petikan Berita Harian 7 September 2023
Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my
M Nasir harap Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi satu lagi transisi persembahannya tahun ini.KUALA LUMPUR: Penyanyi dan maestro muzik terkenal, Datuk M Nasir terus jadi pilihan peminat apabila tampil dengan konsert berbentuk pesta rakyat yang mengisi bukan sahaja kegembiraan, tetapi terapi jiwa.
Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur, nama konsert yang bakal menyapa penggemar di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November depan itu diadakan selepas persembahan sama di Singapura pada Julai lalu menerima maklum balas positif.
M Nasir berkata, Gendang Pati diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan penggemar yang sentiasa mahu melihatnya beraksi atas pentas sebagai lambang kelangsungan kerjayanya yang hidup tak lapuk dek zaman.
"Saya perlu bersyukur kerana sudah melakukan banyak konsert, namun insan bernama M Nasir ini sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya secara langsung.
"Ini bukan mengenai saya, tetapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangan sentiasa positif. Yang pastinya, malam konsert akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan semua berdendang dan bergoyang.
"Saya harap Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi satu lagi transisi persembahan saya, tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan terhadap karya saya," katanya kepada BH Online.
Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur bakal dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan penonton berdendang dan bergoyang.
Sementara itu, wakil penganjur, MND Sport & Event Sdn Bhd, Daniel berkata, pesta muzik itu menjanjikan persembahan yang spektakular atau luar biasa.
"Hal ini kerana M Nasir itu sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat. Jadi, kami percaya dengan kemampuan antara penghibur terbaik ini.
"M Nasir sudah membawa roh terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur. Ibaratnya kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi," katanya.
Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bes), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.
Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas. Dan dibantu oleh Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.
Selain mempersembahkan M Nasir, pesta muzik yang diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur dengan mempersembahkan konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan