Selasa, November 21, 2023

Bukti keampuhan M Nasir empat dekad

petikan Berita Harian 21 November 2023

Oleh Fatin Farhana Ariffin - fatin.farhana@bh.com.my

M Nasir turut menyampaikan lagu yang mengingatkan peminat agar jangan pernah lupa akan kesengsaraan rakyat Palestin menerusi lagu Masirah.

KUALA LUMPUR: Selama 40 tahun menjadi pejuang seni bukanlah tempoh yang singkat. Perjalanan panjang ini membuktikan keampuhan figura hebat, Datuk M Nasir dalam menghasilkan karya yang hidup, tanpa ditelan waktu dan zaman.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur bukti karya maestro muzik ini masih menjadi siulan ramai, biarpun ada yang sudah berusia empat dekad.

Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam kelmarin menjadi saksi lagu M Nasir bukan hanya diminati kelompok peminat berusia, malah generasi hari ini tidak ketinggalan berhibur bersamanya.

Malah, pengalaman empat dekad dalam bidang seni memberi kelebihan buat penyanyi kelahiran kota Singa ini memahami selok-belok dalam konsert.

Seperti konsert sebelum ini, M Nasir tidak pernah gagal memberikan hiburan yang padat, muzik dan celoteh bersahaja.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur satu lagi bukti pejuang seni bernama M Nasir layak digelar penghibur legenda sepanjang zaman, apatah lagi, tiket konsert habis dijual dalam tempoh hanya tiga minggu.

Dipenuhi dengan 2,800 peminat pelbagai peringkat usia, pemilik nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamad itu menggamatkan 'pesta rakyat' dengan hampir 30 lagu selama tiga jam.

M Nasir membuka tirai persembahan dengan lagu Phoenix Bangkit daripada album keenam dan Semakin Nyata daripada album kedua yang dihasilkan pada 34 tahun lalu.

Awalnya, tidak ramai begitu mengenali lagu irama Malaysia seperti Inang Pulau Kencana dan lagu dangdut, Secangkir Kopi Semanis Puan dan Bila Rumi Menari, melainkan peminat tegar.

Namun, M Nasir pantas menaikkan adrenalin penonton menerusi lagu Tanya Sama Hud Hud.

Sesi 'gendang battle' antara M Nasir dan pemuzik memanaskan suasana bersesuaian dengan nama Konsert Gendang Pati, malah menjadikan gendang sebagai elemen utama.

Alunan dari gendang, gambus, rebab dan perkusi menjadikan konsert malam itu lengkap. Tidak kurang juga alatan muzik berasal dari Brazil, pandero yang diperkenalkan.


Alat muzik ini diperkenalkan khas oleh M Nasir dan diberikan penghormatan dimainkan secara solo, malah persembahan itu juga menerima tepukan gemuruh penonton.

"Jauh berjalan ke dalam hutan di Brazil dan jumpa satu kaum kurang bercampur dengan orang. Mereka tiada duit, tapi apa yang mereka ada adalah alat muzik seperti 'tamborine' iaitu 'pandero'

"Pandero ini adalah salah satu irama di Brazil," katanya ketika memperkenalkan pandero.

Kemudiannya, M Nasir menghangatkan malam dengan lagu malar segarnya, Dah Lagu Tu, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Raikan Cinta, Hijab Kekasih serta medley Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa.

M Nasir menerima sorakan 'gempak' apabila M Nasir dan penyanyi latarnya menyampaikan lagu dialek Kelantan iaitu Langgam Pak Dogo.

Konsert ini membuktikan M Nasir handal dalam merencana perjalanan persembahan dan pengarah muziknya, Aznan Alias layak diberikan pujian.

Tidak perlu ratusan penari, layar video grafik dengan pengcahayaan yang canggih, M Nasir tetap berjaya dengan caranya yang tersendiri.

Turut meraih tepukan gemuruh adalah persembahan Bagaikan Sakti bersama pasukan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices.

Sam Tet Voices pernah memenangi dalam pertandingan World Choir Games 2023.

"Saya kali pertama hasil rakaman dengan bangsa Cina dan India. Saya menonton Sam Tet Voices ketika mereka membuat persembahan ketika menyertai kejuaraan koir antara sekolah peringkat nasional di Terengganu.

"Sam Tet Voices sudah merantau ke luar negara, malah ini pun baru mereka pulang dari Korea," katanya.

Kehangatan konsert diteruskan dengan dendangan lagu-lagu ciptaannya yang popular pada era 80-an iaitu Gadisku, Fantasia Bulan Madu dan Pawana nyanyian oleh Search, Setahun Sudah Berlalu (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris) dan Hukum Karma (Wings).

"Okay saya bawa anda ke Ipoh dan kena nasi ganja, saya bawa ke zaman kegemilangan Awie Wings dan kawan-kawannya yang sangat popular pada waktu itu," katanya sebelum menyampaikan barisan lagu berkenaan.

Menghampiri kemuncak persembahan, suasana bertukar gamat apabila penonton berdiri dan menari ketika M Nasir menyampaikan lagu popularnya, Apokalips, Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan Ada.

Selesai persembahan, M Nasir menzahirkan penghargaan terhadap peminat yang sudi meluangkan tiga jam bersamanya.

Sebelum melabuhkan tirai, maestro muzik ini turut menyampaikan lagu yang mengingatkan peminat agar jangan pernah lupa akan kesengsaraan rakyat Palestin menerusi lagu Masirah.

Kongsi M Nasir, lagu Masirah diinspirasikan dari kejadian pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah menentang Israel.

Lagu yang dihasilkan lebih 20 tahun lalu itu menjadi lagu penutup buat konsert anjuran MND Sports & Events itu.

"Ada masa kita gembira, ada masa merenung dan inilah masa kita merenung. Saya cipta lagu ini sangat lama, lebih 20 tahun lalu mengenai pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah," katanya.

Selain lagu, turut diselitkan bacaan doa Qunut Nazilah serta bacaan puisi dedikasi kepada rakyat Palestin.

Laungan 'Beroh Bedam Nafdiq Ya Syahid' mengiringi pengakhiran konsert ini.

Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur dibarisi pemuzik hebat menjadi tulang belakang M Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Aznan, Rafi Mohd (gitar), Norman (bes), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam (keyboard) dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Juanita, Yuaz dan Azran Hamzah.

Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi, gendang, rebab, serunai, gambus dan penyanyi jemputan, Romly, Paang, Mohd Razli, Mohd Hisharudy, Mohd Shafic Amminunuddin, Nik Mohd Izzham dan Anas Syafuan.

Yang turut hadir, Hetty Koes Endang, Datuk Hattan, Erma Fatima, Misha Omar, Jep Sepahtu dan Nana Mahazan.

Tiada ulasan: