir dan pemuzik memanaskan suasana bersesuaian dengan nama Konsert Gendang Pati, malah menjadikan gendang sebagai elemen utama.

Alunan dari gendang, gambus, rebab dan perkusi menjadikan konsert malam itu lengkap. Tidak kurang juga alatan muzik berasal dari Brazil, pandero yang diperkenalkan.


Alat muzik ini diperkenalkan khas oleh M Nasir dan diberikan penghormatan dimainkan secara solo, malah persembahan itu juga menerima tepukan gemuruh penonton.

"Jauh berjalan ke dalam hutan di Brazil dan jumpa satu kaum kurang bercampur dengan orang. Mereka tiada duit, tapi apa yang mereka ada adalah alat muzik seperti 'tamborine' iaitu 'pandero'

"Pandero ini adalah salah satu irama di Brazil," katanya ketika memperkenalkan pandero.

Kemudiannya, M Nasir menghangatkan malam dengan lagu malar segarnya, Dah Lagu Tu, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Raikan Cinta, Hijab Kekasih serta medley Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa.

M Nasir menerima sorakan 'gempak' apabila M Nasir dan penyanyi latarnya menyampaikan lagu dialek Kelantan iaitu Langgam Pak Dogo.

Konsert ini membuktikan M Nasir handal dalam merencana perjalanan persembahan dan pengarah muziknya, Aznan Alias layak diberikan pujian.

Tidak perlu ratusan penari, layar video grafik dengan pengcahayaan yang canggih, M Nasir tetap berjaya dengan caranya yang tersendiri.

Turut meraih tepukan gemuruh adalah persembahan Bagaikan Sakti bersama pasukan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices.

Sam Tet Voices pernah memenangi dalam pertandingan World Choir Games 2023.

"Saya kali pertama hasil rakaman dengan bangsa Cina dan India. Saya menonton Sam Tet Voices ketika mereka membuat persembahan ketika menyertai kejuaraan koir antara sekolah peringkat nasional di Terengganu.

"Sam Tet Voices sudah merantau ke luar negara, malah ini pun baru mereka pulang dari Korea," katanya.

Kehangatan konsert diteruskan dengan dendangan lagu-lagu ciptaannya yang popular pada era 80-an iaitu Gadisku, Fantasia Bulan Madu dan Pawana nyanyian oleh Search, Setahun Sudah Berlalu (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris) dan Hukum Karma (Wings).

"Okay saya bawa anda ke Ipoh dan kena nasi ganja, saya bawa ke zaman kegemilangan Awie Wings dan kawan-kawannya yang sangat popular pada waktu itu," katanya sebelum menyampaikan barisan lagu berkenaan.

Menghampiri kemuncak persembahan, suasana bertukar gamat apabila penonton berdiri dan menari ketika M Nasir menyampaikan lagu popularnya, Apokalips, Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan Ada.

Selesai persembahan, M Nasir menzahirkan penghargaan terhadap peminat yang sudi meluangkan tiga jam bersamanya.

Sebelum melabuhkan tirai, maestro muzik ini turut menyampaikan lagu yang mengingatkan peminat agar jangan pernah lupa akan kesengsaraan rakyat Palestin menerusi lagu Masirah.

Kongsi M Nasir, lagu Masirah diinspirasikan dari kejadian pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah menentang Israel.

Lagu yang dihasilkan lebih 20 tahun lalu itu menjadi lagu penutup buat konsert anjuran MND Sports & Events itu.

"Ada masa kita gembira, ada masa merenung dan inilah masa kita merenung. Saya cipta lagu ini sangat lama, lebih 20 tahun lalu mengenai pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah," katanya.

Selain lagu, turut diselitkan bacaan doa Qunut Nazilah serta bacaan puisi dedikasi kepada rakyat Palestin.

Laungan 'Beroh Bedam Nafdiq Ya Syahid' mengiringi pengakhiran konsert ini.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur dibarisi pemuzik hebat menjadi tulang belakang M Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Aznan, Rafi Mohd (gitar), Norman (bes), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam (keyboard) dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Juanita, Yuaz dan Azran Hamzah.

Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi, gendang, rebab, serunai, gambus dan penyanyi jemputan, Romly, Paang, Mohd Razli, Mohd Hisharudy, Mohd Shafic Amminunuddin, Nik Mohd Izzham dan Anas Syafuan.

Yang turut hadir, Hetty Koes Endang, Datuk Hattan, Erma Fatima, Misha Omar, Jep Sepahtu dan Nana Mahazan.

Ahad, November 19, 2023

M Nasir pukau peminat pada konsert di Dewan Plenari, KLCC

petikan Berita Harian 19 November 2023

Oleh Fatin Farhana Ariffin 

M Nasir tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dengan menghadiahkan lagu Masirah. Foto Ihsan Khalil Makata

KUALA LUMPUR: "Terima kasih kerana datang ke konsert kami dan bantu jana ekonomi Melayu."

Itu kata-kata bintang bergelar sifu, Datuk M Nasir sebaik selesai menghiburkan kira-kira 2,800 peminat selama tiga jam pada Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

"Terima kasih kepada hadirin yang saya sayangi. Ada masa kita gembira, ada masa kita merenung dan memang malam ini, kita buat untuk bergembira. Jadi, terima kasih kepada semua yang terbabit.

Tirai konsert dibuka apabila M Nasir tampil ke pentas pada jam 8.30 malam dan mendendangkan lagu Pheonix Bangkit. Foto Ihsan Khalil Makata

"Terima kasih juga kepada penerbit konsert ini, Roman Abadi, ketuanya, Marlia Musa... Tak boleh suka-suka," katanya.

Di sebalik riak wajah dan perwatakan serius, M Nasir dikenali sebagai bintang yang lucu dan suka bergurau.

Malah, pada permulaan konsert, M Nasir sempat bergurau dengan peminat mengenai konsert Aina Abdul yang berlangsung pada masa sama.

"Apa khabar anda semua? Tidak menyesal tak pergi ke konsert Aina Abdul? Saya pun 'prepare' (siapkan) pakaian," katanya lantas disambut ketawa penonton

Bagaimanapun, dalam bergembira, maestro muzik ini tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dengan menghadiahkan lagu Masirah.

M Nasir berkata, lagu itu diilhamkan daripada kejadian sebenar pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah berdepan anggota tentera Israel. Lagu yang difahamkan ditulis pada lebih 20 tahun lalu itu menjadi dendangan penutup konsert anjuran MND Sports & Events itu.

Tirai konsert dibuka apabila M Nasir tampil ke pentas pada jam 8.30 malam dan mendendangkan lagu Pheonix Bangkit.

Pentas terus dihangatkan dengan lagu Semakin Nyata, Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Bila Rumi Menari dan Tanya Sama Hud Hud.

Sarat dengan bunyian Melayu nusantara menerusi paluan gendang, gambus, serunai, rebab, perkusi, gitar, bes, drum dan 'keyboard', persembahan M Nasir membawa penonton meneroka dunia Melayu eksotik.

Biarpun sudah melewati usia 66 tahun, M Nasir terus unggul di pentas dengan lagu popular Dah Lagu Tu!, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Raikan Cinta, Hijab Kekasih serta medley Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa.

M Nasir juga handal dalam merencana repoirtoire konsert, selain pujian layak diberi kepada pengarah muzik, Aznan Alias.

Paling mencuit hati penampilan pemain pandero, iaitu alat muzik berasal dari Brazil dan pemain 'percussion' ketika mempersembahkan lagu dialek Kelantan, Langgam Pak Dogo.

Lebih istimewa adalah persembahan Bagaikan Sakti apabila menampilkan kumpulan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices. Kumpulan ini pernah mencipta kejayaan pada World Choir Games 2023.

Kehangatan malam konsert diteruskan dengan lagu zaman kegemilangan M Nasir seperti Gadisku, Setahun Sudah Berlalu, Kabul Serangkai Mawar, Tiara, Fantasia Bulan Madu, Karma dan Pawana, Apokalips, Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan Ada.

Antara rakan artis yang hadir adalah Hetty Koes Endang, Datuk Hattan, Erma Fatima, Misha Omar, Jep Sepahtu dan Nana Mahazan.

M Nasir julang irama gendang, solidariti buat Palestin

petikan Harian Metro 19 November 2023

Ramlah Zainal am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Konsert Gendang Pati, Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bukan sahaja memperkasakan alat muzik gendang sebagai instrumen utama persembahannya sekali gus berjaya menarik seramai lebih 2,800 penonton malam tadi.

 Lebih bermakna, konsert komposer dan penghibur legenda ini turut menyatakan sokongan dan solidaritinya kepada rakyat Palestin yang menderita kerana kekejaman rejim zionis di Gaza menerusi lagu berjudul Masirah.

Selain lagu, konsert turut membabitkan bacaan doa qunut nazilah serta bacaan puisi pembakar semangat dedikasi kepada rakyat Palestin pada penghujung konsert.

Menurut M Nasir pada sidang media sebelum ini, Konsert Gendang adalah indikasi sihat industri muzik untuk terus berkembang positif.

Ternyata, pada usia 66 tahun dan bersandarkan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang muzik, M Nasir tetap menampilkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang tiga jam konsert berkenaan.

Beliau menghiburkan penggemar muziknya menerusi rangkaian 20 lagu popularnya seperti Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Kias Fansuri, Melawan Arus, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta, Sentuhan Listrikmu, Mustika, Apokalips dan Mentera Semerah Padi. 

" Jangan berasa terasing. Saya akan bawa anda ke Pulau Kencana," katanya.

Konsert itu turut meraikan pelbagai genre muzik dan irama daripada nusantara seperti Sunda, Jawa, Inang dan joget.

Persembahan diiringi barisan 16 pemuzik hebat iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.

Ia dilengkapkan lagi dengan penampilan pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas. Selain dibantu oleh Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Tidak ketinggalan, persembahan seramai 25 anggota koir dari kumpulan koir Sam Tet Voices dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Tet, Ipoh yang menyampaikan lagu versi 'acapella' Bagaikan Sakti yang dicipta  M Nasir dan dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

Konsert ini dibawakan MND Sport & Event Sdn Bhd dan diterbitkan Roman Abadi Sdn Bhd.

Terdahulu, Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir yang berlangsung di Singapura juga mendapat sambutan positif dari peminat pada Julai lalu.

Khamis, November 09, 2023

Karya M Nasir di pameran "Colours For Gaza"

 petikan AstroAwani 9 November 2023

Irwan Muhammad Zain

Pameran ini dianjurkan atas dasar keprihatinan dan solidariti seniman-seniman negara ini kepada rakyat Palestin di Gaza. - Gambar ihsan Galeri Puteh

SENIMAN Datuk M Nasir turut menyertai pameran seni Colours For Gaza yang menghimpunkan 90 seniman dari seluruh negara.

Pengarah Galeri Puteh, Mohd Nizam Rahmat berkata, M Nasir telah bersetuju menyerahkan sekeping lukisan beliau untuk dipamer dan dijual.

"Kami amat berbesar hati dengan penyertaan M Nasir ini dan pastinya ia membawa seribu makna kepada Galeri Puteh dan pameran ini," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Dianjurkan Galeri Puteh, "Colours For Gaza" akan berlangsung dari 14 hingga 21 November dan pelancarannya pada 15 November.

Mohd Nizam berkata, pameran ini dianjurkan atas dasar keprihatinan dan solidariti seniman-seniman negara ini kepada rakyat Palestin di Gaza.

eran ini juga diadakan untuk menyampaikan mesej dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Israel.

"Selain itu, ia juga bertujuan mencipta ruang dialog dan pemahaman antara masyarakat melalui seni dan warna sebagai medium untuk berkomunikasi.

"Seniman mempunyai peranan yang kuat dalam membentuk persepsi dan emosi kerana, setiap karya seni menyampaikan pesanan dan emosi, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan golongan itu kepada usaha kemanusiaan di Palestin," tambahnya.

Hasil penjualan karya seni dan penajaan akan disumbangkan kepada tabung bantuan Palestin, menerusi kerjasama dengan badan kemanusiaan yang sah akan dipilih kelak.

Selain M.Nasir, seniman lain yang akan bersama di pameran tersebut antaranya, Abdul Mansoor Ibrahim, Tajuddin Ismail, Ahmad Fuad Osman, Bayu Utomo Radjikin, Abu Bakar Idris, Juhari Said, Faizal Suhif, Jalaini Abu Hassan, Fauzul Yusri, Suzlee Ibrahim, Ramlan Abdullah, Rafiee Ghani, Kide Baharudin, Ika Sharom, Stephen Menon, Samsuddin Wahab, Hamir Soib, Faisal Tehrani, Amar Idris dan Intan Rafiza.

Selain itu, dua seniman wanita dari Brazil dan Turkiye juga turut mempamerkan karya mereka untuk dijual

Rabu, Oktober 18, 2023

Tak nak komen, benda dah tular - M Nasir

petikan Berita Harian 18 Oktober 2023

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin 

KUALA LUMPUR: Maestro muzik, Datuk M Nasir tiada masalah apabila lirik lagu popular ciptaannya, Nur Nilam Sari yang didendangkan Datuk Awie bersama Search, diubah kepada Pinjam Seratus Nur Nilam Sari hingga tular di TikTok.

M Nasir yang menghasilkan lirik lagu itu bersama Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq pada 1998, mengaku tidak mampu menghalang orang ramai daripada mengubah lirik lagu berkenaan dan berkongsi di platform digital.

"TikTok adalah platfotm paling efektif dan menjadi budaya sekarang. Tetapi kita tidak tahu bila akan basi.

"Bagi saya, TikTok tidak ada negatif atau positif kerana popular sekarang. Namun, tergantung kepada pengguna untuk memanfaatkannya. Itu hak awam... Saya tiada benda nak cakap.

"Sebenarnya, saya tak mahu komen kerana perkara itu (lirik lagu diubah) sudah tular," katanya pada sidang media mempromosikan Konsert Gendang Pati di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Lirik Nur Nilam Sari ditukar kepada Pinjam Seratus Nur Nilam Sari dan tular di TikTok.

Lagu Nur Nilam Sari didedikasikan M Nasir buat bongsunya hasil perkahwinan dengan Allahyarham Junainah Johari.

Ditanya adakah beliau memanfaatkan platform itu bagi mengikut peredaran masa, M Nasir berkata, setakat ini beliau masih belum berkeinginan.

Konsert Gendang Pati bakal berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November depan.

Sabtu, September 23, 2023

'Yang dulu dah habis', M Nasir kongsi pembikinan album baharu

petikan Majoriti 23 September 2023

Oleh AMNAN HIBRAHIM

Hasil buah tangan M Nasir sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat muzik tanah air. — Instagram/MNasirMohamed

BAGI peminat seni muzik tanah air, karya ciptaan penyanyi dan komposer legenda tanah air, Datuk M Nasir merupakan sesuatu yang sememangnya ditunggu-tunggu.

Mana tidaknya, di tangan seniman yang sudah mencecah usia 66 tahun ini, pelbagai lagu malar segar yang dihasilkan dan dinyanyikannya terus mewarnai industri muzik negara sejak hampir lebih 40 tahun lalu.

Namun, sejak lebih kira-kira 17 tahun lalu, beliau yang turut diberi gelaran sebagai Sifu dilihat lebih aktif dalam kerja di belakang tabir sebagai komposer dan juga pemilik kepada syarikat rakamannya, Luncai Emas.

Kali terakhir beliau menghasilkan album adalah pada 2006 hasil buah tangannya yang bertajuk Sang Pencinta.

Bagaimanapun, ada berita baik buat peminatnya yang masih setia menunggu-nunggu karya terkini daripada penyanyi kelahiran Singapura ini.

Ia selepas M Nasir memaklumkan beliau kini sedang dalam proses untuk menyiapkan albumnya yang sudah lama berada dalam proses pembikinan.

"Saya tengah buat album, tapi belum lagi siap," katanya ketika ditemui Majoriti.

Ditanya mengenai jangkaan waktu album tersebut dapat mula dinikmati oleh peminatnya, M Nasir berkata, beliau berharap agar ia dapat disiapkan pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sentuhan Listrikmu itu mengakui kekangan inspirasi dan kesibukan kerja turut menjadi antara faktor menyebabkan proses pembikinan album berkenaan memakan masa yang lama.

Selain daripada itu, M Nasir berkata, beliau turut berhadapan dengan cabaran untuk memastikan karya baharu dihasilkan itu dapat memuaskan hati peminat dan penggemar muzik tanah air sama seperti lagu-lagunya sebelum ini.

"Itulah dia punya serba salah apabila kita buat sesuatu yang baharu, tapi orang lama, atau orang yang biasa dengan muzik kita akan tidak begitu gemar dengan pembaharuan kita. Itu yang berlaku pada Sang Pencinta (album).

"Orang yang dah biasa dengan muzik kita, dia tak suka, dia lihat kita macam lari daripada (bunyi sebelum ini) dan cuba nak rasa relevan dengan sekarang ini. Itu yang buat kita selalu rasa perlu ada album ke tidak.

"Tapi saya selalu buat dan kadang-kadang bila kita buat itu benda itu lagi baru daripada apa yang ada, lagi susah (pendengar nak terima). Itu yang buat benda itu susah nak disiapkan," ujarnya yang mengakui ramai peminatnya lebih gemar dengan karyanya yang terdahulu.

"Dia harapkan (kita) akan keluarkan lagu-lagu yang sedap macam dulu. Tapi yang dulu itu dah habis dah, time itu dah habis," kata beliau.

Sepanjang lebih 40 tahun berkarya, M Nasir menghasilkan kira-kira tujuh album solo antaranya Solo pada 1989, Saudagar Mimpi (1992), Canggung Mendonan (1993), Phoenix Bangkit (2001) dan terakhir Sang Pencinta (2006).

Mengulas mengenai pembaharuan mungkin ditampilkan dalam album terbaharu itu, M Nasir berkata, perkara tersebut bukanlah satu-satunya elemen yang akan diberikan penekanan dalam pembikinan karya tersebut.

Sepanjang lebih 40 tahun berkarya, M Nasir menghasilkan kira-kira tujuh album solo.

Menurutnya, ini kerana aspek itu bukan satu-satunya elemen yang boleh menyebabkan sesuatu muzik itu boleh menjadi relevan mendapat penerimaan baik dalam kalangan pendengar, lebih-lebih lagi jika ia dihasilkan oleh pemuzik yang lama.

"Tidak ada artis yang umur 66 tahun dalam dunia ini bawa pembaharuan. Paul McCartney (anggota kumpulan The Beatles) pun nyanyi lagu dia sahaja. Dia tidak ada buat lagu baharu orang boleh terima sangat," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketiadaan elemen pembaharuan tidak semestinya bermakna sesebuah karya itu bakal sukar diterima pendengar.

"Semua bergantung kepada lagu. Saya ingat dulu masa (Allahyarham Tan Sri) SM Salim popular, umur dia dah berapa.

"Dia kembali popular dengan lagu-lagu yang stail lama tapi orang terima dia dan lagunya menjadi hits sehingga dalam tempoh tiga ke lima tahun orang bercakap pasal lagu itu sahaja," katanya.

Hidupkan semula gendang dalam muzik Malaysia

Pada 18 November depan, M Nasir bakal kembali menyapa peminat muzik tanah air apabila tampil dengan konsert terbaharunya yang dinamakan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur.

Menurut M Nasir, berbeza dengan konsertnya sebelum ini, persembahan bakal ditampilkan pada persembahan tersebut akan memberikan penekanan kepada gubahan gendang khusus dari Nusantara.

"Kali ini kita beri penekanan kepada gubahan gendang dalam muzik yang saya dah ciptakan yang kebanyakannya mempunyai irama yang boleh ditarikan. Antaranya lagu seperti Mentera Semerah Padi, Ada dan pelbagai lagu.

"Semuanya lagu-lagu dengan irama yang boleh ditarikan dan dinyanyikan ramai-ramai serta akan ada unsur dramatik yang akan kita gubah dalam persembahan kali ini," ujarnya.

Gendang Pati sebelum ini terlebih dahulu dipersembahkan di Singapura dengan ia mendapat reaksi yang begitu positif daripada peminatnya.

M Nasir berkata, bagi versi konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), beliau bakal mempersembahkan sebanyak kira-kira 20 lagu.

Persembahannya turut diiringi barisan pemuzik hebat yang sekian lama menjadi tulang belakang kepada karier muziknya iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias; gitar rhythm, Rafi Mohd; bass, Norman; keyboard, Firdaus Mahmud dan Eddie Slam; dram, Ujang Exists.

Pada masa sama, konsert kali ini diserikan lagi dengan kehadiran pemain perkusi utama, Paang; perkusi tradisional, Mat Din; pemain perkusi, Che Long dan Anas serta pemain perkusi, rebab dan serunai, Awe.

Dalam pada itu, M Nasir berkata, idea untuk mengadakan konsert dengan konsep sedemikian timbul selepas beliau merasakan kurangnya penggunaan gendang tradisi dalam muzik terkini yang dihasilkan pada waktu ini.

"Saya ingat gendang ini dia dah makin menghilang sebenarnya terutamanya dalam muzik pop. Dari segi populariti, dia tidak lagi menjadi satu yang utama.

"Jadi kerana saya sendiri mulakan karier muzik dengan irama-irama Nusantara semua ini, saya seperti ada rasa tanggungjawab mempopularkannya kembali.

"Ini supaya kita generasi baharu dan generasi lama dapat rasa, oh, ini kita punya muzik," ujarnya yang berpandangan bahawa penggunaan gendang dalam muzik sememangnya boleh terus kekal relevan merentas zaman.

"Bukan sahaja zaman-zaman tradisi dulu, tetapi boleh dijadikan satu bentuk muzik di zaman ini dan orang-orang muda pun boleh menggunakan bunyi itu di dalam muzik mereka yang baharu," kata beliau. — Majoriti

Jumaat, September 08, 2023

M. Nasir tak perlu janji ‘spectacular’

petikan KOSMO 8 September 2023

Oleh TENGKU SUZANA RAJA MAMAT

TIDAK hanya tentang muzik dan kegembiraan luaran, M. Nasir berharap pesta Gendang Pati menjadi pengisian jiwa setiap penonton.

DIHARAPKAN bergema menjadi pesta keraian bukan hanya tentang muzik, bahkan jiwa seluruh rakyat, Gendang Pati bukan sembarangan ‘gendang’. ‘Gendang’ Datuk M. Nasir sejak dari dahulu dan sampai bila-bila pun tidak tergoyah.

Lewat persembahan digelar Gendang Pati, Datuk M. Nasir sudah pun menghimpunkan peminat dalam sebuah pesta yang mengisi bukan sahaja kegembiraan luaran tapi diikuti jiwa.

Keraian muzik yang mengisi kecanduan pesta Gendang Pati telah meninggalkan impak bukan sedikit saat dipersembahkan di Singapura tempoh hari.

Kini, konsep serupa mahu dikongsi dan diserapkan ke dalam jiwa sekalian penggemarnya di Kuala Lumpur.

Dinamakan Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur, persembahan berkenaan bakal menyapa penggemar di Dewan Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November 2023, bermula 8 malam.


M.NASIR menyifatkan penganjuran konsert sebagai indikasi sihat industri muzik.

Sepanjang pesta Gendang Pati yang dibawakan MND Sport & Event Sdn. Bhd, M. Nasir sebenarnya tidak perlu menjanjikan persembahan yang ‘spectacular’ atau luar biasa.

Namun mengenali pelantun Bagaikan Sakti itu, tidak pernah ada yang sederhana dalam pesta muzik beliau yang selalu berjaya mengajak jiwa menyanyi dan menari sepanjang acara.

“M. Nasir sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat.

Jadi kami percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini.

“Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman.

“Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur, ibarat kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi,” ujar Daniel mewakili MND Sport & Event.

Buat M. Nasir, Gendang Pati versi Kuala Lumpur terlestari demi kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahukan aksinya.

Konsert berkenaan juga lambang kelangsungan kariernya yang sentiasa ‘hidup’ tak lapuk dek zaman.


GENDANG Pati versi KL akan dibarisi pemuzik hebat, antaranya pemain gitar Nan Alias selaku pengarah muzik, Rafi Mohd, Norman, Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, Ujang Exists serta penyanyi latar Eja, Widy Yuaz.

“Saya perlu bersyukur kerana meski sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M. Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.

“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif.

Yang pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang membuatkan semua berdendang bergoyang.

“Saya harap konsert itu menjadi sebuah lagi persembahan saya tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua,” ujar M.Nasir.

Malam itu nanti, moga ‘roh’ dan jiwa segenap pelosok Dewan Plenary bertebaran kegembiraan, berbahagia menyambut, lalu meraikan pesta muzik yang bakal dipersembahkan sang legenda, sang maestro dan sang sifu tiada gantinya itu.

Tiket-tiket berharga RM228 hingga RM888 bagi menyaksikan Gendang Pati M. Nasir boleh didapati menerusi laman web MyTicket.Asia.

Hubungi talian hotline 03-8605 0195 untuk maklumat lanjut.

Khamis, September 07, 2023

Gendang Pati M Nasir tampil pesta rakyat

petikan Berita Harian 7 September 2023

Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my

M Nasir harap Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi satu lagi transisi persembahannya  tahun ini.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan maestro muzik terkenal, Datuk M Nasir terus jadi pilihan peminat apabila tampil dengan konsert berbentuk pesta rakyat yang mengisi bukan sahaja kegembiraan, tetapi terapi jiwa.

Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur, nama konsert yang bakal menyapa penggemar di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November depan itu diadakan selepas persembahan sama di Singapura pada Julai lalu menerima maklum balas positif.

M Nasir berkata, Gendang Pati diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan penggemar yang sentiasa mahu melihatnya beraksi atas pentas sebagai lambang kelangsungan kerjayanya yang hidup tak lapuk dek zaman.

"Saya perlu bersyukur kerana sudah melakukan banyak konsert, namun insan bernama M Nasir ini sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya secara langsung.

"Ini bukan mengenai saya, tetapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangan sentiasa positif. Yang pastinya, malam konsert akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan semua berdendang dan bergoyang.

"Saya harap Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi satu lagi transisi persembahan saya, tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan terhadap karya saya," katanya kepada BH Online.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur bakal dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan penonton berdendang dan bergoyang.

Sementara itu, wakil penganjur, MND Sport & Event Sdn Bhd, Daniel berkata, pesta muzik itu menjanjikan persembahan yang spektakular atau luar biasa.

"Hal ini kerana M Nasir itu sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat. Jadi, kami percaya dengan kemampuan antara penghibur terbaik ini.

"M Nasir sudah membawa roh terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur. Ibaratnya kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi," katanya.

Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bes), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.

Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas. Dan dibantu oleh Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Selain mempersembahkan M Nasir, pesta muzik yang diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur dengan mempersembahkan konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa.